Categories
NASIONAL

Terdesak Umno Heret Institusi Raja Ke Kancah Politik

SHAH ALAM 13 SEPT : Dakwaan Umno-BN bahawa DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak dijemput untuk mencemar duli ke program Ambang Merdeka baru-baru ini dilihat cuba mengheret institusi Raja ke kancah politik murahan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata tindakan itu merupakan tabiat pemimpin Umno-BN dalam mencari alasan untuk mengekalkan kedudukan.

Katanya, ia dilihat sebagai cubaan mencetuskan kebencian dan memutuskan ukhuwah yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri dan pihak istana.

“Adalah menjadi amalan biasa, Setiausaha Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk segala persiapan, jemputan dan prasarana yang difikirkan perlu.

“Bagaimanapun, Umno-BN sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan Kerajaan Negeri. Kemungkinan sambutan luar biasa itu menjadi sebab kurang senang kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menerusi rekod bertulis, DYMM Sultan Selangor tidak hadir dalam sambutan dan acara kemerdekaan sebelum ini walaupun dibawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Umum mengetahui bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak dijemput ke sambutan kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil.

“Tetapi Pakatan Rakyat tidak menyerang Umno-BN sebagaimana mereka mencari publisiti murahan dengan mencuba berulang kali ‘mengaitkan kemurkaan Istana’,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuhaimi mempersoalkan sambutan kemerdekaan Kerajaan Pusat yang mengasingkan kerusi untuk pihak Umno, MCA dan MIC.

“Maka apakah jenis sambutan kemerdekaan Kerajaan Pusat?

“Jika sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar menuduh Menteri Besar tidak tahu adat, budaya dan protokol, jadi adakah Kerajaan Pusat juga gagal memahami tiga perkara itu dalam membezakan antara majlis rasmi dan majlis politik? soalnya.

Justeru, PKR negeri menasihatkan Noh dan Koordinator Umno-BN negeri, Datuk Seri Mat Zin supaya tidak menyerang tanpa hujah dan fakta.