Categories
AGENDA NASIONAL

Program kebajikan rakyat akan ditambah – Guan Eng

BUTTERWORTH, 24 NOV: Kerajaan Persekutuan terus menzahirkan komitmen yang tinggi dalam mendekati rakyat dengan akan terus menambah pelbagai program bagi menjaga kebajikan rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan pusat memerlukan sedikit masa dan sedang berusaha memulihkan keadaan ekonomi dan setelah pulih, pelbagai program bagi kebajikan rakyat sudah tentu akan dilaksanakan.

“Pada hari ini saya datang ke Program Warga Emas, Ibu Tunggal dan Ibu Emas Tahun 2019 iaitu satu program yang telah dilancar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan kini sudah 10 tahun program itu berjalan. Ia adalah hasil daripada kejayaan pihak kerajaan negeri untuk mendirikan sebuah kerajaan negeri yang bersih. Pulau Pinang berjaya melakukannya selepas mentadbir negeri selama 10 tahun.

“Kita juga perlu sedikit masa di peringkat kerajaan Persekutuan, kita harap bahawa bila keadaan (ekonomi) pulih, kita boleh melancarkan program-program sedemikian atau menambah program sedia ada untuk kebajikan rakyat. Itu memang perlu, tetapi kita mesti pastikan kita ada kemampuan kewangan yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Taman Pandan di sini hari ini.

Guan Eng berkata apa yang ingin ditegaskan adalah segala janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan harus ditunaikan namun ia memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Kalau kerajaan terdahulu pun ambil masa lima tahun untuk mencapainya, jadi sekiranya nak buat ukuran itu (perbandingan) saya harap masa yang sama boleh diberikan kepada kerajaan Persekutuan. Sekarang ini kita boleh lihat terdapat banyak perbezaan, perubahan tetapi ia berjalan secara berperingkat seperti yang kita lihat di peringkat Pulau Pinang ini. Ia adalah hasil daripada usaha selama 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata kerajaan akan sentiasa mempertingkatkan usaha dengan melihat sektor-sektor tertentu yang memerlukan bantuan.

“Itu akan diambil kira, sudah tentu dalam kerangka yang akan diumumkan kemudian. Berikan sedikit masa, yang penting adalah untuk tahun hadapan kita akan adakan program untuk galakkan peralihan kepada E-dompet supaya kita boleh adakan pembayaran digital, jadi itu akan dilancarkan tahun hadapan dan membolehkan sekurang-kurangnya RM30 diberikan kepada semua yang daftarkan diri supaya mereka ada RM30 untuk belanja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanjung Piai bukti rakyat desak PAKATAN tunai manifesto

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu adalah mesej rakyat kepada kerajaan supaya menunaikan janji manifesto, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. 

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah bahawa kita kena menunaikan janji yang kita telah buat. Oleh itu, saya rasa adalah penting PAKATAN memberi tumpuan untuk menunaikan janji tersebut seperti mana yang digariskan dalam manifesto pilihan raya.

“Saya yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, rakyat akan membuat penilaian sendiri, dan membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan PAKATAN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SME Bank Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd and China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menepis dakwaan isu peruntukan belanjawan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) adalah satu-satunya penyebab kekalahan PAKATAN pada PRK Tanjung Piai. 

PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 November menyaksikan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng  memenanginya dengan majoriti 15,086 undi. 

Jeck Seng, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, memperoleh
25,466 undi mengatasi calon PAKATAN, Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi, calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707), diikuti  Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) and dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan  Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pastikan perbelanjaan pembangunan 2020 diguna tahun sama

PETALING JAYA, 10 NOV: Kerajaan akan memastikan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 digunakan pada tahun yang sama, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata terdapat peruntukan perbelanjaan pembangunan tahun ini yang belum digunakan dan pihaknya akan bermesyuarat bagi mengatasi masalah itu.

“… bila kita sebut tentang perbelanjaan pembangunan untuk Belanjawan 2019, wang telah dikeluarkan pada bulan Januari tahun ini, tetapi untuk sesetengah kementerian hanya edarkan kepada agensi dan jabatan pada bulan Mei atau Jun.

“Lepas bulan Mei dan Jun baru buat tender terbuka…macam ini wang yang sepatutnya dibelanjakan pada tahun ini hanya boleh dibelanja pada 2020,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Selangor yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Guan Eng berkata beliau yakin pembangunan ekonomi untuk tahun 2020 akan lebih baik berbanding tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai pada sidang akhbar kemudiannya, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata parti komponen Pakatan Harapan perlu bekerjasama untuk mengekalkan kerusi itu.
 
-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertimbang pakej rangsangan jika ekonomi global terus lembab

PONTIAN, 9 NOV: Kerajaan mungkin mempertimbang untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi sekiranya keadaan ekonomi global menjadi lebih lembab pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata perkara itu pernah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet sebelum dan selepas pembentangan Belanjawan 2020.

“Sebenarnya saya pernah sebut bahawa kita akan berikan ruang sekiranya keadaan ekonomi dunia menjadi lebih lembab.

“Kita akan pastikan ruang untuk rancakkan ekonomi sepertimana disebut oleh (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu satu pakej rangsangan ekonomi.

“Ini memang sudah dibincangkan dan apa yang beliau (Muhyiddin) sebutkan memang tepat. (Perkara) ini akan kita bincangkan bersama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum sesi Bicara Kopitiam berdekatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, dekat sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin pada dua hari lalu supaya kerajaan mewujudkan satu pakej rangsangan ekonomi pada tahun hadapan bagi merancakkan kegiatan ekonomi setempat, susulan keadaan ekonomi global yang lembab ketika ini.

Guan Eng berkata bagi Belanjawan 2020, kerajaan sudah pun mengumumkan pakej rangsangan mini menerusi e-dompet iaitu rakyat yang menjadi ahli insentif itu diberi RM30 (sekali bayar secara digital) untuk membeli-belah dalam usaha mengalakkan masyarakat tanpa wang tunai.

“Ini dianggarkan kira-kira RM500 juta dan ini pun satu pakej rangsangan. Jadi bila kita bincang dengan pihak swasta yang mungkin akan mengusahakan program ini (e-dompet), mungkin ada berita baik lagi. Jadi ini untuk dua bulan pertama dan mungkin ada lebih yang saya sebutkan RM500 juta untuk dibelanjakan rakyat.

“Sekiranya keadaan menjadi lebih lembab di peringkat dunia, maka kita ada ruang dan sudah buat persediaan,” katanya ketika ditanya mengenai saiz pakej rangsangan ekonomi yang boleh dipertimbangkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia hanya dalam senarai pemantauan, bukan manipulator mata wang AS

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Malaysia hanya dimasukkan dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang Amerika Syarikat (AS), tetapi tidak dilabel sebagai memanipulasi (manipulator) mata wang negara tersebut, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kemungkinan untuk Malaysia dilabelkan sebagai manipulor mata wang AS adalah rendah, berikutan negara perlu “memenuhi” tiga kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perbendaharaan AS untuk dilabel sebagai manipulator mata wang.

“Malaysia tidak memenuhi satu daripada tiga kriteria yang ditetapkan iaitu jumlah pembelian mata wang asing bersih sekurang-kurangnya dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh bank pusat kerana kita bukan pembeli bersih,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ronald ingin tahu mengenai laporan Bloomberg yang menyatakan Malaysia berkemungkinan akan dimasukkan semula dalam senara negara yang memanipulasi mata wang AS dan kesannya kepada ekonomi negara.

Guan Eng menjelaskan Malaysia hanya memenuhi dua kriteria lain iaitu nisbah akaun semasa akaun pembayaran mencatatkan sekurang-kurangnya dua peratus daripada KDNK dan untuk tempoh Julai 2018 hingga Jun 2019, ia mencapai tahap tiga peratus.

Katanya kriteria lain ialah Malaysia mencatat lebihan dagangan dua hala dengan AS melebihi US$20 bilion, dan untuk tempoh Julai 2018 hingga Jun 2019, ia mencatat sebanyak US$25.7 bilion.

“Dengan pencapaian positif ini, Malaysia dimasukkan dalam senarai pemantauan, tetapi kerajaan akan memastikan ia sekadar dalam senarai itu.

“Kalau boleh kita mahu dikeluarkan, tetapi bukan dengan melihat prestasi kewangan kita jatuh menjunam,” katanya.

Guan Eng juga berkata, Malaysia tidak akan dilabelkan sebagai manipulator mata wang berikutan negara sentiasa akur dengan semua peraturan yang ditetapkan sama ada oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau mana-mana standard piawaian antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan berhubung senarai pemantauan itu yang mungkin dijadikan sebagai alasan untuk kerajaan AS mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti tarif, Guan Eng berkata ia adalah perkara yang diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Beliau berkata, jika dikenakan sekatan, sudah tentu ia akan membimbangkan negara kerana AS adalah rakan dagang ketiga terbesar dan ini akan memberi impak kepada aktiviti perniagaan dan aset pelaburan negara, malah pelaburan langsung asing (FDI) yang terbesar pada masa ini ialah AS.

“Masalahnya apabila melihat dasar baharu kerajaan AS, mereka seakan-akan tidak mahu mematuhi peraturan yang mereka sendiri gubal atau kemukakan dan sekarang mereka hendak buat secara unilateral.

“Malaysia meminta AS menegakkan sistem multilateralisme dalam perdagangan atau ekonomi supaya tiada konfrontasi melalui sekatan ekonomi dan tarif tetapi melalui perbincangan,” katanya.

Guan Eng turut menegaskan Malaysia tidak pernah menurunkan nilai mata wang secara sengaja kerana ia berdasarkan kuasa pasaran untuk menentukan nilai mata wang ringgit.

“Jika melihat kepada trend, terdapat negara lain yang cenderung untuk merendahkan nilai mata wang untuk memastikan eksport lebih murah dan mudah untuk menembusi pasaran dunia.

“Bagaimanapun, kita tidak berbuat demikian kerana kalau ringgit turun terlalu rendah, kesannya inflasi akan naik.

“Mujur Malaysia mempunyai kadar inflasi yang masih terkawal, malah dianggap antara paling rendah dalam sejarah ekonomi dan tahun ini tidak akan mencecah satu peratus,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada jangka masa ambil alih lebuh raya daripada Gamuda

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kerajaan tidak menetapkan sebarang jangka masa untuk mengambil alih empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pengumuman mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat apabila semua matlamat pengambilalihan itu dicapai.

Katanya, syarat pertama ialah ia tidak akan mengenakan negara apa-apa beban hutang tambahan dan bayaran khidmat hutang.

“Kedua ialah penjimatan untuk kerajaan dengan tidak perlu membayar pampasan dan ketiga, penjimatan kepada rakyat melalui kadar tol yang dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari Anugerah Persatuan Hubungan Pelabur Malaysia (MIRA) 2018/2019 di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020, Lim berkata, Kabinet telah meluluskan cadangan pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang – Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (Sprint) dan Terowong SMART (Smart).

Kerajaan akan membayar RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya itu.

Menteri itu juga berkata, keperluan adalah sama untuk pengambilalihan lebuh raya PLUS – bahawa matlamat perlu direalisasikan terlebih dahulu.

Mengenai berita berhubung tawaran daripada Goldman Sachs untuk membayar hanya sebahagian kecil daripada tuntutan awal Malaysia bagi peranannya dalam kemelut 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Lim berkata, kerajaan tidak menerima sebarang tawaran daripada bank pelaburan itu.

Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan tuntutan sebanyak AS$7.5 bilion.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya AS$2 hingga AS$3 bilion, kerana kami tidak menerima tawaran daripada Goldman Sachs.

“Sudah tentu Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas akan lebih tahu, tetapi setakat ini, tiada tawaran yang kukuh.

“Setakat arahan oleh AG, ia masih sebanyak AS$7.5 bilion,” katanya.

Dilaporkan baru-baru ini bahawa perunding Malaysia mempertimbangkan penyelesaian untuk sebahagian kecil daripada jumlah tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekal penarafan kredit bukti PAKATAN mampu urus negara

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pengekalan penarafan kredit oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa terhadap Malaysia menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu mengurus kerajaan walaupun melalui kemelut kewangan yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, melalui langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan 80 peratus hutang keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 77 peratus pada bulan Jun, menunjukkan bahawa pihak syarikat penarafan menerima dan mengakui kewibawaan kerajaan PAKATAN.

“Kerajaan menghadapi banyak cabaran dalam mengurus kedudukan fiskal negara, namun pengekalan penarafan ini penting kerana ia satu petanda undi percaya kepada kemampuan kerajaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai hutang negara yang dikatakan semakin bertambah, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Jonathan Yasin (PAKATAN-Ranau) mengenai simpanan rizab negara, jumlah pendapatan dan perbelanjaan negara pada 2018, Lim berkata, rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM419.6 bilion atau AS$101.4 bilion, memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.0 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Mengikut perangkaan terbaru, katanya, pada 15 Oktober 2019, rizab antarabangsa Malaysia telah meningkat kepada RM432.7 bilion atau AS$103.3 bilion, iaitu memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Sementara itu pada tahun 2018, beliau berkata, jumlah hasil kerajaan Persekutuan adalah RM232.9 bilion, manakala bagi perbelanjaan pula adalah RM287.1 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM231.0 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM56.1 bilion.

Menjawab soalan tambahan tentang bagaimana kerajaan menambah pendapatannya, Lim berkata, ia dapat dilaksanakan melalui proses pelupusan harta yang merupakan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan bukannya Kementerian Kewangan.

“Sehingga kini, tidak ada tanah yang dilupuskan oleh kerajaan PAKATAN sejak mengambil alih pada 9 Mei 2018.

“Pelupusan tanah dibuat kerajaan terdahulu yang menerima hasil berjumlah RM4.3 billion.

“Namun hasil ini sudah tentu dapat ditambah kalau ia dilakukan secara tender terbuka, mungkin meningkat sekali ganda kalau mengikut harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada kedudukan hutang langsung negara, sehingga akhir Jun, ia berjumlah RM799.1 billion atau 52.7 peratus daripada KDNK, masih kekal di bawah paras 55 peratus yang ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rizab antarabangsa Malaysia meningkat RM13.1 bilion

SHAH ALAM, 30 OKT: Jumlah rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada RM432.7 bilion sehingga 15 Oktober tahun ini berbanding RM419.6 bilion pada 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata jumlah itu memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Pada 2018, rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM419.6 bilion atau USD101.4 bilion adalah memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Mengikut perangkaan terbaharu, pada 15 Oktober 2019 rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada RM432.7 bilion atau USD103.3 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan adalah RM232.9 bilion bagi tahun 2018.

Bagi perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pula adalah RM287.1 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM231.0 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM56.1 bilion.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guan Eng nafi Belanjawan 2020 abai Sarawak

MIRI, 27 OKT: Sarawak adalah antara negeri menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2020 dengan pelbagai peruntukan digunakan untuk tujuan pembangunan meliputi semua sektor di negeri ini.

Sehubungan itu , Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan persekutuan berat sebelah dalam pembahagian peruntukan dan ini dibuktikan dengan Sarawak penerima kedua tertinggi selepas Sabah iaitu menerima peruntukan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM4.4 bilion untuk tahun 2020.

“Jumlah RM4.4 billion adalah untuk 621 projek di Sarawak pada tahun 2020 meningkat berbanding RM4.3 billion bagi 569 projek di negeri ini pada tahun 2019,”katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-19 DAP Sarawak di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, prihatin dengan pembangunan di Sarawak, kerajaan persekutuan telah bercadang untuk mengandakan pemberian khas di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mulai tahun depan kepada RM32 juta berbanding RM16 juta yang telah disalurkan sejak 1969.

“Bagi menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Sarawak, kerajaan persekutuan bercadang untuk meningkatkan kadar tersebut sehingga RM64 juta dalam tempoh lima tahun,”katanya.

Beliau berkata, di bawah Belanjawan 2020 peruntukan sebanyak RM400 juta akan disalurkan bagi membaiki sekolah daif di Sarawak membuktikan kerajaan persekutuan tidak mengabaikan isu sekolah daif di Sarawak.

“Kerajaan persekutuan telah mengambil langkah untuk berkongsi hasil dengan perkongsian hasil 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan yang dipungut di negeri masing-masing apabila pada Mac 2019 kerajaan Sarawak menerima RM2.6 juta yang merupakan 50 peratus kutipan cukai pelancongan di Sarawak pada tahun 2018,”katanya.

Mengenai cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melibatkan hampir 6,000 rumah panjang serta kampung di Sarawak pada tahun depan, beliau berkata, Kementerian Kewangan bersedia memberi peruntukan kewangan yang sewajarnya bagi memantapkan organisasi tersebut.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan bersetuju dengan penubuhan MPKK sebagai persiapan peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

Menurutnya, penubuhan MPKK adalah untuk memudahkan saluran peruntukan kewangan dari kerajaan persekutuan bagi pelaksanaan pelbagai projek di luar bandar selain daripada membentuk barisan pemimpin akar umbi sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Sarawak selepas PRN12 diadakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM5.1 bilion disedia bayar hutang 1MDB, SRC untuk 2019, 2020

PUTRAJAYA, 22 OKT: Sebanyak RM5.1 bilion diperuntukkan untuk melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tahun ini (2019) dan 2020, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sejumlah RM2.7 bilion disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC, dan sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun 2019.

“Kerajaan tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, hutang dan liabiliti 1MDB, termasuk faedah, pada masa ini berjumlah kira-kira RM51 bilion, termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar oleh Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada 18 Okt lepas (2019), 1MDB telah membuat pembayaran faedah sebanyak AS$50,312,500 bagi pelunasan bayaran faedah bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL), katanya.

“Bayaran tersebut dibuat menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya dikembalikan sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” kata Lim.

Bon 1MELL bernilai AS$1.75 bilion itu diterbitkan pada 19 Oktober 2012 dan akan matang pada 18 Oktober 2022.

Lim berkata, untuk tahun ini, dua lagi bayaran perlu dibuat oleh 1MDB.

Ia melibatkan bayaran faedah bon 1MDB Energy Ltd (1MEL) sebanyak AS$52.4 juta (kira-kira RM219.2 juta) yang akan dibayar pada 11 November 2019, dan bayaran faedah sukuk Islamic Medium Term Note (IMTN) sebanyak RM143.75 juta yang akan dibayar pada 29 November 2019, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkaan pertumbuhan global lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Jangkaan pertumbuhan ekonomi global meningkat kepada 3.4 peratus tahun depan daripada tiga peratus pada tahun ini sejajar dengan unjuran peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang lebih tinggi sebanyak 4.8 peratus daripada 4.7 peratus pada tahun ini dalam Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata faktor utama kepada pertumbuhan global ialah multilateralisme yang memanfaatkan semua bersifat inklusif dan merupakan hasil lebih baik daripada unilateralisme yang hanya mahu menguntungkan sesebuah negara.

“Seperti perang dagangan antara AS dan China yang telah membawa kebinasaan lingkungan kepada negara lain, unilateralisme akan merugikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata multilateralisme dan kolaborasi antarabangsa adalah perkara asas yang memungkinkan pelaksanaan yang berterusan, padu dan berintegrasi merentas sempadan.

“Malaysia akan terus menyokong multilateralisme untuk mendapatkan perdagangan yang bebas dan adil serta liberalisasi perdagangan yang tidak melumpuhkan secara tidak adil dan mengenakan tarif pada negara-negara membangun,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut menyeru semua negara berganding bahu ke arah meluaskan kolaborasi antarabangsa untuk mencapai hasil perdagangan yang saling memberi manfaat.

Dalam perkembangan lain, katanya Malaysia menjadi pengerusi Southeast Asia Voting Group (SEAVG) Kumpulan Bank Dunia (WBG) – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk Mesyuarat Pentadbir Bersama ke-52 kelompok tersebut yang diadakan di Washington baru-baru ini.

Beliau berkata mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada Mesyuarat Tahunan WBG-IMF 2019, yang terdiri daripada 10 negara-negara ASEAN, Nepal dan beberapa negara kepulauan Pasifik.

“Dalam Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bersama yang saya pengerusikan, mesyuarat membincangkan mengenai prospek pertumbuhan global, kesan perang dagangan dan ekonomi digital yang menggunakan Malaysia sebagai contoh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guan Eng: Belanjawan 2020 ‘luar biasa’

BERA, 14 OKT: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu luar biasa kerana mendapat pujian sebagai ‘belanjawan pilihan raya’.

Katanya, seorang pemimpin Pakatan Harapan ada bertemu dengannya selepas selesai pembentangan itu dan memberitahu peruntukan yang diberikan kali ini sangat menyeluruh seperti yang biasa diberikan pada tahun pilihan raya umum diadakan.

“Saya menjawab bahawa kita perlu buat perubahan daripada kerajaan sebelum ini iaitu belanjawan kita ialah seperti belanjawan pilihan raya walaupun (tarikh) pilihan raya masih jauh. Kita harap boleh buat begini setiap tahun.

“Kita kena berusaha untuk buat perubahan yang telah kita janjikan kepada rakyat dan bagaimana susah sekalipun, kita kena berusaha. Setakat ini, banyak reaksi yang diterima yang pada keseluruhannya adalah positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pahang di Pejabat DAP Triang di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah serta barisan kepimpinan parti.

Guan Eng juga menyifatkan belanjawan itu sebagai menyeluruh kerana dibuat secara ‘suci hati bagi membantu rakyat’ menyebabkan pembangkang tidak dapat membalas pembentangan tersebut.

“Jika kita menyaksikan pembentangan itu secara live, pembangkang begitu agresif pada peringkat awal namun bila saya sudah habis (membentangkan belanjawan) mereka semua sudah menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, belanjawan itu bukan sahaja bermatlamat meningkatkan ekonomi negara, tetapi juga untuk kebajikan rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan, kesejahteraan wanita, mementingkan aspek pendidikan dan institusi keagamaan.

Sementara itu, Ngah Ngah pada ucapannya mengakui terdapat beberapa kelemahan yang masih wujud selepas lebih setahun perubahan kerajaan berlaku, namun ia boleh diperbaiki dari semasa ke semasa termasuk dalam menunaikan manifesto pilihan raya.

“Misi kita pada 2018 ialah menumbangkan kerajaan rasuah untuk menyelamatkan Malaysia dan kita berjaya. Sekarang masa untuk kita menampal lubang yang banyak dan ini mengambil masa.

“Namun, sekurang-kurangnya kita tidak mengamalkan rasuah dan itu yang paling utama… kita kena bersih dalam hasrat kita membantu rakyat,” katanya.

-BERNAMA