Categories
AGENDA NASIONAL

KPM lanjut kecualikan sewaan kantin hingga Jun depan

KOTA BHARU, 9 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

“Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail hari ini.

Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

“KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka.

Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kantin, koperasi sekolah dikecualikan bayar sewa enam bulan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis/ruang yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan mulai bulan ini.

Menurut kenyataan KPM, premis atau ruang yang diberikan pengecualian sewa itu termasuk kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri yang terjejas ekoran pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.

Bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan, pihak kementerian menjelaskan pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

“KPM yakin inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan oleh pandemik Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Sektor pendidikan hanya akan dibuka semula secara berperingkat pada Fasa Tiga dalam PPN yang dijangka bermula September 2021.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Separuh pekerja lari, gerai jalanan selamatkan kantin

FOTO REMY ARIFIN

SHAH ALAM, 20 MAC: Covid-19 mengubah 360 darjah kehidupan Rosmaliza Abd Razak dan Norlizah Mansor. Perusahaan kantin mereka terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

Mengusahakan kantin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Mahadi dan SMK Taman Klang Utama Rosmaliza, 45, dan Norlizah, 44, termenung jauh mengenang nasib.

Tambahan pula bil elektrik dan bil air dua kantin itu perlu dilunas kira-kira RM3,600 sebulan. Mereka turut menanggung hutang hampir RM5,000 dengan pembekal barang mentah, sejuk beku dan keperluan lain.

“Kebetulan kami baru memenuhkan stok bekalan bahan mentah, sejuk beku dan keperluan lain untuk tempoh seminggu sehari sebelum PKP diumumkan.

“Kami cuba pulangkan bahan mentah yang dibeli secara kredit tetapi ramai pembekal menolak. Ada juga yang terima separuh sahaja kerana mereka juga tanggung kerugian.

“Apabila sekolah dibuka semula pada Julai lalu, barang sudah rosak dan ada yang luput tarikh menyebabkan kami kerugian kira-kira RM6,000 hingga RM8,000,” kata Rosmaliza kepada SelangorKini.

Jualan sejak sekolah kembali dibuka juga tidak serancak dulu. Bukan semua pelajar bersekolah, bahkan hasil jualan habis untuk gaji pekerja, hutang pembekal dan bil tertunggak.

Separuh pekerja lari. Hanya lapan saja masih bertahan. Pelajar tingkatan lima pula lebih gemar makan di luar berbanding kantin sekolah. Hanya gaji bulan pertama saja mampu dibayar ketika PKP pertama menggunakan duit simpanan yang memaksa pekerja angkat kaki.

Lesen sementara

Angan mereka musim persekolahan 2021 bakal memberi nafas baru tapi kes Covid-19 melonjak kembali. Lebih mencabar apabila kerajaan mengumumkan PKP 2.0 pada 13 Januari lalu.

Sekolah dibuka untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia 2020 dan tingkatan lima 2021 sahaja. Mereka mati akal.

Pekerja menyusun perkakas bagi memastikan kebersihan kantin sekolah terpelihara

Walaupun memperoleh pendapatan tambahan melalui katering kecil-kecilan tapi bukan selalu ada tempahan.

Mereka mula memikirkan sumber pendapatan lain. Bukan saja untuk bayar bil tertunggak tapi demi kelangsungan hidup mereka.

Langganan siaran televisyen satelit juga sudah lama ditamatkan. Semua bil dibayar selang sebulan untuk mengelakkan bekalan air dan elektrik dipotong.

Walaupun tahu ia menyebabkan tunggakan bertambah tetapi mereka tiada pilihan. Keperluan asas perlu diutamakan.

Penghujung Februari, mereka tekad membuka gerai menjual sarapan tidak jauh dari SMK Raja Mahadi.

Usaha itu tidak mudah. Baru tiga hari berniaga, Rosmaliza dan Norlizah didatangi penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang kerana tidak mempunyai lesen.

Mujur barang niaga tidak dirampas. Cuma gerai diarah tutup. Ketika itu masih awal pagi, banyak belum dijual. Rugi lagi.

Lebihan jualan itu disedekah kepada jiran dan orang ramai. Selepas hampir seminggu, permohonan mendapatkan lesen perniagaan sementara diluluskan.

Mereka bersyukur dapat menampung sedikit perbelanjaan keluarga meskipun pendapatan tidak sekencang berniaga di kantin sekolah.

Pinjaman Hijrah

Rosmaliza dan Norlizah yang mengusahakan kantin sekolah sejak 2012 mengikut jejak langkah ibu bapa mereka.

Kedua-duanya membelanjakan hampir RM150,000 membaik pulih dan menaik taraf dua kantin itu bermula SMK Raja Mahadi melalui empat kali pinjaman Yayasan Hijrah Selangor.

Mereka membesarkan dapur, menukar longkang seramik, mengubah suai dan membesarkan bilik guru, memasang kipas di dewan makan pelajar, mengganti bumbung serta siling pecah, menambah sinki pelajar dan memasang besi penghadang untuk pelajar beratur.

Kantin diusahakan Rosmaliza Abd Razak dan Norlizah Mansor mendapat pujian Pejabat Pendidikan Daerah Klang

Pinjaman kali pertama sebanyak RM3,000 kira-kira tiga tahun lalu diikuti RM6,000 kemudian RM30,000 dan terakhir kira-kira sebulan sebelum PKP dilaksanakan berjumlah RM50,000.

Kantin SMK Raja Mahadi mendapat kepercayaan dan pujian pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah Klang sekali gus memberi keyakinan kepada dua rakan kongsi itu memohon tender kantin SMK Taman Klang Utama.

Antara pengiktirafan diraih adalah tempat ketiga Anugerah Kantin Terbaik Kebangsaan 2018, johan Anugerah Pengurusan Kantin Cemerlang Daerah Klang 2014 dan 2015, johan kategori kantin sekolah Pertandingan Kebersihan Premis Makanan Peringkat Majlis Perbandaran Klang 2018, Anugerah Khas Pengetua SMK Raja Mahadi dan tempat ketiga Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin peringkat kebangsaan 2018.

Mengimbas kembali pengalaman ketika memulakan perniagaan di SMK Raja Mahadi, Norlizah memberitahu keadaan kantin ketika itu tidak terurus.

“Masa mula masuk sini, keadaan kotor dan banyak rosak. Pengusaha lama pula berkeras tidak mahu beredar kononnya mempunyai pengaruh politik di Klang.

“Kami terpaksa meminta bantuan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Klang, sekolah dan polis untuk memaksa mereka mengosongkan kantin,” katanya.

Mereka mengembangkan lagi perniagaan sebaik mendapat tender kantin SMK Taman Klang Utama pada 2018. Ketika itu, pendapatan mereka kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

“Sekarang memang agak sukar. Saya harap perniagaan kantin rancak semula apabila sekolah dibuka sepenuhnya.

“Semoga perlahan-lahan kami dapat pulihkan semula kerugian yang ditanggung lebih setahun ini,” katanya.

Rosmaliza dan Norlizah berharap pembukaan penuh persekolahan pada 5 April ini mampu menjadi pemangkin untuk bangkit semula memulihkan perniagaan kantin yang diusahakan hampir 11 tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Harga makanan kantin sekolah naik, Kerajaan Pusat patut turun padang

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 9 JAN : Pengusaha-pengusaha kantin terpaksa menaikkan harga sajian makanan sekirannya mereka terus dibebankan dengan lambakan kenaikan harga barangan di pasaran sehingga menjejaskan kos operasi mereka.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah Malaysia, Hamzah Omar, berkata ia bagaimana pun berlaku pada kadar yang minimum dan tidak membebankan mana-mana pihak khususnya ibu bapa.

Kantin1“Selaku organisasi yang bertanggungjawab kepada pengusaha kantin ini, kami sentiasa memantau dan memastikan agar setiap pengusaha kantin mematuhi kontrak dengan mengekalkan harga tanpa melakukan perubahan harga sesuka hati

“Namun, apabila harga barangan dipasaran melambung naik, sedikit perubahan harga makanan terpaksa dilakukan pengusaha kantin. Itu pun dinaikkan pada kadar minimum bagi menampung kos operasi mereka dan bukannya untuk membuat keuntungan berlibat ganda,” jelasnya ketika dihubungi Selangor Kini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata proses sebut harga dan pemberian tender dari sekolah kepada pengusaha kantin sudah cukup membuktikan hanya pengusaha terbaik dilantik dalam memastikan semua pihak khususnya ibu bapa tidak terkesan.

“Setiap kali sekolah buka sebut harga dan tender baru, sekurang-kurangnya berbelas pengusaha akan memohon. Jadi mereka perlu bersaing dan hanya pengusaha yang memberi sebut harga terbaik akan dipilih oleh sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD),”

“Ini bermaksud, kenaikan harga yang minima itu adalah persetujuan bersama antara sekolah dan PPD. Kenaikan harga yang minima itu, pada saya adalah sangat wajar ekoran lambakan kenaikan harga barangan yang melambung naik hari ini,” jelasnya.

Menjawab keluhan ibu bapa berhubung kenaikan harga makanan di kantin menjelang tahun ini, Hamzah berkata para pengusaha kantin juga terkesan dan bukan sewenangnya mahu mengambil kesempatan meraih keuntungan.

“Kita faham beban yang ditanggung semua ibu bapa ini. Namun, ibu bapa juga perlu memikirkan beban yang ditanggung pengusaha kantin.

“Mereka ini pun terdiri dari kalangan ibu bapa yang turut memerlukan sumber pendapatan,”katanya.

Sebelum ini, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata Kerajaan pusat perlu mengawal harga makanan di kantin sekolah bagi mengelakkan ibu bapa mengalami bebanan dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Katanya, Kerajaan Pusat perlu memikirkan kaedah untuk membantu ibu bapa bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas.
EZY

 

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan pusat perlu tangani kenaikan harga makanan kantin sekolah

SHAH ALAM 8 JAN: Kerajaan pusat perlu mengawal harga makanan di kantin sekolah bagi mengelakkan ibu bapa mengalami bebanan dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata kerajaan pusat perlu memikirkan kaedah untuk membantu ibu bapa bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas.

hari guru halimah pc 01Katanya, kenaikan harga makanan memberikan kesan mendalam kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Pendidikan adalah perkara asas dalam kehidupan termasuk aspek pemakanan. Bagaimana murid dapat belajar jika terpaksa mengikat perut, sedangkan makanan adalah keperluan asas.

“Kerajaan pusat perlu memikirkan apa sahaja untuk mengambil tindakan bagi memastikan mutu pendidikan tidak terjejas,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri menggesa kerajaan pusat bertindak mengatasi masalah kenaikan harga makanan di kantin sekolah dengan melupuskan sewa yang dikenakan kepada pengusaha kantin.

Hal itu supaya bebanan kos yang terpaksa ditanggung pengusaha dapat diringankan dengan syarat kualiti makanan dan harga makanan dijual mereka perlu baik dan murah.