Categories
RENCANA

KTMB: Nahas usah dicari

Oleh Unit Komunikasi Korporat KTMB

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Pada 14 April lalu, dua lelaki dipercayai warga Myanmar maut selepas dirempuh komuter ketika melintas laluan tren di Kilometer 371.7 Sungai Buloh-Kepong.

Insiden maut pada 6.03 petang itu menokok dua lagi nyawa yang melayang ekoran tindakan pencerobohan landasan.

Pada 2018, seramai 17 orang mangsa maut dilanggar tren di pelbagai lokasi di sepanjang 1,655 kilometer jajaran kereta api KTMB. Setiap nyawa amat berharga.

Kematian akibat kemalangan yang melibatkan sektor pengangkutan awam yang semakin moden dan sentiasa menyumbang kepada pembangunan negara sejak lebih seabad lalu, sememangnya amat dikesalkan.

Operasi tren meningkat

Hari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) beroperasi di seluruh pelosok Semenanjung. Dianggarkan seramai 108,352 penumpang menggunakan perkhidmatan tren KTMB sehari atau 3.29 juta orang sebulan.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi, selain penumpang, syarikat itu turut menjadi penggerak kepada hampir 500,000 tan kargo sebulan atau 5.8 juta tan kargo setahun.

Beliau berkata dengan jumlah penumpang menghampiri 40 juta orang setahun itu, tidak dinafikan peneraju operasi kereta api nasional itu memikul tanggungjawab yang berat.

“Ia tidak hanya bagi memastikan semua pengguna dan muatannya bergerak dari satu destinasi ke destinasi mengikut jadual tetapi juga tiba di destinasi tujuan dengan selamat.

“Justeru, setiap kali berlakunya kejadian pencerobohan, kecurian dan kemalangan melibatkan manusia mahupun haiwan, operasi KTMB secara khusus dan negara secara amnya, amat terkesan,” tambahnya.

Usaha tangani statistik

‘Asri berkata selain 17 orang mangsa rempuhan tren sepanjang 2018, turut direkodkan 53 kes perlanggaran binatang ternakan, 86 kecurian peralatan dan kabel serta 14 lagi kejadian membaling batu ke arah kereta api.

Sepanjang 2018, KTMB merekodkan kerugian berjumlah hampir RM200,000 bagi menggantikan peralatan yang dicuri serta kerja baik pulih aset akibat perlanggaran dengan binatang ternakan.

KTMB mengambil pelbagai langkah proaktif untuk mengurangkan kes-kes tersebut dan usaha itu akan terus dilakukan untuk memastikan insiden sedemikian tidak terus menghantui operasi perkhidmatan tren.

Ini termasuk kempen sepanjang tahun untuk mendidik dan mengingatkan para pengguna tentang aspek keselamatan berhampiran aset kereta api seperti stesen dan landasan.

Usaha itu melibatkan pelbagai cara termasuk komunikasi interaktif dengan para pelanggan secara bersemuka dan menerusi pelbagai saluran media baharu. Di samping itu, taklimat keselamatan kereta api juga turut dijalankan di institusi pendidikan dan kawasan tumpuan masyarakat.

Turut diadakan , penetapan dan kemas kini papan-papan tanda amaran bahaya, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) serta meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang jajaran operasinya.

KTMB juga meningkatkan kawalan Unit Polis Bantuannya. Sehingga Disember 2018, Unit berkenaan menangkap 170 orang atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan kawasan landasan.

Potensi bahaya

Namun, segala usaha itu masih tidak mampu mengekang sepenuhnya kejadian yang tidak diingini daripada terus menimpa operasi kereta api yang berfungsi sepanjang 365 hari setahun itu.

Cabaran yang mendepani KTMB juga semakin kompleks apabila set tren yang lebih moden, laju, senyap dan berkapasiti tinggi diperkenalkan, sekaligus melibatkan langkah keselamatan yang semakin mencabar.

Perkhidmatan kereta api elektik (ETS), tren antarabandar (KTM Intercity), KTM Komuter dan KTM Kargo kini bergerak dengan purata kelajuan maksimum antara 80 dan 140 kilometer sejam.

Selain tren yang bergerak mengikut jadual komersial, turut mempunyai bahaya tersendiri adalah perjalanan kereta api yang tidak dijadualkan seperti tren bantuan operasi, jentera perekod landasan (track recording car) serta tren sewa khas.

Selain itu, pembinaan landasan berkembar elektrik di antara Padang Besar dan kini diteruskan sehingga ke Johor Bahru, ditenagakan oleh bekalan tenaga elektrik sehingga 25,000 kilovolt (kV).

Potensi bahaya terkena renjatan elektrik daripada talian sumber tenaga di kawasan landasan itu amatlah tinggi sekiranya langkah dan panduan keselamatan mengenainya tidak dipatuhi dengan sempurna.

Usah leka dan lalai

Pada 19 Disember 2015, seorang pekerja kontrak potong rumput maut di tempat kejadian apabila dirempuh tren komuter ketika sedang leka berswafoto di landasan KTMB di Nilai, Negeri Sembilan.

Mangsa dilaporkan berdiri berhampiran landasan dan mengambil gambar bagi membuktikan kepada majikannya bahawa kerja pada hari itu selesai. Kelekaan tersebut akhirnya membawa padah kepadanya apabila mangsa tidak menyedari kehadiran tren komuter.

Dalam kejadian lain, keputusan dua beradik untuk tidak menggunakan jejantas pejalan kaki akhirnya membawa padah apabila kedua-duanya maut dilanggar komuter berhampiran Kampung Jawa, Klang pada 3 Mac 2017.

Selain manusia, pencerobohan binatang ternakan juga memberikan impak serius kepada operasi kereta api memandangkan kes itu berlaku saban masa.

Sepanjang tahun 2018, sebanyak tiga hingga lapan kejadian perlanggaran membabitkan binatang ternakan berlaku setiap bulan dan setiap insiden menyebabkan kerosakan kepada aset, kelewatan tren serta kemungkinan berlakunya nahas lebih buruk lagi.

Elakkan kemalangan

“Bayangkan tren ETS yang bergerak sehingga 140 kilometer sejam dengan kapasiti hampir 500 penumpang itu berlanggar dengan sekawan lembu yang meragut rumput berhampiran landasan.

“Impak insiden sedemikian rupa tentunya tidak mahu kita fikirkan. Justeru, usaha membanteras kejadian itu daripada berlaku perlu dilakukan secara berterusan dan melibatkan pelbagai pihak, “ tambah ‘Asri.

Seksyen 128, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 bulan atau kedua-keduanya sekali bagi kesalahan merosakkan pagar premis kereta api untuk melintas landasan kereta api.

Manakala akta yang sama turut mengenakan denda sebanyak RM500 bagi kesalahan melintas landasan kereta api.

Hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya turut diperuntukkan dalam akta yang sama bagi kesalahan merosakkan harta benda kereta api.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dua warga asing maut dilanggar komuter

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Dua lelaki dipercayai warga asing maut dipercayai dilanggar tren komuter berhampiran laluan Sungai Buloh-Kepong, di sini petang semalam.

Dalam kejadian 6.03 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai warganegara Myanmar berusia lingkungan 30-an difahamkan menceroboh laluan komuter di Km 371.7 sebagai jalan pintas untuk ke kawasan berhampiran.

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), komuter yang dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh itu membawa 30 orang penumpang ketika kejadian.

Kenyataan itu menyebut pemandu komuter memberhentikan tren sejurus menyedari kelibat mangsa yang terpelanting di kedua-dua bahu landasan.

Susulan itu, pihak polis dimaklumkan berhubung kejadian dan tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan terbabit.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

Pihak KTMB juga menyediakan komuter gantian bagi membolehkan semua penumpang menyambung perjalanan mereka. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perkhidmatan tren kembali beroperasi – KTMB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 OKT: Semua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tergendala kembali beroperasi seperti biasa, hari ini.

KTMB menerusi kenyataan berkata, insiden perlanggaran tren KTM Kargo no. 152 dengan tren KTM Komuter no. 2113 di Platform 2, Stesen Tanjung Malim menyebabkan sedikit gangguan pada jadual perkhidmatan yang melalui stesen itu.

“Kerja pengalihan gerabak dan baik pulih landasan berjaya diselesaikan pada jam 6.27 pagi ini,” katanya.

KTM Berhad juga memohon maaf atas kesulitan dihadapi penumpang dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Semalam, kejadian yang berlaku pada jam 6.02 pagi, di Platform 2 stesen berkenaan menyebabkan lima daripada 20 penumpang tren komuter itu cedera ringan.

Tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal Ipoh, manakala tren komuter pula sedang bersedia untuk memulakan perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang dijadualkan, pada jam 6.05 pagi.

Kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun selepas kejadian, pada Mei 2016 di Kuala Kubu Bharu.

Categories
NASIONAL

Tren berlanggar, KTMB mula siasatan segera

TANJUNG MALIM, 18 OKT: Insiden perlanggaran dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Tanjung Malim, pagi tadi akan disiasat berdasarkan dua aspek utama iaitu masalah teknikal dan kesilapan manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hashim Samsudin berkata, siasatan akan dijalankan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca serta langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

“Buat masa ini, kerja pembaikan trek sedang dilakukan selain menunda tren terbabit bagi membolehkan laluan ke utara yang terjejas dapat dibuka semula, sekali gus melancarkan perkhidmatan.

“Pada masa ini, hanya satu laluan dibuka dan kelewatan perkhidmatan tren ini berlaku kerana penggunaan satu landasan sahaja di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun selepas kejadian, pada Mei 2016 di Kuala Kubu Bharu.

Mengulas lanjut, Rani Hashim berkata, selain kerosakan trek, dua daripada enam koc tren komuter mengalami kerosakan teruk.

Terdahulu, KTMB dalam kenyataan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 6.02 pagi, di Platform 2 stesen berkenaan menyebabkan lima daripada 20 penumpang tren komuter itu cedera ringan.

Tren kargo dengan muatan 30 gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal Ipoh, manakala tren komuter pula sedang bersedia untuk memulakan perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang dijadualkan, pada jam 6.05 pagi.

 

Categories
NASIONAL

Dua tren KTMB berlanggar di Stesen Tanjung Malim

TANJUNG MALIM, 18 OKT: Sebuah tren komuter dan tren kargo berlanggar di Platform 2, Stesen Tanjung Malim, pada jam 6.02 pagi tadi, maklum KTM Berhad.

Katanya, tren kargo dengan muatan 30 gerabak, dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal (ICT) Ipoh, manakala tren komuter memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang, dijadualkan berlepas pada jam 6.05 pagi.

Katanya, seramai 20 penumpang di dalam tren komuter semasa insiden berlaku, namun hanya lima penumpang mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim.

“15 penumpang yang terselamat dipindahkan ke tren komuter lain untuk meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral,” katanya.

Rentetan perlanggaran itu, perkhidmatan Tren Elektrik bagi Sektor Utara akan mengalami kelewatan perjalanan antara 10 hingga 15 minit.

“Perkhidmatan tren komuter pula mengalami gangguan perjalanan bagi laluan Tanjung Malim-Kepong dengan jangkaan kelewatan antara 20 hingga 30 minit,” katanya dalam kenyataan.

Kelewatan perkhidmatan tren itu berlaku kerana penggunaan satu landasan sahaja di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru.

Sementara laluan KL Sentral-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Pulau Sebang, perkhidmatan KTM Komuter tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

“KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Kerja baik pulih sedang giat dijalankan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari Twitter @ktm_berhad.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KTMB larang pasang bahan kempen halang operasi tren

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengingatkan jentera parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya tidak memasang bahan kempen di kawasan pentadbiran dan operasi tren.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rani Hisham Samsudin berkata, perkara itu bagi mengelakkan bahan kempen terkena pada Alat Talian Atas (Overhead Line) berarus 25KV, yang boleh menyebabkan gangguan terhadap operasi tren dan keselamatan penumpang serta krew.

“Kita mahu memastikan tren dapat beroperasi dengan lancar sepanjang kempen pilihan raya dan hari mengundi, justeru saya berharap pihak yang menjalankan kempen tidak memasang bahan di kawasan larangan untuk mengelakkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Kawasan larangan yang dinyatakan termasuk jejantas (Rail Over Bridge), sepanjang landasan iaitu pagar, tiang kabel elektrik dan papan tanda, stesen, terminal, depoh, stokereta, kuarters juga bangunan KTMB.

Justeru, Rani berkata, orang ramai yang melihat sebarang keadaan sehingga menjejaskan operasi tren boleh memaklumkan kepada anggota polis bantuan KTMB berdekatan atau hubungi Pusat Kawalan Polis Bantuan di talian 03-22631194.

Categories
NASIONAL

Tren KL Sentral-Subang Skypark mula operasi Mei ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 MAC: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan KL Sentral ke Subang Skypark dijangka memulakan operasi, awal Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Rani Hashim Samsudin berkata, rel berkenaan akan berhenti di stesen Subang Jaya sebelum menuju ke Subang Skypark dengan anggaran masa lebih kurang 28 minit.

“Tren kini sedang dalam peringkat ujian akhir serta kami masih memuktamadkan harga tiket dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya memetik laporan Bernama.

Tren itu mampu mengangkut 300 penumpang, pada satu masa dan ia berupaya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas serta menawarkan kemudahan kepada penumpang syarikat penerbangan dan mereka yang bekerja di terminal Skypark.

Terdahulu, projek berharga RM521 juta yang bermula sejak 2013 dijangka siap pada 2016, sebelum dilanjutkan ke Jun 2017.

Categories
NASIONAL

Operasi KTMB tanpa henti sempena Thaipusam

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan komuter akan beroperasi selama tiga hari dua malam tanpa henti, sempena sambutan Thaipusam, bermula 30 Januari ini.

Pengurus Besar Operasi KTMB, S Mahendran berkata, perkhidmatan disediakan bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari ini bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu serta pelancong ke Batu Caves.

“Jumlah keseluruhan perkhidmatan tren yang disediakan untuk tempoh itu adalah 783 perkhidmatan. Seramai 400 kakitangan KTMB bersama anggota polis dan ambulans dijadual bertugas bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mahendran berkata, orang ramai yang ingin ke Batu Caves sepanjang tempoh berkenaan digalak menggunakan Stesen KTMB Sentul kerana perkhidmatan lebih kerap.

“Perkhidmatan pengangkutan e-hailing, GrabCar, turut bekerjasama menawarkan promosi sempena Thaipusam dengan kod promosi GRAB2KTMBC, diskaun RM5 untuk dua kali perjalanan,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Meyor Hamdan Meyor Mohamad berkata, lebih 100 anggota polis bantuan KTMB akan bertugas sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan perjalanan dan perkhidmatan.

“Polis juga menyalurkan khidmat di stesen yang dijangka padat dengan orang ramai. Selain itu, kami akan menugaskan beberapa anggota polis bantuan di dalam tren bagi memantau keselamatan penumpang,” katanya.

KTMB menjangkakan lebih 400,000 pengguna menggunakan perkhidmatan tren sepanjang tempoh tiga hari berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, KTMB memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan kad Komuter Link secara percuma bagi urusan pembayaran tanpa tunai dengan tambah nilai minimum RM3.

Categories
NASIONAL

KTMB sedia 4 ETS tambahan hujung minggu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 DIS: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tambahan tren eletrik (ETS) untuk laluan Sungai Buloh-Ipoh-Sungai Buloh, pada setiap Sabtu dan Ahad, mulai esok.

KTMB dalam kenyataan berkata, laluan Sungai Buloh-Ipoh mengambil masa kira-kira dua jam 40 minit dengan dua masa perlepasan, iaitu 7.30 pagi dan 3 petang.

Sementara itu, katanya, perjalanan dari Ipoh-Sungai Buloh berlepas, pada jam 11.45 pagi dan 6.10 petang.

“Melalui perkhidmatan tambahan ini, orang ramai yang ingin membuat perjalanan ke Stesen Ipoh kini mempunyai pilihan untuk menaiki perkhidmatan ETS dari Stesen Sungai Buloh sebagai stesen permulaan tanpa perlu menempuh kesibukan ibu kota.

“Penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren MRT untuk ke Stesen Sungai Buloh,” katanya.

KTMB memaklumkan, tiket boleh dibeli di kaunter tiket KTMB atau secara dalam talian menggunakan sistem e-Ticket, aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta agen tiket KTMB berdaftar.

Jadual lengkap bagi perkhidmatan ETS boleh didapati di laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi talian 03-22671200.

 

Categories
NASIONAL

KTMB diarah gantung khidmat kargo laluan Rawang-Salak Selatan

SHAH ALAM, 24 NOV: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengarahkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan, sementara menunggu hasil siasatan insiden tren kargo tergelincir tidak jauh dari Stesen Bank Negara, semalam.

Dalam satu kenyataannya, suruhanjaya berkenaan menyifatkan kejadian itu tidak boleh diterima dan mengarahkan KTMB mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran terbabit.

“SPAD menegaskan kepada KTMB untuk mengkaji semula dan memperbaiki prosedur pengendalian gerabaknya bagi memastikan keselamatan terjamin.

“Suruhanjaya juga mengarahkan KTMB mempercepatkan projek naik taraf Landasan Keretapi Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang bertujuan menaik taraf rangkaian rel sepanjang 42 kilometer, terutama di landasan sejauh 7 kilometer antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan dalam sektor ini perlu dipertingkatkan dengan segera,” kata kenyataan itu.

SPAD berkata, setelah siasatan insiden dimuktamadkan, tindakan tegas akan dikenakan terhadap KTMB termasuk penalti kewangan jika wujud faktor kecuaian.

SPAD juga meminta KTMB memulangkan tambang kepada penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang mengalami gangguan perjalanan serta ingin membatalkan perjalanan mereka.

Menurut kenyataan itu, penumpang yang terjejas ekoran gangguan perkhidmatan itu boleh menggunakan perkhidmatan rel alternatif seperti Transit Aliran Massa (MRT) di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan Transit Aliran Ringan (LRT) dari Subang Jaya.

“KTMB juga akan memastikan penumpang ETS dihubungkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan MRT sebelum beralih ke ETS untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

“SPAD mengarahkan KTMB menyediakan perkhidmatan bas untuk perjalanan Sentul-KL Sentral-Sentul sebagai alternatif perjalanan bagi penumpang yang terjejas dalam insiden terbabit,” jelas kenyataan itu.

Dalam kejadian pada jam 2.58 pagi semalam, perkhidmatan KTM Komuter dan ETS membabitkan beberapa laluan di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami gangguan ekoran 12 gerabak tren kargo yang membuat perjalanan menuju ke arah Selatan tergelincir, di antara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur.

*Sumber: BERNAMA

*Foto: Berita Harian

 

Categories
NASIONAL

Perkhidmatan KTMB dijangka pulih sepenuhnya esok

KUALA LUMPUR 25 SEPT: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka pulih sepenuhnya pagi esok selepas kerja penyelenggaraan dijalankan susulan kabel eletrik terputus, Sabtu lalu.

KTMB memaklumkan bekalan elektrik satu landasan pulih pada jam 8 pagi semalam, manakala kerja penyelenggaran yang sepatutnya siap pagi tadi dijadualkan pulih pada jam 10 pagi esok.

“Oleh sebab hanya satu landasan di antara stesen Rawang dan Sungai Buloh hari ini, perkhidmatan tren KTMB akan mengalami beberapa perubahan.

“Perkhidmatan tren bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan antara 15 hingga 30 minit daripada jadual asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, KTMB memaklumkan empat perkhidmatan tren terakhir ke laluan Rawang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Sungai Buloh.

“Penumpang akan dibawa menaiki bas dari Stesen Sungai Buloh ke stesen Rawang dan akan meneruskan perjalanan ke destinasi berikutnya menggunakan tren.

“Perkhidmatan tren bagi laluan Batu Caves-Seremban dan Tampin-Batu Caves, selain ETS bagi perjalanan ke utara dari KL Sentral serta Gemas pula beroperasi mengikut jadual,” katanya.

Bagaimanapun, penumpang tren 9019 bagi laluan Padang Besar-KL Sentral, terpaksa dibawa menaiki tren KTM Komuter dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral.

Penumpang tren 9525 bagi laluan Padang Besar ke Gemas akan dipindahkan dengan bas dari stesen Rawang ke Sungai Buloh dan akan meneruskan perjalanan menaiki ETS ke destinasi berikutnya.

Penumpang tren 9520 bagi laluan Gemas ke Padang Besar akan dibawa menaiki bas dari Stesen Sungai Buloh ke stesen Rawang dan akan meneruskan perjalanan menaiki ETS ke destinasi seterusnya.

Bagi tren 9312 laluan KL Sentral dan Ipoh, penumpang akan dibawa dari Stesen KL Sentral menaiki tren KTM Komuter ke stesen Sungai Buloh dan menaiki bas ke stesen Rawang sebelum meneruskan perjalanan menaiki ETS.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Batalkan RNAA, pertahan KTM sebagai warisan negara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Malaysia (RUM), menggesa perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) dibatalkan kerana ia didakwa bakal mengancam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Presiden RUM Abdul Razak Md Hasaan menyifatkan RNAA sebagai ‘idea miskin’ yang diilhamkan Kementerian Pengangkutan.

“RNAA perlu dibatalkan kerana kewujudannya menjadi sebahagian ancaman meruntuhkan warisan negara.

“KTMB adalah adalah untuk kepentingan rakyat dan negara. Kalau tidak dipertahankan, KTMB akan semakis terhapus sejak kewujudannya hampir 130 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbincangan meja bulat RUM mengenai KTM dan RAC di Bilik Taklimat 1, Bangunan Sementara Parlimen bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN).

RNAA adalah perjanjian antara KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang memiliki 38 pekerja di mana semua aset tanah serta keretapi lokomotif (rolling stock) KTMB akan dipindahkan kepada RAC.

Ia dijangka dimuktamadkan penghujung tahun ini dan dilaksanakan bermula Januari 2018.

Difahamkan, KTMB mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM855 juta sejak 2009 hingga 2015 kerana harga tiket rendah dan kontrak perolehan yang mahal.

Kesilapan pengurusan pembayaran kontrak penyelenggaraan keretapi pernah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada 2013.

Menurutnya, sekiranya PAKATAN berjaya meneraju negara, beliau mengharapkan semua kakitangan akan diserapkan kembali sebagai penjawat awam seperti yang dinikmati sebelum ini.

Mengulas perkara sama Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan KTMB perlu dipertahankan sebagai satu warisan pengangkutan awam yang wujud lebih 100 tahun lalu.

“Kerajaan perlu menimbang semula cadangan pengambilalihan aset dengan mengembalikan semula (aset) kepada KTMB untuk membangunkan hartanah sebagai salah satu usaha meringankan benanan kos mereka.

“KTMB juga boleh meneroka bidang baru seperti perkhidmatan kargo menggunakan keretapi bagi meningkatkan semula pendapatan meraka untuk kekal mampan,” katanya.

Beliau menyifatkan RAC tidak menguntungkan kerana mengalami kerugian terkumpul RM372 juta selain tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk menguruskan aset termasuk tanah bernilai RM36 bilion.

“PAKATAN menawarkan perjanjian lebih adil kepada KTMB dan 6,000 pekerjanya termasuk membatalkan RNAA antara RAC dan KTMB.

“Kita mahu aset di RAC dipindahkan kepada KTMB sebagai cara memaksimumkan nilai tersebut serta mengakaji semula kos dan kesesuaian Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) memandangkan aset di bawah ECRL tidak akan dimiliki RAC ataupun KTMB.

“Selain itu, tander terbuka perlu dilakukan untuk semua pembelian aset dan perkhidmatan serta tidak menswastakan KTMB,” katanya.
=EZY=