Categories
AGENDA NASIONAL

Individu pulang dari luar negara tidak dibenar pilih stesen kuarantin

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kesemua individu di bawah pengawasan (PUS), melibatkan warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan wajib menjalani kuarantin 14 hari di stesen kuarantin, tidak dibenarkan memilih stesen kuarantin yang telah ditetapkan untuk mereka.

Ini berdasarkan ‘Garis Panduan Proses Kemasukan dan Kuarantin Person, Under Surveillance (PUS) Yang Tiba Dari Luar Negara Bermula 24 Julai 2020’, yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut garis panduan itu, pendaftaran PUS dibuat di semua Pintu Masuk Antarabangsa dan diselaraskan NADMA, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sekretariat pendaftaran, akan menyelaras penerimaan PUS dan pengurusan logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 atau pintu-pintu masuk udara, laut dan darat, di seluruh Malaysia.

“PUS perlu mempamerkan LoU (Surat Aku Janji dan Indemniti) kepada petugas. Sekretariat di Pintu Masuk Antarabangsa, akan mengaturkan keperluan logistik PUS ke Stesen Kuarantin yang ditetapkan,” demikian catatan dalam garis panduan itu, yang boleh dicapai di laman web NADMA; www.nadma.gov.my.

Berkuatkuasa hari ini, kerajaan mewajibkan mana-mana individu yang pulang ke Malaysia dari luar negara, agar menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel, berdasarkan kos dipersetujui sebelum ini dan bukan lagi di rumah, dan mereka yang terlibat juga perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan saringan.

Ini berikutan kegagalan sesetengah individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah, tetapi keluar ke tempat awam dan makan di restoran, seperti yang viral di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan awam.

Kerajaan juga membenarkan anak berusia 12 tahun ke bawah, berkongsi bilik dengan ibu bapa di stesen kuarantin ditetapkan, dengan syarat mereka pulang dari tempat yang sama, serta perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

Sementara itu, bagi pelajar tajaan, penaja diminta menanggung kos kuarantin pelajar yang terlibat dan pelajar daripada keluarga B-40 pula, boleh memohon pengecualian bayaran, sementara kerajaan menanggung kos kuarantin pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kenaikan kes harian dan kewujudan beberapa kluster baharu besar, kemungkinan disebabkan kelekaan serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP mahupun nasihat kerajaan dalam menangani Covid-19.

Sejak kebelakangan ini beliau berkata, tular di media sosial gambar beberapa individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah, namun didapati berada di tempat awam.

Menurut beliau, analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 hingga 20 Julai, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO), tidak menggunakan fungsi ‘Home Assessment Tool’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin atau hotel jika tidak sesuai di rumah

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat kemungkinan menempatkan individu yang pulang dari luar negara menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, pusat kuarantin atau hotel.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendekatan tersebut menyasarkan mereka yang pulang dari negara berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan mereka yang tidak mempunyai persekitaran bersesuaian di rumah untuk dikuarantin.

“Kami melihat langkah itu tetapi yang lebih penting sebelum mereka pulang, mereka harus melakukan saringan tiga hari sebelum menaiki pesawat dan jika perlu kami akan mengulangi ujian semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Sekurangnya-kurang kami tahu mereka negatif sebelum menaiki pesawat,” katanya kepada pemberita pada taklimat media harian mengenai Covid-19 di sini, semalam.

Katanya, mereka yang didapati positif akan diasingkan dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata susulan jumlah kes baharu rendah dan kapasiti saringan Covid-19 di bawah tahap maksimum, kementerian akan meningkatkan saringan dalam kalangan 11 kumpulan sasaran dan melaksanakan pensampelan secara rambang dalam komuniti berdasarkan lokaliti.

“Kajian menunjukkan peratusan kes yang dijangkiti dalam komuniti sangat rendah. Apabila amat rendah, kami perlu menyemak semula, mengambil beberapa langkah, menyusun semula dan merancang untuk menyasarkan komuniti,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

620 individu belum jalani saringan Covid-19 kali kedua

SHAH ALAM, 2 JULAI: Seramai 620 individu belum menjalani saringan kedua Covid-19 yang sepatutnya dilakukan pada hari ke-13 kuarantin di rumah.

Justeru, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa mereka yang terlibat segera berbuat demikian atau berdepan tindakan.

“Mereka boleh menghubungi Kementerian Kesihatan untuk maklumat lanjut. Pihak polis akan mengambil tindakan jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 10 Jun hingga semalam, seramai 8,535 individu disaring di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan 37 disahkan positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hukuman penjara individu gagal patuhi perintah pengawasan Covid-19

SHAH ALAM, 29 JUN: Individu yang gagal melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum menamatkan kuarantin di rumah selama 14 hari boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 5,909 individu yang diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), hanya 4,437 orang menjalani saringan.

“Daripada jumlah tersebut, tiga kes dikesan positif Covid-19. Seramai 1,472 orang masih perlu
menjalani ujian saringan hari ke-13 (kuarantin).

“Kegagalan mematuhi HSO merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 22, Akta 342 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua individu yang pulang dari luar negara dan masuk atas urusan kerja menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu.

Dr Noor Hisham berkata ahli keluarga juga perlu menasihatkan individu terlibat supaya mematuhi arahan tersebut untuk mengelak dikenakan hukuman.

“Kerjasama semua pihak diharapkan agar kita dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di
negara ini,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

600 individu pulang dari luar negara jalani kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 28 JUN: Seramai 600 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara semalam menjalani kuarantin wajib di rumah manakala dua individu dihantar ke hospital.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata seramai 454 individu pulang dari Indonesia, Iran, Iraq, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan, Jepun, Vietnam, Myanmar, Qatar dan Belanda melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta klia2.

“Baki 146 individu lagi memasuki sempadan negara melalui Johor. Polis turut menjalankan 427 operasi pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi arahan kuarantin,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bermula 10 hingga 27 Jun lalu, seramai 6,609 individu disaring di pintu masuk KLIA dan klia2 dengan 36 daripadanya positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat pulang dari luar negara tidak perlu dikuarantin wajib

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bermula 10 Jun ini, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak lagi akan dikuarantin wajib di pusat kuarantin, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebaliknya mereka hanya perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah masing-masing sekiranya ujian swab yang perlu dijalani di lapangan terbang sejurus ketibaan adalah negatif Covid-19, sementara bagi yang positif pula akan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Mereka diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan akan dipantau melalui aplikasi ini. Mereka juga diwajibkan memakai gelang tangan kuarantin bagi memudahkan proses identifikasi.

“Kepatuhan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing juga dapat dipantau oleh pihak berkuasa melalui aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 di negara-negara lain sudah terkawal dengan lengkung jangkitan melandai dan menurun, selain peningkatan keupayaan membuat saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan individu yang mengingkari arahan kuarantin wajib dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dikompaun RM 1,000 dan dihadapkan ke mahkamah.

Mengulas lanjut beliau berkata keputusan ujian swab boleh diketahui dalam tempoh satu ke dua jam, namun begitu sekiranya perlu menunggu lebih lama seperti dua hari, individu terlibat dihantar ke pusat kuarantin disediakan dan perlu membayar kos kuarantin ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga awal pagi ini, sebanyak 156 pusat kuarantin masih beroperasi berbanding 165 pada hari sebelumnya dengan 14,665 individu menjalani proses kuarantin wajib.

Seramai 50,873 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April sehingga kini, katanya.

“Sehingga hari ini, seramai 40,805 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kluster baharu 43 pelajar pulang dari zon merah Indonesia

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kluster baharu berjaya dikesan dalam kalangan rakyat yang pulang dari Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata kluster tersebut terdiri dari 43 pelajar yang positif selepas pulang dari Temboro di Magetan iaitu salah satu kawasan zon merah di negara berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 34 orang dikuarantin di Melaka dan sembilan di Wilayah Persekutuan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini di Putrajaya.

Hasil itu kata beliau, menunjukkan langkah kerajaan untuk kuarantin dan menyaring semua rakyat yang pulang dari luar negara adalah tepat.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini KKM sudah mengesan 65 kes positif warga Malaysia yang pulang dari luar negara.

“65 kes itu merupakan tambahan kepada 17 kes yang telah diumumkan semalam. 43 kes daripada Magetan, tiga dari Acheh, satu Turki dan satu Kalimantan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

17 rakyat Malaysia dikuarantin positif Covid-19

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 17 kes positif Covid-19 membabitkan rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin wajib 14 hari, selepas pulang dari luar negara, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia menunjukkan langkah kerajaan mewajibkan setiap rakyat yang pulang dari luar negara dikuarantin 14 hari adalah tepat, walaupun kurang disenangi segelintir daripada mereka.

“Laporan KKM terdapat 17 kes positif dalam kalangan rakyat yang pulang dari luar negara, bayangkan kalau kita benarkan mereka terus pulang ke rumah atau kuarantin sendiri, pasti ahli keluarga mereka terdedah (dijangkiti Covid-19).

“Jika keluarga mereka keluar ke pasar, tentu wabak ini merebak lebih luas sehingga wujud kluster baharu luar negara.

“Sebab itulah kita perlu yakin bahawa setiap tindakan kerajaan adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Mengenai laporan ramai pelancong asing terkandas di negara ini sejak PKP dikuatkuasakan, beliau berkata, kerajaan tidak menghalang mereka terus tinggal di Malaysia, namun perlu menjalani saringan kesihatan jika mempunyai gejala Covid-19.

“Ramai pelancong selesa berada di Malaysia kerana yakin tindakan kerajaan melalui PKP mampu melindungi mereka.

“Saya difahamkan (mereka menginap) di Pulau Tioman, Langkawi, Cameron Highlands dan lokasi peranginan lain, mereka masuk sebelum PKP, kita tak halang, malah penerbangan pulang pun tak ada,” katanya.

Categories
AGENDA

MB: Pegawai daerah di pusat kuarantin pastikan keperluan cukup

PETALING JAYA, 7 APRIL: Kerajaan Negeri menempatkan seorang pegawai daerah di setiap pusat kuarantin di negeri itu bagi menguruskan keperluan individu yang sedang menjalani kuarantin bagi pencegahan penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pegawai terbabit memantau setiap aktiviti dan pergerakan keluar masuk di pusat kuarantin berkenaan supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Kita bantu setiap pusat kuarantin daripada aspek sumber manusia dengan menempatkan pegawai daerah yang akan bertindak selaku ketua operasi.

“Persiapan dilaksanakan juga meliputi peraturan harus dipatuhi pegawai termasuk mereka yang tinggal di sana, manakala makanan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikendalikan pegawai daerah,” katanya selepas melawat Pusat Transit Kuarantin Rakyat di Sunway Clio Hotel di sini hari ini.

Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 389 individu di bawah pengawasan Covid-19 ditempatkan di hotel berkenaan sejak ia dibuka pada 5 April lalu.

Amirudin berkata tiga pusat kuarantin dibuka setakat ini yang menjadi lokasi penempatan pesakit bawah pengawasan (PUS) dan pesakit bawah pemeriksaan (PUI) iaitu Hotel Hilton Petaling Jaya, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) termasuk Hotel Sunway Clio.

“Pusat kuarantin diwujudkan untuk mengasingkan individu yang memerlukan pengawasan dan pemeriksaan supaya kita dapat menghentikan rantaian wabak berkenaan.

“Saya percaya pengasingan ini memberi kesan yang bagus demi memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai terus terjamin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kuarantin: Duta serta 54 individu tiba dari Iran dibenarkan pulang

NILAI, 6 APRIL: Proses kuarantin bagi 55 individu terdiri daripada warga Malaysia dan tanggungan serta bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Tehran, Iran, pada 22 Mac, tamat selepas mereka dibenarkan pulang hari ini.

Mereka yang melibatkan 46 rakyat Malaysia serta lapan rakyat Singapura dan seorang rakyat Indonesia, yang dikuarantin selama 14 hari di Pusat Pemantauan di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek di sini, dibenarkan berbuat demikian seawal pukul 7.30 pagi ini.

Daripada jumlah itu, 29 daripada mereka adalah lelaki dan baki 26, perempuan.

Turut dibenarkan pulang ialah Duta Besar Malaysia ke Iran Datuk Rustam Yahaya.

Menurut wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 42 individu pulang dengan diambil oleh ahli keluarga yang dibekalkan dengan surat kebenaran manakala lima yang lain dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, untuk menaiki pesawat pulang ke Kelantan dan Kedah.

Terdahulu, lapan warga Singapura adalah kumpulan awal dibenarkan pulang dengan menaiki bas yang diuruskan Kedutaan Singapura di Malaysia, manakala seorang rakyat Indonesia pulang dengan diambil oleh keluarga suami, yang juga warga tempatan.

Sebelum ini, pesawat khas dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan Kerajaan Malaysia membawa pulang kesemua mereka dari Iran, yang antara negara paling teruk dilanda wabak Covid-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 6.34 pagi, 22 Mac.

Misi berkenaan adalah yang ketiga selepas kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di Wuhan, China pada 4 dan 26 Februari lepas akibat wabak itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin cukup, 40,000 individu mampu ditampung

SHAH ALAM, 4 APRIL: Hampir 40,000 individu mampu ditempatkan di 409 pusat kuarantin Covid-19 seluruh negara dalam satu-satu masa, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 4,933 ditempatkan di 90 pusat kuarantin.

“Lebih daripada cukup tempat di pusat kuarantin, sekarang ini baru 4,000 lebih yang dikuarantin sejak awal lagi dan masih banyak tempat boleh digunakan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri berkaitan PKP di Putrajaya hari ini.

Semalam sahaja, katanya seramai 1,188 rakyat tempatan ditempatkan di pusat kuarantin seluruh negara dan 711 daripada jumlah tersebut tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka yang pulang dari luar negara diwajibkan untuk dikuarantin selama 14 hari di pusat disediakan bermula semalam.

“Bagi penduduk Sabah dan Sarawak yang pulang dari luar negara, mereka dikuarantin di negeri masing-masing mengikut ketetapan polisi kerajaan kedua-dua negeri berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPN: Sistem khas pantau individu jalani tempoh kuarantin

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Polis mempunyai sistem khas bagi mengawasi individu yang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah selepas mereka pulang dari luar negara.

Tanpa memperincikan butiran lanjut sistem khas itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia digunakan untuk mengesan mereka yang keluar dari rumah dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata individu yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani tempoh kuarantin harus mematuhi arahan KKM dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Sekiranya mereka ingkar dan berdegil keluar rumah dalam tempoh kuarantin, polis boleh mengambil tindakan dengan menahan serta mendakwa mereka… tindakan mereka (keluar rumah) membahayakan orang lain jika dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata selain itu, untuk memastikan keberadaan individu dikuarantin di rumah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara diarah membuka pusat panggilan dengan menghubungi atau membuat panggilan video terhadap individu dikuarantin.

“IPD-IPD terlibat diberikan tanggungjawab memantau mereka namun atas faktor kekangan keanggotaan, kami meminta bantuan Jabatan Sukarelawan (Malaysia) untuk membuat tinjauan ke rumah mereka serta menggunakan kaedah sama (menghubungi dan membuat panggilan video).

“Sampai macam itu sekali kami terpaksa buat untuk mengesahkan keberadaan individu dikuarantin untuk mereka sentiasa berada di dalam rumah,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis dan KKM hanya meminta individu dikuarantin berada di rumah dan bukannya diperintah untuk masuk lokap, oleh yang demikian, beliau berharap pihak terlibat akur dengan arahan itu.

“Ia adalah arahan amat mudah sekali iaitu untuk duduk di rumah dan mengkuarantinkan diri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sekiranya ada orang ramai yang menyembunyikan maklumat kluster Covid-19 daripada polis dan KKM, Abdul Hamid berkata ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Oleh itu, saya mohon orang ramai untuk tampil menyampaikan maklumat jika ada individu berdekatan mereka yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

“Jangan disebabkan anda menyorokkan maklumat kluster Covid-19, orang lain yang menjadi mangsa kerana ini adalah tanggungjawab bersama untuk memutuskan rantaian wabak itu,” katanya.

-BERNAMA