Categories
PBT SELANGOR

MPK serbu rumah, warga asing jalan perniagaan runcit tanpa lesen

SHAH ALAM, 6 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi perniagaan haram oleh beberapa warga asing di Taman Indah Sungai Pinang, Jalan Kapar, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasanya Shahrul Hazri Abd Majid berkata hasil siasatan mendapati warga Myanmar itu menjalankan operasi kedai runcit tanpa lesen di kediaman terbabit.

“Kami menyita semua barang tred di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan MPK 2007.

“Kami akan memperhebatkan operasi ini dari semasa ke semasa terutama bagi membanteras perniagaan yang dijalankan oleh individu bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Shahrul Hazri berkata pemilik premis juga diminta peka dengan kediaman milik mereka yang disewakan kepada warga asing bagi mengelak perkara sama berulang.

“Warga asing mengambil kesempatan dengan sikap pemilik premis yang membiarkan mereka menjalankan perniagaan walaupun sedar ia merupakan kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, MPK mengeluarkan 86 kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen sepanjang Ogos lalu termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap 305 premis dalam tempoh sama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan mungkin perluas haram jualan arak di kedai runcit, serbaneka

KOTA BHARU, 21 NOV: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan.

“Hingga ke tarikh ini kita hanya mengehadkan pengharaman jualan arak ini di Wilayah Persekutuan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Inspirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal Rashidah Semail, 48, dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pekerja kedai serbaneka yang terpaksa menjual arak.

“Sebenarnya negara kita agak terkebelakang dari sudut pengawalan penjualan minuman keras ini dan jika kita tengok negara jiran kita seperti Singapura, undang-undang mereka lebih ketat dan ada had-had dan masa-masa tertentu.

“Bagaimanapun, ini permulaan yang sangat baik walaupun hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dahulu,” katanya, menambah langkah itu juga bukan agenda politik.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Upah pekerja asing, MBSA sita dua kedai runcit di Paya Jaras

SHAH ALAM, 22 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita dua kedai runcit di Paya Jaras Hilir kelmarin kerana mengupah pekerja asing.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata operasi itu diadakan bagi mengesan dan membanteras peniaga atau penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Antara barangan yang disita adalah tong gas, rak barangan dan barangan runcit,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Beliau berkata sitaan dilaksanakan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Perindustrian MBSA 2007 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Tambahnya, operasi terbabit diadakan secara berkala bagi memantau warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan pentadbiran majlis itu.