Categories
AGENDA NASIONAL

KPM: Pelajar matrikulasi dibenar pulang mulai 9 Oktober

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sesi 2020/2021 dibenarkan untuk pulang bermalam pada cuti pertengahan Semester 1 bermula 9 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), KPM Adzman Talib berkata kementerian telah membuat ketetapan agar semua pelajar Kolej Matrikulasi Kedah, Kelantan dan Johor dibenarkan untuk pulang bermalam pada 9 hingga 17 Okt ini.

Adzman yang juga Timbalan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru berkata pelajar kolej matrikulasi di negeri lain pula dibenarkan pulang bermalam pada 10 hingga 18 Oktober.

“KPM juga ingin memaklumkan bahawa mulai 9 Oktober, ibu bapa dan waris dibenarkan memasuki premis kolej matrikulasi pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu dengan pelajar tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran ini tidak terpakai untuk pelajar yang ingin pulang bermalam ke rumah mereka yang berada dalam kawasan zon merah.

“Ibu bapa serta waris yang berada di kawasan zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu pelajar di kolej matrikulasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pelajar, ibu bapa dan waris perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu yang telah dikemas kini dan boleh dilihat melalui portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

Sebelum ini, aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam bagi pelajar kolej matrikulasi tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Isu kuota matrikulasi: NGO hantar memorandum sokongan kepada Maszlee

PUTRAJAYA, 23 Mei: Satu memorandum dihantar kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai tanda sokongan atas kenyataan beliau dalam mempertahankan isu kuota matrikulasi untuk bumiputera dan peluang pasaran kerja yang tidak adil.

Memorandum sokongan tersebut diserahkan oleh Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Majlis Bendahara Malaysia (MBM) dan beberapa lagi gabungan badan bukan kerajaan.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Politik menteri, Mahmood Kassim.

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata pihaknya menyokong penuh kenyataan Maszlee dalam isu kuota matrikulasi untuk bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa yang sama majikan masih menetapkan syarat untuk fasih berbahasa Mandarin untuk mendapat mendapat tawaran pekerjaan.

Katanya gabungan itu menyokong kenyataan Maszlee dan menyeru beliau tidak perlu memohon maaf atau meletak jawatan atas desakan pihak tertentu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Henti tembak menembak isu kuota matrikulasi

ALOR SETAR, 22 MEI: Kritikan membina diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sikap gemar ‘tembak menembak’ tidak patut berlaku kerana gabungan itu kini dalam kerajaan, bukan pembangkang.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu berhubung kuota matrikulasi misalnya sudah diputuskan Kabinet dan perkara berkaitannya hanya boleh dibincangkan dalam Kabinet.

“Isu ini sudah dimuktamadkan melalui keputusan konsensus dalam jemaah menteri dan ini merupakan keputusan bersama dan kalau DAPSY (Sosialis Muda DAP) tidak setuju, mereka boleh tanya menteri mereka dalam jemaah menteri.

“Perkara seperti ini harus dibincang dalam Kabinet sebab kita sekarang dalam kerajaan, bukan lagi pembangkang… tembak menembak ini sudah tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program konsultasi dan majlis berbuka puasa bersama belia di Kubang Rotan dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA yang mengecam Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.

Syed Saddiq berkata, apa yang penting setiap keputusan dibuat adalah untuk memastikan semua pihak khususnya nasib anak muda dalam golongan B40 terbela.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pertikaian isu matrikulasi boleh jejas tumpuan pendidik

PUTRAJAYA, 22 MEI: Perdebatan dan pertikaian berhubung isu kemasukan pelajar ke matrikulasi boleh menjejaskan tumpuan warga pendidik sebagai penjawat awam untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin.

Katanya, pertikaian yang berterusan membabitkan pelbagai pihak selepas sahaja keputusan Jemaah Menteri dibuat berkaitan kuota 90:10 kemasukan pelajar (Bumiputera/bukan Bumiputera) ke matrikulasi sehingga melampaui batas adab dan kesopanan adalah tidak sesuai dalam dunia pendidikan.

“Oleh itu kami percaya sebagai Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik wajar dan berhak mempertahankan keputusan Jemaah Menteri itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh yang demikian, Dr Amin berkata, warga pendidik dalam Kementerian Pendidikan bertanggungjawab untuk mempertahan dan melaksanakan dasar yang diputuskan kerajaan dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kuota 90 peratus program matrikulasi adil – NC UTeM

MELAKA, 21 Mei: Keputusan Kementerian Pendidikan mengekalkan kuota 90 peratus kemasukan Bumiputera ke matrikulasi disifatkan sebagai adil dan selari dengan matlamat asal penubuhan program itu, kata Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Beliau berkata, program matrikulasi diperkenalkan khusus untuk pelajar Bumiputera bertujuan membangunkan potensi mereka dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti berikutan masalah ketidakseimbangan kaum di universiti di negara ini.

“Jika dirujuk dari segi taburan demografi secara peratusan hakiki juga jelas menunjukkan Bumiputera adalah bangsa majoriti di negara ini, maka selayaknya konteks kuota pendidikan tinggi dalam negara wajar diberikan mandat kepada golongan ini.

“Jika berlaku penguncupan kepada peratusan laluan awal atau tempat Bumiputera dalam arena pendidikan tinggi maka bagaimana ianya mampu seiringan dalam memartabatkan golongan ini agar terus berdaya saing dan menguasai sektor pekerjaan profesional dalam negara seperti yang dihasratkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, UTeM amat menghargai peranan dan pemantapan usaha kerajaan membuat keputusan untuk meningkatkan bilangan pengambilan pelajar ke program matrikulasi kepada 40,000 tempat pada tahun ini berbanding 25,000 tempat sebelum ini.

Khamis lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik Maszlee dilaporkan berkata adalah sesuatu tidak adil sekiranya kuota matrikulasi bagi bukan Bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum Bumiputera. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tambahan tempat matrikulasi tidak jejas lepasan STPM ke UA

PUTRAJAYA, 20 MEI: Pertambahan sebanyak 15,000 tempat untuk program Matrikulasi yang diputuskan Kabinet baru-baru ini tidak akan menjejaskan pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

“Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA (institusi pendidikan tinggi awam),” katanya.

Menjelas lanjut, KPM berkata calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

Katanya proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Menurut KPM, markah akademik bagi kedua-dua lepasan STPM dan Matrikulasi adalah berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang diperoleh calon yang memohon.

“Kejayaan mendapat tempat di UA bergantung sepenuhnya kepada markah merit, tempat yang disediakan serta kelayakan calon dan bukannya bergantung kepada kategori calon tersebut,” katanya.

Selain itu, KPM berkata bilangan tempat yang boleh ditawarkan juga bergantung kepada prasarana dan kapasiti UA.

KPM berkata dalam tempoh dua tahun sejak 2017, tawaran untuk lepasan STPM telah menunjukkan pertambahan sebanyak 4,242 (21.07 peratus), manakala lepasan Matrikulasi meningkat sebanyak 1,981 tawaran (10.83 peratus) pada sesi 2018/2019.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPM umum 40,000 tempat bagi matrikulasi

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Martikulasi kepada 40,000, berbanding 25,000 sebelum ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, jemaah menteri bersetuju dengan usaha itu bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kerajaan melihat wujud keperluan utama menambah bilangan pelajar dalam bidang sains serta wajar dimaksimumkan kapasiti program terbabit.

“Keputusan itu kaedah terbaik dalam memastikan Program Martikulasi KPM dapat memberi peluang pendidikan kepada semua kaum.

“Jemaah menteri juga memutuskan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera dikekalkan, selaras visi asal program itu, iaitu menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan berkenaan kos dalam masa terdekat.

Dr Maszlee berkata, jemaah menteri juga meminta pihaknya menilai pendekatan strategik yang bersesuaian seperti menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan terbabit.

Categories
NASIONAL

Kabinet bincang isu matrikulasi Rabu ini

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan membawa isu program matrikulasi ke mesyuarat Kabinet Rabu ini bagi mendapatkan keputusan sewajarnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius terhadap pelbagai isu berbangkit berhubung kemasukan ke program itu.

“Mengambil kira pandangan semua pihak, KPM akan memastikan isu ini ditangani dengan cermat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran tepat,” katanya.

Katanya, berdasarkan keperluan, KPM kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera di bawah program itu.

“Tahun ini, penambahbaikan telah dibuat iaitu di samping mengekalkan dasar 90:10, pengambilan memberikan peluang tempat kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Oleh itu, Amin berkata, KPM sudah melihat semula semua cadangan termasuk penambahan kuota kaum bukan bumiputera yang perlu selaras dengan dasar asal 90:10.

Katanya, hanya terdapat 25,000 pengambilan setiap tahun, jadi dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar bumiputera dan 2,500 untuk bukan bumiputera.

“Program ini diwujudkan asalnya adalah untuk bumiputera sahaja,” katanya. –BERNAMA

95 pelajar lebih bijak dari Ahmad Maslan gagal masuk IPTA

95 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Matrikulasi atau yang setaraf dengannya diketepikan Kerajaan dan tidak mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam. Malah HEAP juga mendapati permohonan kursus pilihan oleh 29 pelajar cemerlang juga ditolak.