Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat majlis kahwin pasangan selebriti langgar SOP

KUANTAN, 28 DIS: Polis membuka kertas siasatan melibatkan majlis perkahwinan pasangan selebriti susulan penularan sebuah video yang memaparkan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) pada majlis itu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata semalam pihaknya menerima laporan berkaitan satu video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook, mengandungi rakaman majlis berkenaan yang diadakan di sebuah vila di Genting Highlands, dekat sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ada tetamu di majlis yang berlangsung pada 15 Dis lepas sekitar 8.30 malam itu tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial, sekali gus melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara fasa empat.

“Polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan itu bagi membantu siasatan mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham seterusnya meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Benar majlis kahwin ikut SOP ketat, bantu ekonomi penggiat industri

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan diminta membenarkan penganjuran majlis perkahwinan bersaiz kecil yang mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) bagi membantu ekonomi penggiat industri.

Pengasas Bizmilla Wedding Centre berkata mengikut budaya dan tradisi masyarakat, ibu bapa tetap mahu melihat perkahwinan anak masing-masing walaupun dalam majlis kecil.

“Mungkin boleh mulakan dengan majlis pernikahan yang menetapkan had tetamu seramai 150 sahaja. Langkah ini juga menjimatkan kos ditanggung pengantin.

“Sekurang-kurangnya peristiwa penting yang berlaku sekali dalam hidup dapat dilihat dan menjadi kenangan bermakna,” kata Mila Jirin pada program bual bicara ‘Covid-19 & Industri Majlis Perkahwinan’ yang disiarkan langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei lalu kerajaan melarang semua bentuk perhimpunan sosial termasuk majlis perkahwinan, pertunangan, doa selamat, sambutan hari jadi serta majlis rasmi kerajaan.

Bagaimanapun majlis akad nikah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis cadang Neelofa, PU Riz dikompaun

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis mencadangkan Neelofa dan suaminya, PU Riz dikompaun selepas didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua polis Dang Wangi berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan majlis perkahwinan pelakon dan pendakwah bebas itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, lapor Berita Harian.

“Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya yang akan putuskan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya.

“Kertas siasatan sudah diserahkan dan kita cadang pasangan berkenaan dikompaun,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Pada 28 Mac lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pasangan itu selepas siasatan awal mendapati ia gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai gambar majlis perkahwinan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan Muhammad Haris Mohd Ismail di hotel terkemuka yang dikatakan melanggar SOP.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Boleh teruskan majlis kahwin, wajib bawa kad jemputan

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis perkahwinan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh diteruskan, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata tetamu dari luar kawasan wajib membawa kad jemputan untuk ditunjukkan ketika melalui sekatan jalan raya.

“Sebagai contohnya, jika majlis perkahwinan di mukim Klang yang dikenakan PKPB tetapi jemputan dari Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain, mereka wajib bawa dan tunjukkan kad jemputan berkenaan.

“Keputusan ini diambil bagi memudahkan mereka yang sudah merancang majlis perkahwinan dan bimbang berlaku kerugian,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menambah bagi mengelak pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP), kerajaan menetapkan syarat supaya pengendali majlis meletakkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk pengawasan.

“Sekiranya jumlah tetamu 100 dan ke bawah, anggota RELA yang perlu diletakkan ialah dua orang, sekiranya 100 hingga 300, perlu ada tiga anggota.

“Sementara bagi SOP lain, seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka, mengambil suhu, cara pengendalian makanan masih lagi tertakluk dengan SOP yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor bermula hari ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Di Selangor, sebanyak 36 taman perumahan dalam mukim daerah berkenaan dikenakan perintah tersebut.