Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

35 produk makanan kampung baru berpotensi dikomersial

CHERAS, 9 JAN: Sebanyak 35 produk makanan di kampung baru dikenal pasti berpotensi tinggi untuk dikomersialkan, kata EXCO pembangunan kampung baru.

Ng Sze Han berkata semua produk tersebut akan menjalani latihan menerusi Program BAIK supaya produk mereka dinaik taraf daripada segi pembungkusan dan pemasaran.

“Program BAIK dianjurkan bermula Ogos tahun lalu untuk mencari produk terbaik dari kampung baru di Selangor. Kita sedia maklum makanan di kampung baru memang sedap tetapi bungkusannya kurang menarik.

“Melalui program ini produk makanan dapat dinaik taraf supaya menjadi lebih menarik dan mencapai objektif iaitu memasuki pasaran di seluruh Malaysia berbanding di Selangor sahaja,” katanya ditemui di Kampung Baru Batu 11 di sini hari ini.

Sze Han berkata buat masa ini, pihaknya telah dihubungi beberapa platform dalam talian yang berminat untuk memasarkan produk kampung baru itu.

“Penglibatan dalam platform ini dapat membantu membangunkan ekonomi penduduk terjejas terutama ketika pandemik sekali gus menambah pendapatan.

“Kita merancang untuk menganjurkan program BAIK ini secara tahunan untuk mencari lebih banyak produk dan bekerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes jenayah komersial seluruh negara meningkat

SUNGAI PETANI, 12 APRIL: Jumlah kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sejak tiga tahun lalu, walaupun indeks jenayah di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 36 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah kes jenayah komersial didapati meningkat sejak 2018, iaitu daripada 24,262 kepada 26,465 kes (2019) dan 27,323 kes (2020).

“Ini kerana jenayah komersial tidak perlu bersemuka, contohnya scam dan penipuan pinjaman yang boleh dibuat melalui panggilan telefon atau secara dalam talian, mungkin pemanggil berada di Kuala Lumpur (sebagai contoh) dan membuat panggilan ke Johor Bahru untuk menipu mangsa di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Menurutnya lagi pada 2018, sebanyak 13,645 tangkapan dan 7,927 pertuduhan telah dibuat membabitkan jenayah komersial di negara ini.

“Jumlah tersebut meningkat kepada 13,835 tangkapan dan 9,875 pertuduhan pada 2019, dan 15,440 tangkapan dan 10,097 pertuduhan pada 2020, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 4,196 tangkapan dan 2,372 pertuduhan telah dibuat,” katanya.

Zainuddin berkata, jumlah kes jenayah komersial yang membabitkan ‘scammer’, juga dilaporkan meningkat daripada 13,568 kes pada 2018 kepada 14,425 kes (2019) dan sebanyak 17,553 kes (2020).

“Kategori kes ‘scammer’ termasuklah e-dagang, pinjaman pelaburan tidak wujud, tipu tanah, ‘Bussiness Email Compromised’, tipu bomoh, tipu Toto, penipuan SMS (sistem pesanan ringkas), penipuan kad kredit, cabutan bertuah dan penyamaran.

“Tiga negeri ‘panas’ yang mencatatkan kes tertinggi ialah Selangor, Johor dan Kuala Lumpur, manakala jumlah kes ‘scammer’ di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini ialah sebanyak 5,078 kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik penipuan, termasuklah yang menggunakan latar belakang agama bagi meraih simpati orang ramai.

“Jangan ambil risiko untuk membuat pelaburan jika tidak pasti mengenai pelaburan tersebut, waspada juga dengan penipuan yang menggunakan pertubuhan islamik atau institusi agama, untuk mengumpul derma.

“Buat semakan sebelum membuat pindahan wang, kita ada terima maklumat mengenai kes seperti ini tetapi masih mengumpul bukti,” katanya.

– BERNAMA