Categories
AGENDA NASIONAL

Empat pengarah syarikat didakwa lepaskan bahan buangan ke Sungai Kundang

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Empat pengarah syarikat sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan melepaskan bahan buangan daripada premis itu ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen.

Ong Seng Khek, 71, Low Sze Wai, 66, Siow Lee Chen, 66, dan Ong Chee Ming, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Ketiga-tiga lelaki dan seorang wanita itu didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan daripada premis Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd ke dalam parit yang mengalir ke Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen di premis syarikat itu di Lot 19701, Jalan KPK 1/3 , Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, Gombak pada 22 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam S Y Ong yang mewakili kesemua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin yang berlainan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang menganggu saksi pendakwaan serta melaporkan di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, kempat-empat pengarah syarikat itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan lapan imigran haram berada di dalam premis yang sama tanpa kebenaran yang sah pada 3 petang, 26 Okt lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin namun peguam mereka memohon jaminan lebih rendah atas alasan syarikat anak guamnya telah digulung.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin yang berlainan dan menetapkan 7 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (nilai bau ambang) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tindakan pantas Luas kesan pencemaran, elak gangguan air

SHAH ALAM, 23 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya mengesan dua pencemaran di Sungai Kundang, Rawang dan Tasik Putrajaya sekaligus mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

EXCO alam sekitar berkata pemantauan 24 jam menerusi Ops Statik Sungai Gong, Rawang mengesan pencemaran bau sehingga 10 TON (nilai bau ambang) di Sungai Kundang pada jam 10.45 pagi semalam.

“Siasatan lanjut Luas bersama Air Selangor di premis yang disyaki mendapati bau sama sehingga 10 TON dikesan di pelepasan akhir premis di kawasan industri Kundang Jaya.

“Luas mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen Luas 1999 diberi kepada premis terbabit untuk menghentikan pelepasan sisa buangan serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Luas mengambil langkah menyahbau dengan meletakkan 12 beg mengandungi 300 kilogram karbon aktif untuk mengawal pencemaran.

Tambahnya, pencemaran kedua melibatkan tumpahan diesel ke dalam Tasik Putrajaya pada jam 9.35 pagi akibat kebocoran paip bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

“Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan IKN melaksanakan kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

“Beberapa langkah mitigasi dijalankan IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ pada sistem saliran dan menyedut minyak yang telah bercampur,” katanya.

Beliau berkata insiden tersebut boleh menyebabkan pencemaran Sungai Langat serta menyebabkan henti tugas LRA Bukit Tampoi.

MB : Perantara bebas tentukan jumlah bayaran pengambilalihan air

Sinopsis

FOKUS Untuk 15112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada badan bebas sebagai perantara untuk menentukan jumlah yang perlu dibayar kepada empat syarikat konsesi air jika persetujuan itu masih menemui jalan buntu.

2. Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Mampu Milik Negeri Selangor dalam usaha untuk memastikan sasaran pembinaan 35,000 Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri itu tercapaai.

3. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merampas lesen sebuah kilang kitar semula tong yang dipercayai mengalirkan sisa bahan kimianya ke dalam Sungai Kundang, di Taman Perindustrian Puteri Permai, baru-baru ini.

4. Pelajar cemerlang Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat Selangor, Nur Nabiha Nasuha Muhammad Zamri menyifatkan restu ibu bapa sebelum ke sekolah adalah kunci kejayaannya.

5. Majlis Perbandaran Klang (MPK) mewujudkan program pelancongan yang dinamakan ‘Mini Cruise Sungai Klang’ bagi menyahut usaha kerajaan negeri membangunkan sungai berkenaan.

6. Kerajaan Pusat seharusnya tidak membelanjakan dana yang besar bagi memperuntukkan sistem yang tidak efesien seperti sistem MySikap apabila kos bernilai hampir RM200 juta digunakan JPJ di seluruh negara.

7. Jika pagi semalam beberapa MP pakatan Rakyat mengoyak-ngoyak kertas usul menggantung MP Padang Serai sewaktu ia dibentangkan, petangnya pula menyaksikan giliran MP dari BN pula untuk ‘membalas dendam’.