Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada kenderaan, warga emas berkerusi roda redah hujan dapatkan vaksin Selangor

AMPANG, 2 OGOS: Kerana tidak memiliki kenderaan, warga emas berkerusi roda bersama isterinya meredah perjalanan kira-kira dua kilometer dalam hujan renyai untuk menerima suntikan percuma program Vaksin Selangor (Selvax).

Menghidap penyakit gout dan kencing manis, Ejaz Hussain Muhammad Ismail, 55, yang hadir bersama Shania Agus, 67, bergerak dari Taman Putra di sini ke Dewan MPAJ Pandan Indah pada jam 10 pagi semalam dan tiba dua jam kemudian.

Shania Agus, 67

Pasangan tersebut menyertai program itu atas kudrat mereka kerana enggan menyusahkan anak yang menetap sekitar Lembah Klang.

“Anak semua tahu kami mahu pergi ambil vaksin hari ini tetapi kami pilih untuk pergi sendiri kerana tidak mahu susahkan mereka yang mungkin ada kerja lain. Lagi pula ini hari Ahad, tidak mahu ganggu,” kata Shania.

Jelasnya, hujan mula melanda ketika mereka dalam perjalanan tetapi tidak lebat. Mereka berhenti seketika di perhentian bas berbumbung sebelum menuju ke pusat pemberian vaksin.

“Sesekali berhenti juga untuk berehat. Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan dan vaksin pun selesai untuk dos pertama, terima kasih Kerajaan Selangor,” katanya lagi.

Selvax diiktiraf sebagai sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi melonjak kadar suntikan di negeri ini yang berpenduduk padat.

Sebanyak 500,000 dos disediakan untuk manfaat 250,000 penduduk warga emas, orang kelainan upaya dan golongan berpendapatan rendah dalam program Selvax Komuniti.

Sementara bagi pekerja swasta, Selvax Industri memudahkan majikan membeli dos suntikan tersebut secara percuma kepada kakitangan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang 20 unit kerusi roda untuk kegunaan Hospital UiTM

SHAH ALAM, 26 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang 20 unit kerusi roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sokongan komitmen institusi awam menangani Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata kemudahan itu diharap membantu keperluan kritikal hospital sepanjang tempoh pandemik seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sumbangan ini dapat bantu kelengkapan hospital terutama untuk kegunaan pesakit di pelbagai wad, lebih-lebih lagi Hospital UiTM kini dilantik sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) berskala mega,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sumbangan diserahkan kepada Pengarah Hospital UiTM Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim di Dewan Berlian kampus Puncak Alam, Kuala Selangor semalam.

Sementara itu, Saipolyazan berkata sebelum ini Hospital UiTM antara 17 hospital sekitar Lembah Klang yang menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM1.77 juta.

Menurutnya, sumbangan RM50,000 bagi meringankan beban pesakit yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital terbabit.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami isteri terharu MBI sumbang kerusi roda untuk anak ada penyakit saraf

SHAH ALAM, 14 JUN: Sepasang suami isteri terharu selepas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbangkan kerusi roda kepada anak tunggal mereka yang menghidap ‘metachromatic leukodystrophy’ atau penyakit saraf.

Aidayatul Kamal, 45, berkata beliau dan suami, Mohd Feeza Abdullah, 45, berterima kasih kepada MBI atas sumbangan itu kerana dapat membantu Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq, 7, ketika sesi pembelajaran.

Aidayatul Kamal

“Sebelum ini dia boleh membaca, mengaji seperti orang lain, namun kini terbatas…kadang-kadang dia tanya saya, ayah dia kenapa keadaan dia macam ni, tak boleh berjalan.

“Terima kasih kepada MBI atas sumbangan ini dengan harapan dia dapat belajar seperti biasa dan duduk lebih lama di dalam kelas sebab sebelum ini dia tidak dapat fokus,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima bantuan kerusi roda yang disampaikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Aidayatul berkata peristiwa Mac tahun lalu kekal terpahat diingatannya apabila Nur Imaylia Zara terjatuh dari tangga rumah sehingga tidak lagi mampu berlari keriangan.

Nur Imaylia Zara Abdul Khaliq yang disahkan mengalami ‘metachromatic leukodystrophy’ (penyakit saraf) menonton television di Seksyen 13, Shah Alam pada 14 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata walaupun anaknya tidak jatuh dari tempat tinggi, namun kesan yang dialami berlarutan beberapa bulan sehingga dia tidak lagi mampu berjalan.

Jelasnya, berdasarkan pengesahan doktor anaknya mempunyai 99 peratus masalah genetik dan tiada ubat untuk diubati dan berkemungkinan lebih teruk pada masa depan.

“Perlahan-lahan kita nampak perubahan, bulan 12 dia tidak mampu lagi berjalan secara mendadak dan sekarang ini dia memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

“Kalau ikut doktor memang tiada ubat untuk dia. Setakat ini kita menerima beberapa rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Shah Alam dan kita juga membawa Imaylia menjalani rawatan fisioterapi di klinik swasta,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

ADN Batu Tiga serah kerusi roda, bantu penduduk kurang upaya

SHAH ALAM, 7 FEB: Wakil rakyat Batu Tiga baru-baru ini menyumbang empat kerusi roda kepada penduduk sekitar kawasan itu yang berdepan masalah kesihatan.

Rodziah Ismail berkata bantuan tersebut bagi memudahkan pergerakan mereka berikutan ada yang kehilangan kaki dan tidak lagi mampu berjalan.

“Simpati melihat keadaan mereka, justeru kita bersetuju untuk sumbang peralatan ini dan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, inisiatif itu akan terus dilaksana bagi memastikan kebajikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga terus terbela.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Asnaf fakir terlibat kemalangan dapat bantuan kerusi roda

SHAH ALAM, 5 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Hulu Selangor menyerahkan bantuan kerusi roda kepada seorang wanita asnaf fakir di Serendah, baru-baru ini.

Agensi itu melalui kenyataan di Facebook memaklumkan wanita dikenali sebagai Huda terlibat dalam kemalangan motosikal dan menjalani pembedahan kepala di Hospital Selayang.

Lebih menyedihkan, asnaf itu disahkan menghidap kanser payudara tahap empat dan memerlukan rawatan di Hospital Kuala Lumpur secara berjadual.

“Ketika ini beliau dijaga oleh Puan Hana yang juga asnaf fakir sebaik mungkin. Berdasarkan rekod terkini, dua insan istimewa ini merupakan penerima bantuan LZS sejak 2015,” maklum agensi itu.

Agensi tersebut berkata antara bantuan diterima ialah kewangan, makanan, sewa rumah, hari raya, perubatan bulanan dan tambang perjalanan ke hospital.

Pada masa sama, LZS berterima kasih kepada semua pengeluar zakat yang melaksana tanggungjawab bagi membantu insan memerlukan.

Bayaran zakat boleh dibuat di cawangan LZS berhampiran atau dalam talian melalui pautan ttps://fpx.zakatselangor.com.my.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Permatang sumbang kerusi roda kepada dua pesakit

SHAH ALAM, 29 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang melakukan rutin Santun Qalbu dengan menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada dua pesakit wanita di kawasannya semalam.

Rozana Zainal Abidin berharap sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban kedua-duanya dan berdoa agar mereka sembuh dan dipermudah urusan.

“Sumbangan kerusi roda ini bagi meringankan beban Siti Maisarah untuk bergerak di hospital ketika dalam rawatan kemoterapi,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana bertanya khabar Siti Maisarah Mokazar yang menderita akibat barah.

Siti Maisarah Mokazar merupakan pesakit barah dalam tempoh rawatan dan kini dijaga suami dan kakaknya.

Manakala, pesakit kedua Nor Chahaya Azis pula menderita sejak November tahun lalu akibat kakinya dipotong kerana terpijak kaca.

Simpati dengan beban ditanggung Nor Chahaya yang kini dijaga anaknya, Rozana menyerahkan sumbangan kerusi roda bagi menggantikan alat bantuan itu yang telah lusuh.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dukung anak OKU ke sekolah, ibu rayu sumbangan kerusi roda

PASIR PUTEH, 17 JAN: Nur Amni Zahra Khairul Azmi, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram normal, namun mengalami masalah ukuran kaki tidak seimbang yang menyebabkannya terpaksa merangkak.

“Saya terpaksa mendukungnya setiap hari untuk masuk ke kelas di tingkat dua,” demikian kata Siti Noraini Shaari yang merayu mana-mana pihak untuk menyumbang kerusi roda dan tongkat bagi memudahkan pergerakan anaknya.

Katanya, pada waktu rehat dia akan menunggang motosikal kira-kira tiga kilometer untuk menghantar makanan kepada anaknya yang tidak dapat turun bersendirian ke kantin.

“Bantuan kerusi roda dapat meringankan beban membawa Nur Amni Zahra ke kantin sekolah mahupun ke tandas tanpa menyusahkan orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Chengal Pulas di sini, semalam.

Siti Noraini, 34, berkata dia pernah menghantar anaknya ke kelas khas di SK Kamil 2, namun anaknya enggan belajar di situ kerana tidak mempunyai masalah pembelajaran malah mampu menulis dan membaca dengan baik seperti kanak-kanak normal yang lain.

Bapa Nur Amni Zahra, Khairul Azmi Halim, 34, berkata dia tidak mampu membeli kerusi roda dan tongkat kerana hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

“Selepas ditolak sewa rumah RM100 sebulan, pendapatan saya hanya cukup makan sahaja dan mempunyai seorang lagi anak, Nur Fariana, 12, yang belajar di SK Gong Garu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Nur Amni Zahra mendapat bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Individu yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui Bank Islam menerusi nombor akaun 03090020758008 atas nama Khairul Azmi Halim.

-BERNAMA