Categories
AGENDA NASIONAL

Selesai aduan pelanggan atau didenda, SKMM tegur syarikat telekomunikasi

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengingatkan bahawa syarikat telekomunikasi (telco) boleh dikenakan penalti jika terbukti gagal memberi respon terhadap aduan pelanggan mengikut ketetapan standard mandatori kualiti dan perkhidmatan.

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata penyedia perkhidmatan terbabit lazimnya dikenakan denda dalam jumlah sewajarnya.

“Penyedia perkhidmatan ini sudah pasti tidak mahu didenda bagi kesalahan seperti perkhidmatan yang tidak bagus dan boleh menjejaskan kemampuan mengurus pelanggan sendiri.

“Sehubungan itu, jumlah penalti itu bukanlah perkara besar tetapi faktanya adalah wujudnya (tindakan) penalti sedemikian.

“Malah, dengan penguatkuasaan sedemikian, adalah diharapkan pihak penyedia perkhidmatan ini akan sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan masing-masing di tahap terbaik demi manfaat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media secara maya mengenai laporan suku ketiga MCMC yang memperincikan kemajuan terkini pelan infrastruktur digital negara, Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Fadhlullah Suhaimi berkata adalah sukar bagi perkhidmatan teknikal untuk mengelak daripada sebarang masalah berkaitan.

“Sebagai contoh, komputer yang kita gunakan ini juga perlu kita ‘reboot’ (menghidupkannya semula) dari semasa ke semasa. Begitu jugalah dengan rangkaian (telco) ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebaik menerima aduan, MCMC akan bertindak memaklumkan penyedia perkhidmatan terbabit yang turut diberi masa untuk menyelesaikan masalah atau isu berbangkit.

“Antara komitmen penyedia perkhidmatan ini adalah tiada lagi keadaan yang mana aduan itu dianggap sebagai selesai tanpa pihak pengadu sendiri yang bersetuju atau memaklumkan bahawa isu itu telah diselesaikan oleh pihak terbabit.

“Inilah salah satu perkara paling positif yang berlaku sejak kita memulakan perjalanan JENDELA,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata sebagai rekod, Celcom Axiata Bhd mendahului dengan menerima sebanyak 12,056 aduan pada Jun, 2021.

Di peringkat industri pula, MCMC mendapati peningkatan ketara jumlah aduan yang berkaitan dengan perkhidmatan rangkaian, terutama berikutan amalan bekerja dari rumah serta keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebagai asas perbandingan bulanan, bilangan aduan terhadap Celcom pada Jun telah melonjak kepada 12,056 daripada 3,780, sebelum itu.

Maxis Bhd di kedudukan kedua dengan mencatat 8,926 aduan pada Jun berbanding 2,796 pada Mei lepas manakala Digi.Com Bhd menerima 8,056 aduan bagi tempoh sama.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan merupakan satu keadaan luar biasa untuk negara dan jumlah aduan telah meningkat dalam tempoh mencabar tersebut.

“Jika tidak, keadaan lebih cenderung ke arah aliran penurunan,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi juga menjangkakan jumlah aduan terbabit akan berkurangan sejurus negara beralih dari Fasa Pertama ke Fasa Kedua dan Fasa Ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima syarikat dikompaun RM750,000 daftar prabayar tanpa pengesahan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 dikeluarkan kepada lima syarikat telekomunikasi pada 4 Disember lalu atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta.

“Jumlah berkenaan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Syarikat Umobile Sdn Bhd dikenakan tiga kompaun bernilai RM150,000 manakala Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

SKMM memaklumkan tindakan kompaun itu diambil berdasarkan audit yang dijalankan SKMM di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lepas.

Katanya, tindakan diambil mencerminkan usaha tegas dan berterusan oleh SKMM dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan (scam) dalam talian yang semakin meningkat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM keluar 92 kompaun nilai RM4.6 juta salah syarikat telekomunikasi

CYBERJAYA, 4 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan sebanyak 92 kompaun bernilai RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 setakat suku kedua tahun ini.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan pengebilan, prestasi penyelesaian aduan bukan pengebilan dan standard prestasi pengendalian panggilan (talian hotline pelanggan).

Jumlah dan nilai kompaun sehingga suku kedua 2020 tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan sepanjang 2019 yang menyaksikan hanya 26 kompaun bernilai RM960,000 sahaja dikeluarkan menurut suruhanjaya itu.

Ia berkata peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan sehingga suku kedua 2020 itu menunjukkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kualiti pengalaman pengguna sentiasa terjamin.

Ini sekali gus mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia negara serta memastikan kemampanan industri terhadap kepentingan pengguna untuk jangka panjang, kata SKMM.

“SKMM akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang gagal mengekalkan standard yang ditetapkan dalam AKM 1998, Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) serta Kod Pengguna Am.

“Mereka yang ingkar boleh didenda mengikut Seksyen 105(3) AKM 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM100,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata pihak industri disarankan supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi kepentingan pengguna dan seterusnya memperkukuh kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM perlu tetapkan KPI capaian jalur lebar syarikat telco

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 SEP: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menetapkan indeks pencapaian prestasi (KPI) kepada semua syarikat telekomunikasi jalur lebar supaya pengguna menikmati perkhidmatan yang setimpal dengan harga bayaran.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata meskipun kewujudan syarikat telekomunikasi semakin bertambah, namun pengguna masih belum menikmati perkhidmatan setimpal bahkan ia hanya mewujudkan persaingan penawaran harga semata-mata.

Katanya, negara kurang maju seperti Vietnam mampu menyediakan perkhidmatan jauh lebih baik berbanding negara ini.

FOMCA“SKMM perlu serius memastikan setiap syarikat ada KPI khusus untuk mereka capai dan perlu mengikuti kadar capaian yang mereka tetapkan.

“Banyak telco yang mendakwa mereka ‘terlaju di Malaysia’ namun di sesetengah kawasan masih ada masalah rangkaian,” katanya kepada Selangor Kini.

Walaupun syarikat telekomunikasi terpaksa membelanjakan kos tinggi untuk memulakan perkhidmatan jalur lebar, namun Yusof berpandangan budaya monopoli tidak menyumbang kepada peningkatan harga yang dihadapi pengguna kini.

Tegasnya, tawaran harga jalur lebar yang tinggi kepada pengguna bakal menjejaskan usaha penembusan maklumat secara terus seperti yang disarankan kerajaan.

“Keadaan itu juga mengecewakan pengguna yang terpaksa membayar perkhidmatan pada harga tinggi sedangkan syarikat telekomunikasi mengambil pendirian ‘sekadar ada’ tanpa menaiktaraf mutu capaian,” katanya.

-NR-