Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih TM naik kepada RM274.74 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM274.74 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2020, naik daripada RM114.18 juta pada suku tahun sama tahun lepas, berikutan kos operasi yang rendah dan tiada kerugian susut nilai kepada aset rangkaian tetap.

Perolehan pada suku tahun itu susut 6.4 peratus kepada RM2.59 bilion daripada RM2.77 bilion sebelum ini, dengan perolehan merosot bagi semua barisan produk kecuali perkhidmatan data mencerminkan impak daripada pelarasan harga Streamyx berkuat kuasa dari September tahun kewangan sebelum ini.

Perolehan turut terjejas daripada kuantiti yang rendah dan aktiviti ekonomi yang terhad semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Ia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 6.8 sen sesaham berjumlah RM256.1 juta.

Pada separuh pertama 2020, syarikat melabur 9.3 peratus daripada perolehan untuk perbelanjaan modal berjumlah RM479.2 juta – sejajar dengan panduan – memberi tumpuan kepada jalur lebar, perkhidmatan data dan mudah alih untuk mengekalkan kualiti dan ketersediaan perkhidmatan di seluruh negara, katanya.

Daripada jumlah yang dilaburkan, sebanyak 59 peratus untuk akses rangkaian, 23 peratus untuk rangkaian teras, dan baki sebanyak 18 peratus untuk sistem sokongan, katanya dalam kenyataan berasingan.

Kumpulan terus memberikan perkhidmatan kepada negara dengan keadaan tidak menentu berikutan pandemik Covid-19. Sejak pertengahan Mei 2020, TM menyambung semula aktiviti jualan serta aktiviti pemasangan dan pemulihan perkhidmatan di premis pelanggan.

Kedai TMpoint dibuka semula di seluruh negara pada waktu normal.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan dan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan kami berikutan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula dengan sekatan yang berkurangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar.

Beliau berkata kumpulan akan meneruskan komitmennya untuk mengekalkan keuntungan perniagaan bagi suku tahun 2020 yang akan datang.

Pada separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih naik kepada RM427.27 juta daripada RM422.46 juta, manakala perolehan sebanyak RM5.15 bilion berbanding RM5.55 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tekong perjudikan kedaulatan negara seludup Pati diburu – NTF

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Demi mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, ada segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi kira-kira RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk secara haram.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan Pati yang didalangi kebanyakannya tekong terdiri daripada rakyat tempatan.

“Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di sini baru-baru ini.

Contohnya, jika pendatang asing tanpa izin dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalu sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang Pati.

“Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu,” katanya.

Pihak NTF telah mengenal pasti laluan masuk Pati terbabit melibatkan kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor; dan tenggara Johor.

“NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu,” katanya.

NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

Aris berkata lorong tikus di Malaysia di bahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202); dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).

Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan PATI terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.

“Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.

“Maka, pendatang asing tanpa izin khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara,” katanya.

Walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan pendatang asing tanpa izin sehingga ke akar umbi, katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Sime Darby Plantation catat keuntungan 40%

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM,23 FEB: Sime Darby Plantation mencatat keuntungan 40 peratus pada suku kedua berakhir 31 Disember lalu menjadikan jumlah RM477 juta berbanding RM341 juta, sebelum ini.

Ia ekoran peningkatan hasil daripada Upstream Malaysia juga penurunan kos kewangan ekoran pinjaman lebih redah.

Pendapatan pula menunjukkan peningkatan daripada RM3.92 billion kepada RM4.08 billion bagi suku sama, pada tahun 2016.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata. keuntungan itu dirangsangkan oleh prestasi kumpulan selepas ia mengambil langkah penyenaraian pada November 2017.

“Operasi haluan kami disediakan secara strategik ke arah mencapai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan kos dan keuntungan,” katanya.