Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan MB Selangor sempena Hari Thaipusam

Thaipusam yang mendapat nama daripada kombinasi nama bulan (Thai) dan nama bintang (Pusam) merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan.

Perayaan yang sinonim dengan falsafah menunaikan nazar dan menebus dosa ini disambut dengan meriah di Kuil Thandayuthabani, Palani, India.

MB Khalid Ibrahim Rakyat 01Tidak sekadar itu, perayaan yang bermakna bagi penganut Hindu ini juga disambut secara besar-besar di negara kita iaitu di Kuil Sri Murugan Batu Caves, Selayang, Selangor.

Biasanya agenda kemuncak bagi perayaan ini ialah, masyarakat Hindu akan ke kuil dengan keluarga masing-masing dan membuat puja bagi Tuhan Muruga supaya suami isteri hidup bahagia dan bersama sepanjang hayat.

Ramai di kalangan mereka yang menyambut perayaan ini percaya bahawa kebahagiaan suami isteri menjadi faktor penting dalam membentuk sebuah keluarga yang bermoral.

Bahkan dalam konteks ini, saya berpandangan kebahagiaan rumahtangga tidak hanya penting untuk membentuk sebuah keluarga yang bermoral, bahkan juga untuk membentuk negeri dan negara yang harmoni dan disegani.

Tanpa sistem kekeluargaan yang utuh, sesebuah negara itu pasti tidak akan mampu untuk bergerak maju dengan seimbang, baik dari sudut material, intelektual mahupun spiritual.

Atas faktor itu jugalah, kerajaan negeri Selangor memandang berat tentang soal pembinaan keluarga. Pelbagai dasar telah kita perkenalkan untuk membentuk sebuah negeri yang dibina dengan tapak kekeluargaan yang kukuh dan jitu.

Kerana kita faham, negeri yang terbentuk dengan model seperti ini mampu untuk memupuk perpaduan sesama masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Akhir kata, marilah bersama-sama kita berusaha membina sebuah masyarakat yang lebih baik daripada hari ini. Masyarakat yang lebih suka memahami daripada berkelahi.

Masyarakat yang lebih gemar bersangka baik daripada menanam prasangka. Ya, perubahan itu tidak datang secara percuma dan mudah. Pastinya sukar dan beranjau. Namun tetaplah berusaha sahabatku. Berusaha dan terus berusaha!

“Selamat Menyambut Hari Thaipusam”

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

MB: Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS dipanggil

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 16 JAN : Kerajaan Negeri akan memanggil Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Setiausahanya bagi memberi keterangan berhubung isu keahlian dan pengguguran seorang ahli lembaganya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan ringkasnya berkata beliau dan barisan Exco terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini.

pkns 2“Sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Exco, kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

“Oleh kerana perkara ini bukan isu terdesak yang melibatkan kepentingan orang ramai, Kerajaan Negeri meminta rakyat supaya bersabar dan tidak mempercayai sebarang spekulasi sehingga keputusan Exco dibuat,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, jawatan ahli lembaga pengarah berkenaan ditamatkan melalui surat bertarikh 8 Januari lalu, sebenarnya dibuat selaras dengan mesyuarat exco pada 13 November dan disahkan pada 4 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesyorkan supaya Menteri Besar melantik semula ahli lembaga itu yang digugurkan pada awal minggu lepas.

“Kita berpandangan bahawa kenyataan beliau itu mencerminkan sikap pemimpin yang berjiwa besar.

“Dengan mengambil kira kedudukan dan status beliau, Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) merasakan perlu mempertimbangkan permintaan beliau sebelum membuat sebarang keputusan muktamad,” katanya lagi.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS akan dipanggil untuk beri keterangan

Kerajaan Negeri mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung keahlian dan pengguguran Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kita berpandangan bahawa kenyataan beliau itu mencerminkan sikap pemimpin yang berjiwa besar.

pkns 2Dengan mengambil kira kedudukan dan status beliau, Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) merasakan perlu mempertimbangkan permintaan beliau sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Perlu ditegaskan Menteri Besar dan barisan EXCO terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini.

Justeru, Pengurus Besar dan Setiausaha Syarikat PKNS akan dipanggil untuk menerangkan mengapa keadaan sedemikian berlaku hingga melarat menjadi konflik.

Sebelum keputusan muktamad dibuat oleh EXCO, kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

Oleh kerana perkara ini bukan isu terdesak yang melibatkan kepentingan orang ramai, Kerajaan Negeri meminta rakyat supaya bersabar dan tidak mempercayai sebarang spekulasi sehingga keputusan EXCO dibuat.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

MB: Pengguguran Azmin dari PKNS diputus Pengurus Besar

Oleh: Norhayati Umor

pkns 2SHAH ALAM 15 JAN : Pengguguran Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diputuskan oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan terhadap Azmin itu bukan tindakan yang diputuskan oleh Mesyurat Exco Kerajaan Negeri.

“Exco bukannya satu parti, tetapi sekumpulan, keputusan tidak sambung Azmin dibuat oleh Pengurus Besar PKNS dan ia bukan keputusan parti dengan Exco tidak buat keputusan itu.

“Dalam minit mesyuarat Exco tiada siapa yang disingkir, surat sudah diberi kepada Azmin dan beliau terima manakala Exco menerima keputusan mereka yang keputusan itu dibuat pada 4 Disember 2013 lalu,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini.

Abdul Khalid berkata, pihaknya memberi jaminan akan mendedahkan minit mesyuarat itu serta surat Othman dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kami akan keluarkan surat dan minit mesyuarat exco pada 4 Disember lalu kerana kini ia masih di bawah Akta Rahsia Rasmi,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Negeri sedia timbang keputusan jika GIAT MARA perbaiki bangunan dan latihan

Kerajaan Negeri telah membentuk Task Force di setiap Pejabat Tanah Daerah di negeri ini bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap tanah-tanah milik kerajaan negeri bertujuan mengemas kini maklumat dan status.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara yang telah diperiksa oleh Task Force Pejabat Tanah Daerah Gombak termasuklah Pusat Latihan Kemahiran Giat Mara di Selayang yang dibina di tanah kerajaan negeri.

PC EXCO Jan 2013 MB 01Beliau berkata, hasil pemeriksaan dijalankan pasukan berkenaan mendapati bangunan pusat latihan itu kurang memuaskan dan bidang latihan yang disediakan tidak produktif.

Menteri Besar berkata, beliau telah mengarahkan Pentadbir Tanah Gombak supaya mengeluarkan notis kepada Giat Mara supaya berpindah dalam tempoh setahun.

“Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pengurusan pusat latihan itu boleh menambah baik atau menaik taraf bangunan sedia ada serta mempertingkatkan latihan-latihan yang disediakan supaya lebih produktif dan bermutu, kerajaan negeri boleh menimbang semula keputusan yang telah dibuat.

“Sekiranya pengurusan tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menambah baik bangunan, kerajaan Selangor sedia untuk membantu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO, hari ini.

Abdul Khalid berkata, sekiranya pihak Giat Mara mengambil keputusan untuk berpindah, kerajaan negeri akan mengambilalih pusat latihan berkenaan untuk dijadikan Pusat Latihan Industri Penerbangan yang akan menawarkan bidang Maintenance , Repair and Overhaul (MRO) pesawat-pesawat.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri penerbangan untuk membuka pusat latihan itu kepada belia-belia tempatan.

Menteri Besar menyifatkan pemimpin-pemimpin UMNO bertindak kurang bijak apabila menuduh kerajaan negeri mengamalkan politik perkauman sedangkan di bawah Pakatan Rakyat lebih ramai rakyat terutamanya Melayu mendapat bantuan.

Sejak 2008 sehingga 2013, lebih 1.7 juta penduduk di Selangor telah menerima bantuan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) melibatkan peruntukkan melebihi RM1 bilion.

Di bawah program MES, lebih 36,000 anak Selangor telah menerima RM1,000 sebagai hadiah masuk universiti (perbelanjaan lebih RM36 juta), lebih 100,000 warga emas menikmati program Jom Shopping (perbelanjaan lebih RM10 juta), lebih 2,000 belia menerima insentif perkahwinan dan lebih 43,000 waris warga emas menerima Khairat Kematian (perbelanjaan lebih RM105 juta).

Disediakan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

 

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri kawal harga, pemberian air percuma diteruskan

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 JAN : Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar harga air di Selangor dalam penstrukturan industri air.

Manakala pemberian 20 meter padu air percuma dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada rakyat diteruskan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam penstrukturan air di Selangor dan boleh menentang hasrat Kerajaan Pusat sekiranya bertindak mengawal keseluruhan industri air.

air-syabas_MB1Katanya, sekiranya Kerajaan Pusat mengawalnya ia bertentangan dengan Akta 655 Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang menyatakan ia mesti diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Pusat menggunakan Seksyen 114, Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA 2006) ekoran kegagalan Kerajaan Negeri memuktamadkan rundingan dengan empat syarikat konsesi air yang berakhir 31 Disember 2013 lalu.

“Kerajaan Negeri boleh menggunakan Seksyen 115 iaitu ia akan diserahkan kepada orang yang memiliki aset-aset air iatu Kerajaan Negeri,” katanya.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri masih mengekalkan tawaran sebanyak RM9.65 bilion dalam penstrukturan itu.

“Modus operandi pembayaran akan dibincangkan kemudian bersekali dengan pemilikian saham emas yang dimiliki oleh Kerajaan Pusat,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Pusat Giat MARA perlu baiki struktur bangunan dalam setahun

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 JAN : Pusat Giat MARA Selayang perlu memperbaiki struktur bangunannya dalam masa setahun dan boleh beroperasi seperti biasa sekiranya mempunyai dana mencukupi untuk operasi pusat itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sekiranya Pusat Giat MARA itu tidak mahu meneruskan operasi, mereka boleh mengosongkan premis dan Kerajaan Negeri akan memberi peluang kepada syarikat lain bagi mewujudkan pusat latihan industri penerbangan.

PC EXCO Jan 2013 MB 01Katanya, notis setahun diberi baru-baru ini adalah bagi memantau operasi pusat itu dan jika tidak menepati kehendak Kerajaan Negeri maka tapak itu perlu dikosongkan.

“Dalam masa tiga atau empat tahun akan datang, akan ada sistem perakaunan negara dengan setiap negeri bukan sahaja menyediakan akaun disatukan dalam bentuk penerimaan dan bayaran tetapi menyediakan laporan tentang aset dan hasil Kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri menyediakan satu pasukan ‘task force’ tanah untuk menjelajah setiap daerah untuk mengenal pasti dan membuat laporan tentang tanah milikan Kerajaan Negeri.

“Banyak bangunan kita dapati didirikan atas tanah kerajaan, salah satunya ialah Giat MARA ini yang sepatutnya dibina sebagai dewan orang ramai tetapi akhirnya dijadikan bengkel untuk pusat latihan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri banyak membantu golongan Melayu di negeri itu berbanding Kerajaan BN sebelum ini dengan pelaksanaan dasar yang adil kepada semua kaum.

“PR negeri sudah membelanjakan RM800 juta menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk diberikan kepada rakyat.

“Berdasarkan fakta melalui MES, kajian kita dapati dari 2008 hingga kini, kita jauh lebih banyak membantu golongan Melayu seterusnya India dan Cina,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Red Giants sasar julang 2 piala

SHAH ALAM 15 JAN: Pasukan bola sepak Selangor Red Giants mensasarkan untuk menjulang dua trofi dalam saingan pada 2014 ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau mahu Red Giants kembali kepada reputasi sebenar dan terbaik selaku jaguh bola sepak tanah air.

11web“Saya harap kita dapat julang dua piala itu pada misi kita tahun ini. Paling mustahak, saya mahu Misi 33 (Piala Malaysia) berakhir dengan kejayaan kerana kita sinonim dengan piala keramat itu.

“Sasaran yang diletakkan relevan dan mampu dicapai, memandangkan pasukan ini akan dibimbing bekas pemain (Mehmet Durokovic) yang tekad mengembalikan zaman kegemilangan Selangor,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Selangor di SACC Mall, Shah Alam, semalam.

Durakovic dilantik sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan sambil dibantu P Maniam (penolong jurulatih), Rosedy Nadzir (pegawai media), Mashiedee Sulaiman (jurulatih kecergasan), Robert Graskoski (jurulatih penjaga gol), Khidir Abd Karim Alfadl Ali (fisioterapis), Othman Saad (juruurut) dan Zurshydee Abu Samah (kitman).

12web

Hanya lapan pemain musim lalu yang dikekalkan iaitu Bunyamin Umar, Shukur Jusoh, Raimi Md Nor, K Gurusamy, S Kunanlan, Afiq Azmi, S Veenod dan Fittri Shazwan Raduwan.

Seramai 11 pemain tempatanbaru yang dibawa masuk pula ialah Syamim Othman, Shazlan Alias, Azmi Muslim, Shahrom Kalam, Hazwan Bakri, Abdul Hadi Yahya, Rizal Fahmi Rosid, P Rajesh, A Thamil Arasu, Hamsani Ahmad dan Farizal Marlias.

Empat pemain import baru terdiri daripada Paulo Rangel dan Junior Aparecido Guimaro De Souza dari Brazil, Steve Pantelidis dari Australia dan Andik Vermansah dari Indonesia.

Manakala satu-satunya pemain dari skuad Piala Presiden Selangor yang turut dipanggil berlatih sepenuh masa bersama skuad Liga Super musim ini ialah K Satish yang bakal menyarung jersi No 31.

MehmetSementara itu, Durakovic, 49, menyambut positif cabaran yang dilontarkan Abdul Khalid untuk cuba memenangi dua piala musim ini selepas Selangor gagal menjulang sebarang piala dalam pertandingan tempatan sepanjang tiga musim selepas kali terakhir menjulang trofi Liga Super pada musim 2010.

“Apa yang boleh saya katakan, para pemain saya akan memberikan kepada Selangor dan pihak pengurusan, 100 peratus komitmen di dalam dan luar padang. Kami pasukan terdiri daripada pemain muda dan baru mula membina pasukan. Jadi ia mengambil masa.

“Tapi sepanjang tujuh minggu mengendalikan pasukan, setakat ini saya lihat semua pemain memberikan komitmen yang tinggi. Mereka muda tetapi memiliki sikap cukup profesional.

“Saya mahu membawa semula Selangor yang dulu, mengembalikan sokongan peminat, mencetuskan semula keghairahan di kalangan para pemain Selangor dan menarik semula penyokong ke stadium.

Saya beri jaminan dan juga berjanji bahawa setiap pemain saya akan beri 100 peratus komitmen pada setiap perlawanan,” ” kata Durakovic yang menggantikan jurulatih musim lalu, Irfan Bakti Abu Salim.

Durokovic berharap semua penyokong Selangor hadir semula ke stadium untuk menyaksikan pasukan Red Giants bermain.

“Selangor sebuah kelab yang besar dan negeri yang cukup mengagumkan. Secara jujurnya Selangor perlu berada di kedudukan teratas bola sepak Malaysia.

“Kita kena kembalikan keghairahan bola sepak Selangor tetapi ia mengambil masa. Walaupun pasukan musim ini tidak ramai bintang, tapi kami akan berusaha sebagai satu pasukan dan keluarga,” kata Durokovic.

mohd-bunyamin-umarSementara itu, Bunyamin yang dilantik sebagai kapten baru Selangor menggantikan Asraruddin Putra Omar yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) secara peribadi meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu piala mampu dijulang Selangor musim ini.

“Secara peribadi, sasaran saya ialah untuk menjulang satu piala dan menduduki empat kedudukan teratas Liga Super. Apa pun dua piala yang disasarkan Presiden FAS itu saya anggap sebagai cabaran untuk kami secara realistiknya perlu faham yang kami perlu bersungguh-sungguh untuk mencapainya musim ini.

“Saya tak mahu melihat perbandingan pasukan Selangor 2013 atau 2014 yang mana lebih kuat. Tapi saya melihat komitmen pemain musim ini lebih baik berbanding musim lalu kerana setakat tujuh minggu ini, saya tak nampak ada rakan-rakan yang bersikap sambil lewa dan tidak memberikan komitmen tinggi ketika di padang,” kata Bunyamin dipetik dari Laman Web Persatuan Bola Sepak Selangor.

Selangor akan membuka kempen Liga Super 2014 bertemu T-Team di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, jam 4.45 petang Sabtu ini.

EZY

Categories
SELANGOR

7,000 meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 JAN : Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor tahun 1435 Hijrah/2014 Masihi yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” disambut meriah di Stadium Malawati, Seksyen 13 di sini dengan kehadiran lebih 7,000 orang dari setiap pelusuk negeri.

Majlis yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul dari Stadium Mini Shah Alam diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi 125 kontinjen.

IMG_0553a

Turut kelihatan menyertai perarakan sejauh 1.6 kilometer itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammd Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahmad Zaharin Mohd Saad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Exco negeri.

IMG_0558aSebanyak 125 kontinjen yang terdiri daripada 5,864 peserta itu antaranya adalah kontinjen kerajaan, kontinjen badan berkanun dan swasta, kontinjen pertubuhan bukan kerajaan, kontinjen institut pengajian tinggi (IPT) dan kontinjen sekolah.

Tetamu turut dipersembahkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan persembahan khas Maulidur Rasul dari penyanyi undangan seperti Hafiz Hamidun dan kumpulan Hijjaz.

Sultan Selangor kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada keluarga dua parajurit negara yang terkorban di Lahad Datu iaitu Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud dan Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran.

MaulidSementara itu, tiga anugerah lain iaitu Anugerah Umar Abdul Aziz diberikan kepada Datuk Dr Yahya Baba; Anugerah Saidatina Khadijah kepada Dr Salasiah Hanin Hamjah dan Anugerah Saidina Ali kepada Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam.

Penerima anugerah masing-masing membawa pulang wang tunai sumbangan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, piala iringan serta sepersalinan pakaian.

Sementara itu pertandingan acara perarakan bagi kategori sepanduk terbaik dimenangi oleh Pejabat Agama Islam Hulu Selangor (jabatan kerajaan), Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya (sekolah), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan-Padat (badan berkanun/swasta) dan Masjid Al Islamiah Kampung Lindungan (masjid/IPT).

Manakala pertandingan perarakan terbaik dimenangi oleh Jabatan Penjara Malaysia (jabatan kerajaan), SMK Dusun Nanding bagi kategori sekolah, Padat untuk kategori badan berkanun atau swasta serta Masjid Al-Amin bagi kategori masjid dan IPT.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri bersama-sama Jais turut melancarkan Bulan Dakwah yang dianjurkan setiap tahun bagi mengajak masyarakat Islam menghayati tugas dan peranan mereka sebagai umat sebenar.

Antara program yang telah direncanakan adalah Jelajah Dakwah, Ziarah Kasih, Santai Bersama Selebriti, Semai Taqwa, Dakwa Mesra Ummah dan sebagainya.

EZY

 

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan PR komited laksana reformasi pentadbiran

Oleh: Lizawati Madfa

PETALING JAYA 12 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin bahawa visinya untuk mereformasikan budaya pentadbiran selaras dengan kehendak rakyat.

Abdul Khalid berkata, sejak berlakunya tsunami politik Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, pimpinan Pakatan Rakyat (PR) terus bekerja keras bagi membuktikan kerajaan baru yang dipilih rakyat jauh lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

DSC_7230Atas dasar itu, katanya, pelbagai program kebajikan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat yang sebelum ini diabaikan termasuk pemulihan projek perumahan terbengkalai seperti di Bukit Botak, Selayang.

“PR dipilih rakyat atas dasar reformasi yang dibawanya untuk mengamalkan sistem pentadbiran lebih telus, berintegriti, adil dan bebas daripada amalan rasuah.

“Namun rakyat kini bukan mahu dengar sahaja, mereka mahu lihat reformasi itu dizahirkan dan itulah yang kita lakukan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sewaktu Majlis Ulang Tahun ke 53 Rotary Club Petaling Jaya (RCPJ) yang diadakan di Hotel Empire di sini, malam tadi.

Terdahulu, Abdul Khalid menerima dua anugerah khas RCPJ iaitu President’s Award for Humanitarian Service dan Paul Harris Fellow.

Presiden RCPJ, Kapten H.S Dharan, berkata pemilihan Menteri Besar dibuat berdasarkan kejayaannya menjadi ikon reformasi di Selangor.

“Menteri Besar membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang mampu melakukan perubahan reformasi, evolusi dan inovasi dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat kepada tahap lebih baik.

“Bukan sahaja negeri semakin maju malah rakyat juga tidak dipinggirkan dalam arus kemajuan,” kata Dharan dalam ucapannya.

Hadir sama ialah isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut serta anggota Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong dan Dr. Daroyah Alwi.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA

Oleh: SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM 8 JAN: Kemelut pengambilalihan industri air di Selangor bakal berakhir apabila Kerajaan Pusat bersetuju memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Negeri dengan mengguna pakai Seksyen 114, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) bersama syarat lain.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pertemuannya bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus semalam, bersetuju dengan tertakluk kepada beberapa syarat iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan pengurusan air.

DSC_7230Katanya, dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman yang merupakan seorang akauntan bertauliah serta mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia.

Manakala, calon Pentadbir kedua adalah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Husin yang merupakan peguam terlatih selama 20 tahun dan mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah.

Abdul Khalid berkata, syarat yang dikenakan itu perlu kerana Selangor memiliki banyak aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju pada dasarnya bagi pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat Dua dan kedua-dua Pentadbir dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya.

“Perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada Menteri secara rasmi melalui surat yang saya hantar pagi ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

air-syabas_MB1Katanya, Kerajaan Negeri memberikan sepenuh komitmen sejak 2009, dengan mengadakan perbincangan berterusan bersama KeTTHA serta agensi berkaitan seperti SPAN dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd, untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan.

Walau bagaimanapun, perbincangan atas dasar ‘willing buyer willing seller’ seperti yang ditetapkan KeTTHA gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu pada 31 Disember 2013.

Abdul Khalid berkata, punca utama kegagalan penyelesaian itu adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

“Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh melakukan penyusunan semula industri perkhidmatan air kerana syarikat konsesi berkenaan gagal memberikan perkhidmatan yang baik dengan tarif berpatutan walaupun mengaut keuntungan tinggi,” kata Abdul Khalid.

EZY

 

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri arah JAIS dapat pengesahan KDN

Oleh: SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM 8 JAN: Kerajaan Negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab yang diambil daripada Persatuan Bible Malaysia memenuhi Resolusi 10 Perkara yang ditetapkan Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri mengarahkan JAIS memulangkan semula kitab itu semula kepada Persatuan Bible Malaysia, jika kitab berkenaan memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah ‘Allah’.

DSC_7230Katanya, JAIS sudah dipanggil memberi keterangan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, bagi memberi penerangan berhubung pemeriksaan dibuat terhadap persatuan berkenaan pada minggu lalu.

“Setelah mendengar taklimat jabatan berkenaan, Kerajaan Negeri mengarahkan Jais untuk mendapatkan pengesahan daripada KDN jika kitab yang diambil daripada Persatuan Bible Malaysia memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah “Allah” yang ditetapkan oleh Kabinet.

“Antara syarat Resolusi tersebut termasuk membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak bible bahasa Melayu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, keputusan itu dilakukan dengan mengambil kira Resolusi 10 Perkara dan Seksyen 9 Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam menggunapakai beberapa perkataan termasuk perkataan ‘Allah’ dalam mana-mana tulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menyeru JAIS supaya meneruskan siasatan secara profesional dengan mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan dengan mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS bagi memastikan penguatkuasaan di masa akan datang dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan bersama ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman mengenai Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.

“Kerajaan Negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan DYMM Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam,” kata Abdul Khalid.

EZY