Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu pekerja KTMB: Perlu ada jaminan hitam putih

OLEH: Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid

Saya mengambil maklum kenyataan media semalam yang dikeluarkan oleh Aziz Kaprawi selaku Timbalan Menteri Pengangkutan mengenai jaminan Kementerian Pengangkutan tidak akan membuang pekerja KTMB selepas RNAA dilaksanakan, serta tindakan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Akses Rangkaian Keretapi (RNAA) dengan Asia Freight Rail Sdn Bhd (AFR) di Langkawi pada 23 Mac lalu.

Keengganan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula perjanjian tersebut seperti yang digesa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) sangat mengejutkan.

Walaubagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada Aziz Kaprawi kerana akhirnya sudi tampil membagi jaminan kepada pekerja KTMB bahawa mereka tidak akan dibuang, meskipun isu ini telah lama dibangkitkan oleh RUM sejak tahun lepas.

Saya menegaskan bahawa sebuah kenyataan media sahaja tidak cukup untuk menjanjikan satu jaminan, melainkan perlu ada juga perjanjian hitam-putih antara KTMB dengan para pekerja sebagai kontrak jaminan. Sekiranya KTMB gagal laksanakan janji, KTMB perlu bayar pampasan kepada para pekerja.

Seperti yang telah saya bangkitkan di Parlimen baru-baru ini, kita bimbang sebarang keputusan untuk menandatangani mana-mana perjanjian melibatkan aset keretapi dengan syarikat swasta akan menyebabkan perkhidmatan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal terjejas.

Justeru, saya cabar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan RAC sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan untuk tampil mendedahkan isi kandungan perjanjian persefahaman itu kepada umum.

Kerajaan perlu bersikap telus dalam setiap tindakan mereka, terutama apabila perjanjian itu berkaitan kepentingan pengguna dan kakitangan syarikat terbabit. Kita mengharapkan jaminan yang dikeluarkan semalam selaras dengan butir perjanjian persefahaman ini.

Kita juga berharap kerajaan tidak cuba menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi cuba menyembunyikan isi kandungan perjanjian tersebut.

Saya turut difahamkan perjanjian RNAA tersebut bakal memberi hak kepada kerajaan untuk campur tangan dalam operasi KTMB.

Ia termasuk untuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau guna sama landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

Adakah ini bermakna syarikat swasta asing akan turut menyertai perjanjian ini, dan apakah syarikat swasta dari negara luar termasuk China akan diberi kebenaran untuk menggunakan landasan sedia ada milik KTMB?

Mohon Kerajaan mengemukakan senarai syarikat yang berminat untuk menyertai perjanjian RNAA selain Asia Freight Sdn. Bhd.

Saya turut tertanya-tanya, apakah manfaat yang bakal diperoleh syarikat swasta, Asia Freight Rail Sdn Bhd dari perjanjian ini.

Hasil carian saya mendapati syarikat tersebut mula diperbadankan hanya pada 2015. Apakah syarikat tersebut mempunyai kebolehan bagi mengendali aset keretapi selaras perjanjian tersebut?

Timbul juga persoalan apakah tindakan Kementerian Pengangkutan untuk tidak mengkaji semula cadangan mewujudkan RNAA seperti didesak sebelum ini sebenarnya satu cara bagi kerajaan mendapatkan “komisyen” dari pelabur swasta selain helah untuk tidak mahu lagi memberikan peruntukan kewangan pada KTMB?

Sehubungan itu, ingin saya tegaskan bahawa kerajaan persekutuan mestilah bertanggungjawab untuk memastikan hak dan kebajikan golongan pekerja di negara ini dilindungi.

Sebarang keputusan besar untuk menandatangani mana-mana perjanjian perlulah dibuat dengan adil dan tidak seharusnya menjadikan golongan pekerja dan rakyat di negara ini sebagai mangsa.

Saya menuntut penjelasan bagi soalan-soalan yang telah saya kemukakan pada kadar segera.

* Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid adalah Ahli Parlimen Kuala Langat
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Categories
KENYATAAN MEDIA

4,000 pekerja KTMB bakal hilang kerja?

OLEH Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid

Saya menggesa pihak Kerajaan Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekarang.

Terbaru, KTMB dikatakan bakal diswastakan kepada syarikat-syarikat luar melalui perlaksanaan Railway Network Access Agreement (RNAA), di mana perjanjian ini akan menyebabkan lebih kurang empat ribu pekerja KTMB bakal kehilangan pekerjaan.

RNAA merupakan sebuah perjanjian antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan syarikat-syarikat industri swasta.

Sekiranya dipersetujui dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan di bawah Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan; maka pengoperasian tren, kargo dan lokomotif akan diambil alih oleh syarikat-syarikat luar manakala KTMB sekadar menyelaraskan waktu pergerakan tren dan menguruskan stesen-stesen perhentian.

Hal ini akan menyebabkan sejumlah besar pekerja KTMB akan kehilangan kerja dalam bidang pengoperasian kereta api kerana tugas-tugas tersebut akan diambil alih oleh syarikat swasta berkenaan.

Saya khuatir RNAA akan menyebabkan harga tiket komuter dan perkhidmatan KTMB lain akan meningkat.

Hal ini kerana pelaburan syarikat swasta yang menyertai perjanjian tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan penglibatan dalam industri kereta api seperti pembelian ‘rolling stock’, ‘wagon’ dan lokomotif.

Situasi ini menyebabkan kos sara hidup rakyat akan meningkat lebih tinggi, apatah lagi setelah kenaikan tambang komuter berlaku pada akhir tahun 2015.

Saya ingin mengingatkan Kerajaan Umno BN supaya lebih bertanggungjawab menguruskan KTMB ini melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

Peruntukan lebih kurang RM2 bilion setiap tahun melalui bajet kerajaan persekutuan sewajarnya mencukupi untuk KTMB memajukan operasi tanpa memerlukan penswastaan lanjut melalui mana-mana perjanjian.

Saya khuatiri RNAA ini dibuat bertujuan semata-mata untuk kerajaan tidak mahu lagi memberikan peruntukan kewangan pada KTMB, sebaliknya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada syarikat-syarikat swasta yang mendapat kontrak.

Tambahan pula, perjanjian ini akan menyebabkan KTMB semakin terdedah pada ketirisan dan kronisme, sekiranya tatakelola perolehan kontrak yang tidak telus.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa kerajaan Umno BN sentiasa membuat perjanjian yang lebih menguntungkan syarikat swasta atau konsesi melebihi rakyat Malaysia sendiri, seperti mana yang dilihat dalam isu perjanjian tol.

Saya berharap agar rancangan RNAA dikaji semula dengan segera supaya isu ini dapat menyelamatkan pekerja-pekerja KTMB dan rakyat daripada menjadi mangsa pada pengswastaan KTMB. Saya komited dalam memperjuangkan industri kereta api yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

KTMB seharusnya beroperasi sebagai perkhidmatan sosial yang disubsidi oleh kerajaan, bukannya diswastakan untuk tujuan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan negatif terhadap penggunanya.

Peruntukan wang secara telus dan betul kepada sektor pengangkutan awam adalah lebih baik dari melakukan pengswastaan operasi agar Kerajaan Umno BN melepaskan tanggungjawab membiayai KTMB.

* Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid adalah Ahli Parlimen Kuala Langat
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Categories
NASIONAL

KTMB sedia 333,000 tiket sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR 31 MEI: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan 333,000 tiket sempena Aidilfitri untuk perkhidmatan keretapi elektrik ETS dan KTM Intercity.

Tiket adalah untuk perjalanan bermula 24 Jun hingga 17 Julai yang akan dijual mulai jam 8.30 pagi Jumaat ini, kata KTMB dalam satu kenyataan.

KTMBKTMB berkata langkah menjual tiket ETS dan Intercity dua bulan lebih awal daripada tarikh perjalanan adalah bagi memudahkan orang ramai membuat perancangan perjalanan mereka.

Tiket boleh diperoleh di kaunter KTMB atau menerusi khidmat atas talian di laman sesawang rasmi KTMB www.ktmb.com.my.

Pertanyaan lanjut mengenai status tiket, jadual tren dan tambang boleh didapati di stesen KTMB berhampiran, Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau laman rasmi KTMB.

EZY

Categories
NASIONAL

‘KTM problem boss’ luah pengguna mahu perkhidmatan diperbaiki

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) digesa untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya selaras dengan kenaikan tambang dikenakan.

Pekerja Swasta, Nurul Nabila Zulkifli,24, yang sudah dua tahun menggunakan perkhidmatan itu mempersoalkan perkhidmatan KTMB memandangkan kenaikan tambang sebanyak 100 peratus dikenakan.

KTMBKatanya, beliau seringkali tiba lewat ke pejabat akibat kerosakan keretapi menyebabkan beliau terpaksa memanjangkan waktu kerja bagi menggantikan masa lewatnya.

“Orang sudah mula bercakap sekarang kerana tambangnya naik hampir 100 peratus. Kita faham kenaikan disebabkan semua barang makin naik harga.

“Namun, KTMB perlu memperbaiki apa yang perlu. Memandangkan sementara mahu selesa hidup, terpaksa naik. Kita berkorban keluar awal, balik rumah lewat. Perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) juga tidak seteruk KTM.

“Kelewatan ini menyebabkan terpaksa menjawab dengan Bos. Tapi adakah Bos boleh hadam dengan alasan yang sama?,” luahnya di laman Facebook.

Beliau berkata berbeza dengan negara Jepun, sekiranya terdapat masalah, mereka menghantar pekerja untuk meminta maaf dan notis.

Nabila KTMB“Dulu masa mula-mula kenaikan tambang, memang tepat waktunya. Tetapi kebelakangannya dengan mata kepala sendiri, kita nampak masa ketibaan di ‘edit’.

“Kita tidak minta banyak tetapi KTMB perlu tahu cara mengendalikan masalah. Sakitnya hati. Dari ubah waktu itu, kenapa tak buat saja pengumuman?

“Ingatlah sesetengah kita, ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerja yang perlu dipenuhi. Kalau kerap sangat lambat, apa jadi dengan KPI? Tolong jangan bagitau supaya keluar awal. Sebab, apa guna keluar awal kalau masih punya masalah? Yang cepat pun boleh jadi lambat,” tulisnya.

EZY

Categories
NASIONAL

RUM mahu debat Presiden KTMB jelas 9 pekerja dipecat

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) mahu debat diadakan antara kesatuan itu dengan Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir menjelaskan sebab pemecatan anggotanya daripada syarikat itu.

Presiden RUM, Abdul Razak Md Hassan mendakwa, Elias Kadir merupakan presiden yang mempunyai prestasi buruk dalam sejarah KTMB.

KTMBKatanya, KTMB bertindak ‘membuang kerja tanpa notis’ sembilan orang pekerjanya daripada pemimpin kesatuan itu.

Mereka dibuang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan empat pemimpin cawangan.

“Saya cabar dia, kalau dia hebat sangat sebagai presiden KTMB mari debat secara terbuka berkenaan pembuangan pekerja.

“Saya ingin berdebat dengannya berkenaan apa yang telah dia buat sejak tempoh 2 Mei 2011,” katanya dalam satu sidang media di Grand Pacific Hotel.

Katanya, debat itu juga bagi memberi peluang kepada Elias untuk menjelaskan sumbangannya kepada syarikat sebagai pengerusi KTMB sejak mula berkhidmat pada 2 Mei 2011.

Selain kepimpinan tertinggi RUM, seramai 13 orang pemimpin kesatuan digantung kerja sementara baki 86 orang pegawai cawangan serta ahli persatuan yang menerima notis tunjuk sebab sedang dalam proses menunggu giliran gantung kerja seterusnya dibuang kerja tanpa notis.

Jelas Abdul Razak, tindakan pemecatan yang dibuat ini dilihat bersifat ‘peribadi’ dan membelakangkan undang-undang.

Pembuangan ini dibuat disebabkan tindakan piket dianjurkan RUM pada 9 Mei lalu iaitu menuntut Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir ditamatkan perkhidmatan demi menyelamatkan KTMB.

Pada tahun 1962, satu mogok pekerja keretapi besar-besaran pernah dianjurkan pekerja KTMB selama 23 hari namun tiada seorang daripada mereka dibuang kerja malah pekerja ketika itu akhirnya berjaya menerima faedah seperti gaji bulanan atas mogok tersebut.

EZY

Categories
NASIONAL

Tutup landasan KTMB Sektor Gemas- Gua Musang, pekerja anjur piket

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JUN: Arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menutup landasan Gemas – Gua Musang mengundang rasa marah dan bantahan Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata keputusan itu menunjukkan SPAD bertindak gopoh dan hanya memperlihatkan kegagalan semua Lembaga Pengarah KTMB terutamanya Datuk Elias Kadir sebagai Presiden KTMB.

stesen ktmMalah, katanya, tindakan SPAD juga bukti ketidakprihatinan Kerajaan Pusat terhadap golongan berpendapatan rendah, kegagalan kerajaan dalam memberi perkhidmatan pengangkutan kepada rakyat selain kegagalan penswastaan.

“Pihak kesatuan merasa musykil dengan tindakan SPAD, seolah-olah SPAD terbelenggu satu sifat negatif tanpa mengira implikasi yang mungkin berlaku.

“Alternatif pada penyelesaian ini bagi tujuan membaikpulih ialah penutupan landasan boleh dilakukan untuk satu tempoh iaitu empat jam atau secara maksima ialah 12 jam untuk proses pembaikpulihan landasan, baki jam selanjutnya ialah operasi perkhidmatan tren dapat diteruskan.

“Had kelajuan tren kini diturunkan dari 90 kilometer sejam (KM/J) ke 50 KM/J, jadi aspek keselamatan pun dilaksanakan melalui penurunan had kelajuan, malah dibeberapa sektor pun diletakkan papan tanda ‘caution,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, SPAD mengeluarkan arahan bahawa berkuatkuasa pada 27hb Jun 2014, sektor Gemas – Gua Musang akan ditutup operasi sehingga baik pulih dilakukan kerana disebabkan keselamatan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihak kesatuan juga berulang kali membangkitkan isu keselamatan landasan di pantai timur dalam Mesyuarat Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan Induk yang dipengerusikan Elias selama ini namun tiada sebarang tindakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu jawapan segera daripada SPAD dalam tempoh tiga hari bekerja untuk menjawab serta memperbetulkan kenyataan untuk menghentikan operasi sepenuhnya kepada memberi satu tempoh jam yang munasabah untuk operasi dan membaikpulih landasan.

“Kegagalan SPAD menjawab surat ini dalam tempoh tiga hari bekerja maka pihak kesatuan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang bersidang hari ini memutuskan untuk mengadakan piket di Pekarangan Ibu Pejabat SPAD pada 26 Jun 2014 jam 5 petang,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

Tren kargo tergelincir, laluan Komuter Pelabuhan Klang, Batu Caves terganggu

SHAH ALAM, 9 JAN: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan Pelabuhan Klang dan Batu Caves terganggu pagi tadi berikutan tren kargo tergelincir berhampiran stesen Angkasapuri di sini.

Menurut kenyataan KTMB, insiden itu menyebabkan jadual perkhidmatan mengalami kelewatan selama kira-kira 30 minit sehingga tengah malam ini.

komuterKatanya, ia adalah disebabkan penggunaan satu landasan berbanding operasi biasa dengan dua landasan di antara Stesen Pantai Dalam dan KL Central.

“Bagaimanapun laluan Tanjung Malim dan Rawang serta Sungai Gadut tidak terjejas dan beroperasi mengikut jadual seperti biasa,” katanya dipetik Bernama.

Kerja-kerja membaik pulih sedang giat dijalankan dan pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi pusat panggilan KTM Berhad di talian 1 300 88 5862.

Categories
SELANGOR

Hannah : Minta KTMB Sedia Pelan Alternatif Kepada Pengguna Komuter Di Subang

Hannah KTM 01

SUBANG JAYA, 2 JAN : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini mempersoal tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bercadang menutup stesen KTM Subang Jaya buat sementara waktu tanpa mengeluarkan notis kepada orang ramai.

Beliau berkata, sehingga kini, KTMB masih gagal menjelaskan isu terbabit kepada orang ramai, malah tidak memberikan sebarang notis rasmi makluman pemandu teksi dan orang ramai.

“Pada 5 Disember lalu, saya mengadakan satu perjumpaan bersama Persatuan Teksi Subang Jaya untuk membincangkan mengenai beberapa perkara bagi membaikpulih infrastruktur di stesen tersebut. Berdasarkan perbincangan itu, kita ada mengemukakan beberapa cadangan dan satu surat rasmi dihantar kepada KTMB.

“Malangnya, pada 13 Disember lalu, pihak KTMB memaklumkan bahawa semua cadangan itu terpaksa ditolak berikutan stesen Subang Jaya akan ditutup bulan ini untuk pelaksanaan sambungan LRT. Apabila kita tanya bila stesen itu akan ditutup atau sama ada notis itu telah diberikan, mereka tidak dapat jawab,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Hannah, pihak KTMB digesa untuk memberikan notis lengkap bagi rujukan orang awam berikutan sebilangan besar penduduk menggunakan stesen itu untuk ke tempat kerja.

Katanya, KTMB juga perlu menyediakan pelan alternatif bagi memindahkan pengguna ke stesen lain sebaik sahaja stesen tersebut ditutup tidak lama lagi.

“Sekiranya KTMB ingin menutup stesen itu, mereka perlu sediakan satu pelan supaya pengguna termasuk pemandu teksi dan bas tidak menghadapi kesukaran kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Subang Jaya, Che Ei Mohamad berharap supaya KTMB mempertimbangkan semula keputusan untuk menutup stesen itu kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka seharian.

Beliau berkata, ia juga akan menyebabkan peniaga-peniaga kecil di kawasan itu berdepan kerugian dan hilang mata pencarian.

“Kebanyakan daripada peniaga dan pemandu teksi telah berada di kawasan itu lebih 15 tahun. Kami terasa teraniaya kerana tidak dipanggil untuk berbincang. Saya berharap pihak KTMB akan memberi penjelasan berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Penswastaan KTMB: Tambang Naik, Faedah Kakitangan Bakal Terjejas

 

SHAH ALAM, 12 SEPT : Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal berhadapan kenaikan harga tambang perjalanan sekiranya penswastaan kepada Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) berlaku.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Kakitangan KTMB, Abdul Razak Md Hassan yang membantah pengambilalihan KTMB kepada syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelasnya, rakyat sudah pasti akan menerima kesan pengambilalihan memandangkan setakat ini tambang perjalanan KTMB merupakan paling murah berbanding dengan pengangkutan awam lain seperti LRT dan Monorail.

“Adakah tambang ini tidak dinaikkan? Bagaimana pula dengan kargo? Jadi inilah implikasi kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan usaha menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC.

Rafizi mendakwa usaha ini satu percubaan untuk membentuk sistem monopoli dalam operasi pengangkutan awam dan industri logistik.

Selain itu, Abdul Razak berkata pengambilalihan ini akan menyebabkan kakitangan KTMB bakal kehilangan beberapa faedah.

Menurutnya, faedah kakitangan KTMB hampir dilucutkan semasa syarikat itu diambilalih oleh Marak Unggul Sdn Bhd dari tahun 1997 sehingga tahun 2002.

“Pengalaman dengan Marak Unggul, kakitangan terpaksa buat kerja-kerja yang bukan bidang spesifikasi kerja.

“Kedua, cubaan menarik beberapa keistimewaan syarat-syarat pekerja keretapi. Ketiga faedah hospital, di mana sebelum itu kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh KTMB.?

Dakwa Abdul Razak, Marak Unggul cuba meletakkan had RM 1,000 terhadap kos perubatan hospital.

Abdul Razak berkata, usaha untuk mengurangkan faedah kakitangan KTMB gagal apabila Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek campurtangan.
Akhirnya pengambilalihan Marak Unggul dibatalkan pada 2002 dan Kerajaan Pusat mengambil kembali KTMB.

Ujar beliau lagi, perkara ini tidak mustahil berlaku seperti di dalam kes pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom, sebuah lagi syarikat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Tegas Abdul Razak, adalah lebih baik KTMB kekal dalam situasi sekarang atau dikembalikan kepada sektor awam agar tidak menjejaskan semua pihak.

Categories
NASIONAL

Tanah KTMB Yang Tidak Dirizab Tetap Milik Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Pusat diingatkan agar tidak membuat sebarang urusniaga atau sebarang urusan di atas tanah milik Kerajaan Negeri berhubung penswastaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mana-mana tanah negeri yang pernah digunakan untuk tujuan perkhidmatan keretapi tetapi tidak dirizabkan atau diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau diletakkan kepada Perbadanan Aset Keretapi (PAC) adalah milik Kerajaan Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan tanah yang kini tidak diduduki atau digunakan bagi tujuan perkhidmatan keretapi adalah tanah negeri.

“Kita juga tidak perlu untuk kaveat tanah itu kerana sememangnya ia milik Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bimbang tindakan penswastaan itu akan menjadikan aset-aset milik rakyat akan jatuh ke tangan pihak swasta.

“Kerajaan Negeri memandang serius terhadap tindakan itu kerana ia akan mengakibatkan aset dan pegangan tanah milik KTMB bernilai RM50 bilion akan jatuh kepada syarikat Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary,” katanya.

Tambahan pula, keputusan penswastaan itu dibuat melalui rundingan terus.

Jelas Abdul Khalid, ia bertentangan dengan hasrat awal Kerajaan Negeri menyerahkan hartanah tersebut kepada KTMB memandangkan KTMB adalah syarikat utiliti milik penuh Kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu ada orang yang datang kepada Kerajaan Negeri kerana tidak tahu apa yang berlaku dan tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Ambilalih KTMB: Cubaan Najib Untuk Adakan Monopoli

PETALING JAYA, 4 SEPT: Perdana Menteri sekali lagi memungkiri janji untuk mengendalikan tender-tender kerajaan dengan telus, adil dan terbuka apabila ia bakal menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC Corporation Berhad (MMC).

PKR berkata syarikat yang akan mengambilalih KTMB itu sepatutnya dipilih melalui proses tender terbuka dan bukan hanya menyerahkannya kepada syarikat yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli mendakwa usaha itu dilihat cubaan mewujudkan monopoli pengangkutan keretapi yang dijangka akan menjadi antara pengangkutan alternatif utama di masa hadapan.

“Konsortium beliau juga telah dianugerahkan tender pembinaan MRT yang kosnya dijangka melampui RM100 bilion.

“Dengan penganugerahan penswastaan KTMB pula, bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Syed Mokhtar akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan alternatif terpenting kepada sistem pengangkutan awam darat di masa hadapan.

“Ini bermakna, sebarang usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli ini,” kata Rafizi di dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Rafizi mendakwa pentadbiran Najib ketika ini sedang meneliti pelan operasi dan pengambilalihan yang dikemukan oleh MMC pada awal tahun ini.

Tindakan tersebut juga dianggap sebagai usaha untuk memusatkan operasi dan kontrak melibatkan infrastruktur dan harta utama negara kepada beberapa pihak yang dikenali sebagai kroni kepada Najib.

“Kini pun, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menguasai operasi dan aset-aset pelabuhan di negara ini,” kata Rafizi.

Menurut Rafizi sekiranya pengambilalihan itu hanya melibatkan peningkatan kecekapan operasi dan kos, dan tidak menangung hutang KTMB yang benilai RM1 bilion, adalah lebih wajar ia dibuat melalui tender terbuka.

Rafizi turut mengingatkan agar Najib dapat memastikan bahawa aset dan pegangan tanah KTMB bernilai RM 50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau individu.

Selain Rafizi, turut sama dalam sidang media parti itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Mohd Nor Manuty.

Categories
NASIONAL SELANGOR

63.5 Ekar Tanah Kg Sungai Sireh Digazet Sebagai Rezab Melayu

PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Negeri bersetuju mengazetkan Kampung Sungai Sireh Utama, Tambahan dan Tambahan Dua meliputi kawasan seluas 63.5 ekar sebagai tanah rezab Melayu di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan tersebut diambil hasil perbincangan dengvan pelbagai pihak terlibat serta bagi meningkatkan pemilikan tanah rezab Melayu untuk rakyat di Selangor.

“Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan rezab tanah Melayu ini dan kita telah berbincang dengan Ketua Kampung dan juga Penolong Pegawai Daerah termasuk pemimpin masyarakat. Mereka berpendapat untuk menentukan suasana kampung itu terus kekal lalu mereka bersetuju supaya tanah di kanpung ini dijadikan tanah rezab Melayu.

“Ini juga menunjukkan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) walaupun tanah ini diberikan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk tanah bebas dari segi sekatannya tetapi kita telah tunjukkan usaha kita itu bagi menjadikannya sebagai tanah rezab Melayu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian tanah kerajaan dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Utama, Kampung Sungai Sireh Tambahan dan Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua di sini hari ini.

Menteri Besar berkata, pemberimilikan tanah melibatkan seramai 195 orang di ketiga-tiga kampung itu bukan sekadar melibatkan tanah milik kerajaan tetapi juga tanah dimiliki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Katanya, hasil perbincangan dengan pihak Pejabat Tanah dan Daerah, KTMB dan ketua kampung yang mana semua nama penerima dapat diselaraskan seterusnya masalah pemberimilikan tanah sejak lebih 15 tahun lalu dapat diselesaikan.

Sementara itu, Miron Ipan, 80, seorang Pesara KTMB ketika ditemui melahirkan rasa syukur berikutan hasrat memiliki geran tanah di kampung itu termakbul juga sejak menunggu lebih 15 tahun lalu.

Beliau yang menetapkan di Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua bersama isterinya, Siti Maimunah Redzuan,79, menjelaskan pelbagai usaha dan permohonan dilakukan sebelum ini tetapi tidak berhasil.

“Pemberian geran tanah pada hari ini amat bermakna dalam hidup saya dan keluarga kerana kami menunggu saat ini begitu lama. Saya gembira sangat-sangat bila ia jadi kenyataan,” katanya.

Bagi Shahrizanni Zaman, 33, yang mewakili bapanya, Ahmad Akhirzaman Hamid, 60, berkata keluarganya menetap di kampung itu sejak kira-kira 30 tahun lalu.

“Kami berusaha beberapa kali memohon pemilikan tanah ini tetapi gagal. Maklum balas diterima mengatakan kedudukan tapak tanah kami masuk ke kawasan pemilik lain. Bagaimanapun ia berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini bila permohonan kami diberi perhatian dan akhirnya diluluskan.

“Kami gembira dengan keputusan ini yang menandakan Kerajaan Negeri bertindak adil tanpa mengambil kira fahaman seseorang rakyat berhubung politik,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu, Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad dan Dr Halimah Ali, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pegawai Daerah Klang, Datuk Bakhtiar Hussin.