Categories
AGENDA NASIONAL

Kontraktor arah henti kerja di tapak laluan LRT3, insiden disiasat

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd, Kontraktor Pakej Kerja GS09 Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat punca insiden perancah besi jatuh di tapak pembinaan projek itu di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Menerusi kenyataan hari, syarikat itu memaklumkan Arahan Henti Kerja (SWO) telah dikeluarkan bagi menghentikan serta-merta semua aktiviti pembinaan.

“Kami ingin mengucapkan takziah dan maaf kepada mangsa dan keluarga mereka serta meminta maaf kepada orang ramai atas sebarang kesulitan,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau kebimbangan berhubung isu keselamatan, sila hubungi talian LRT3 di 1 800 18 2585.

Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas perancah besi di tapak pembinaan itu jatuh manakala tiga lagi rakan senegaranya serta seorang rakyat Indonesia berusia 30-an mengalami cedera ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 4.20 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Laluan Subang ke Glenmarie ditutup susulan gas bocor di tapak bina LRT3

SHAH ALAM, 23 APRIL: Susulan kebocoran gas di lokasi projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen 1 di sini, laluan dari Subang menghala ke Glenmarie ditutup sepenuhnya selama 25 hari.

Laluan kontra akan dibuka bermula dari simpang tiga Temasya Kasih hingga ke Bangunan Palm Grove membabitkan jarak lebih kurang 350 meter.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata semalam pihaknya menerima maklumat mengenai kebocoran gas terbabit yang mana saluran paip tersebut adalah saluran utama bagi membekal gas asli kepada Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan sekitar, pihak bomba menyarankan agar menutup sepenuhnya laluan terbabit.

“Lokasi penutupan jalan ini adalah penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie. Sekiranya penutupan penuh dijalankan akan menyebabkan kesesakan teruk ke arah Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

“Tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra dijangka selama 25 hari, iaitu tempoh membaik pulih dijangka selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini

Baharudin berkata sepanjang tempoh itu, bantuan rondaan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah, mematuhi isyarat lalu lintas dan berhati-hati semasa melalui laluan kontra tersebut.

–BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Struktur bengkok punca kerangka besi LRT3 runtuh

SHAH ALAM, 18 JUN: Struktur besi bengkok menyebabkan kerangka projek pembinaaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Batu 2, Jalan Meru, Klang runtuh semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata kejadian berlaku ketika pekerja sedang melakukan proses menuang konkrit, lapor Berita Harian.

“Tiada kecederaan dilaporkan. Hanya kerosakan alat pembinaan, namun nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Susulan itu, beberapa jalan di lokasi berkenaan ditutup di kedua-dua arah selama lima hari dan dilencongkan bagi membolehkan kerja pembersihan dibuat.

Kejadian pada jam 5.15 pagi menyebabkan trafik sesak di lokasi kejadian, namun kembali lancar selepas dikawal polis.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu tidak jejas projek LRT3

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Jerebu yang sedang melanda negara ketika ini dijangka tidak menjejaskan kemajuan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Dalam hal ini, MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK), syarikat yang mengendalikan usaha itu telah mengambil langkah bagi memastikan semua pekerja di tapak pembinaan dilindungi dengan topeng pernafasan N95.

Pengarah Projek, Patrick Hwang Chee Leong berkata, pihaknya menambah pengagihan topeng N95 yang baharu kepada pekerja pada setiap hari, untuk melindungi mereka daripada menyedut partikel udara berbahaya.

MRCBGK turut memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan jika bacaan naik kepada 160 atau lebih, aktiviti pembinaan luar akan dikurangkan.

“Selain daripada menyediakan pekerja kami dengan air botol tambahan dan menggalakkan mereka untuk minum lebih banyak bagi membersihkan toksin, kami juga membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mereka,” katanya kepada Bernama.

Langkah tersebut adalah selaras dengan pengawasan kesihatan projek LRT3 serta Garis Panduan Untuk Perlindungan Pekerja ke atas Kesan Jerebu di Tempat Kerja Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

MRCB George Kent adalah sebuah syarikat usaha sama antara Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dengan George Kent (M) Bhd untuk melaksanakan projek LRT3.

MRCB pada masa sekarang merupakan pemaju dan kontraktor terbesar pembangunan berorientasikan pengangkutan di negara ini, manakala George Kent adalah sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka dan pakar sistem kereta api tanah air.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada tender baru dibuka untuk projek LRT3

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak membuka tender semula yang baharu untuk projek Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu diambil kerana menghadapi isu pampasan dan kerugian ‘sunk cost’ melebihi RM4.2 bilion.

“Kerajaan menerusi Prasarana Malaysia Sdn Bhd memutuskan supaya projek LRT3 dirunding semula sebagai kontrak harga tetap atau ‘fixed fee contract’.

“Ini akan memastikan harga akan terikat kepada harga ditetapkan. Dengan kata lain, fi yang dibayar pada enam peratus di bawah kadar lama kepada Rakan Pelaksana Projek (PDP) tidak wujud lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pada sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat.

Guan Eng berkata, Kerajaan terdahulu menganggarkan fi asal PDP berjumlah RM948 juta.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan projek LRT3 diteruskan dengan kos akhir RM16.63 bilion, berbanding kos asal RM31.65 bilion.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, sekali gus menyaksikan pengurangan 47 peratus wang rakyat berjumlah RM15.02 bilion.

Categories
NASIONAL

Projek LRT3 diteruskan dengan kos RM16.63 bilion

PUTRAJAYA 12 JUL: Kabinet bersetuju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diteruskan dengan kos akhir berjumlah RM16.63 bilion, iaitu 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan media berkata nilai kos akhir itu sekali gus dapat menjimatkan RM15.02 bilion wang rakyat.

Katanya, kos keseluruhan itu termasuk tetapi tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), pengambilan tanah, pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos lain yang berkaitan.

“Penjimatan bernilai RM15 bilion bukan sahaja penting dalam konteks pengurangan hutang negara, malah ia juga bakal memberi penjimatan tambahan bernilai RM14 bilion khususnya dalam kos faedah sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman kewangan.

“Pengurangan kos sebanyak 47 peratus ini membuktikan kemampuan kerajaan dalam usaha mendapatkan penjimatan kos yang begitu signifikan bagi projek yang harga asalnya melambung tinggi akibat kelemahan tadbir urus,” katanya.

Guan Eng berkata, prose perundingan semula yang menyeluruh dan pelan rasionalisasi pelaksanaan projek LRT3 sudah diadakan dengan semua pihak terbabit termasuk Prasarana Malaysia,MRCB-George Kent (MRCB-GK JV), iaitu Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Satu aspek kritikal dalam pengkajian semula projek ini adalah integrasi jajaran LRT3 sepanjang 37km; dari Johan Setia (Klang) ke Bandar Utama (Petaling Jaya) perlulah dikekalkan.

“Di samping itu, isu keselamatan, kekerapan jadual perjalanan dan kualiti perkhidmatan mestilah memenuhi segala syarat keperluan pengawal selia,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah utama diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc.

“Berdasarkan kajian pelaksanaan projek LRT3, 22 set kereta api 3-koc ini sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set kereta api 3-koc dilaksanakan.

“Mengurangkan saiz pembinaan pangkalan kereta api LRT berikutan bilangan kereta api LRT yang dikurangkan. Mengubahsuai saiz dan reka bentuk stesen LRT mengikut piawaian jajaran LRT Kelana Jaya dan bukannya mengikut saiz stesen MRT yang lebih besar.

“Menangguhkan pembinaan lima stesen yang dijangkakan mempunyai jumlah penumpang yang rendah, sehingga terdapat keperluan untuk membina stesen itu. Pembinaan stesen yang akan dibatalkan adalah Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic.

“Membatalkan pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam,” katanya.

Selain itu katanya, langkah turut diambil dengan melanjutkan tempoh masa untuk menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek itu.

Categories
NASIONAL

LRT3: Prasarana diminta semak semula kos

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kementerian Kewangan mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyemak semula kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM31.45 bilion.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan menyokong pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 tanpa menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan diberikan.

Katanya, kos keseluruhan projek itu disemak kerana kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana yang memerlukan pengurangan secara drastik untuk memastikan ia efektif dan berdaya maju.

“Terdapatnya beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan RM6 bilion, namun Kementerian ingin menegaskan ia perlu dikurangkan jauh lebih daripada itu supaya projek dapat diteruskan.

“Sebelum ini, Prasarana sudah memperolehi jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion bagi membiayai projek ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Prasarana pernah meminta jaminan kerajaan tambahan RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3, pada 30 Mac lalu.

LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk yang pesat.

Jajaran LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan meliputi kepadatan penduduk seramai dua juta orang di sepanjang koridor jajaran dan menampung kapasiti 36,700 penumpang sejam, setiap hala.