Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pindaan Enakmen LUAS berkuat kuasa dalam tempoh sebulan

GOMBAK, 24 NOV: Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 yang mengenakan hukuman lebih berat berkuat kuasa dalam tempoh sebulan selepas diluluskan pada 9 November.

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa proses perlu dilakukan untuk mewartakan pindaan undang-undang antaranya memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Apabila tuanku berkenan untuk menurunkan tandatangan, pindaan ini akan jadi undang-undang sah dalam tempoh sebulan.

“Selepas ini pesalah yang mencemarkan sungai akan berdepan hukuman lebih berat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat Operasi Roboh Binaan Haram di Lembangan Sungai Selangor di Menara Majlis Perbandaran Selayang hari ini.

Pindaan Enakmen LUAS dilulus di Dewan Negeri Selangor pada 9 November setelah gangguan bekalan air kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori, menambah jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta.

Selain itu LUAS juga boleh mengarahkan pesalah kes pencemaran air membayar kos kerja pembersihan serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat jenayah cemar air.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pencemaran bau dikesan, LRA Rantau Panjang dihenti tugas

SHAH ALAM, 18 NOV: Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada jam 7.10 malam tadi susulan pencemaran bau dikesan pada muka sauk loji.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata tindakan itu susulan laporan dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 7 malam.

“Terdapat bau seakan bahan pelarut dengan bacaan satu TON (nombor bau nilai ambang).

“Luas, Air Selangor dan pihak terlibat menjalankan siasatan dan tindakan mitigasi segera. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata agensi menerusi Facebook.

Categories
AGENSI SELANGOR

Luas: Bau dikesan di Sungai Kundang, tiada henti tugas LRA

SHAH ALAM, 14 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan bau di udara berhampiran kawasan Perumahan Saujana, Rawang kira-kira jam 12 pagi tadi semasa pemantauan Ops Sumber Air.

Luas dalam kenyataan di Facebook berkata tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

Dua agensi itu membuat pensampelan bau air di Sungai Kundang berhampiran taman tersebut dan mengesan bau sebanyak 4 TON (nombor bau nilai ambang).

Luas dan Air Selangor bertindak segera meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK pada 14 November 2020. Foto: Facebook Luas

“Siasatan di kawasan Taman Velox mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) melimpah, disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Luas dan Air Selangor mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan yang disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK.

“Pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan.
Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Premis disyaki punca cemar Sungai Selangor disita

SHAH ALAM, 11 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita premis disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Selangor semalam, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan bersepadu bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta polis malam tadi.

“Luas akan mengeluarkan Surat Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen Luas 1999 kepada premis selain mengarahkan kerja pemulihan segera tapak berkenaan.

“Luas turut mengeluarkan Surat Arahan Seksyen 121 (1) Enakmen Lembaga Urusa Air Selangor  kepada Indah Water Konsortium (IWK) bagi menutup aliran dan pembersihan serta-merta loji rawatan kumbahan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Agensi berkata pihaknya meneruskan pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran berlaku di Sungai Selangor.

Pencemaran semalam menyebabkan Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas.

Susulan itu lebih 1.1 juta pemegang akaun di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas manakala bekalan air dijangka pulih bermula jam 3 petang.

Categories
AGENDA NASIONAL

LUAS: Sisa buangan IWK disyaki punca pencemaran bau Sungai Selangor

SHAH ALAM, 10 NOV: Sisa buangan dari loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata siasatan pihaknya mendapati loji yang berjarak 12 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang melepaskan bahan buangan tanpa kebenaran ke lurang (manhole) berhampiran.

“LUAS mengaktifkan kod merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

“Kami juga melaksanakan langkah nyahbau dengan meletakkan 37 beg ‘activated carbon’ untuk mengawal pencemaran di lokasi,” kata agensi dalam kenyataan.

Tambahnya, Luas juga mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 192 juta liter sehari (JLH) bagi meningkatkan faktor pencairan dan pelepasan air Empangan Sungai Tinggi (500 JLH) serta Empangan Sungai Selangor (300 JLH).

Ia juga menaikkan semua ‘river gate’ di Baraj Bestari Jaya bagi tujuan ‘flushing’ dan mempercepatkan aliran ke hilir sungai.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang ini susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat loji rawatan air dihenti tugas akibat pencemaran

SHAH ALAM, 10 NOV: Empat loji rawatan air (LRA) negeri ini dihenti tugas susulan pencemaran bau pelarut dikesan di Sungai Selangor awal pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan memaklumkan loji tersebut ialah Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3.

“Dimaklumkan LRA tersebut dihenti tugas antara jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi disebabkan oleh pencemaran bau seakan-akan pelarut di Sungai Selangor.

“Bau dikesan sekitar lapan TON (nombor bau nilai ambang). Berdasarkan pemantauan jam 6 pagi tadi, rekod bacaan terakhir pada tahap sifar TON,” kata agensi itu di Facebook.

Berikutan itu, Luas berkata pihaknya bersama Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sedang giat menjalankan siasatan dan tindakan mitigasi segera.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pindaan enakmen beri kuasa Luas caj pengambilan air lebih had

SHAH ALAM, 10 NOV: Pindaan enakmen memberi kuasa kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengenakan caj terhadap pengambilan air melebihi had dibenarkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pindaan Seksyen 44 Luas sebagai langkah mengawal penggunaan sumber air bagi mengelak pembaziran.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) disempurnakan pindaan enakmen Luas di Dewan Negeri Selangor (DNS) dan kini telah pun menjadi sebahagian daripada rang undang-undang.

“Pindaan dengan kelulusan sebanyak 11 fasal ini antara lain menaikkan jumlah denda minimum kepada RM200,000 dan menetapkan jumlah denda maksimum tidak melebihi RM1 juta berserta hukuman penjara mandatori sebagai faktor pencegah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Amirudin berkata DNS turut meluluskan semua perbelanjaan membersih atau memulihkan sebarang pencemaran oleh Luas akan ditanggung pesalah.

Semalam, DNS meluluskan pindaan Rang Undang-undang Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan 2020) selepas mendapat sokongan semua wakil rakyat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kemalangan lori minyak sawit: Bina ban tanah elak henti tugas LRA

SHAH ALAM, 6 NOV: Ban tanah dibina di sistem saliran berhampiran kawasan kemalangan lori membawa muatan minyak sawit, dekat Bandar Ainsdale ke Nilai bagi menghalang pencemaran Sungai Jerangkang dan Sungai Batang Labu.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata langkah itu dibuat Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) selain pihaknya memohon kerjasama Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan untuk mengambil tindakan kawalan di lokasi.

“Lori berkenaan dialihkan dan pemiliknya melakukan penyedutan minyak yang tumpah. Pasukan kecemasan Luas turut berada di tapak terbabit bagi memantau kerja pembersihan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kerja menyedut dan membersihkan minyak dijalankan pemilik lori di kawasan kemalangan pada 6 November 2020. Foto Facebook Luas

Susulan tindakan pantas itu, agensi memaklumkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan Salak Tinggi berjalan seperti biasa kerana tiada bahan tercemar memasuki saliran.

Kemalangan di Kilometer 276.1 arah utara berlaku kira-kira jam 7.40 pagi tadi dianggarkan sejauh 10.7 kilometer (KM) dan 15.68 KM dari dua LRA itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kemalangan lori minyak sawit: Luas bertindak segera elak henti tugas LRA

SHAH ALAM,6 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera susulan berlaku kemalangan melibatkan lori membawa minyak sawit di KM276.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pagi tadi.

Agensi berkata insiden itu mungkin menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu dan Salak Tinggi dihenti tugas susulan tumpahan minyak dikesan memasuki longkang lebuh raya.

“Maklumat awal diperolehi menunjukkan bahan cemar akan memasuki Sungai Jerangkang seterusnya ke Sungai Batang Labu.

“Jarak pencemaran ke LRA Sungai Labu dalam anggaran 10.7 kilometer (KM) manakala ke LRA Salak Tinggi sejauh 15.68 KM,” katanya menerusi Facebook pagi ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan pantas atasi pencemaran Sungai Kuang, tidak jejas bekalan air

SHAH ALAM, 31 OKT: Tindakan pantas diambil bagi menangani insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik di kawasan berhampiran semalam.

EXCO alam sekitar berkata sebanyak 43 beg karbon aktif diguna bagi menyahbau sisa kebakaran, sekali gus mengelaknya daripada mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pengurusan Air Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang dalam proses menghentikan sisa kebakaran melalui cadangan pembinaan ban tanah.

Kakitangan Luas dan bomba meninjau insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik di kawasan berhampiran pada 30 Oktober 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

“Luas juga akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen Luas 1999 kepada kilang terlibat berhubung risiko dan ancaman insiden itu kepada kualiti sumber air,” kata Hee Loy Sian dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah insiden kebakaran yang dikesan malam tadi tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA) dan bekalan kepada pengguna.

Jelasnya, siasatan mendapati sisa kebakaran tersebut membeku di permukaan air, namun sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir ke alur air hulu Sungai Kuang.

“Insiden itu menyebabkan kesan bau sekitar tiga TON (nombor bau nilai ambang) melalui ujian pensampelan bau, manakala jarak insiden ke muka sauk LRA Rantau Panjang dianggar 33km.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan kelangsungan sumber air dan menyeru semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air terutama sungai,” kata Loy Sian lagi.

Sisa kebakaran membeku di permukaan air, namun sisa kehitaman dikesan mengalir ke alur air hulu Sungai Kuang. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan pantas Luas halang tumpahan minyak cemari sungai

SHAH ALAM, 28 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) yang menerima aduan tumpahan minyak hitam berjaya mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Agensi menerusi kenyataan berkata sisa minyak enjin terpakai dikesan di alur air Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong pada jam 6 petang semalam.

“Aliran alur ini akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat. Susulan itu alat penghalang dan pemecah minyak diletak untuk menyekat aliran minyak.

“Luas turut mengambil sampel untuk dianalisis serta melakukan tindakan kawalan di tempat kejadian,” katanya semalam.

Menurutnya, lokasi pembuangan merupakan tempat air bertakung manakala siasatan mendapati perbuatan dilakukan pihak ketiga.

“Luas dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Kajang akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 23 Oktober, agensi turut berjaya mengesan awal dua pencemaran di Sungai Kundang, Rawang dan Tasik Putrajaya sekaligus mengelak henti tugas LRA.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tindakan pantas Luas kesan pencemaran, elak gangguan air

SHAH ALAM, 23 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya mengesan dua pencemaran di Sungai Kundang, Rawang dan Tasik Putrajaya sekaligus mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

EXCO alam sekitar berkata pemantauan 24 jam menerusi Ops Statik Sungai Gong, Rawang mengesan pencemaran bau sehingga 10 TON (nilai bau ambang) di Sungai Kundang pada jam 10.45 pagi semalam.

“Siasatan lanjut Luas bersama Air Selangor di premis yang disyaki mendapati bau sama sehingga 10 TON dikesan di pelepasan akhir premis di kawasan industri Kundang Jaya.

“Luas mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen Luas 1999 diberi kepada premis terbabit untuk menghentikan pelepasan sisa buangan serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Luas mengambil langkah menyahbau dengan meletakkan 12 beg mengandungi 300 kilogram karbon aktif untuk mengawal pencemaran.

Tambahnya, pencemaran kedua melibatkan tumpahan diesel ke dalam Tasik Putrajaya pada jam 9.35 pagi akibat kebocoran paip bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

“Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan IKN melaksanakan kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

“Beberapa langkah mitigasi dijalankan IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ pada sistem saliran dan menyedut minyak yang telah bercampur,” katanya.

Beliau berkata insiden tersebut boleh menyebabkan pencemaran Sungai Langat serta menyebabkan henti tugas LRA Bukit Tampoi.