Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Debat Tentang Dasar, Hutang Talam Diserah Kepada Empat Wakil


SHAH ALAM, 18 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan berbincang mengenai isu pembangunan negeri atau pengubalan dasar.

Manakala penerangan mengenai proses teknikal kutipan hutang syarikat Talam Corporation (Talam) telah dipertugaskan kepada empat wakil rakyat yang dilantik kerajaan negeri.

Tambahnya, beliau hanya akan mempertimbangkan perbincangan secara profesional dengan pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong sekiranya dia memohon maaf kerana menuduh Kerajaan Negeri ?bailout? Talam sebanyak RM1 billion.

Menurut satu kenyataan Pejabat Menteri Besar itu hari ini, tuduhan Tee Yong dibuktikan tidak benar apabila firma audit KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati proses kutipan hutang itu bukan satu bailout.

Malah KPMG mendapati usaha kutipan Talam itu sebanyak RM 392 juta adalah keputusan munasabah dan bijak.

“Tuduhan itu telah dilaporkan hampir kesemua media arus perdana serta dibincangkan dari pelbagai sudut oleh editorial tetapi apabila terbukti tuduhan itu tidak benar, tiada satu patah perkataan maaf dibuat atau menarik balik tuduhan itu.?

Tambahnya, proses teknikal kutipan Talam itu juga telah diterangkan di dalam laporan syarikat audit bebas KPMG.

Manakala di dalam satu sidang media berasingan, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri memang bertanggungjawab untuk mengutip hutang yang ditinggalkan pentadbiran Umno-BN sebelum ini.

“Kalau yang boleh dibincangkan atau difahami ialah mengenai modus operandi pengutipan hutang, jadi modus operandi pengutipan talam itu sesuatu perkara yang rumit dan teknikal.

?Jadi supaya tidak membuang masa, saya menyemak sama ada usaha yang kita lakukan itu munasabah.

“Oleh itu, jadi untuk menerangkannya perkara ini saya sudah meminta satu jawatankuasa yang diwakili empat orang wakil untuk menerangkan mengenai isu itu kepada pelbagai pihak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mereka bentuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK), di lobi bangunan SUK, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah melantik empat wakil untuk menerangkan proses kutipan hutang Talam berjumlah RM 392 juta.

Mereka adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ; Ahli Parlimen Selayang, William Leong ; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefly Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Walaubagaimanapun, keempat-empat wakil terbabit dihalang untuk menyertai satu debat anjuran Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong pada Sept 12 tetang isu tersebut.

Ke-empat-empat wakil yang hadir di lokasi debat itu di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, tidak dibenarkan berdebat dengan Chua walaupun telah membawa laporan KPMG untuk diterangkan kepada hadirin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Talam : PR Cabar MCA Debat Di Labis

SHAH ALAM, 6 SEPT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini mencabar Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong untuk berdebat di depan pengundinya sendiri di Labis pada 9 September ini berhubung isu penstrukturan hutang Talam Corporation.

Cabaran itu dikemukakan tiga ahli parlimen PR yang dilantik Kerajaan Negeri Selangor sebagai jurucakap berhubung isu Talam iaitu Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PAS), William Leong (Selayang-PKR) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara-DAP) pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, pagi tadi.

Dr Dzulkefly ketika dihubungi TV Selangor berkata debat itu bertujuan memberi peluang kepada Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengemukakan hujah dan bukti di hadapan pengundinya berhubung perkara itu.

“Dia (Tee Yong) dia boleh pilih antara kami bertiga, sama ada saya, Tony Pua atau William Leong atau Cik Faekah sendiri. Dia tidak layak langsung untuk berdebat dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu tersebut.

“Saya berulang kali menulis secara akademik dan teknikal berhubung isu Talam, tetapi mereka masih tidak faham. Ini bukannya kes baru,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan komersial yang baik dalam penyelesaian hutang Talam yang dibuktikan menerusi badan audit bebas antarabangsa yang dilantik, KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd.

Abdul Khalid turut menjelaskan perkara itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri mengutip sejumlah RM392 juta hutang daripada Talam telah dilaksanakan dengan tertib dan mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat Selangor.

Namun, Tee Yong masih belum berpuas hati dengan laporan juru audit tersebut serta mempersoalkan kredibiliti KPMG dengan memberi contoh skandal mega Enron yang berlaku di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tuduhan itu disangkal Dr Dzulfekly dengan menyifatkan ia sebagai “jahat”, tidak berasas dan tidak profesional.