Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan kekal beku kenaikan kadar tol

PETALING JAYA, 9 JAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengekalkan keputusan membekukan semua kenaikan kadar tol di seluruh negara tahun ini, sebagai usaha untuk terus membantu rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu diambil dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat walaupun kerajaan terpaksa menampung kos membayar pampasan lebih RM1 bilion kepada pengendali-pengendali tol.

“Sungguhpun kerajaan telah membekukan kenaikan kadar tol tahun ini, rakyat perlu ingat bahawa apabila kadar tol dibekukan maka kerajaan perlu bayar ganti rugi (pampasan).

“Ini bukan satu angka yang kecil, tentu lagi banyak (wang) kerana kadar (tol) meningkat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri hari bertemu pelanggan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu menanggung lebih RM1 bilion susulan keputusan itu.

Lim berkata rakyat masih boleh menikmati kadar lama di semua tol dan perkara itu akan diteruskan oleh kerajaan PAKATAN.

Beliau turut menzahirkan kekesalan kerana kurangnya liputan berhubung keputusan kerajaan mengekalkan keputusan membekukan kenaikan kadar tol yang memberikan impak besar kepada rakyat berbanding isu lain.

Pada 2019, kerajaan membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan, berdasarkan kepada rasa tanggungjawab kerajaan PAKATAN untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangunan ekonomi dijangka meningkat menjelang Jun 2020

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Pembangunan ekonomi Malaysia dijangka meningkat selewat-lewatnya menjelang Jun tahun ini, sekali gus membolehkan kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 4.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan kekal optimis walaupun kalangan ahli ekonomi dan Bank Dunia bertindak menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus.

“Kita yakin untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan tersebut, disokong oleh harga komoditi yang semakin pulih selain faktor perkembangan pelaburan awam khususnya perbelanjaan kerajaan serta prospek penyelesaian perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata terdapat beberapa kementerian yang mengagihkan peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2019 pada Mei atau Jun walaupun wang dikeluarkan pada Januari.

“(Susulan itu) tender hanya boleh dijalankan pada September atau Oktober manakala tawaran hanya dibuat pada dua bulan atau tiga bulan kemudian. Oleh itu, kerja-kerja hanya boleh dimulakan pada akhir tahun ini ataupun tahun depan.

“Berikutan itu, tiada masalah bagi perbelanjaan pembangunan pada 2019 membabitkan projek-projek yang sedang berlangsung tetapi bagi projek baharu, ia akan dibawa ke tahun hadapan dan ditambah dengan belanjawan (pembangunan baharu) bagi 2020,” katanya.

Lim berkata, ekonomi Malaysia juga dijangka rancak dan mendapat rangsangan sekiranya perang perdagangan Washington-Beijing dapat diselesaikan.

Ini sejajar status negara ini sebagai ekonomi pengeksport dan sebarang penyelesaian perbalahan perdagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu mampu memberi manfaat kepada Malaysia.

“Mahu tidak mahu, kita (sentiasa) dipengaruhi oleh keadaan atau suasana perdagangan (luaran). Oleh itu, apabila kita lihat prospek pertumbuhan perdagangan sedunia hanya 1.2 peratus iaitu kadar paling rendah dalam 10 tahun, kita menjangkakan untuk mencapai pertumbuhan KDNK pada 4.7 peratus.

“Bagi tahun 2020 pula, prospek pertumbuhan perdagangan dunia dijangka meningkat kepada tiga peratus. Sehubungan itu, kita yakin unjuran 4.8 peratus dapat dicapai dan melihat pertumbuhan lebih tinggi sekiranya perang perdagangan AS-China dapat diselesaikan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet dijangka buat keputusan pengambilalihan lebuh raya minggu depan

PUTRAJAYA, 30 DIS: Kabinet dijangkakan membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dan empat lebuh raya di Lembah Klang berkaitan Gamuda Bhd, minggu depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata keputusan itu perlu dibuat segera bagi mengelak kerajaan terpaksa membayar pampasan yang lebih tinggi kepada pengendali tol.

“Harap minggu depan. Kerajaan membekukan kenaikan kadar tol tahun ini, dan perlu membayar pampasan. Oleh itu kami perlu membuat keputusan segera atau jika tidak, angkanya akan terus meningkat,” kata Lim semasa ditemui pemberita selepas penutupan Festival Literasi dalam Teknologi Kewangan (LIFT) 2019, di sini hari ini.

Menteri Kerja Raya Baru Bian baru-baru ini dilaporkan berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan PLUS itu dibentanghkan semula.

Empat lebuh raya berkaitan Gamuda ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

Guan Eng berkata keputusan mengenai pengambilalihan itu mesti memberi manfaat kepada tiga pihak, kerajaan, pemilik PLUS – Khazanah Nasional Bhd (51 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 49 peratus kepentingan – selain rakyat.

Beliau berkata Kementerian Kewangan menyokong cadangan Khazanah dan KWSP bagi memastikan mereka memperoleh nilai adil ke atas portfolio pelaburan masing-masing, dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada negara dan pengguna jalan.

Pengambilalihan itu mesti memenuhi dua syarat, diskaun minimum 18 peratus selain positif dari segi fiskal.

Sementara itu, Guan Eng berkata Kabinet perlu memutuskan sama ada elaun ahli politik dan menteri dipotong selepas beberapa menteri bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pemotongan elaun ahli politik dan menteri.

Susulan isu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) penjawat awam yang antaranya melibatkan doktor, ahli farmasi serta jururawat muda, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun senada dengan cadangan tersebut.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Disember menyatakan BIPK bagi penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal, akan dimansuhkan bagi pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menangguhkan pemansuhan BIPK itu, dan keputusannya hanya ditentukan selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri pada mesyuarat pertama Januari ini.

“Bagi Kementerian Kewangan, sebarang penjimatan adalah baik. Jika ada penjimatan, sudah tentu saya sambut baik selaku Menteri Kewangan. Namun disebabkan ia melibatkan menteri lain atau kementerian lain, saya percaya perkara ini perlu diputuskan oleh Kabinet,” kata Guan Eng.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pendigitalan ekonomi negara beri manfaat untuk semua

PUTRAJAYA, 30 DIS: Kerajaan akan memastikan pendigitalan ekonomi negara tidak akan menyisihkan mana-mana pihak dalam arus kemajuan mengikut perkhidmatan 3A – ‘available, accessible & affordable’ (tersedia, boleh diakses dan berpatutan), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau yang memetik laporan Jabatan Perangkaan, berkata ekonomi digital juga dijangka menyumbang lebih 21 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.

“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM450 juta untuk program e-dompet bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga,” katanya pada majlis penutup Festival Literasi Teknologi Kewangan (LIFT) Putrajaya 2019, di sini hari ini.

Program e-dompet yang dijangka memanfaatkan 15 juta rakyat, menawarkan RM30 secara ‘sekali-bayar’ kepada mereka berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, yang boleh dibelanjakan pada Januari dan Februari depan.

Mengulas selanjutnya, Guan Eng berkata bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi digital negara, kerajaan melabur RM21.6 bilion pada tahun ini sehingga 2023 bagi merealisasikan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara yang akan memperluaskan akses kepada internet jalur lebar berkelajuan tinggi pada kos yang berpatutan.

Selain itu, katanya, kerajaan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana melaksanakan usaha pendigitalan proses perniagaan menerusi insentif berjumlah RM3.7 bilion dalam tempoh lima tahun.

Malah, kerajaan menawarkan skim jaminan bernilai RM6 bilion untuk menggalakkan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi industri 4.0 seperti kecerdasan buatan, Analisis Data Raya dan robotik dalam kalangan syarikat tempatan, kata Guan Eng.

“Ekonomi digital tidak bergantung kepada infrastruktur dan program sahaja. Pasaran yang kompetitif juga penting,” katanya.

Menurutnya, dasar bagi menangani kuasa monopoli juga terbukti berjaya meningkatkan jumlah pengguna jalur lebar berkelajuan tinggi melebihi 100 megabit sesaat (mbps) kepada 1.2 juta orang pada akhir 2018 berbanding 155,000 pengguna sebelum dasar itu dilaksanakan pada penghujung 2017.

Dalam pada itu, beliau mengingkatkan, selain menikmati pendigitalan ekonomi negara dan kemudahan moden, masyarakat juga perlu peka dan berwaspada dengan gejala jenayah siber yang berleluasa.

Memetik laporan Cybersecurity Malaysia, beliau berkata sebanyak 7,092 kes penipuan digital telah dilaporkan bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini dan mengatasi sejumlah 5,123 kes seumpamanya pada 2018.

“Di samping menyokong pendigitalan ekonomi, kerajaan sentiasa memastikan supaya penyedia perkhidmatan digital dan kewangan turut mengambil berat mengenai langkah keselamatan di platform masing-masing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2020 tahun penting PAKATAN laksana baki janji manifesto

BUTTERWORTH, 14 DIS: Tahun 2020 merupakan tahun penting bagi kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) melaksanakan baki 40 peratus janji dalam manifesto yang masih belum ditunaikan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut bahawa 60 peratus daripada janji manifesto PAKATAN telahpun ditunaikan dan tinggal 40 peratus baki yang perlu dilaksanakan sebelum 2023.

“(Tahun) 2020 adalah penting sebagai permulaan untuk laksanakan semua janji yang kita buat dan kita kena mula tahun depan, supaya ia akhirnya akan dapat disempurnakan sebelum 2023,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi ke Perpustakaan Digital Butterworth, di sini hari ini.

Menurutnya, antara janji manifesto PAKATAN yang telah ditunaikan termasuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menurunkan harga minyak daripada RM2.20 kepada RM2.08 dan memperkenalkan pas bulanan RM100 transit aliran ringan (LRT) kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang manakala pengguna di Pulau Pinang juga dapat menikmati pas bulanan di negeri ini dengan hanya RM50 sebulan.

Lim turut menyifatkan kerajaan PAKATAN sebagai sebuah kerajaan yang bersih dengan buat pertama kalinya dalam sejarah negara semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada umum.

“Kita berharap bahawa iltizam bersih kerajaan PAKATAN ini dapat dihayati dan disokong oleh semua rakyat,” katanya.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, perpustakaan digital pertama di Seberang Perai itu akan mula beroperasi pada awal Februari tahun depan dari pukul 8 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Katanya, kerja pembinaan projek yang menelan kos RM7 juta itu bermula pada April tahun lepas dan kini telah mencapai 90 peratus siap.

Beliau berkata, terdapat perancangan untuk melanjutkan waktu operasi perpustakaan digital itu, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan dan sambutan orang ramai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan 18 Disember

PUTRAJAYA, 10 DIS: Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara akan dibuat pada 18 Dis ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bayaran khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

“Pembayaran sebelum hujung tahun dibuat antara lainnya untuk membantu ibu bapa di kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, bantuan RM500 itu akan memberi manfaat kepada 1.5 juta penjawat awam kerajaan Persekutuan merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak.

Bayaran khas sebanyak RM250 pula akan memberi manfaat kepada satu juta pesara termasuk veteran tidak berpencen dan pesara awam tidak menerima pencen bagi mengenang khidmat bakti mereka, katanya.

Bantuan Khas Kewangan tersebut diumumkan Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif #MalaysiaKerja dijangka dilaksana Jun tahun depan

BUTTERWORTH, 7 DIS: Inisiatif #MalaysiaKerja bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan wanita dijangka akan dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, buat masa ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bertanggungjawab mengendalikan program di bawah inisiatif itu sedang membuat persiapan termasuk menyediakan mekanisme bagi pelaksanaannya.

“Sekarang KWSP telah buat semua persiapan untuk memastikan ia dapat berjalan lancar. Kita nak buat secara online. KWSP sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini dan mereka akan lancarkan pada pertengahan tahun depan.

“Kita akan bagi insentif untuk tempoh dua tahun. Kepada mereka yang menganggur lebih setahun mereka layak untuk menerima insentif ini. Ini serampang dua mata, kita bagi insentif gaji kepada pekerja dan insentif kepada majikan untuk ambil pekerja Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program Latihan Pengurusan Krisis dan Sumbangan Mesin Gergaji Rantai di Parlimen Bagan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Lim menyerahkan 24 buah mesin gergaji rantai dan 14 alat pelindung diri kepada 11 penerima termasuk Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam, Balai Bomba dam Penyelamat Butterworth, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Seberang Perai Utara, Balai Polis Mak Mandin dan Pusat Khidmat Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam parlimen itu.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, menerusi inisiatif itu kerajaan akan memberikan insentif sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja manakala RM300 sebulan kepada majikan.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu kelak dijangka mewujudkan tambahan 350,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun dan ia sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran belia yang kini mencecah hampir 11 peratus.

“Ini tidak bermakna dalam lima tahun hanya ada 350,000 pekerjaan baharu diwujudkan. Tidak, ia lebih daripada itu kerana ini tidak mengambil kira sektor swasta. Kalau kita tambah dengan sektor swasta lebih sejuta peluang pekerjaan.

“Tapi ini khusus untuk mereka yang tidak dapat kerja terutamanya belia, graduan, wanita dan mereka yang tidak dapat cari kerja dengan gaji munasabah. Kita harap dapat turunkan kadar pengangguran dalam kalangan orang muda, kita harap dapat separuhkan jumlah itu selepas program ini,” katanya.

Beliau berharap semua rakyat Malaysia termasuk parti pembangkang menyokong inisiatif itu supaya usaha untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya belia dan wanita dapat direalisasikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Peruntukan RM40 juta untuk KUTAR diberi selepas tabung amanah ditubuhkan

SHAH ALAM, 4 DIS: Kementerian Kewangan akan memperuntukkan RM40 juta kepada tabung amanah yang dikendalikan Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA) apabila ditubuhkan dan dijangka diluluskan penghujung Disember ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan sebelum ini menjanjikan peruntukan sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun untuk tabung amanah yang dicadangkan bermula 2019 bagi manfaat Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) dan pelajar institusi tersebut.

“Peruntukan RM40 juta ini akan menjawab secara muktamad pembohongan yang dilontarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa peruntukan tersebut tidak sah daripada segi undang-undang.

“Namun, mereka tidak menjelaskan bagaimana memperuntukkan RM40 juta untuk manfaat pelajar KUTAR tidak sah daripada segi undang-undang, tetapi puluhan bilion ringgit yang dicuri daripada 1MDB pula tidak melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemegang amanah dicadangkan akan mempunyai seorang wakil dalam kalangan pelajar KUTAR, Kementerian Kewangan dan TAA sendiri terdiri daripada bekas pelajar KUTAR.

“TAA berpegang bahawa KUTAR harus dijalankan sebagai institusi pendidikan secara profesional, secara bebas dan terpisah daripada parti politik dan ahli politik.

“TAA harus diberikan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab dan membuktikan cara mereka dapat memenuhi bidang tugas untuk menggunakan dana bagi manfaat KUTAR dan kebajikan para pelajar,” katanya.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan meminta parti MCA melepaskan hak pegangan dalam KUTAR serta Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Katanya, kerajaan juga bersedia menyerahkan semula peruntukan keseluruhan berjumlah RM60 juta bagi tempoh tahun ini dan tahun 2020 kepada kedua-dua institusi pendidikan swasta itu sekiranya MCA melepaskan kepentingan mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dana Tabung Harapan RM205 juta lunas hutang 1MDB

PUTRAJAYA, 30 NOV: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM205 juta digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), demikian menurut Kementerian Kewangan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kerajaan pada 28 November menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61.68 juta bagi pelunasan bayaran faedah sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note).

“Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta. Baki sebanyak RM82.07 juta telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan komited membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, dengan bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak US$66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020.

Guan Eng berkata, hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

“Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB,” katanya.

Kementerian Kewangan pada 7 Februari lalu telah memaklumkan bahawa baki akhir THM sehingga 14 Januari lepas iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah berjumlah RM202.71 juta dan selanjutnya faedah pelaburan sebanyak RM2.77 juta telah diterima dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah THM adalah sebanyak RM205.49 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan ada sumber mencukupi bayar gaji penjawat awam

PUTRAJAYA, 28 NOV: Kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan gaji penjawat awam, dan tidak perlu meminjam untuk berbuat demikian, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ini, katanya terbukti apabila penarafan kredit negara Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau A- dengan unjuran stabil, dan jika kerajaan Persekutuan meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa berupaya membayar gaji penjawat awam, serta memenuhi obligasi kewangannya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi menyangkal dakwaan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Isnin lepas bahawa kerajaan Persekutuan meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.

Menurut Lim, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu meleset kerana emolumen bagi suku ketiga 2019 berjumlah RM19.9 bilion, sedangkan pendapatan kerajaan dalam tempoh yang sama berjumlah RM68.8 bilion.

“Ini bermakna pendapatan kerajaan adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding tanggungan emolumennya,” katanya.

Lim berkata kerajaan juga sedang menepati sasaran untuk merendahkan defisit fiskal daripada 3.7 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 kepada 3.4 peratus untuk tahun ini.

“Segala pinjaman kerajaan adalah untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti yang biasa dilakukan oleh pentadbiran-pentadbiran terdahulu. Perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman,” katanya.

Menurut Lim, situasi bagi kerajaan negeri Kelantan pula berlainan apabila pada 14 Oktober lepas, Kementerian Kewangan meluluskan permohonan pendahuluan berjumlah RM100 juta bagi kerajaan negeri itu untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan, termasuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM596 juta Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara diluluskan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang bernilai RM596 juta telah diluluskan setakat 31 Oktober, 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata BNM dan institusi kewangan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi membantu pembeli rumah dengan menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sejak Januari tahun ini.

“Penambahbaikan telah berkuat kuasa pada 1 September, 2019. Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) tentang sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh BNM untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Melalui dana tersebut, Lim berkata pembeli rumah pertama, terutama golongan muda, akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana dengan kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan tubuh bank biayai rumah mampu milik dipertimbang

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Kerajaan bersedia menimbang cadangan penubuhan bank khusus untuk memudahkan proses pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan itu perlu bersesuaian dengan syarat yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu bank seumpama itu perlu mempunyai dana atau modal mencukupi untuk memenuhi permintaan pinjaman.

“Cadangan akan diambil kira sekiranya BNM berasa perlu untuk membolehkan lebih banyak pinjaman berkaitan perumahan dapat dibiayai. Tetapi kalau kita lihat trend yang diterima pakai BNM adalah kena pastikan bank itu dapat memainkan peranan sewajarnya.

“Bukan sekadar mempunyai dana atau modal, namun mampu menghadapi segala cabaran dalam pasaran khususnya era digital,” katanya.

Guan Eng berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menubuhkan bank khusus untuk membiayai pinjaman perumahan bagi memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah sendiri.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata sebelum bank seumpama itu ditubuhkan, BNM memastikan bank-bank sedia ada di negara ini bersedia menghadapi pelbagai cabaran dari luar negara bagi memastikan kelangsungan fungsi dan peranan sebagai penyedia pinjaman.

Kepada soalan asal Hassan yang ingin tahu sejauh mana kemajuan dicapai BNM dalam membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah di negara ini memiliki rumah, Lim berkata Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion ternyata memberi kesan positif sejak dilancarkan Januari lepas.

Beliau berkata sehingga 31 Oktober lepas, lebih 3,100 permohonan bernilai RM596 juta telah diluluskan.

“Melalui dana ini, pembeli rumah pertama terutamanya golongan muda akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi lebih murah daripada pasaran semasa selama 40 tahun,” katanya.

Guan Eng berkata setiap pembeli rumah pertama perlu mempunyai pengetahuan kewangan bagi memastikan mereka tidak akan terbeban dengan bayaran pembiayaan di masa hadapan.

Justeru, beliau mahu bakal pembeli merujuk modul pendidikan dalam talian, portal Rumahku yang disediakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi membantu golongan itu memahami komitmen kewangan yang bakal dihadapi.

-BERNAMA