Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: JAIS diminta dapatkan pengesahan KDN

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah memanggil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi penerangan berkenaan pemeriksaan yang dibuat terhadap pejabat Persatuan Bible Malaysia (Bible Society of Malaysia) pada minggu lalu.

Setelah mendengar taklimat jabatan berkenaan, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jais untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab-kitab yang diambil daripada Persatuan Bible Malaysia memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah “Allah” yang ditetapkan oleh Kabinet.

DSC_7230Antara syarat Resolusi tersebut termasuk membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak bible bahasa Melayu.

Sekiranya KDN berpuashati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Resolusi 10 Perkara, Kerajaan Negeri akan mengarahkan Jais untuk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia.

Pada masa yang sama, Jais perlu meneruskan siasatan secara profesional sambil mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian.

Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira semangat Resolusi 10 Perkara dan juga Seksyen 9 Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk orang bukan Islam menggunapakai beberapa perkataan termasuk perkataan “Allah” dalam mana-mana tulisan dan penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor dan Jais untuk memastikan penguatkuasaan pada masa hadapan dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.

Kita juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua agama bukan Islam untuk pemahaman Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.

Kerajaan Negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan DYMM Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA

Kerajaan Selangor komited untuk menyusun semula industri air seperti yang dihasratkan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang antara lain untuk membatalkan penswastaan industri air supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik dengan tarif yang munasabah.

Bagi tujuan murni ini, Kerajaan Selangor telah memberikan sepenuh komitmen dimana sejak 2009 perbincangan berterusan bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta agensi yang berkaitan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah dilakukan.

air-syabas_MB1Pada masa yang sama, rundingan pengambilalihan empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd; juga telah dilakukan dimana kerajaan negeri telah menawarkan RM9.65 bilion untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan.

Walaubagaimanapun, perbincangan yang kami lakukan untuk pengambilalihan atas dasar “willing buyer willing seller” seperti yang ditetapkan oleh Kementerian telah gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu 31 Disember 2013.

Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

Kementerian melalui surat bertarikh 9 September 2013 telah menyatakan hasrat untuk mengambilalih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114 WSIA – jika tiada penyelesaian pada 31 Disember 2013.

Sehubungan dengan itu, saya telah berbincang dengan YB Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh kepada Kementerian dan Kerajaan Pusat mengguna pakai Seksyen 114 tertakluk dengan beberapa syarat; antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan tentang pengurusan air. Ini adalah perlu kerana Negeri Selangor memiliki kebanyakan dari aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan, Suhaimi Kamaralzaman yang juga seorang akauntan bertauliah dan mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia. Calon kedua adalan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Cik Faekah Husin, yang juga peguam terlatih lebih daripada 20 tahun serta mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah.

Kerajaan Negeri secara dasarnya bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat 2 dan kedua-duan Pentadbir dipertanggungjawab untuk merealisaikannya.

Perkara-perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada YB Menteri secara rasmi melalui surat yang telah saya hantar pagi ini.

Kerajaan Selangor bersungguh-sungguh untuk menjayakan penyusunan semula industri perkhidmatan air serta pengambilahan syarikat konsesi air kerana adalah nyata syarikat konsesi telah gagal memberi perkhidmatan yang baik dengan tariff yang berpatutan walaupun telah mengaut keuntungan yang tinggi.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

MB minta media tempatan henti putar belit isu BBC

Oleh  Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 16 NOV : Media tempatan terutama arus perdana digesa menghenti sebarang dakwaan tidak berasas berhubung isu memorandum daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor .

DSC_2871Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata isu itu dianggap selesai apabila Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan bersama BBC untuk menyerahkan lakaran Belanjawan 2014.

“Sudah banyak kali kita cerita isu ini. Isu memorandum ini sudah pun diselesaikan dengan mengambil kira kehendak dan kepentingan semua pihak.

“Saya minta media jangan laga-lagakan isu ini kalau tujuannya untuk melariskan surat khabar hasil daripada cerita tidak tepat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu memorandum dari BBC.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan rakyat dan tidak akan melayan karenah atau dakwaan liar sesetengah pihak.

“Ini semua drama yang sengaja ditimbulkan. Kita sudah sampai ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi kematangan dan fikiran dan tidak akan melayan karenah kecil seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyelar tindakan mengedar  ‘surat layang’ menggunakan nama Kelab Penyokong Kerajaan Selangor sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Pimpinan PR Selangor turut menafikan menandatangani mana-mana surat atau kenyataan menyatakan perasaan marah dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Abdul Khalid.

– EZY FZL

Categories
SELANGOR

Selangor iktiraf usaha semarak pelancongan negeri

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI,

SUBANG JAYA 16 NOV : Kerajaan Selangor sentiasa menghargai usaha dan inisiatif diusahakan oleh para penggiat dan penganjur aktiviti pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong asing dan tempatan untuk ke Selangor.

DSC_2871Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerjasama padu antara pelbagai pihak amat diperlukan bagi terus membangunkan dan menjayakan industri pelancongan di negeri ini.

“Saya percaya kalangan penggiat dan pengusaha pelancongan turut berusaha menerbitkan pelbagai risalah dan brosur yang jelas, padat dan menarik dalam pelbagai bahasa sebagai panduan pelancong pelbagai bangsa dan latar belakang.

“Kerajaan Negeri Selangor beriltizam untuk terus membangunkan dan memajukan industri pelancongan di negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri melalui subseksyen berkhidmat untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri Selangor,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pelancongan 2013 bertempat di Hotel Grand Dorset, Subang Jaya malam tadi.

Majlis berkenaan dianjurkan bagi memberi penghargaan kepada pengusaha-pengusaha, penggiat industri dan operator produk pelancongan negeri ini yang memastikan industri itu sentiasa diselenggara dengan baik dan tersedia untuk kunjungan pelancong.

dorsetTurut hadir Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi.

Kira-kira 800 hadirin yang terdiri wakil Pihak Berkuasa Tempatan, pengusaha hotel, pusat membeli belah, restoran serta wakil media cetak dan elektronik yang membantu mengembangkan industri pelancongan di Selangor.

Majlis Apresiasi Pelancongan ini turut menyediakan beberapa anugerah yang terdiri daripada pelbagai kategori untuk diberikan kepada semua pihak dan agensi yang membantu prospek pelancongan sepanjang tahun ini.

Antara kategori yang disediakan adalah Anugerah Ikon Selangor, Hotel tiga hingga lima bintang, Hotel Bajet, Taman Tema, Pusat membeli belah, Restoran, Media, Agensi Pelancongan, Agro Pelancongan.

Categories
SELANGOR

MBPJ lancar COMBI didik masyarakat perangi Aedes

NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 10 NOV: Serentak dengan Program Gempur Aedes 2013 yang diadakan di seluruh Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini melancarkan program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) bagi memupuk kesedaran kepentingan persekitaran bebas nyamuk aedes di kalangan masyarakat Petaling Jaya.

Program yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, MBPJ akan menggerakkan pelbagai sektor komuniti bagi menangani isu kesihatan dalam komuniti, mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dan mempengaruhi  orang ramai untuk mengukuhkan tinggah laku sihat dalam komuniti.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata menjaga kebersihan bukanlah terletak di bawah tanggungjawab MBPJ sahaja tetapi masyarakat turut memikul peranan sama.

“Orang ramai juga harus menjaga premis kediaman atau kedai masing-masing, memastikan tiada tempat air bertakung untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

“Kerjasama orang ramai sebenarnya bukan sahaja membantu diri sendiri, keluarga dan jiran-jiran mereka menyelamatkan nyawa sahaja tetapi juga membantu PBT menjimatkan kos,” katanya dalam program Gotong-Royong Selangorku; Program Gempur Aedes 2013 di sini.

Program Gotong-royong Selangorku diadakan serentak di seluruh Selangor hari ini dan merupakan sebahagian  agenda Program Gempur Aedes Selangor yang diadakan  sebulan bermula 1 November lalu.

EZY