Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga lelaki ditahan disyaki terlibat kes penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Polis menahan tiga lelaki tempatan di sebuah unit kediaman di Jalan Kuchai Maju, di sini, semalam kerana disyaki terlibat sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata suspek ditahan hasil serbuan ke atas unit kediaman itu dan polis menemui tiga unit komputer riba, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit modem wifi dan sebuah buku nota catitan di situ.

Beliau berkata kesemua suspek berperanan sebagai operator pemantau ‘keputusan bola sepak’ menggunakan laman web ‘dataservices.betgenius.com’ dan ‘bo.xm33.m8manage.com’.

“Modus operandinya ialah suspek akan menggunakan media sosial melalui aplikasi Wechat untuk mendapatkan mangsa dan siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Ogos 2020 lepas serta menyasarkan warga tempatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Amihizam berkata kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada individu yang menawarkan peluang pelaburan tidak jelas dan perlu membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum membuat keputusan.

Amihizam menasihatkan orang ramai agar melaporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan itu. Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada sindiket Macau Scam, menyamar pegawai lembaga hasil

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.

Menurut maklumat dikongsikan kepada LHDNM oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM), bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 27 Mei 2021, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDNM telah disiasat.

Modus operandi yang digunakan oleh suspek atau scammer ialah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDNM.

Scammer seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.

Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.

Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP.

Mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan lakukanlah pengesahan dengan LHDNM terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDNM berhampiran.

Di samping itu, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDNM atau klik capaian pantas berikut:

http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1

Adalah ditegaskan bahawa LHDNM tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

Selain itu, bagi pembayaran cukai juga, pembayar cukai hendaklah memastikan bayaran cukai dibuat kepada penama seperti jadual di bawah untuk memastikan bayaran tersebut benar-benar masuk ke akaun LHDNM dan seterusnya mengelakkan diri daripada ditipu oleh scammer

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

 

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes jenayah komersial seluruh negara meningkat

SUNGAI PETANI, 12 APRIL: Jumlah kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sejak tiga tahun lalu, walaupun indeks jenayah di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 36 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah kes jenayah komersial didapati meningkat sejak 2018, iaitu daripada 24,262 kepada 26,465 kes (2019) dan 27,323 kes (2020).

“Ini kerana jenayah komersial tidak perlu bersemuka, contohnya scam dan penipuan pinjaman yang boleh dibuat melalui panggilan telefon atau secara dalam talian, mungkin pemanggil berada di Kuala Lumpur (sebagai contoh) dan membuat panggilan ke Johor Bahru untuk menipu mangsa di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Menurutnya lagi pada 2018, sebanyak 13,645 tangkapan dan 7,927 pertuduhan telah dibuat membabitkan jenayah komersial di negara ini.

“Jumlah tersebut meningkat kepada 13,835 tangkapan dan 9,875 pertuduhan pada 2019, dan 15,440 tangkapan dan 10,097 pertuduhan pada 2020, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 4,196 tangkapan dan 2,372 pertuduhan telah dibuat,” katanya.

Zainuddin berkata, jumlah kes jenayah komersial yang membabitkan ‘scammer’, juga dilaporkan meningkat daripada 13,568 kes pada 2018 kepada 14,425 kes (2019) dan sebanyak 17,553 kes (2020).

“Kategori kes ‘scammer’ termasuklah e-dagang, pinjaman pelaburan tidak wujud, tipu tanah, ‘Bussiness Email Compromised’, tipu bomoh, tipu Toto, penipuan SMS (sistem pesanan ringkas), penipuan kad kredit, cabutan bertuah dan penyamaran.

“Tiga negeri ‘panas’ yang mencatatkan kes tertinggi ialah Selangor, Johor dan Kuala Lumpur, manakala jumlah kes ‘scammer’ di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini ialah sebanyak 5,078 kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik penipuan, termasuklah yang menggunakan latar belakang agama bagi meraih simpati orang ramai.

“Jangan ambil risiko untuk membuat pelaburan jika tidak pasti mengenai pelaburan tersebut, waspada juga dengan penipuan yang menggunakan pertubuhan islamik atau institusi agama, untuk mengumpul derma.

“Buat semakan sebelum membuat pindahan wang, kita ada terima maklumat mengenai kes seperti ini tetapi masih mengumpul bukti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hati-hati penipu cipta laman sesawang mirip milik kerajaan, bank

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan kegiatan penipuan yang cuba memperdayakan pengguna dengan mencipta laman sosial dan laman sesawang yang mirip milik agensi kerajaan dan pihak bank.

Ketua Pegawai Operasi FOMCA, T. Saravanan berkata penipuan berkenaan menggunakan kemahiran dalam teknologi dan mencipta laman sesawang dan media sosial seakan mirip Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bank untuk memperdaya pengguna yang kesempitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penipu akan mencari pengguna yang rentan terutama warga emas yang terhimpit pada masa kini.

“Sehubungan itu pengguna dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat yang mereka terima sama ada melalui sistem pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon mahupun e-mel,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata pengguna juga dinasihatkan supaya tidak memberi butiran peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad pengenalan dan sebagainya kepada mana-mana pihak.

“Sila hubungi bank atau mana-mana pihak yang cuba bertanyakan maklumat peribadi anda sekiranya anda menerima pesanan daripada bank mahupun LHDN,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Scammer ada jerat baharu, Polis nasihat orang ramai berhati-hati

SHAH ALAM, 10 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan ‘scammer’ yang sedang bergiat aktif menyebarkan sistem pesanan ringkas (SMS) menyatakan pihak perbankan mengenakan caj kepada pengguna untuk laman web Lazada dan Expedia.com.

Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police memaklumkan, SMS itu dihantar menggunakan nombor telefon bimbit dan mangsa diminta menghubungi nombor yang tertera di dalam SMS berkenaan.

Antara SMS palsu yang diterima pengguna daripada scammer

“Bank Simpanan Nasional sudah mengeluarkan notis menafikan nombor telefon 1-800-81-3124 itu. Bagaimanapun, dimaklumkan terdapat banyak lagi nombor yang digunakan ‘scammer’ seperti ini.

“Jangan kalut, bertenang. Jika anda tidak pernah membuat transaksi berikut, pihak bank akan membuat siasatan dan memberi maklum balas kepada anda,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Pada masa sama, PDRM turut memberikan nasihat kepada orang awam untuk mengabaikan sekirannya menerima SMS sedemikian.

Antara SMS palsu yang diterima pengguna daripada scammer

PDRM berkata, antara lain orang awam juga boleh merujuk perkara itu kepada bank jika was-was selain semak nombor telefon bank di belakang kad mesin pengeluaran wang automatik atau Google nombor telefon bank yang betul.

Katanya, kebanyakkannya nombor yang tertera dalam SMS itu tiada lagi dalam perkhidmatan.

Namun, jika anda ada menerima SMS itu dan tertera nombor-nombor lain, anda boleh adukan ke infoline JSJK di no: 013-2111222 (whatsapp sahaja) atau kepada SKMM di https://aduan.skmm.gov.my/.

Antara nombor telefon yang dikenal pasti adalah ‘scammer’ seperti 1800-81-8945, 1800-81-9368 dan 1800-81-3124.