Categories
SELANGOR

Tempoh Daftar Kilang Haram Dilanjutkan

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Pemutihan Kilang Haram sehingga 31 Disember depan.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Hitam, Ean Yong Hian Wah berkata tempoh itu dilanjutkan berikutan kejayaan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kilang haram.

Ean Yong berkata sehingga Mei tahun lalu, sebanyak 1,021 lot tanah iaitu 45.48 peratus daripada jumlah 2,250 lot tanah pertanian telah mengemukakan permohonan tukar syarat tanah kepada Kerajaan Negeri.

“Pecahan permohonan tukar syarat tanah mengikut daerah pula, Petaling sebanyak 47.61 peratus, Klang 58.99 peratus, Gombak 70.45 peratus, Hulu Langat 29.34 peratus, Kuala Langat 41.15 peratus, Sepang sebanyak 38.64 peratus, Hulu Selangor 47.06 peratus dan Kuala Selangor sebanyak 50 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Ean berkata sebanyak 857 permohonan telah diluluskan dan jumlah premium tambahan yang berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM112,261,194.34.

” Bagi kilang haram yang tidak mengambil bahagian dalam program pemutihan itu, mereka boleh diambil tindakan dibawah Kanun Tanah Negara dan juga undang-undang kecil PBT masing-masing,” katanya lagi.