Categories
SELANGOR

Batal Pelaburan : Isa Perlu Tunjuk Bukti, Jangan Cakap Kosong

MB Fitnah Beli Lembu Korban 03

SHAH ALAM, 24 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjemput Adun Batang Kali, Datuk Isa Abu Kassim menyatakan dengan tepat industri dan nama syarikat yang membatalkan pelaburan mereka akibat birokrasi Kerajaan Negeri dan masalah bekalan air di negeri ini.

Ini kerana menurut Abdul Khalid, setakat ini hanya terdapat satu projek di Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang masih tertangguh untuk mendapat perakuan dari Syabas atas alasan kekhuatiran tidak mencukupi air jika projek tersebut diteruskan.

Manakala kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain pula mengesahkan tiada sebarang projek pembangunan samada projek industri atau perumahan yang ditolak atau tertangguh akibat kekurangan air.

Justeru, Isa sewajarnya bersikap lebih profesional, bertanggungjawab dan bukan bercakap kosong tanpa fakta jelas dalam mengeluarkan sesuatu tuduhan terhadap Kerajaan Negeri.

“Dakwaan Isa itu jelas mahu mencemarkan nama baik Kerajaan Negeri dan seluruh kakitangan awam negeri ini yang berkerja keras bagi memastikan Selangor kekal sebagai destinasi nombor satu pelaburan.

“Saya sebenarnya tidak mengharapkan Isa untuk berperanan dalam membantu menarik pelabur ke Selangor.

“Namun demikian sebagai pemimpin masyarakat negeri ini, saya tidak menyangka Isa sanggup memburukkan Negeri Selangor dengan tujuan menakutkan pelabur melabur di negeri ini,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Menurut Abdul Khalid statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2012 menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah bilangan projek tertinggi dengan 252 projek iaitu sebanyak 31 peratus dari Jumlah keseluruhan projek yang diluluskan di Malaysia.

Projek tersebut merangkumi 156 projek baru dengan nilai pelaburan berjumlah RM 8,144,722,179 dan sebanyak 96 projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan sebanyak RM 3,590,095,756.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Capai Sasaran Nilai Pelaburan RM10 Bilion Pada 2012

Teresa Kok Kontena Kilang 01

SHAH ALAM 13 FEB : Selangor berjaya mencapai sasaran nilai pelaburan melebihi jumlah purata yang ditetapkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM10 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata bagi tempoh itu, Selangor mencatat rekod tertinggi berbanding negeri lain, dengan catatan melebihi RM10.5 bilion melibatkan 211 projek perkilangan yang diluluskan.

Katanya, jumlah itu mewakili sebanyak 30 peratus daripada jumlah nilai pelaburan di Malaysia.

Beliau berkata, dari jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM6.5 bilion(62%) adalah daripada pelaburan tempatan manakala sebanyak RM3.9 bilion (38%) daripada pelaburan asing.

“Daripada 211 projek itu, sebanyak 131 projek merupakan projek baru dengan nilai RM7.477 bilion dan sebanyak 80 projek merupakan projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.043 bilion.

“Dari segi potensi peluang pekerjaan pula, Selangor turut mencatat jumlah potensi peluang pekerjaan tertinggi sebanyak 18,975 peluang pekerjaan. Dari segi peratus, mencatatkan sebanyak 31 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK, di sini.

Beliau menambah industri pembuatan barangan peralatan kenderaan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berjumlah RM4.4 bilion dengan 34 projek. Ia diikuti dengan Industri Pembuatan Barangan Elektrik dan Elektronik sebanyak RM1.5 bilion dengan 19 projek.

“Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi, diikuti dengan Hulu Selangor dan Klang,” katanya.

Tambahnya, jumlah itu menunjukkan Selangor masih kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan tempatan dan asing, malah pelabur tempatan menaruh harapan keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Kita menjangkakan Selangor akan terus berada di kedudukan nombor satu sehingga akhir tahun 2012,” katanya.

Untuk rekod, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2008 hingga Oktober 2012, Selangor muncul negeri tertinggi dengan jumlah sebanyak RM48.53 bilion.

Prestasi Selangor itu adalah yang terbaik dan tertinggi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor berbanding pentadbiran sebelum ini.