Categories
AGENDA NASIONAL

KPM lanjut kecualikan sewaan kantin hingga Jun depan

KOTA BHARU, 9 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

“Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail hari ini.

Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

“KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka.

Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai lega kedai buku, alat tulis dan telekomunikasi kembali operasi

KUALA LUMPUR 16 JULAI: Pengusaha kedai komputer, telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis menarik nafas lega apabila mendapat sambutan ramai daripada pengunjung selepas dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula hari ini.

Selain itu, tinjauan Bernama mendapati ramai pengunjung hadir ke premis perniagaan terbabit bagi mendapatkan barangan keperluan untuk pembelajaran dan bekerja.

Pengusaha syarikat telekomunikasi Mohd Habil Bujang, 21 berkata sambutan pada hari pertama amat memberangsangkan berbanding dengan penjualan secara dalam talian.

“Gajet telekomunikasi pada waktu ini adalah barangan penting bagi pelajar sekolah dan pelajar institut pengajian tinggi yang menjalani pengajian dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Habil berkata antara barangan keperluan laris terjual adalah fon telinga, kabel dan kamera sesawang yang melengkapi PdPR di rumah.

Pengusaha kedai alat tulis Kit Liew Yong Jie, 28, berpendapat pembukaan kedai alat tulis membuka ruang bagi peniaga kecil menaikkan penjualan mereka selain daripada jualan dalam talian.

“Penjualan secara dalam talian tidak mendatangkan hasil sama seperti penjualan di kedai fizikal kerana ibu bapa lebih memilih untuk membeli barang secara bersemuka. Pelanggan akan diberikan nombor sebagai langkah untuk memastikan mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di dalam kedai,” katanya.

Katanya, bagi mengelakkan terjadi kluster alat tulis hanya 20 pelanggan dibenarkan masuk ke dalam premis dalam satu masa.

Pelanggan kedai berkenaan Che Faridah Che Osman, 54, berkata pembukaan kedai buku dan alat tulis penting kerana ibu bapa dapat membeli buku rujukan, buku latihan dan barang keperluan lain untuk pembelajaran anak-anak.

“Penutupan sektor itu sebelum ini membuatkan ibu bapa terbeban kerana guru akan bagi pelbagai latihan contohnya latihan mewarna untuk anak-anak. Jadi penutupan adalah tidak wajar kerana ia adalah satu kepentingan kerana pembelajaran secara dalam talian masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan ibu bapa mementingkan penggunaan telefon pintar berbanding laptop dan komputer kerana faktor kewangan.

Pemilik syarikat komputer, Murni Abdul Kas, 32 berkata sebelum pembukaan, perniagaan servis komputer terjejas kerana bayaran sewa masih berjalan seperti biasa semasa penutupan kedai selain tidak mendapat sambutan walaupun mengadakan perkhidmatan secara dalam talian berbanding secara bersemuka.

“Servis dalam talian kurang mendapat sambutan kerana pelanggan ingin melihat kualiti dan servis laptop secara praktikal,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya semalam dipetik sebagai berkata sidang khas MKN bersetuju untuk memberi kebenaran operasi sektor berkenaan setelah mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai buku, alat tulis dibenar operasi semasa PKP di Sarawak

KUCHING, 28 JUN: Kebenaran bagi kedai buku dan alat tulis untuk beroperasi merupakan antara penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) yang dilaksanakan di Sarawak susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata tempoh operasi kedai berkenaan adalah mengikut syarat yang ditetapkan untuk sektor perkhidmatan, ekonomi, industri dan aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan semasa PKP.

Selain itu, waktu operasi premis yang menjual makanan adalah antara 6 pagi dan 10 malam manakala individu atau kumpulan individu tidak dibenarkan berada di kawasan awam antara pukul 12.01 pagi dan 5.00 pagi tanpa alasan yang munasabah.

Sarawak mencatatkan 409 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 64,233, dengan dua kematian baharu direkodkan, menjadikan angka kematian bertambah kepada 406 orang.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan lima kluster baharu membabitkan kluster komuniti dan tempat kerja, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negeri ini berjumlah 97 kluster.

Kluster Luteng di daerah Telang Usan dikesan di sebuah kampung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Long Luteng melibatkan 44 kes positif Covid-19.

Kluster Po Ai (Sri Aman) pula membabitkan empat rumah panjang yang turut berada di bawah PKPD dengan sejumlah 103 kes dikesan positif, manakala Kluster Blimbing (Bau) melibatkan 22 kes positif di Kampung Blimbing.

Di daerah Sarikei, 59 kes positif melibatkan empat buah rumah panjang menyebabkan Kluster Simpang Koko diisytiharkan manakala Kluster Jalan Semariang di Kuching membabitkan 36 kes positif di sebuah pasar raya.

– BERNAMA