Categories
AGENDA SUKANKINI

Pertemuan BAM-Zii Jia capai hasil positif

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara hampir menemui titik penyelesaian, selepas kedua-dua pihak mencapai keputusan positif dalam sesi pertemuan hari ini.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos memaklumkan kedua-dua pihak dilihat berpuas hati dengan hasil pertemuan, yang membincangkan mengenai rayuan dihantar pemain nombor tujuh dunia itu semalam.

“Pertemuan itu adalah amat positif dan saya fikir kita temui jalan untuk kedua-dua Zii Jia dan BAM.

“Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah, membawa perkara ini kepada ahli majlis BAM untuk diputuskan secara rasmi, dan kami akan buat pengumuman minggu hadapan, tetapi apa yang pasti, ia adalah satu keputusan yang baik untuk BAM dan Zii Jia,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, di sini.

Jahaberdeen berkata pihaknya ‘tidak bermusuh’ dengan sesiapa termasuk Zii Jia dalam isu berkenaan, selain percaya juara All England 2021 itu pastinya gembira dengan keputusan berkenaan dan apa yang lebih penting adalah kesimpulan dicapai itu demi kebaikan sukan badminton negara.

Ditanya sama ada BAM menerima tekanan daripada pihak luar bagi menyelesaikan isu tersebut, Jahaberdeen berkata ia sama sekali tidak berlaku, kerana badan induk itu sentiasa konsisten dengan pendirian untuk mengenakan hukuman kepada mana-mana pemain yang melanggar syarat perjanjian dalam kontrak ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan rayuan dibuat pemain, sekiranya mereka didapati melanggar terma kontrak.

“Kami lihat Zii Jia memang minat sungguh-sungguh dan kami buat keputusan kenapa tidak kami bantu dia jika ia tidak merosakkan BAM dan pemain lain…kita nak majukan semua pemain termasuk Zii Jia tanpa ganggu gugat peluang pemain Malaysia.

“Karier Zii Jia panjang lagi, sudah tentu BAM sebagai badan pentadbir tak kira pemain profesional atau bukan profesional, kita akan bantu bimbing pemain,” katanya.

Jumaat lepas, Jahaberdeen mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.

Ia berikutan keputusan pemain berusia 23 tahun itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lepas, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup ditetapkan di BAM.

Bagaimanapun, BAM semalam mengesahkan bahawa Zii Jia telah menghantar rayuan mengenai keputusan itu, dan berjanji ia akan mencari penyelesaian terbaik dengan segera.

Dalam pada itu, Jahaberdeen turut mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang rayuan serupa dilakukan Zii Jia, daripada juara remaja dunia Goh Jin Wei setakat ini.

Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lepas sebelum membuat pusingan-U untuk bergerak sebagai pemain profesional, turut tidak akan didaftar untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Oktober 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kemelut Zii Jia, BAM selesai dalam masa terdekat – menteri

BANGI, 25 JAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia, mampu diselesaikan dalam masa terdekat.

Ahmad Faizal yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia itu dan bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei semalam, berkata semua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai aspek paling utama, dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

“Saya juga bercakap dengan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Zii Jia dan Jin Wei yang diadakan secara tertutup semalam, Ahmad Faizal berkata kedua-dua pemain itu menyatakan dua alasan berbeza untuk keluar daripada BAM.

“Saya dengar dan percaya BAM juga akan mendengar apa sahaja yang mereka bawa, jadi kita doakan yang baik-baik. Perkara lain yang kita bincangkan (semalam), amat tidak manis untuk saya kongsikan kepada orang ramai, kerana jika ada pun lebih sebagai nasihat saya, umpama nasihat seorang abang kepada adik.

“Jadi saya harap perkara itu dihormati. Apa jua masalah dapat diselesaikan dan ada solusi terbaik jika kepentingan peribadi, kumpulan, dapat dikorbankan demi kepentingan negara.

“Itu yang saya sampaikan kepada mereka berdua, dan saya nampak mereka faham perkara itu. Saya juga mendoakan agar perjumpaan Zii Jia dengan kepimpinan BAM hari ini, akan mencapai solusi terbaik,” jelasnya.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan ini.

Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Jan lepas, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup yg tetapkan di BAM.

Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lepas, sebelum mula bergerak sebagai pemain profesional, turut dikenakan tindakan oleh BAM untuk tidak akan didaftarkan untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Okt 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia merayu kepada BAM terhadap penggantungan dua tahun

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia telah merayu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap keputusan Majlis BAM menggantung beliau daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa.

BAM menerusi satu kenyataan hari ini berkata rayuan Zii Jia itu diterima pihaknya hari ini dan sebagai badan yang menjaga kepentingan sukan badminton negara ia sedang meneliti perkara itu yang memerlukan tindakan segera bagi mencari penyelesaian secara berbaik-baik selepas Juara All England 2021 memutuskan untuk meninggalkan BAM sebelum tiba masanya.

Badan pentadbir badminton negara itu berkata keputusan untuk tidak mendaftarkan pemain nombor tujuh dunia itu untuk kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari lepas memberikan kesan mendalam bukan hanya kepada fraterniti sukan badminton tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

“Kami menyedari sepenuhnya kemarahan dan kekecewaan yang dicurahkan dan kami memahami sepenuhnya kekecewaan yang dinyatakan terhadap BAM. Keadaan ini adalah amat mencabar dan mendapat perhatian daripada semua pihak, ahli politik dan pemain antarabangsa.

“Kami menghargai semua ulasan, kritikan dan keseluruhan maklum balas ditujukan kepada kami. Kami mengambil maklum sentimen penuh semangat yang diutarakan rakyat Malaysia. BAM di sini untuk melindungi bukan sahaja sukan itu tetapi pemain, nilai dan standard yang terbaik untuk mewakili negara tercinta.

“Tindakan Majlis BAM adalah berdasarkan prosedur rasmi dengan maklumat yang dikemukakan kepada mereka. Bagaimanapun, adalah penting untuk diingatkan keputusan itu masih lagi boleh dirayu,” kata BAM.

Rabu lepas, Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia menyerahkan surat peletakan jawatan meninggalkan BAM pada 11 Januari lepas untuk menjadi pemain profesional dengan alasan beliau tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup dengan disiplin yang ketat dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kemudian Majlis BAM mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan bekas Juara Remaja Dunia Goh Jin Wei yang membuat pusingan U segera untuk menjadi pemain profesional selepas bersara daripada pasukan kebangsaan atas alasan faktor kesihatan, untuk mana-mana kejohanan dalam tempoh dua tahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BAM gantung Zii Jia, Jin Wei dua tahun

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang mahu berhenti daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terpaksa membayar harga yang tinggi apabila badan itu memutuskan untuk menggantungnya daripada bermain dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood berkata pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun, bermula 18 Januari.

Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Januari.

“Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di samping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.

“Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohannnya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya dalam satu sidang media di ABM di sini hari ini.

BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan tindakan kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Oktober 2021.

Untuk bermain dalam sebarang kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seseorang pemain itu perlu didaftarkan menerusi persatuan badminton kebangsaan.

Bagaimanapun Jahaberdeen berkata, pada masa ini BAM tidak bercadang untuk mengenakan denda kepada kedua-dua pemain tersebut.

Jahaberdeen berkata pemain-pemain itu boleh membuat rayuan pada bila-bila masa, manakala pintu untuk mereka kembali kepada BAM juga masih terbuka.

Sebelum ini BAM telah menggantung pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara. Bagaimanapun Ee Wei kemudiannya menyertai semula BAM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia tinggalkan BAM, ‘tidak tahan tekanan’

SHAH ALAM, 19 JAN: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan berkenaan menerima surat peletakan jawatan Zii Jia pada 11 Januari, lapor Berita Harian.

Mendakwa pemain itu memberi alasan tidak tahan tekanan, beliau berkata perbincangan ada dibuat bagi memujuk Zii Jia yang bersama badan itu sejak berusia 13 tahun supaya kekal bersama skuad kebangsaan.

“Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England (2020) dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan,” katanya.

BAM dijangka membuat pengumuman berkaitan perkara berkenaan pada 21 Januari.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan Dunia: Zii Jia terselamat ‘kejutan’ pemain Brazil

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terselamat daripada ‘kejutan’ pemain Brazil, Ygor Coelho apabila berjaya memenangi perlawanan dengan rubber set untuk menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol hari ini.

Walaupun memenangi set pertama 21-14, juara All England 2021 itu mensia-siakan peluang untuk menamatkan permainan lebih awal apabila membenarkan pemain ranking 50 dunia itu menewaskannya pada set kedua 24-22 sebelum pemain Malaysia itu kembali tenang untuk muncul pemenang dalam set penentuan 21-14.

Zii Jia, pemain pilihan keenam dalam kejohanan itu, akan bertemu pemenang antara pilihan kesembilan Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain Denmark, Hana-Kristian Solberg Vittinghus selepas ini.

Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren selepas disingkirkan pemain India, H S Prannoy 21-7, 21-17.

Sementara itu, pemenang pingat perak beregu lelaki Olimpik Rio 2016 Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kembali digandingkan memulakan kempen mereka dengan penuh bergaya apabila menewaskan Hiroki Okamura-Masayuki Onadera dari Jepun, 21-15, 22-24, 21-16.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jelajah Dunia Akhir BWF: Zii Jia layak ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, menamatkan perlawanan terakhirnya di Kumpulan B dengan satu lagi kemenangan, kali ini dengan menewaskan K Srikanth pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF (Badminton World Federation) di Bali, Indonesia.

Pemain nombor tujuh dunia itu mengekalkan kemenangan 100 peratus di kejohanan itu selepas kemenangan ke atas pemain dari India itu, 21-19, 21-14, pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua, Indonesia.

Kemenangan ini menyaksikan Zii Jia layak ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B, manakala Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang menduduki tempat kedua juga layak.

Sementara itu pasangan bergu wanita Pearly Tan-M Thinaah mengalami kekalahan kali kedua mereka, kali ini kepada pemenangan pingat emas Olimpik Tokyo Greysia Polii-Apriyani Rahayu, 18-21, 11-21 sekali gus menamatkan cabaran meeka di Bali selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan A.

Dalam masa yang sama, pasangan bergu campuran Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing juga terkeluar selepas menamatkan kempen di tempat tercorot Kumpulan A, berikutan kekalahan kepada pasangan Denmark Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 15-21, 17-21.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon-Goh Liu Ling menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua selepas tewas kepada juara kumpulan, pasangan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun 11-21, 12-21.

Kumpulan B beregu lelaki pula menyaksikan pasangan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang telahpun menempah tiket ke separuh akhir semalam, gagal mendapatkan kemenangan ketiga mereka selepas tewas kepada satu lagi pasangan dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 19-21, 21-12 dan 10-12.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia belum pasti sertai Indonesia Masters

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kelibat jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia pada kejohanan badminton Indonesia Masters masih menjadi tanda tanya berikutan kecederaan belakang badan dialami pada perlawanan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, awal pagi semalam.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata pasukan masih memantau keadaan semasa juara All England 2021 itu dan keputusan sama ada beliau mengambil bahagian atau tidak akan ditentukan selepas menilai tahap kecergasan pemain itu hingga saat akhir.

“Zii Jia sudah mencuba sebaik mungkin, tiada perbincangan tentang taktik dan strategi kerana Zii Jia juga penat secara mental. Ia adalah satu pengalaman baharu baginya, bagaimana dia boleh meneruskan dan menguruskan kepenatan.

“Mengenai kecederaan belakangnya, dia ada beberapa hari untuk berehat. Kami akan mengambil keputusan pada saat akhir dan jika dia belum pulih sepenuhnya, mungkin dia tidak menyertai kejohanan pertama, Indonesia Masters,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zii Jia yang juga pilihan kedua Terbuka Hylo terpaksa menarik diri akibat kecederaan dialami pada set penentuan sekali gus menyaksikan pemain bukan pilihan dari Singapura Loh Kean Yew menjuarai kejohanan berlangsung di arena Saarlandhalle di Saarbrucken.

Indonesia Masters pada 16-21 November adalah kejohanan pertama daripada keseluruhan tiga kejohanan secara berturut-turut di Indonesia dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Indonesia Masters akan diikuti dengan Terbuka Indonesia pada 23-28 November dan Jelajah Dunia Akhir dari 1-5 Dissember. Ketiga-tiga kejohanan di Indonesia itu dijadual diadakan di Bali.

Selepas tiga siri kejohanan itu, tumpuan peminat badminton dunia terarah kepada Kejohanan Dunia 2021 berlangsung di Huelva, Sepanyol dari 12-19 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sakit belakang, Zii Jia terpaksa lupakan gelaran juara Terbuka Hylo 2021

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia pasti tidak dapat melupakan perlawanan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman malam tadi selepas beliau terpaksa menarik diri daripada meneruskan perlawanan dalam set penentuan berikutan sakit belakang yang dialaminya.

Zii Jia yang merupakan pilihan kedua kejohanan terpaksa menarik diri selepas ketinggalan 12-17 dan memberi laluan kepada pemain bukan pilihan dari Singapura Loh Kean Yew menjuarai kejohanan itu selepas bertarung selama 64 minit pada final yang berlangsung di arena Saarlandhalle di Saarbrucken.

Zii Jia yang berada pada kedudukan ranking kelapan dunia bermula dengan baik dan mendahului Kean Yew 11-7 tetapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan terutamanya ketika bermain di hadapan jaring dan smesy yang tersasar daripada gelanggang membenarkan pemain Singapura itu mengumpul mata demi mata dan merapatkan jurang mata kepada 19-18.

Pada kedudukan 20-18 perlawanan ditangguhkan selama tujuh minit selepas Kean Yew mengalami luka pada buku jari tangan kanan dan memaksanya mendapatkan rawatan perubatan di tepi gelanggang.

Pemain Malaysia itu kemudian berjaya mendapatkan rentak permainan dan berjaya menewaskan Kean Yew 21-19 pada set pertama perlawanan.

Kecederaan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat pemain ranking ke-39 dunia itu untuk bangkit dan menundukkan Zii Jia 21-13 menerusi smesy-smesy tajam pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set penentuan berlangsung dengan penuh debaran terutamanya pada awal permainan apabila kedua-dua pemain saling kejar-mengejar mata sehingga kedudukan 10-10 sebelum kecederaan yang dialami Zii Jia membuatkan Kean Yew melebarkan jurang mata kepada 17-12 dan seterusnya memenangi perlawanan itu selepas pemain Malaysia itu tidak dapat meneruskan permainan.

Kemenangan malam tadi menyaksikan Kean Yew menambah rekod tanpa kalahnya berhadapan Zii Jia sejak minggu lepas selepas beliau menyingkirkan jaguh perseorangan Malaysia itu 24-22 dan 21-14 pada pusingan pertama Terbuka Perancis.

Kekalahan kali ini menunjukkan Zii Jia masih tidak berupaya untuk mengakhiri kemarau juara selama lapan bulan selepas beliau menewaskan Victor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 dalam Kejohanan All England 2021 di Birmingham, England, Mac lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia mara ke pusingan akhir Terbuka Hylo

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia semakin hampir merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh lapan bulan selepas mara ke pusingan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, awal hari ini, waktu Malaysia.

Pemain pilihan kedua itu menewaskan pemain pilihan keenam, Srikanth Kidambi dari India di separuh akhir untuk final menentang pemain bukan pilihan Loh Kean Yew dari Singapura, lewat hari ini.

Bagaimanapun ia bukanlah perjalanan mudah buat Zii Jia kerana Srikanth mempamerkan daya tahan yang mantap pada set pertama sebelum pemain Kedah itu mencatat kemenangan tipis 21-19.

Pada set kedua, Zii Jia sekali lagi terselamat apabila pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada ketinggalan 9-15 untuk mengejar Srikanth dan akhirnya bernasib baik untuk mara ke final selepas menang 22-20.

Ini adalah final pertama Zii Jia selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Victor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 untuk memenangi Kejohanan Badminton All England 2021 di Birmingham, England, Mac lepas.

Dalam pada itu, pemain nombor 40 dunia Kean Yew meneruskan aksi cemerlang di Jerman apabila menewaskan rakan senegara Srikanth, Lakshya Sen 21-18, 21-12 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Zii Jia, 22, sudah pasti akan berusaha membalas dendam apabila dikejutkan dengan penyingkiran awal di tangan Kean Yew apabila pemain Singapura itu melakar kemenangan sensasi 24-22, 21-14 pada pusingan pertama Terbuka Perancis bulan lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia pamer kebangkitan, lepasi pusingan pertama Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia bangkit dengan aksi meyakinkan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Wang Tzu Wei dari Taiwan pada kejohanan badminton Terbuka Denmark semalam.

Zii Jia yang tewas set pertama, bangkit semula pada set kedua dengan 21-9 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-18 dalam pertarungan berlangsung 50 minit di Odense Sports Park.

Pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu dijangka berdepan seorang lagi pemain negara Liew Daren atau pemain tuan rumah Hans-Kristian Solberg Vittinghus pada pusingan kedua.

Sementara itu, gandingan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik memerlukan 23 minit sebelum mengenepikan pasangan Belanda Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-17, 21-9 untuk mara ke pusingan kedua.

Beregu negara akan berdepan pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Sato yang menundukkan rakan senegara Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-18, 19-21, 21-14.

Dalam satu lagi aksi beregu lelaki, pemain beregu negara Goh V Shem yang membuat penampilan sulung dengan gandingan baharunya Low Juan Shen tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-14, 21-18.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula tersingkir awal apabila tewas kepada Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong 21-17, 21-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia ada kualiti pemain handalan tapi belum konsisten – Rashid

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Perseorangan utama negara Lee Zii Jia menunjukkan kualiti seorang pemain handalan dunia pada kempen Piala Thomas 2020 namun corak permainannya masih belum konsisten, kata legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek.

Bagaimanapun, beliau berpendapat juara All England 2021 itu masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahannya.

“Nak kata stabil, Zii Jia masih belum stabil lagi tetapi dia dah ada tahap sebagai pemain utama sebab dia dah pernah kalahkan semua 10 pemain terbaik dunia. Jadi bila dia sudah kalahkan pemain dalam kelompok itu memang dia ada kualiti untuk jadi pemain utama.

“Cuma dari segi konsisten itu masih belum lagi…tetapi dia pun baru berumur 23 tahun kan, jadi sekurang-kurangnya perlukan antara satu hingga dua tahun untuk berusaha jadi lebih konsisten,” katanya baru-baru ini.

Rashid, sebahagian daripada skuad yang menjulang Piala Thomas buat kali terakhir untuk negara pada 1992 di Kuala Lumpur, berkata Zii Jia dan jurulatihnya perlu lebih memilih dalam menentukan pertandingan yang bakal disertai selepas ini.

Menurut Rashid, menyertai terlalu banyak pertandingan boleh memberikan kesan kepada mental pemain, malah kekerapan beraksi pada kejohanan besar juga boleh menyumbang kepada kejatuhan prestasi.

“Bila pergi kejohanan besar, jangkaan orang ramai mesti nak dia menang, sekurang-kurangnya ke final atau pun juara. Jadi di situ memang satu bebanan yang berat untuk dia,” katanya.

Zii Jia, pemain di ranking kelapan dunia, sudah merekodkan kemenangan ke atas semua lawannya dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia ketika ini antaranya Kento Momota dari Jepun, Viktor Axelsen (Denmark), Chou Tien Chen (Taiwan), Cheng Long (China) dan Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia).

Sementara itu, Rashid percaya Malaysia mampu menamatkan penantian hampir 30 tahun untuk merangkul Piala Thomas jika skuad negara mempunyai barisan pemain berprestasi tinggi dalam setiap acara.

“Buat masa sekarang ada nampak peningkatan pemain muda terutama dalam acara perseorangan tetapi beregu belum lagi. Mungkin kita boleh terus perkuatkan lagi pemain perseorangan dan pada masa kita kena cari satu lagi beregu pelapis kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Kita nak supaya pasukan negara pada 2024 akan lebih seimbang dan siapa-siapa pun boleh dapatkan mata untuk pasukan,” katanya.

-BERNAMA