Categories
NASIONAL

Persekutuan beri pinjaman RM22.5 juta kepada Kelantan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sebanyak RM22.5 juta pinjaman diberikan kepada Kerajaan Kelantan dari Kerajaan Persekutuan bagi tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pemberian itu dipohon negeri terbabit pada Jun lalu bertujuan membayar gaji kakitangan mereka.

“Jika diikutkan, sebelum ini mereka memohon pinjaman pengurusan termasuk pembayaran gaji RM24.5 juta, namun Kerajaan Persekutuan cuma meluluskan RM22.5 juta kerana kita mahu memberinya dengan kadar segera supaya gaji kakitangan mereka dapat dibayar,” katanya pada Sidang Media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Guan Eng turut berasa kesal terhadap dakwaan beberapa barisan kepimpinan PAS Kelantan yang menuduh beliau anti-Melayu dan anti-Islam.

“Mereka kata saya anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya sudah sebut fakta serta angka.

“Malah, Kerajaan Persekutuan juga sudah menghulurkan bantuan jadi kenapa timbul soal agama juga kaum?,” soalnya.

Semalam, Guan Eng berkata, Kelantan sudah menerima RM398 juta secara keseluruhan sebagai inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan seperti diterima negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Turut termasuk dalam pemberian RM398 juta itu adalah pemberian defisit sebanyak RM59.9 juta kerana hasil kerajaan Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji dan emolumen.

Kerajaan Persekutuan juga meminjamkan RM100 juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan Kerajaan Negeri.

Sehingga 31 Dis 2017, Kerajaan Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan RM388 juta, yang menjadikan Kerajaan Negeri itu sebagai penghutang terbesar pinjaman pendahuluan.

MB serah kunci rumah mangsa banjir kepada Kerajaan Kelantan

Pembinaan 60 unit Rumah Darul Ehsan dengan kos hampir RM6 juta itu atas rasa tanggungjawab Selangor membantu rakyat Kelantan yang memerlukan pembelaan selepas kehilangan tempat berteduh akibat bencana banjir Disember tahun lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kelantan anjur bulan dakwah di Selangor

majlis bulan dakwah-kelantanSHAH ALAM 3 SEPT : Selangor terpilih sebagai negeri pertama di luar Kelantan bagi penganjuran Bulan Dakwah Kelantan yang diadakan di Wisma Kumpulan Media Karangkraf di sini bermula Jumaat hingga Ahad.

Inisiatif itu dijalankan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Selangor bagi mengeratkan hubungan antara dua negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap dalam majlis perasmian penutup majlis itu berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Kelantan di atas kesudian memilih negeri itu sebagai tuan rumah program berkenaan.

“Walaupun penganjuran program ini bertujuan untuk dimanfaatkan rakyat Kelantan yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi rakyat Selangor dan Kuala Lumpur juga dapat bersama-sama mengambil manfaat daripada program ini,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan; Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacob.

Ahmad dalam ucapannya pula berkata, program tiga hari dilangsungkan itu mencapai matlamatnya dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Saya percaya ia telah memberi manfaat kepada semua pengunjung. Program kali ini buat julung kalinya diadakan di luar Kelantan dengan Selangor menjadi lokasi pilihan.

Ahmad berkata, program itu seterusnya akan bersambung di Kelantan selepas ini sehingga Oktober depan.