Categories
BERITA UTAMA

Pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan di SJK jika dipersetujui PIBG

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Jemaah Menteri hari ini memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) diteruskan mulai tahun depan.

Pelaksanaannya bagaimanapun hanya dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan hari ini.

Kenyataan itu menyebut Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks serta tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan Jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun 4 mulai tahun 2020, murid Tahun 5 pada tahun 2021 dan murid Tahun 6 pada tahun 2022 di Sekolah Jenis Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan berharap dengan keputusan itu, isu pengenalan tulisan Jawi di SJK tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Kementerian Pendidikan juga akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak dari semasa ke semasa demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peperiksaan ACCA diteruskan mengikut jadual

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 29 MEI: Peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) akan tetap diteruskan mengikut jadual pada 3 hingga 7 Jun 2019.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, peperiksaan terbabit tetap diteruskan mengikut jadual meskipun cuti umum pada 5 dan 6 Jun berikutan Hari Raya Aidilfitri.

“Peperiksaan ini melibatkan 37 pusat peperiksaan dan 10,795 calon di 13 negeri seluruh Malaysia. Seramai 363 petugas peperiksaan dilantik atas dasar penawaran secara sukarela.

“Peperiksaan ini dikendalikan secara serentak di 400 pusat peperiksan di 170 negara seluruh dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, KPM komited menjaga kepentingan calon Malaysia yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan terbabit.

“Memandangkan peperiksaan ACCA bertaraf antarabangsa, KPM komited menjaga kepentingan calon, selain menjaga jalinan kerjasama antara KPM dan pihak ACCA,” katanya.

Categories
NASIONAL

Influenza B: Sekolah di Sepang diminta tidak anjur perhimpunan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 3 MEI: Sebuah sekolah di Sepang, Selangor diarah tidak melakukan aktiviti perhimpunan dalam masa terdekat ekoran 18 muridnya dijangkiti Influenza B.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin berkata, arahan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pantai Sepang Putra itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah Sepang (PPD).

Katanya, KPM turut meminta ibu bapa dan penjaga memberi laporan segera kepada pihak sekolah jika murid di bawah jagaan mereka terkena wabak terbabit.

“KPM turut menggalakkan murid di sekolah itu, terutama yang mengalami masalah kesihatan seperti selsema dan batuk, memakai penutup hidung serta mulut supaya tidak berjangkit dengan murid lain.

“PPD Sepang dan Jabatan Pendidikan Selangor akan memantau kes ini dan membantu mangsa terbabit daripada aspek kebajikan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“KPM juga akan terus memantau kes jangkitan Influenza yang membabitkan murid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kesemua sekolah di seluruh negara diminta supaya mengikut arahan dan syor dikeluarkan jabatan kesihatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini tiada keperluan menutup mana-mana sekolah. KPM sekali lagi memberi jaminan akan memantau perkembangan kes ini demi kebajikan murid dan guru,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPM terima laporan lengkap kajian Dasar Pendidikan Negara

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 3 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan lengkap daripada Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD), semalam.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, laporan terbabit diserahkan kepada Menterinya, Dr Maszlee Malik.

Katanya, JKD ditubuhkan melalui cadangan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meminta pihaknya mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan.

“Pelantikan ahli JKD dilaksanakan pada 18 Oktober 2018 dan jawatankuasa ini diberi tempoh sehingga 30 April 2019 untuk menyediakan laporan lengkap.

“JKD mengadakan siri pertemuan di seluruh negara membabitkan 3,141 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan menambah baik sistem pendidikan negera.

“Ia juga menerima 3,378 perakuan daripada pelbagai pertubuhan dan individu,” katanya.

KPM berkata, pihaknya juga akan meneliti secara menyeluruh laporan JKD itu sebelum dibawa untuk perhatian jemaah menteri.

 

Categories
NASIONAL

Keputusan permohonan IPT boleh disemak mulai 5 Mei

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 MEI: Status keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh disemak, pada 5 Mei mulai 12 tengah hari sehingga 12 Mei ini.

Status boleh disemak melalui http://jpt.umt.edu.my; http://jpt.ums.edu.my; http://jpt.unimas.my, https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan dihantar ke 15888.

“Kementerian Pendidikan mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada pemohon yang berjaya menerima tawaran.

“Semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh ditetapkan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

KPM berkata, bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke institut pengajian terbabit, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan.

Katanya, untuk rayuan ke UA, pemohon boleh melayari laman sesawang UPUOnline Rayuan di http://upu.moe.gov.my yang bakal dibuka dalam tempoh lima hari bekerja mulai 5 Mei sehingga 10 Mei.

Manakala, rayuan politeknik premier, politeknik kovensional/MeTrO dan ILKA boleh mengemukakan permohonan terus kepada institusi berkenaan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA, politeknik selepas pendaftaran pelajar baharu,” katanya.

Pada masa sama, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi akan membuka kaunter khidmat runding cara permohonan kemasukan ke institut berkenaan di bangunan KPM di Putrajaya mulai 6 Mei sehingga 10 Mei, pada 8.30 pagi hingga 4 petang bagi memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

Sementara itu, sebanyak 199,626 permohonan lepasan SPM diterima serta melepasi syarat khas program pengajian kemasukan ke program pengajian peringkat asasi/diploma di UA/politeknik bagi sesi akademik 2019/2020.

Categories
NASIONAL

KPM umum 40,000 tempat bagi matrikulasi

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Martikulasi kepada 40,000, berbanding 25,000 sebelum ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, jemaah menteri bersetuju dengan usaha itu bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kerajaan melihat wujud keperluan utama menambah bilangan pelajar dalam bidang sains serta wajar dimaksimumkan kapasiti program terbabit.

“Keputusan itu kaedah terbaik dalam memastikan Program Martikulasi KPM dapat memberi peluang pendidikan kepada semua kaum.

“Jemaah menteri juga memutuskan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera dikekalkan, selaras visi asal program itu, iaitu menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan berkenaan kos dalam masa terdekat.

Dr Maszlee berkata, jemaah menteri juga meminta pihaknya menilai pendekatan strategik yang bersesuaian seperti menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan terbabit.

Categories
NASIONAL

Kabinet bincang isu matrikulasi Rabu ini

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan membawa isu program matrikulasi ke mesyuarat Kabinet Rabu ini bagi mendapatkan keputusan sewajarnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius terhadap pelbagai isu berbangkit berhubung kemasukan ke program itu.

“Mengambil kira pandangan semua pihak, KPM akan memastikan isu ini ditangani dengan cermat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran tepat,” katanya.

Katanya, berdasarkan keperluan, KPM kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera di bawah program itu.

“Tahun ini, penambahbaikan telah dibuat iaitu di samping mengekalkan dasar 90:10, pengambilan memberikan peluang tempat kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Oleh itu, Amin berkata, KPM sudah melihat semula semua cadangan termasuk penambahan kuota kaum bukan bumiputera yang perlu selaras dengan dasar asal 90:10.

Katanya, hanya terdapat 25,000 pengambilan setiap tahun, jadi dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar bumiputera dan 2,500 untuk bukan bumiputera.

“Program ini diwujudkan asalnya adalah untuk bumiputera sahaja,” katanya. –BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Semua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta

SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menutup semua 111 sekolah, di daerah Pasir Gudang berkuat-kuasa serta-merta, hari ini ekoran pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim, sejak Khamis lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, arahan penutupan itu berterusan sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Sehubungan itu, semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memohon semua pihak supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sejumlah 506 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail.

 

Categories
NASIONAL

Calon SPM boleh dapat keputusan di PPD Pasir Gudang

JOHOR BAHARU, 13 MAC: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bagi sekolah yang diarah tutup akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, boleh mendapat keputusan di Pejabat Pedidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, esok.

Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, kesemua calon boleh mengambil keputusaan di PPD Pasir Gudang selepas jam 10 pagi.

“Calon SPM 2018 juga boleh menyemak keputusan melalui semakan mySMS 15888 selama tujuh hari bermula 10 pagi esok sehingga 6 petang 20 Mac,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, keputusan juga boleh disemak melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan.

“Lembaga Peperiksaan perihatin dengan situasi dihadapi calon SPM yang terjejas dan akan memastikan bahawa calon dapat membuat semakan keputusan di tempat lain yang lebih selamat,” katanya. –BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

KPM usaha atasi isu sekolah terbengkalai

KULAI, 13 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha menyelesaikan isu sekolah di seluruh negara yang gagal beroperasi walaupun sudah siap dibina.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan sedang dilakukan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita hendak kenal pasti apa punca kenapa mereka tidak dapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Macam di Kulai, ada sebuah sekolah tidak menerima CCC kerana ia dikatakan tidak mematuhi syarat ditetapkan Majlis Perbandaran Kulai , jadi kita kena duduk bincang dengan pihak berkenaan.

“Sama seperti di Simpang Renggam, ada sebuah sekolah, JKR yang tetapkan syarat ‘road safety assessment’ dan kontraktor itu tidak mampu buat, jadi kita perlu duduk berbincang serta cari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Kulai 2018, di sini hari ini.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah akhbar tempatan, semalam berhubung 16 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara yang sudah siap dibina dua tahun lalu, namun tidak dapat beroperasi ekoran pelbagai masalah.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Sesi persekolahan 2019: KPM sedia perkhidmatan meja bantuan

PUTRAJAYA, 1 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan perkhidmatan meja bantuan (help desk) di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), bagi membantu ibu bapa yang memerlukan penjelasan atau maklumat berkenaan sesi persekolahan 2019.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, ibu bapa boleh menggunakan kemudahan itu untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu seperti pemansuhan Peperiksaan Tahap Satu, buku teks, bantuan awal persekolahan dan pendaftaran sekolah bagi kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa dokumen.

“Khidmat Help Desk ini akan beroperasi mulai esok (2 Januari 2019), pada waktu pejabat,” katanya.

Untuk tujuan itu, KPM berkata, ibu bapa boleh menghubungi JPN masing-masing, bagi Perlis di talian 04-9737693, Kedah (04-7404000), Pulau Pinang (04-6521012), Perak (05-5015109), Selangor (03-55108711), Kuala Lumpur (03-62046145/46) dan Putrajaya (03-88890000).

Di Negeri Sembilan pula JPN boleh dihubungi di talian 06-7653192), Melaka (06-2325542), Johor (07-2310000), Pahang (09-5715741), Kelantan (09-7418082/8092), Terengganu (09-6213003), Sabah (088-537111), Sarawak (08-2473712/08-2473742) dan Labuan (087-583360).

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Dakwaan kertas peperiksaan SPM bocor tidak benar

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Berita tentang kebocoran kertas Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina bagi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2018 adalah tidak benar, kata Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan hari ini.

Menurut LP dalam satu kenyataan hari ini, sehubungan itu, tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula peperiksaan bagi kertas berkenaan.

Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan berkaitan aduan yang diterima.

Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai perkara ini memandangkan peperiksaan itu telah dijalankan mengikut garis panduan yang diberikan oleh LP dengan penyeliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan juga memohon semua pihak agar lebih prihatin, berhati-hati dan tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak tepat kerana dikhuatiri akan mengganggu emosi dan fokus calon serta ibu bapa.

Peperiksaan SPM 2018 dilaksanakan mulai 13 Nov sehingga 13 Dis tahun ini namun terdapat khabar angin yang tular menyatakan bahawa kertas peperiksaan tersebut telah bocor dan calon dikehendaki menduduki semula kertas tersebut pada tarikh lain yang telah ditetapkan.

SUMBER: BERNAMA