Categories
AGENSI BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Jais hubungi guru Kafa yang belum terima vaksin

SHAH ALAM, 7 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang berusaha menghubungi guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang belum mendapat suntikan vaksin.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata Jais menerusi bahagian pendidikan telah menghubungi sebahagian 316 guru Kafa yang dilapor belum menerima vaksin sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum ini kita telah memberi makluman awal kepada guru Kafa untuk mendapatkan vaksin cuma yang tinggal ini adalah kelompok yang mempunyai masalah seperti alahan, mengandung dan ada juga yang menolak.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni ditemui pada program Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan di Hotel Acapella, Seksyen 13, Shah Alam pada 9 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita akan pastikan mereka semua ini menerima vaksin sebelum sesi persekolahan bermula,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedia maklum jika dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang itu daripada menerima kesan yang lebih buruk termasuk kematian.

Berdasarkan laporan Jais, seramai 316 guru Kafa yang belum mendapat vaksin dan 95 daripadanya enggan disuntik.

Manakala, seramai 59 pegawai masjid juga belum menerima vaksin dan 11 daripadanya menolak serta enam daripada sembilan jurunikah turut memilih enggan divaksin.

Categories
NASIONAL

Kerajaan kaji serap lantikan tetap Guru KAFA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf status guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha membela kebajikan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh berkata, kajian terbabit membabitkan status guru KAFA dan penyediaan kursus bersesuai kepada guru KAFA itu.

Katanya, ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penyelaras program KAFA.

“JAKIM kini sedang membuat kajian menaik taraf status guru KAFA antaranya dilantik menjadi penjawat tetap dalam perjawatan dan kita ingin pastikan kemahiran guru-guru KAFA ditingkatkan dengan diberi kursus-kursus bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai perancangan kerajaan dalam menaik taraf status kontrak guru KAFA di seluruh negara.

Pada masa sama, Fuziah berkata, terdapat 31,460 guru KAFA dengan seramai 973,555 murid sedang mengikuti program KAFA serta 5,609 premis KAFA di seluruh negara, ketika ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor giat melaksanakan inisiatif baru bagi mengukuhkan peranan guru berkenaan di seluruh negeri selain menaikkan elaunnya kepada RM1,500 kepada lebih 3,000 guru KAFA.

Antaranya pengurusan latihan, pengurusan tekanan, pengursuan pentadbiran sekolah, komunikasi, penulisan kajian dan pengurusan kewangan.

Selain itu, pengajaran dan pembelanjaran interakftif, pelaksanaam pembelanjaran holistik, kaedah penulisan jawi, pembinaan bantuan pendidikan, jati diri dan motivasi, pengurusan displin murid, tarbiah rohani, kursus penyediaan dan kursus penyelanggaraan komputer.