Categories
AGENDA NASIONAL

MOF segerakan peruntukan tambah pengimbas suhu

SHAH ALAM, 28 JAN: Kementerian Kewangan akan menyegerakan peruntukan tambahan untuk 12 pengimbas suhu seperti yang dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menterinya Lim Guan Eng berkata pengimbas suhu itu untuk memastikan kemampuan kakitangan Kementerian Kesihatan mengenal pasti individu yang mempunyai simptom menghidapi virus 2019-nCoV (Novel Coronavirus) dapat diperkukuhkan lagi di kawasan-kawasan masuk negara.

“Memandangkan permohonan ini berkaitan dengan usaha perlindungan kesihatan awam dan bersifat kritikal saya telah meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir untuk memberikan kerjasama penuh supaya peruntukan ini dapat disalurkan secepat mungkin.

“Kementerian Kewangan akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan agar kemampuan agensi kesihatan awam untuk melakukan tugas mereka berada pada tahap yang bertepatan dengan piawaian kesihatan antarabangsa,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan serius pacu ekonomi digital tahun ini

PUTRAJAYA, 27 JAN: Kerajaan serius memacu ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata ekonomi digital berperanan sebagai faktor penarik kepada pelabur, pembinaan modal insan dan penyelidikan.

“Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital yang menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi memacu ekonomi digital ialah pengenalan inisiatif e-Tunai Rakyat, dengan sejumlah RM450 juta disalurkan melalui pengendali e-dompet terpilih bagi menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.

“Sistem bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja lebih efisien, bahkan dapat membantu mengurangkan kejadian pengelakan cukai,” katanya dalam amanat tahun baharunya kepada warga Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Foto BERNAMA

Guan Eng berkata kerajaan akan turut membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Malaysia Digital menerusi kerjasama awam swasta, membabitkan pelaburan RM21.6 bilion, dengan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh daripada kos keseluruhan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenal Geran Pembangunan Ekosistem 5G berjumlah RM50 juta dalam usaha menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat bagi menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia.

Bagi merancakkan pertumbuhan e-dagang, katanya kerajaan memperuntuk RM20 juta kepada Perbadanan Ekononi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengembangkan jaguh tempatan dalam membangunkan kandungan digital seperti e-Permainan, animasi dan seni digital.

Kerajaan juga bercadang menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peruntukkan sebanyak RM70 juta, katanya.

Guan Eng berkata konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) yang diperkenal oleh kerajaan adalah usaha untuk menggalakkan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

“DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberi potongan cukai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penurunan kadar tol raih penjimatan hingga RM1.1 bilion

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula 1 Februari ini membolehkan semua pihak terlibat meraih penjimatan langsung sehingga RM1.1 bilion tahun ini, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata penjimatan itu termasuk RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

“Bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi, sebaliknya boleh disalurkan kepada projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam mengesahkan keputusan kerajaan untuk menstruktur semula PLUS Malaysia Berhad berdasarkan cadangan yang dikemukakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Januari lalu mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di lapan lebuh raya.

Lebuh raya terbabit seperti berikut:

– Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
– Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)
– Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE),
– Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LinKedua)
– Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)
– Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH)
– Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE)
– Jambatan Pulau Pinang (JPP)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengguna manfaat e-tunai RM30 beli barang rumah, makanan

PUTRAJAYA, 23 JAN: Kebanyakan pengguna memanfaatkan insentif e-Tunai Rakyat bernilai RM30 untuk membeli barang dapur, membuat pembayaran telekomunikasi, pengangkutan dan makanan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, sebanyak RM105 juta telah dibelanjakan sejak dilancarkan 15 Januari lepas yang merupakan hampir 25 peratus daripada RM450 juta diperuntukkan untuk inisiatif itu dalam Belanjawan 2020.

“Sehingga hari ini, sebanyak 4.8 juta permohonan dengan 3.5 juta permohonan telah diluluskan dan ia menunjukkan respons yang amat menggalakkan,” katanya kepada media selepas lawatan ke IOI City Mall bersempena pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Program e-Tunai Rakyat diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan e-dompet dengan pemberian RM30 yang boleh ditebus melalui satu daripada tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost atau Touch ‘n Go.

Ditanya sama ada inisiatif e-Tunai Rakyat akan menjadi platform bagi pembayaran subsidi di masa hadapan, Lim berkata: “Sebelum itu, adalah penting untuk mendaftarkan rakyat untuk menjadi sebahagian program pembayaran digital ini, kini (ia) kurang daripada lapan juta”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Transaksi tanpa tunai bendung ekonomi hasil aktiviti tidak bermoral

SHAH ALAM, 22 JAN: Transaksi tanpa tunai perlu diperluas bagi mengekang aktiviti tidak bermoral yang menyumbang kepada ekonomi bayangan, kata bekas timbalan pengarah di Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia.

Turut memudahkan pungutan cukai, Dr Rosli Yaakob berkata ia langkah terbaik untuk mengesan kegiatan haram yang menyumbang kepada ekonomi bayangan (underground economy) seperti pelacuran, pemerdagangan, penyeludupan dan jual beli dadah dan rasuah.

Katanya, saiz ekonomi bayangan pada kadar RM300 bilion yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam akan membawa implikasi besar kepada negara jika tidak dibendung.

“Transaksi tanpa tunai banyak dilakukan di kebanyakan negara maju. Oleh itu, bagi membanteras aktiviti ini kerajaan perlu ke arah masyarakat tanpa tunai supaya semua pihak menyimpan wang di dalam bank dan setiap transaksi menggunakan medium tanpa tunai.

“Kegiatan rasuah contohnya, kita terima gaji melalui bank dan dikenakan cukai tetapi pada masa sama terima rasuah yang diserah secara tunai dan semua barang yang dibeli juga secara tunai. Maknanya, cukai tidak dapat dikutip dan kerajaan tidak tahu apa aktiviti lain yang dilakukan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM66 juta agihan inisiatif e-Tunai Rakyat setakat ini

CYBERJAYA, 20 JAN: Sejumlah RM66 juta telah diagihkan kepada rakyat menerusi insiatif e-Tunai Rakyat setakat 9 malam semalam sejak dilaksanakan pada 15 Januari lepas, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Malah, beliau berkata sambutan orang ramai terhadap skim itu terbukti memberangsangkan dengan sejumlah 2.2 juta permohonan telah diluluskan daripada 2.9 juta permohonan yang diterima.

“Selain meningkatkan kadar penerimaan bagi pembayaran tanpa tunai di Malaysia, inisiatif e-Tunai Rakyat itu akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara apabila penerima membelanjakannya di peringkat peniaga dan vendor tempatan,” katanya pada majlis pelancaran ekosistem tanpa tunai Cyberjaya dengan QR kebangsaan Malaysia, DuitNow QR hari ini.

Hadir sama Pengerusi Cyberview Sdn Bhd yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Mohd Najib Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet Peter Schiesser.

Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM450 juta bagi inisiatif e-Tunai Rakyat tersebut.

Inisiatif mula 15 Januari dan berakhir pada 14 Mac depan, membolehkan rakyat Malaysia yang layak untuk menebus RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih, Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Mengulas selanjutnya, Lim menegaskan bahawa usaha melahirkan masyarakat tanpa tunai itu adalah seiring dengan keutamaan kerajaan untuk menangani gejala rasuah.

“e-pembayaran itu merupakan saluran penting dan selamat bagi memastikan pihak yang layak menerima subsidi kita tanpa perlu membayar fi kendalian atau komisyen yang tidak sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau, walaupun telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif sejak dua dekad lepas, hanya lima peratus daripada jumlah bayaran harian di Malaysia dijalankan menerusi kaedah tanpa tunai.

Sehubungan itu, katanya, antara aspek yang perlu ditumpukan bagi melonjakkan lagi amalan itu adalah memperluas kemudahan e-pembayaran selain selamat dan mudah digunakan.

Pada majlis hari ini, Lim berkata ekosistem tanpa tunai Cyberjaya akan dikendalikan oleh DuitNow QR, kos standard QR kebangsaan Malaysia.

Menerusi inisiatif itu, katanya, Cyberjaya akan menjadi bandar pertama di Malaysia untuk menggunapakai kod QR kebangsaan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia.

Piawaian DuitNow QR itu membolehkan pihak peniaga menjalin kerjasama dengan pihak seperti pelanggan semua bank dan e-dompet terbabit untuk membuat pembayaran DuitNow QR menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing, katanya.

“Menerusi penyertaan dalam DuitNow QR, peniaga terbabit dapat menerima bayaran daripada 22 juta pelanggan bank selain berjuta-juta pengguna e-dompet,” katanya.

Sementara itu, Mohd Najib berkata kira-kira 51 peratus peniaga di Cyberjaya mempunyai kemudahan tanpa tunai setakat Disember 2018 dan angka itu dijangka meningkat susulan pelaksanaan DuitNow QR.

Rangkaian DuitNow itu dibangunkan oleh PayNet yang dimiliki bersama oleh 11 bank dengan BNM menjadi pemegang saham terbesarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Data peribadi program e-Tunai Rakyat disimpan secara sulit – Guan Eng

KUCHING, 17 JAN: Semua data peribadi yang diterima menerusi program e-Tunai Rakyat akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Khazanah Nasional Berhad adalah sebuah syarikat pelaburan dana kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan dan semua data diperolehnya adalah sama seperti yang dimiliki oleh kerajaan.

“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh.

“Ia bernilai kepada syarakat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” katanya pada sidang media selepas mempromosi Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat kepada warga Kuching di pusat membeli-belah The Spring, di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Guan Eng meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab kononnya program itu adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.

“Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan,” tambahnya.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Guan Eng berkata setakat ini lebih 800,000 permohonan telah diluluskan dan RM24 juta dibelanjakan.

Inisiatif berkenaan diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak cadang bayar bantuan kebajikan guna e-dompet

SHAH ALAM, 16 JAN: Kementerian Kewangan tidak bercadang menggunakan mekanisme e-dompet bagi menyalurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat.

Menterinya Lim Guan Eng berkata walaupun kerajaan menggalakkan rakyat menjalani kehidupan tanpa tunai, namun tidak semua terdedah dengan sistem bayaran digital.

“Buat masa ini, kita mahu menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menggunakan sistem ini supaya ia lebih senang diterima secara umum,” katanya lapor Berita Harian.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi melaksanakan inisiatif e-Tunai Rakyat untuk menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat boleh mohon RM30 e-tunai mulai esok

PUTRAJAYA, 14 JAN: Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia yang layak boleh menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go, mulai 8 pagi esok.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukan RM450 juta bagi tujuan itu di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.

Setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima wang e-tunai itu, katanya pada sidang media mengenai e-Tunai Rakyat di kementeriannya di sini, hari ini.

“Pengendali e-dompet juga akan menambahbaik pemberian RM30 wang percuma yang dibiayai oleh kerajaan dengan memberi insentif tersendiri.

“Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 melalui inisiatif itu,” katanya, sambil menambah jumlah tambahan itu akan diumumkan sendiri oleh tiga pengendali berkenaan, esok.

Guan Eng berkata, wang RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali terpilih.

Beliau berkata, inisiatif e-Tunai Rakyat itu dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya dalam sektor runcit.

“Oleh itu, kerajaan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet yang terlibat supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat yang bernilai RM450 juta sebelum 14 Mac berakhir,” katanya.

Setakat ini, katanya, lebih lapan juta peniaga telah menggunakan perkhidmatan pembayaran e-dompet dan jumlah itu diharap meningkat selepas pengumuman inisiatif e-Tunai Rakyat.

Bagi memastikan inisiatif itu akan mempercepatkan proses digitalisasi, Lim berkata wang RM30 itu perlu dibelanjakan oleh penerima bermula 15 Januari hingga 14 Mac.

“Baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac,” katanya.

Beliau berkata, rakyat yang layak diberi tempoh untuk memohon wang percuma itu sebelum 9 Mac untuk memastikan proses pengesahan dan pemberian wang dapat dibuat dalam masa selewat-lewatnya tempoh lima hari bekerja.

Menurutnya, proses pengesahan mereka yang layak akan melalui tiga peringkat.

Ia bermula dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengesahan kad pengenalan, kemudiannya Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi pendapatan bawah RM100,000 setahun dan semakan bagi memastikan individu itu hanya memohon daripada satu pengendali, katanya

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kabinet bincang ambil alih PLUS Rabu ini

GEORGE TOWN 13 JAN: Cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh bila pengumuman keputusan pengambilalihan konsesi itu akan dibuat.

“Tunggulah pengumuman, saya tidak boleh membuat pengumuman secara spontan kerana itu adalah pengumuman penting, biasanya berdasarkan kenyataan bertulis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, di sini, hari ini.

Disember lepas, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pesat tahun ini

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih pesat pada 2020 berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Disember 2019 yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya kerajaan juga akan memperbanyakkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan belia, graduan baharu dan wanita melalui program #MalaysiaKerja bernilai RM6.5 bilion dan pelaksanaan projek infrastruktur bernilai RM120 bilion.

Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata projek infrastruktur besar lain yang akan menyokong ekonomi Malaysia termasuk pembangunan Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM140 bilion dan inisiatif e-Tunai Rakyat bernilai RM450 juta yang menyediakan wang belanja percuma RM30.

PMI sektor pembuatan Malaysia yang meningkat 0.5 kepada 50.0 mata pada Disember 2019, merupakan paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan yang dicatatkan selepas peningkatan PMI pembuatan pada November sebanyak 0.2 kepada 49.5 mata daripada 49.3 mata pada Oktober 2019.

Katanya peningkatan bacaan PMI itu menunjukkan bahawa ekonomi negara akan berkembang lebih pantas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Lim Guan Eng. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“PMI bukan satu-satunya petunjuk yang menunjukkan ke arah pengembangan masa depan yang lebih mampan. Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menerbitkan petunjuk pelopor ekonomi bagi bulan Oktober 2019 yang naik 1.4 peratus kepada 120.3 mata berbanding 118.6 mata pada bulan sebelumnya.

“Ini merupakan peningkatan ketara daripada perubahan -0.4 peratus dan 0.3 peratus masing-masing pada Ogos dan September,” katanya.

Guan Eng berkata Trend Indeks Keyakinan Perniagaan oleh agensi penarafan tempatan RAM, juga menyokong unjuran positif yang ditunjukkan oleh data PMI dan Jabatan Perangkaan.

Menurutnya, RAM menyatakan sentimen dalam kalangan syarikat Malaysia sedang beransur pulih apabila keyakinan korporat naik 3.2 mata kepada 56.4 untuk tempoh suku pertama ke suku kedua 2020 berbanding tempoh suku keempat 2019 ke suku pertama 2020.

Pada masa sama, keyakinan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana meningkat 1 mata kepada 54.2, iaitu paras tertinggi sejak indeks berkenaan mula diterbitkan pada 2017.

“Semua data ini selari dengan unjuran Kerajaan bagi pertumbuhan ekonomi negara pada 2020. Kerajaan mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang secara mampan pada kadar 4.7 peratus pada 2019, sebelum memecut kepada 4.8 peratus tahun ini.

“Bagi tempoh tiga suku pertama 2019, KDNK Malaysia berkembang 4.6 peratus tahun ke tahun,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FMM harap ringgit lebih kukuh pada 2020

KUALA LUMPUR 10 JAN: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan terus mengukuhkan mata wang dan pasaran modal negara.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata peningkatan akan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan.

“Perlu diingat bahawa kira-kira 70 peratus daripada barangan perantara untuk sektor pembuatan diimport dan kami mahu kerajaan membantu mengukuhkan ringgit,” katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Majlis FMM dan majlis makan malam di sini, semalam.

Acara itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut bersetuju dengan Soh, bekas Presiden Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata ringgit meningkat berbanding dolar AS daripada 4.2 kepada 4.1 dalam beberapa minggu ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga pengeksport dalam industri (pembuatan) dan industri lain; justeru mata wang yang stabil merupakan penyelesaian yang terbaik untuk semua. Tidak terlalu kukuh dan tidak terlalu lemah.

“Saya fikir julat 3.8 hingga 4 adalah paras terbaik. Sebelum ini pada 3.8, ringgit telah mencatatkan prestasi yang amat baik untuk kebanyakan sektor,” katanya.

Soh berkata bagi 2020, FMM akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan sektor pembuatan, menambah aktiviti dan mempunyai lebih banyak eksport selain membawa masuk lebih banyak pendapatan.

-BERNAMA