Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Simpan bekalan air secukupnya, LUAS kongsi tips persediaan

SHAH ALAM, 12 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyarankan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur bersiap sedia menyimpan bekalan air mencukupi susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 bermula esok.

Agensi itu menerusi Facebook mengariskan beberapa tips persediaan sebagai langkah kepada orang ramai bagi menghadapi situasi selama empat hari itu.

Antaranya penduduk disaran menyimpan air sebanyak yang mungkin di dalam bekas; mengenal pasti stesen pengisian air komersial di kawasan terlibat dan memasak serta menyimpan stok makanan lebih awal.

Mereka juga digalak menggunakan perkakas dapur pakai buang seperti bekas plastik; membeli air mineral untuk kegunaan isi rumah dan menggunakan cecair pembasmi kuman atau tisu basah.

Sepanjang 13 hingga 16 Oktober, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Categories
AGENSI SELANGOR

LUAS arah premis ternak ayam selenggara laluan kumbahan elak pencemaran

SHAH ALAM, 29 SEPT: Wakil premis ternakan ayam dekat Sungai Lui, Hulu Langat diarah menyelenggara laluan pelepasan sisa dan kolam bagi mengelak pencemaran.

Arahan berikutan aduan orang ramai mengenai aktiviti pembuangan sisa kumbahan penternakan ayam di kawasan berkenaan, tegas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Wakil premis diarah menyelenggara laluan pelepasan efluen dan kolam serta menutup semua lubang yang boleh mengakibatkan efluen keluar ke kawasan berhampiran,” kata agensi itu di Facebook.

Siasatan LUAS pada 24 September turut mendapati premis terbabit tidak tertakluk bawah aktiviti berjadual kerana jumlah ternakan kurang 20,000 ekor selain dijalankan atas tanah persendirian.

Agensi itu turut meminta orang ramai melaporkan segera aktiviti mencurigakan bagi mengelakkan insiden yang berpotensi menyumbang pencemaran sumber air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tindakan tegas kepada pihak jadi punca cemar Sungai Penchala

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kerajaan Selangor memandang serius insiden pencemaran Sungai Penchala, Petaling Jaya yang mengakibatkan ratusan ikan mati pada minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin shari menerusi Facebook berkata siasatan terperinci insiden itu sedang dijalankan agensi berkaitan.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan jenayah alam sekitar dan memastikan tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada 12 Ogos Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar Selangor berhubung kejadian ikan mati dengan jumlah yang banyak di Sungai Penchala.

Hasil siasatan, LUAS berjaya mengesan pelepasan bahan kimia daripada sebuah kilang berhampiran Jalan Professor Koy Khee Kim yang menjadi punca kejadian berkenaan pada 14 Ogos.

Berikutan itu tindakan diambil mengikut Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau lebih RM1 juta jika sabit kesalahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

LUAS: Warta 1,124 sungai, elak pencemaran sumber air

SHAH ALAM, 13 MAC: Sebanyak 1,124 sungai termasuk cabang sungai di Selangor akan diwartakan sebagai rizab sungai bagi mengekang pencemaran sumber air.

Usaha yang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) itu untuk memastikan lebih 12 juta penduduk di Lembah Klang tidak lagi menghadapi masalah bekalan air.

“Sebanyak 663 sungai telah siap pelan ukur demarkasi sebelum dikemukakan kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan baki 458 sungai lagi akan di laksanakan secara berperingkat sehingga 2023.

“Setakat Januari tahun ini, tiga sungai sudah mempunyai pelan warta yang sempurna iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara,” lapor Kosmo!

Menurut agensi itu,  proses pewartaan itu meliputi 50 meter pada bahagian kiri dan kanan sungai mengikut Seksyen 48 Enakmen Luas 1999.

Pewartaan berkenaan membabitkan kawasan lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Bernam, Sungai Buloh, Sungai Tengi, Sungai Sepang dan Sungai Klang.

Sementara itu, LUAS memaklumkan penubuhan zon pelindungan di bawah Seksyen 48(1) Enakmen Luas 1999 bertujuan menyelamatkan mana-mana sumber air, takungan dan kawasan pantai yang sensitif kepada alam sekitar.

Jelasnya, kesemua aktiviti sedia ada di zon pelindungan adalah tertakluk kepada sekatan seperti larangan terhadap sebarang pembinaan struktur.

“Sekatan itu turut melibatkan pelaksanaan sebarang aktiviti atau penyimpanan bahan kimia termasuk racun makhluk perosak, baja dan pembuangan bahan buangan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LUAS: Friends of River pupuk kesedaran cintai sungai

SHAH ALAM, 25 NOV: Pewujudan Friends of River (FoR) membuktikan komitmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memupuk kesedaran dan rasa cinta masyarakat terhadap sungai di negeri ini.

Pemangku pengarahnya (ketua penolong pengarah bahagian pengurusan lembangan sungai dan pantai) berkata inisiatif itu bukan sahaja melindungi sungai daripada tercemar malah memanfaatkan komuniti setempat.

“Pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dikumpulkan di bawah FoR dengan masing-masing menggerakkan usaha sendiri melalui aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran sungai.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Haslina Amer bercakap ketika Program Bual Bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita percaya komuniti sungai akan mendapat manfaat kerana kawasan sungai itu boleh digunakan untuk beriadah dan melakukan aktiviti bersama keluarga,” kata Haslina Amer pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Media Selangor pada Isnin.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua pihak bersama-sama menjaga kebersihan sumber air mentah demi kepentingan generasi akan datang.

“Tanggungjawab memelihara sungai bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan mahupun agensi tetapi memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Pada 25 Januari 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pewujudan Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-Sungai di Selangor yang dipengerusikan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Luas sebagai urusetia.

Salah satu inisiatif pemuliharaan sungai yang diperkenalkan melalui jawatankuasa ini adalah pewujudan FoR di setiap sungai negeri ini.

Sehingga kini, sebanyak 40 FoR ditubuhkan di 40 anak sungai yang menjadi ‘mata’ Kerajaan Negeri untuk memastikan kawasan persekitaran sungai bersih.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Luas gerakkan kontraktor, pembersihan di tapak selesai

SHAH ALAM, 29 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menggunakan kontraktor panel pembersihannya bagi proses kerja berkaitan di tapak kejadian pencemaran minyak hitam di alur air Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong.

Agensi memaklumkan kerja pembersihan selesai sepenuhnya sekitar jam 11.30 malam tadi dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa termasuk kesan pencemaran di Sungai Balak dan Sungai Langat.

“Luas bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Indah Water Konsortioum bekerjasama dalam proses membersihkan sia minyak enjin ditemukan di alur Sungai Balak.

“Setelah pemeriksaan di tapak oleh pegawai Luas, kerja secara manual hanya perlu dilaksanakan oleh pekerja awam memadangkan kuantiti minyak yang sedikit,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Luas sebelum ini mengesan pencemaran minyak hitam terpakai susulan aduan awam pada 27 Oktober lalu dan hasil siasatan mendapati lokasi pembuangan merupakan kawasan bertakung dan disyaki dibuang secara haram oleh pihak ketiga.

Pihaknya turut meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ di lokasi pencemaran bagi menghalang aliran minyak ke alur air seterusnya ke Sungai Balak.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tindakan Luas elak henti tugas LRA Sungai Selangor, putus bekalan air

SHAH ALAM, 19 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bertindak pantas mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan bekalan air tergendala selepas insiden air berwarna hitam dikesan di Sungai Gong, Rawang hari ini.

Dalam kenyataannya agensi Kerajaan Negeri itu memaklumkan kejadian pada jam 12.11 tengah hari susulan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak dan siasatan di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai berwarna hitam dan tiada bau selain disyaki disebabkan pewarna.

“Kod Kuning diaktifkan berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor,” katanya.

Luas menambah siasatan turut mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di kawasan Perindustrian Rawang.

Katanya, pensampelan in-situ mendapati kandungan ammonia sebanyak 5.2 mg/I dan TSS adalah 47 mg/I sebelum aliran dari pam masuk serta pelepasan caj efluen diberhentikan.

“Siasatan bersama Air Selangor di sistem pemantauan sungai (RMS) Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam tersebut menunjukkan tiada bau dan kesan minyak,” katanya.

Agensi itu menjelaskan siasatan diteruskan ke Sungai Sembah iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor untuk pensampelan in-situ dan mendapati tiada bau serta tiada warna kehitaman.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan. Tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sampel air Sungai Gong dihantar ke jabatan kimia

RAWANG, 3 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengambil sampel air di Sungai Gong susulan pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Haizam Irwan Toha berkata sampel dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis dan keputusan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Luas juga giat lakukan pemulihan dengan mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) dan melepaskan 400 JLH air Empangan Sungai Tinggi untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor, ” katanya selepas meninjau kawasan kilang itu hari ini.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri laksana proses pemutihan jeti – Izham

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Negeri sedang menjalankan program pemutihan jeti perikanan tanpa lesen secara berperingkat, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) merupakan agensi bertanggungjawab mengendalikannya dan setakat ini 86 jeti di Bagan Sekinchan dan 108 di Bagan Sungai Besar mendapat kelulusan penggunaan tanah.

“Pengeluaran lesen serta garis panduan pembinaan jeti yang perlu dipatuhi melibatkan kawasan pantai, muara sungai dan pedalaman sungai. Melalui Pelan Tindakan Pengurusan Jeti, Luas melakukan pemeriksaan di seluruh negeri dengan kelulusan diberikan selepas didapati struktur jeti kukuh serta selamat digunakan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Izham berkata proses pendaftaran jeti selaras dengan Seksyen 43 dan Seksyen 70 Enakmen Luas 1999 sebagai langkah kawalan terhadap aktiviti berhampiran sumber air.

“Jika ada peruntukan, kita berikan kepada jeti yang telah melalui proses pemutihan untuk ditambah baik,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran LRA Labohan Dagang terkawal, tiada gangguan bekalan

SHAH ALAM, 4 MEI: Tindakan pantas kawalan pencemaran di Sungai Langat berjaya mengelak henti tugas loji pembersihan air (LPA) Labohan Dagang semalam, sekali gus tidak berlaku gangguan bekalan air.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata Ops Sumber Air dijalankan selepas menerima laporan insiden pencemaran di Sungai Langat pada jam 11.50 pagi semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (Jas), Pengurusan Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati pencemaran berpunca dari Stesen Jana Kuasa Kuala Langat.

“Siasatan di kawasan itu telah menemukan sisa tumpahan yang disyaki minyak diesel di premis tersebut dan dimaklumkan wakil premis bahawa insiden berlaku melibatkan tumpahan minyak daripada peralatan pemisah minyak ekoran kekerapan hujan lebat.

“Wakil premis memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan pembersihan segera dengan memasang ‘oil boom’ berdekatan dengan kawasan pelepasan akhir stesen janakuasa tersebut.

“Aliran sisa minyak diesel berjaya dikawal dan tidak mengalir ke Sungai Langat yang mana kerja-kerja pembersihan dan penyedutan baki sisa minyak sudah dijalankan oleh premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Luas, pihak premis turut memaklumkan menggunakan ‘oil pad’ dan akan meletakkan karbon aktif (AC) berhampiran premis untuk mengawal pencemaran.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air,” katanya

Menurut Luas, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan- kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sungai Selangor tercemar lagi, loji bersih air dihenti tugas empat jam

SHAH ALAM, 26 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang menyiasat punca pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga menyebabkan Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau Panjang dihenti tugas hampir empat jam awal pagi tadi.

Ia kali kedua sungai menjadi sumber bagi merawat air untuk kegunaan pengguna di Lembah Klang tercemar dalam tempoh 10 hari.

Agensi itu memaklumkan LPA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 12.15 tengah malam tadi selepas pihaknya mengesan pencemaran bau, bagaimanapun ia kembali beroperasi jam 4 pagi.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau berkenaan,” katanya dalam Facebook di sini hari ini.

Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan gangguan bekalan air seperti berlaku pada 17 April lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas juga akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.

Siasatan mendapati ia berpunca daripada kolam ikan keli dan tindakan tegas diambil Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang menyita dan merobohkan premisnya dalam satu operasi, Isnin lalu.

Categories
SELANGOR

LUAS wujud landskap kehidupan, inovasi unik

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 1 JUL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewujudkan Landskap Kehidupan (LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 Off River Storage (ORS), Bestari Jaya, di sini.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, ORS Bestari Jaya antara lokasi terpilih bagi melaksanakan landskap kehidupan kerana konsep ‘off river storage’ yang dilihat mampu untuk direplikasikan di tempat lain.

Katanya, inovasi pembangunan landskap kehidupan dalam sumber air alternatif di ORS Bestari Jaya berjaya mengurangkan kos pembangunan landskap dengan menggunakan konsep gotong-royong membabitkan komuniti setempat dan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Kelab Rotary.

“Dengan adanya inovasi sebegini ia berjaya membuktikan bahawa pengurusan sumber air secara holistik, mampan dan memberi pelbagai faedah kepada komuniti setempat dan alam sekitar serta berpotensi dikembangkan ke seluruh negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada LUAS dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana berjaya menghasilkan ciptaan inovasi yang unik ini.

“Hal ini sejajar dengan matlamat LUAS dan MDKS sebagai agensi rujukan dalam pengurusan sumber air serta pembandaran lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Landskap Kehidupan LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 ORS Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah LUAS, Haslina Amer berkata, inovasi itu juga berpotensi menjadi peneraju era baharu pengurusan dalam menyelaras kawasan sumber air dengan membenarkan aktiviti rekreasi yang terkawal.

“Ini mampu memberikan manfaat sosial kepada masyarakat dan pada masa sama sumber air dapat digunakan apabila diperlukan.

“Malah, selain mengangkat konsep ORS untuk bekalan air, ia juga dipelbagaikan fungsinya dengan pembangunan sebagai tempat sukan air, pendidikan, latihan dan rekreasi sumber air negeri,” katanya.