Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor rampas 25 tan kurma tidak patuhi syarat import

KLANG, 22 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri Selangor berjaya menggagalkan cubaan sebuah syarikat tempatan, membawa masuk 25,200 kilogram buah kurma dari Arab Saudi di Pelabuhan Klang Barat, di sini pada Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa Maqis kira-kira jam 11.00 pagi.

Menurutnya barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM141,229.44, ditahan kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import Maqis, iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan.

Beliau berkata kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali, di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

Katanya lagi, pihaknya mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak, yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Terkejut jumpa ulat dalam kurma popular

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 MEI: Seorang pengguna terkejut apabila mendapati kurma dari sebuah jenama popular yang dibelinya mengandungi ulat.

Amirahwani Rahimi, 25, berkata ulat itu dijumpainya ketika mengopek buah berkenaan untuk dibuat jus ketika sahur.

“Sebelum itu, ibu saya sudah memakan beberapa biji kurma yang sama tanpa memeriksa kandungannya. Lebih menjijikkan, hampir kesemua kurma yang berada dalam kotak berkenaan mempunyai ulat.

“Bayangkan jika saya hanya makan dan tidak membuang biji terlebih dahulu, sudah pasti sampai bila-bila saya tidak tahu rupanya kurma itu dipenuhi ulat,” katanya kepada SelangorKini.

Dia yang berasal dari Klang berkata, kurma itu dibeli dari sebuah pasar raya di sini, dengan harga mencecah RM13 sekotak.

“Disebabkan ia popular, sudah tentu kita ada harapan yang tinggi kepada keluaran mereka tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

“Saya berharap supaya pihak bertanggungjawab membuat pemeriksaan sewajarnya supaya tidak berlaku kepada pengguna lain,” katanya.

Aduan berhubung perkara itu sudah dibuat kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Selangor, hari ini.

Kakitangan yang bertugas memaklumkan masih tiada aduan bagi isu berkenaan, namun pihaknya mengesahkan kes sama berlaku, pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan ke atas produk makanan terbabit akan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azizan Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berhubung perkara berkenaan.

“Isu berkaitan kebersihan makanan akan dirujuk kepada jabatan kesihatan terlebih dahulu dan jika ada keperluan pihak kami juga akan turut bertindak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lihat, hidu & rasa pastikan kurma selamat dimakan

KUALA LUMPUR 27 MEI: Pengguna disaran membaca label dan mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati kurma yang dibeli bagi memastikan ia tidak tercemar dan selamat untuk dimakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan mengambil serius berita yang tersebar di laman media sosial berkaitan kurma tercemar dengan lipas dan kumbang.

Katanya, pihaknya meningkatkan pemantauan ke atas produk kurma di pasaran tempatan dan pintu masuk bagi memastikan makanan berkenaan selamat.

“Kementerian ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak serta kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan dibeli bersih dan selamat.

“Pengguna juga disaran membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelak mengambil makanan rosak atau tercemar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh diajukan kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Katanya, pengguna juga boleh menghubungi kementerian menerusi laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq bagi aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Warga emas jual kurma dapat perhatian LZS

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kisah warga emas dikenali sebagai pakcik Hashim mula mendapat perhatian ramai apabila menjadi viral di Facebook sejak minggu lalu.

Kegigihannya menjual kurma di perkarangan masjid walaupun usia menjangkau 70 tahun terpaksa dilakukan demi mencari sesuap nasi dan mendapat rezeki halal.

Atas keprihatinan itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif turun padang bertemu Hashim untuk menyerahkan bantuan ekspres RM500 kepadanya.

11250149_1096905516999135_5072289873670496410_nLZS dalam kenyataan di Facebook, berkata pertemuan itu adalah ziarah susulan pegawai agihannya untuk mengetahui lebih lanjut kesusahan yang dialami Hashim.

“Sebelum ini, LZS pernah membantu dia menjelaskan hutang sewa premis perniagaannya.

“Pakcik Hashim juga didaftarkan sebagai asnaf miskin di LZS dan akan menerima bantuan sewa premis perniagaan, manakala bantuan lain akan disalurkan mengikut keperluan,” katanya.

Hashim atau nama sebenarnya Hashim Jaafar kini menjalankan perniagaan menjual kurma di Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, di sini.

Kepada sesiapa yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank (1641 0001 6218) atau menghubunginya di talian 012-3628676.

-NFN-

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: ADUN Gombak Setia agih kurma untuk berbuka

Oleh: AFEEQA AFEERA

GOMBAK, 10 JULAI: Sebanyak 500 pek kurma bagi tujuan berbuka puasa diagihkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan negeri (DUN) Gombak Setia kepada peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan di Pinggiran Batu Caves dan Taman Samudera, dekat sini, baru-baru ini.

Sumbangan sempena Ramadan itu disampaikan ADUN Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak (DPPG).

20140708_174647Selain kurma, risalah Ramadan dan belon percuma turut diagihkan kepada golongan kanak-kanak sepanjang Ops Terjah Bazar yang dilakukan selama dua hari berturut-turut.

Hasbullah berkata, sumbangan ikhlas itu adalah untuk menyemarak dan mengimarahkan lagi sambutan bulan Ramadan terutama kepada pengunjung di Bazar Ramadan.

“Pemberian itu sebagai tanda keprihatinan PAS dan ADUN khasnya untuk masyarakat yang beragama islam, penduduk dan peniaga tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

“Ia juga adalah peluang untuk kita mendekati, berinteraksi dan bersama menghayati bulan penuh kemuliaan ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengagihkan kurma.

10477934_669948556423081_244509887011251978_nHasbullah yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor berkata, adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk sentiasa peka dan menjaga keakraban bersama rakyat supaya mereka berasa lebih dihargai.

Kebanyakan pengunjung dan peniaga memberi maklum balas positif kerana bukan saja dapat bertemu lebih erat dengan pimpinan DPPG dan ADUN, bahkan dihargai dengan cara demikian.

Hadir sama, Ketua Pemuda PAS kawasan Gombak, Syarhan Humaizi Halim; Pengurus PKM Gombak Setia, Ramli Talib; Ahli Majlis MPS Zon 11, Mohamad Azizul Abu Bakar dan AJK DPPG.

Selain pengedaran kurma, Hasbullah turut bertarawih dan menyampaikan tazkirah serta sumbangan wang untuk Surau Sunway Batu Caves.

-NFN-