Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Internet Komuniti sedia khidmat daftar terima vaksin

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara dimobilisasikan sebagai pusat bantuan untuk membantu orang awam terutama warga emas, yang menghadapi kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini, usaha itu diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya proses vaksinasi dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, kakitangan PIK yang bertugas sepenuh masa di PIK akan membantu melicinkan proses pendaftaran. Terdapat juga paparan poster di PIK mengenai pendaftaran vaksin Covid-19 melalui MySejahtera bagi memaklumkan orang awam.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh dimajukan kepada pihak PIK yang berdekatan,” demikian menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima syarikat dikompaun RM750,000 daftar prabayar tanpa pengesahan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 dikeluarkan kepada lima syarikat telekomunikasi pada 4 Disember lalu atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta.

“Jumlah berkenaan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Syarikat Umobile Sdn Bhd dikenakan tiga kompaun bernilai RM150,000 manakala Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

SKMM memaklumkan tindakan kompaun itu diambil berdasarkan audit yang dijalankan SKMM di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lepas.

Katanya, tindakan diambil mencerminkan usaha tegas dan berterusan oleh SKMM dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan (scam) dalam talian yang semakin meningkat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM perlu pandangan awam rangka Identiti Digital Nasional

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan proses rundingan awam untuk mengumpul pandangan dan perspektif orang ramai terhadap pembangunan rangka kerja Identiti Digital Nasional.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional yang sesuai untuk Malaysia.

“Ia juga membantu mengukuhkan aspek strategi dan hala tuju bagi pelaksanaan Identiti Digital Nasional 2 terutamanya dalam memastikan konsep, penggunaan serta manfaatnya kepada individu, pelbagai organisasi dan industri,” demikian menurut kenyataan itu.

Identiti Digital Nasional adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Adanya Identiti Digital Nasional, pengesahan identiti pengguna daripada sumber yang sahih membolehkan urusan perkhidmatan yang cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin.

Selain itu Identiti Digital Nasional juga berpotensi mengelakkan berlakunya jenayah pemalsuan dan penipuan identiti secara dalam talian seperti yang telah dilaksanakan oleh Estonia, Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom dengan kesesuaian konteks negara masing-masing.

“Identiti Digital Nasional amat penting untuk membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi bagi memudahkan pengguna berurusan di mana sahaja pada bila-bila masa,” kata SKMM.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tampil untuk menyertai Rundingan Awam Rangka Kerja Identiti Digital Nasional. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang www.mcmc.gov.my yang tersedia sejak 24 Julai lalu hingga 7 Ogos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siaran TV analog di tujuh negeri semenanjung ditutup

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Siaran televisyen (TV) terrestrial analog secara rasminya ditutup di tujuh buah negeri Wilayah Utara dan Timur Semenanjung pada 12.30 malam tadi, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menjelaskan penutupan itu menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog yang kini beralih kepada siaran Digital myFreeview sepenuhnya di Semenanjung.

“Proses penutupan membabitkan 49 stesen pemancar TV analog merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Kemuncak kepada proses penutupan siaran TV Digital myFreeview akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Okt ini yang bakal menyaksikan peralihan bersejarah kepada siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya di seluruh negara,” menurut SKMM.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa majlis ringkas peralihan siaran TV analog ke digital dijalankan di Gunung Jerai, Kedah dan Bukit Besar, Terengganu.

“Majlis dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah; Mohd Firdaus Ahmad, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC; Mohd Zaidi Abdul Karim, Pengurus Besar Negeri Telekom Malaysia; Anis Ahmad Mohd Ibrahim dan Naib Presiden Kawal Selia MYTV; Shamsul Najib Mohtar.

Manakala di Bukit Besar, seramai 40 orang mewakili MCMC, Telekom Malaysia Bhd, MYTV dan Radio Televisyen Malaysia,” menurut SKMM.

Menerusi siaran TV Digital myFreeview, penonton diberi pilihan menonton pelbagai saluran TV, radio serta aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa, pendidikan interaktif dan pelbagai rancangan lain.

Mereka yang belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview digalakkan untuk berbuat demikian dengan mendapatkan dekoder dan memasang aerial Ultra Frekuensi Tinggi (UHF) dan memasangnya kepada set tv sedia ada atau mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan penala digital serta memasang kepada aerial UHF.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MCMC siasat pihak hina Agong di media sosial

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial.

MCM dalam kenyataan hari ini berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu memuat naik imej menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook semalam.

Suruhanjaya itu berkata, siasatan dijalankan susulan laporan diterima daripada orang ramai supaya tindakan segera diambil terhadap pihak berkenaan.

“MCMC dimaklumkan Polis Diraja Malaysia juga sedang menjalankan siasatan. Penyelarasan siasatan dan perkongsian maklumat sedang giat dijalankan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk menyebarkan berita dengan niat mengganggu orang lain.

Jika didapati bersalah, pihak berkenaan boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MCMC ambil tindakan 2,823 akaun menyamar di media sosial

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terbabit aktiviti penyamaran dari 2018 hingga pertengahan bulan ini, dengan 80 peratus daripadanya dipadamkan selaras terma dan syarat platform masing-masing.

Ketua Pegawai Sektor Pematuhan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

“Kesemua tindakan ini diambil susulan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain penutupan akaun dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, Zulkarnain berkata pendekatan lain yang diambil adalah tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.

Beliau menggesa pengguna yang menjadi mangsa supaya membuat laporan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau MCMC.

Katanya, MCMC melaksanakan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah. Program itu telah menjangkau lebih lima juta audiens sejak diperkenalkan pada 2012.

Menurut kenyataan itu, tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat adalah tinggi iaitu 28.7 juta orang, dengan memetik sumber daripada Kajian Pengguna Internet 2018 MCMC. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

MCMC keluar 50 kompaun syarikat telekomunikasi RM2.29 juta

SHAH ALAM 23 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan sebanyak 50 kompaun berjumlah RM2.29 juta kepada syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran palsu kad sim prabayar bagi tempoh antara Januari hingga Disember tahun ini.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata jumlah kompaun itu merupakan peningkatan sebanyak 89 peratus berbanding dengan jumlah kompaun dikeluarkan pada 2014.

SAMAN MMCCTambahnya, kompaun itu dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi pada bulan Mac, September dan yang terbaharu, pada awal Disember lalu.

Pada Mac dan September, MCMC mengeluarkan sebanyak 25 kompaun berjumlah RM1.11 juta manakala pada awal Disember lalu, sebanyak 25 kompaun lagi berjumlah RM1.18 juta dikeluarkan.

“MCMC memandang serius kesalahan dilakukan syarikat telekomunikasi tersebut dan kami mengambil tindakan tegas terhadap syarikat telekomunikasi dalam isu pendaftaran palsu kad sim prabayar kerana ia melibatkan isu keselamatan,” kata Zulkarnain dalam kenyataan media yang dipaparkan dilaman Facebook.

Pengenalan pendaftaran talian prabayar sejak 2006 adalah bagi tujuan keselamatan dan perlindungan pengguna namun MCMC mendapati siasatan terhadap kes jenayah sering menemui jalan buntu apabila talian yang dikenalpasti digunakan oleh penjenayah adalah talian pendaftaran palsu.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga menggesa syarikat telekomunikasi agar lebih bertegas terhadap ejen mereka dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan ketika menjalankan operasi serta tidak mengabaikan aspek keselamatan negara dan kepentingan pengguna.

EZY