Categories
SELANGOR

Kerajaan Mesir tidak patut halang Osama Morsi ke Malaysia

Dr Muhammad Nur Manuty - ketua penerangan PKR wacana melayu pasca PRU13SHAH ALAM 5 NOV : Kerajaan Mesir digesa membenarkan anak mantan Presiden Mesir yang digulingkan, Osama Morsi untuk ke luar negara bagi menyambung pelajarannya di Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata tindakan menghalang keluar dari Mesir itu adalah bertentangan dengan prinsip Undang-Undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.

Katanya, adalah tidak wajar Kerajaan Kudeta Mesir mengamalkan politik membalas dendam terhadap keluarga Dr Morsi yang digulingkan secara tidak demokratik.

“Apa hak kerajaan kudeta Mesir untuk menghalang beliau keluar dan menyambung pelajarannya di Malaysia, sedangkan itu adalah haknya.

“Jadi dia tidak sepatutnya dihalang kerana itu adalah tindakan yang ekstrem dan tidak munasabah serta tidak diterima masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertindak menghalang kemasukan Osama Morsi ke nagara ini.

“Kita harap Kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan Kerajaan Kudeta Mesir dan perlu mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Osama dikatakan mahu menaiki pesawat Egypt Air ke Malaysia gagal melepasi pemeriksaan imigresen apabila namanya tersenarai antara individu yang tidak boleh keluar dari Mesir.

Osama yang mengulas tindakan Kerajaan Kudeta Mesir itu berkata, tindakan itu adalah satu lagi siri pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi.

Kehadiran Osama di Malaysia untuk menyambung pengajian bagi melengkapkan PhDnya dan tidak ada kaitan dalam sebarang urusan perbicaraan bapanya, Mohamed Morsi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB Selangor : Tahniah, Mohd Azam jadi ADUN baru Sg Limau

PRK-DUN-Sungai-Limau azamSHAH ALAM 5 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Mohd Azam Abd Samat yang dipilih pengundi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau yang baru, semalam.

“Akhirnya warga DUN Sungai Limau memilih beliua (Mohd Azam) sebagai ADUN yang baru. Tahniah kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR) atas kemenangan yang diperolehi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau, moga tanggungjawab ini mampu kita galas dengan amanah dan ikhlas, Insya-Allah,” katanya menerusi laman Facebook, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Mohd Azam menyifatkan kemenangannya pada PRK DUN Sungai Limau adalah kejayaan semua dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS, PR, pengundi DUN Sungai Limau serta seluruh jentera yang membantu untuk memenangi kerusi N20 itu.

“Alhamdulillah, Allah SWT anugerahkan kemenangan di tahun baru Hijrah ini. Kemenangan ini adalah kemenangan kepada seluruh pejuang Islam, keadilan dan kebenaran serta pembela hak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, menganggap kemenangan Mohd Azam adalah hadiah Tahun Baru 1435H buat seluruh rakyat Sungai Limau.

“Beribu tahniah buat Mohd Azam di atas kemenangan dalam PRK ini bagi menggalas amanah jamaah dan rakyat di Dun Sungai Limau,” katanya menerusi akaun Facebook.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berharap ADUN Sungai Limau yang baru itu dapat melaksanakan amanah dengan baik dan cemerlang, selain mengucapkan tahniah kepada seluruh pimpinan parti yang banyak berkorban masa, tenaga serta harta untuk PRK itu.

Mohd Azam, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi yang membolehkan PAS mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi. -NFN-

Categories
SELANGOR

MPAJ dan JPS perlu bincang masalah banjir di Ampang Jaya

iskandar1

iskandar2AMPANG JAYA 1 NOV : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Iskandar Abdul Samad meminta Jabatan Pengaliran Saliran Selangor (JPS) mengadakan perbincangan bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi mencari penyelesaian mengatasi masalah banjir di Ampang Jaya.

Katanya, penduduk di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana, Taman Dagang dan Taman Putra Sulaiman berhadapan masalah banjir sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu disebabkan penurunan taburan hujan melebihi biasa hingga mengakibatkan longkang sedia ada tidak dapat menampung jumlah yang banyak hingga melimpah ke jalan dan kawasan perumahan.

iskandar3“Perkara yang perlu kita tambah baik longkang kerana saiznya terlalu kecil dan tidak dapat menampung air hujan yang dipercayai menjadi punca banjir apabila melebihi paras biasa.

“Saya mintak JPS berbincang dengan MPAJ untuk membuat cadangan bagi menyelesaikan masalah ini termasuk membesarkan longkang dan parit sedia ada selain menukar pembetung lebih besar,” katanya kepada TV Selangor selepas sesi lawatan yang dihadiri wakil penduduk dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, di Taman Putra Sulaiman, di sini, hari ini.

iskandar4Tinjauan TV Selangor ke lokasi kejadian mendapati perjalanan air di beberapa longkang tidak lancar kerana banyak sisa pepejal dan sisa domestik dibuang hingga menyekat aliran air.
Beliau yang juga Exco Perumahan Selangor turut memaklumkan perkara itu akan dibawa kepada pemerhatian Exco Pembangunan dan Infrastruktur Selangor, Dr Yunus Hairi dengan anggaran peruntukan projek baik pulih berjumlah RM3 juta.

“Kerja pembersihan longkang sedia ada perlu dilakukan kerana terdapat pasir dan sisa projek pembangunan seperti batu konkrit yang dibuang di lokasi sama. Tapak pembinaan sedia ada perlu dikawal supaya tidak membuang pasir dan sisa pembinaan ke dalam longkang.

“Penduduk setempat juga diingatkan supaya tidak membuang sisa pepejal ke dalam longkang kerana akhirnya mereka yang bakal menerima kesan perbuatan itu jika longkang tersumbat,” katanya.

iskandar5Sementara itu, Penasihat Persatuan Penduduk Taman Nirwana, Mahendran Thomas, 58, meminta pelan saliran air di kawasan Ampang Jaya membabitkan beberapa taman perumahan utama dikaji semula memandangkan kawasan itu berhadapan pelbagai projek pembangunan.

“Saliran di sini perlu dikaji semula kerana disatukan ke longkang Jalan 41 Taman Nirwana. Tindakan ini tidak patut berlaku dan pemaju perlu mengalirkan air ke kawasan lain.

“Projek baru juga perlu kaji membabitkan pelan pengaliran untuk tempoh jangka panjang 20 hingga 25 tahun. Tidak guna memasang konkrit kerana adakala patah dalam menyebabkan longkang tersumbat dan banjir berlaku,” katanya. -NFN-

iskandar7