Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Video pengunjung sesak bukan di GM Klang, Kompleks PKNS Shah Alam

SHAH ALAM, 9 MEI: Polis menafikan video tular memaparkan orang ramai berpusu-pusu tanpa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk membeli-belah berlaku di GM Klang atau Kompleks PKNS Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata penelitian melalui perbandingan tempat yang ditunjukkan dalam video mendapati ia berbeza dengan bentuk fizikal kedua-dua premis tersebut.

“Pemantauan juga mendapati tiada berlaku sebarang pelanggaran pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan sesuatu isu yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab.

Arjunaidi menambah pihaknya terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di semua lokasi orang ramai bagi memastikan SOP PKP dipatuhi.

Terdahulu, Polis Selangor mengesan satu video klip selama 19 saat yang tular melalui media sosial dan didakwa sesetengah pihak berlaku sama ada di GM Klang atau Kompleks PKNS Shah Alam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Aktif promosi Kompleks PKNS dan SACC Mall dalam talian

SHAH ALAM, 11 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menafikan pihaknya kurang aktif melakukan pemasaran dalam talian sehingga prestasi jualan di dua pusat beli-belahnya merudum.

Pemangku Pengurus Pusatnya Syahril Mohd Rashid berkata pihaknya konsisten menyalurkan maklumat berhubung Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall melalui media sosial.

“Bermula 18 Mac hingga 7 Julai lalu, sebanyak 107 hantaran di Facebook membabitkan pelbagai aktiviti pemasaran digital untuk KPSA sementara 143 (hantaran) bagi SACC Mall.

“Langkah ini membuktikan PREC sentiasa berada di sisi peniaga dan bersama merasai bebanan mereka berikutan krisis Covid-19,” katanya kepada SelangorKini pada 9 Julai lalu.

Syahril berkata PREC turut mewujudkan Bazaarlokal berkonsepkan e-dagang bagi mengelakkan peniaga bergantung kepada penjualan fizikal semata-mata.

“Kita bertanggungjawab mengajar dan membimbing usahawan terhadap medium digital dan bazar ini menerima sambutan amat baik dalam kalangan peniaga,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kompleks PKNS, SACC Mall benarkan promosi jualan di ruang legar

SHAH ALAM, 10 JULAI: Peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall dijangka boleh mempromosi jualan di ruang legar pusat beli-belah itu mulai bulan ini.

Kebenaran oleh PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) membabitkan 66 tapak jualan di kedua-dua premis tersebut tanpa bayaran sewa sehingga Disember.

“Peniaga hanya perlu menanggung caj pemasangan RM50 setiap hari bagi aktiviti promosi selama 14 hari berbanding RM200 yang dikenakan sebelum ini,” kata Pemangku Pengurus Pusatnya Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini semalam.

Katanya, permohonan persatuan peniaga diluluskan selepas berbincang dengan pejabat Dato’ Menteri Besar dan kini menunggu kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk penetapan garis panduan.

“Kita berharap mereka (MBSA) beri kebenaran kerana promosi ini bertujuan membantu peniaga yang terjejas susulan pandemik Covid-19. Undian juga sudah dijalankan dan mendapat sambutan menggalakkan terutama menjelang sambutan Aidiladha,” kata Syahril lagi.

Categories
PENDAPAT

Kompleks PKNS Shah Alam kini berwajah baharu

Pernah melakar sejarah sebagai bangunan terpanjang di Asia Tenggara pada sekitar 1980-an, Kompleks PKNS Shah Alam terus mendapat tempat di hati pengunjung untuk mendapatkan pelbagai kelengkapan terutama menjelang lebaran atau persediaan perkahwinan.

Menawarkan suasana membeli-belah yang menyeronokkan dan murah, kompleks berkeluasan kira-kira 46,451 meter per segi masih kekal menjadi bangunan ikonik di bandar raya ini.

Justeru, pelbagai penambahbaikan termasuk aspek reka bentuk giat dilaksanakan dengan mengekalkan nilai sentimentalnya.

Tanpa disedari, banyak usaha naik taraf dilakukan ke atas kompleks berkenaan sejak PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengambil alihnya sekitar tujuh tahun lalu termasuk memastikan kompleks tidak ketinggalan dari aspek teknologi.

Pihaknya turut mengadakan hubungan rapat bersama Persatuan Peniaga KPSA

Selain membaik pulih kerosakan luar, kompleks itu juga mengetengahkan elemen unik di sudut bangunan dengan menonjolkan logo PKNS. Grid struktur bangunan ditonjolkan bagi menggamit orang ramai berkunjung ke kompleks berkenaan, selain pilihan reka bentuk dan warna menjadikan suasana persekitaran yang ceria.

“Penambahbaikan ini antara perkara utama yang dimulakan perancangannya sejak 2015 dan kita cuba usahakan atas faktor keperluan teknikal serta autoriti yang perlu dipenuhi terlebih dahulu,” pemangku pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam Syahril Mohd Rashid

“Ini kerana kita sentiasa menyokong matlamat menjadikan Shah Alam sebagai sebuah Kota Seni dengan menyuntik elemen kesenian dalam setiap transformasi dilakukan,” katanya.

Musolla Al-Kauthar jamin keselesaan

Mengimbau lima tahun lalu, surau di kompleks itu serba kekurangan hingga mengundang rungutan dalam kalangan jemaah untuk mengerjakan ibadah.

Justeru itu, surau yang sering menjadi tumpuan setiap kali sambutan Ramadan kemudian diberi nafas baharu menerusi penjenamaan Musolla Al-Kauthar yang dilengkapi pelbagai kemudahan

“Ruang solat yang selesa dan cantik ini boleh memuatkan sehingga 100 jemaah dalam satu-satu masa dengan konsep industri.

“Kita juga menyediakan kemudahan seperti ruang menunggu, tempat berwuduk yang mesra orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas termasuk tandas serta kemudahan menyiapkan bayi berhampiran surau ini,” kata Syahril.

PREC turut bekerjasama dengan pihak jawatankuasa surau Kompleks PKNS Shah Alam melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti berunsur kerohanian.

“Antara aktiviti disediakan ialah tazkirah, kenduri doa selamat, tahlil dan aktiviti fardhu ain yang lain termasuk solat tarawih ketika Ramadan,” katanya.

Makan@Bumbung pikat selera pengunjung

Medan selera di tingkat empat yang daif sebelum ini tidak ketinggalan mengalami penambahbaikan, malah kawasan yang menempatkan 10 gerai makanan diberi nama baharu iaitu Makan@Bumbung.
Sejak awal Oktober lalu, Makan@Bumbung memulakan operasi perniagaan antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengah malam. Aneka juadah makanan Melayu dan popular di Selangor dijual pada harga berpatutan.

“Pengunjung berpeluang menikmati menu seperti tom yam Abe Power, lempeng, ayam kunyit Tok Deng, kari ayam Mama, nasi campur, bihun soto, laksa, mee rebus dan mee sizling.

“Malah, pengunjung juga boleh merakam foto di Makan@Bumbung kerana pemandangannya terletak berhadapan Tasik Shah Alam dan bangunan menarik lain,” kata Syahrir.

Malah, saiz lot peniaga yang sempit sebelum ini diperluas sekali ganda demi keselesaan peniaga. Saiz untuk satu lot kini menyamai keluasan dua lot.

Selain itu, PREC merancang untuk membangunkan gelanggang futsal bersebelahan Makan@Bumbung sebagai daya tarikan anak muda untuk melakukan aktiviti riadah.

“Melalui pembinaan gelanggang futsal, peniaga medan selera diminta untuk melanjutkan waktu operasi perniagaan dan ia pasti memberi pulangan kepada mereka.

“Bagaimanapun, perkara ini masih dalam tindakan dan menunggu proses dokumentasi untuk dimeterai selain proses urusan bersama operator berkaitan,” katanya.

Tambah baik infrastruktur 

Untuk tahun ini, PREC mahu memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama termasuk membaik pulih lif dan eskalator, pendingin udara serta jaringan bekalan elektrik bagi membolehkan operasi harian di kompleks itu berjalan lancar.

Pada 2017, sebanyak RM1.3 juta dibelanjakan bagi menjayakan projek pemasangan pendingin udara di ruang legar kompleks bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Justeru, kita bertekad untuk meneruskan perancangan ini pada tahun hadapan supaya penyewa boleh berniaga tanpa sebarang masalah,” kata Syahril.

Suasana pelancaran WiFi-Selangor

Sekitar suasana pelancaran Wi-Fi Selangor di SACC Mall dan Kompleks PKNS pada 22 September lalu.

Categories
NASIONAL

Kartun Dedah Penipuan Pilihan Raya

zunar 2

SHAH ALAM 6 JULAI : Hasil karya kartun lebih mudah difahami dan jelas biarpun sarat dengan mesej menggambarkan segala kepincangan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Melalui pameran yang diadakan, sekumpulan kartunis yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Kartunis Independen (KKI) berharap mesej yang disampaikan melalui karya seni ini dapat dilihat orang ramai di seluruh negara.

Ketua kumpulan tersebut, Zulkiflee Anwar AlHaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, kartun mempunyai beberapa kelebihan berbanding media lain serta ia lebih mudah disampaikan kepada orang ramai.

Mugshoot Zunar

“Kartun adalah satu imej visual yang mudah melekat di pemikiran orang ramai kerana ia visual, dan ada unsur-unsur lucu walaupun ia membawa mesej yang berat,” ujarnya.

Zunar ditemui ketika Pameran Kartun Kartunis Lawan Penipuan Pilihan Raya (CAEF) di tapak Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam di sini hari ini.

Sebelum ini, Zunar dan KKI yang dianggotai 13 kartunis lain melancarkan gerakan untuk menyebarkan kesedaran mengenai penipuan pilihan raya melalui karya seninya.

Dalam pada itu, pameran itu memaparkan lebih 100 karya kartun, termasuk Zunar, Megat Roslan Abdul Wahid, Azman Mat Noh, Johny Ong.

Antara hasil karya kartun yang dihasilkan memberi mesej mengenai ketidak-telusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penggunaan dakwat kekal, pengundi asing dan daftar pengundi ragu.

Kumpulan berkenaan telah mengadakan pameran di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan Kompleks PKNS, Shah Alam sejak dilancarkan dua bulan lalu.

zunar 1