Categories
NASIONAL

Kelantan sokong pentadbiran Tun M

KOTA BHARU, 12 JUL: Kelantan menyokong kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menunaikan janji dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Dr Mahathir kini dilihat menjunjung tinggi konsep federalisme apabila berusaha membantu membangunkan Kelantan walaupun ia ditadbir oleh pembangkang termasuklah dalam pengurusan bekalan air dan program tebatan banjir.

“Dr Mahathir tak lihat dari segi kepartian tapi dari segi kewajipan (Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri). Kita sokong Dr Mahathir (kerana junjung konsep federalisme),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah agama di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Selasa lepas, Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan menerusi mesyuarat kali keduanya memberi tumpuan kepada empat isu utama membabitkan pengurusan sumber air seperti banjir dan keperluan air bersih di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, empat perkara yang telah diteliti itu ialah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), projek pembinaan Empangan Lebir, projek hidroelektrik di Nenggiri dan projek Skim Bekalan Air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Condong, Machang.

Mengulas mengenai empat projek itu, Ahmad yang juga Pengerusi Bersama MTNg berkata, ia akan memberi faedah jangka pendek dan panjang kepada penduduk di negeri ini.

“Empat projek berkenaan terutama berkaitan pembinaan empangan bukan sahaja akan mengawal banjir malah bakal menjadi sumber baharu bekalan air kepada Kelantan,” katanya.

Ditanya mengenai pelawaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa yang mahu PAS menyertai Pakatan Harapan (PAKATAN), Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai program bagi menggerakkan Gagasan Sejahtera dan konsep Penyatuan Ummah antara parti itu dan beberapa parti lain termasuk UMNO.

“Kami ada program yang sesuai yang kami rangka untuk tawarkan kepada rakyat dan parti lain. Insya-Allah kami yakin bahawa apa yang kami ada ini lebih baik daripada PAKATAN walaupun mereka memerintah negara ketika ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kelantan anjur bulan dakwah di Selangor

majlis bulan dakwah-kelantanSHAH ALAM 3 SEPT : Selangor terpilih sebagai negeri pertama di luar Kelantan bagi penganjuran Bulan Dakwah Kelantan yang diadakan di Wisma Kumpulan Media Karangkraf di sini bermula Jumaat hingga Ahad.

Inisiatif itu dijalankan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Selangor bagi mengeratkan hubungan antara dua negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap dalam majlis perasmian penutup majlis itu berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Kelantan di atas kesudian memilih negeri itu sebagai tuan rumah program berkenaan.

“Walaupun penganjuran program ini bertujuan untuk dimanfaatkan rakyat Kelantan yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi rakyat Selangor dan Kuala Lumpur juga dapat bersama-sama mengambil manfaat daripada program ini,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan; Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacob.

Ahmad dalam ucapannya pula berkata, program tiga hari dilangsungkan itu mencapai matlamatnya dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Saya percaya ia telah memberi manfaat kepada semua pengunjung. Program kali ini buat julung kalinya diadakan di luar Kelantan dengan Selangor menjadi lokasi pilihan.

Ahmad berkata, program itu seterusnya akan bersambung di Kelantan selepas ini sehingga Oktober depan.