Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat digesa main peranan aktif cegah jenayah

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa lebih ramai rakyat Malaysia memainkan peranan aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat.

Naib Pengerusi Kanannya Tan Sri Lee Lam Thye berkata penyertaan aktif dapat memupuk budaya mencegah jenayah dalam kalangan masyarakat dan mendidik orang ramai untuk tidak mengambil mudah soal keselamatan negara.

“Tidak dinafikan, polis memikul tanggungjawab utama tetapi penyertaan aktif masyarakat dan segmen lain masyarakat sivil membentuk bahagian penting dan kritikal dalam keberkesanan pencegahan jenayah.

“Pencegahan jenayah yang efektif memberikan manfaat jangka panjang dari segi mengurangkan kos berkaitan sistem keadilan jenayah serta kos lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya orang ramai juga perlu memupuk sikap sifar toleransi terhadap jenayah, yang akan terus berlaku selagi puncanya wujud dan orang mempunyai kecenderungan melakukan jenayah.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sifat tamak punca rasuah

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Usaha memerangi rasuah dalam sektor awam tidak seharusnya difokuskan kepada soal kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada usaha mewujudkan sebuah pentadbiran lebih beretika dan berintegriti.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenaikan gaji dan elaun tidak mampu membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebihi kemampuan menguasai diri sendiri.

“Walaupun langkah menaikkan gaji mungkin mampu mengurangkan kecenderungan untuk mengambil rasuah, pelbagai kes besar melibatkan pegawai berpendapatan tinggi membuktikan sifat tamak boleh menjadi punca rasuah yang akan menjejaskan integriti para penjawat awam.

“Kes rasuah melibatkan kakitangan bawahan seperti menerima ‘duit kopi’ lebih memberikan kesan kepada orang awam kerana ia melibatkan mereka secara langsung berbanding kes berprofil tinggi yang melibatkan jutaan Ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya semua pihak harus membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencapai sifar rasuah penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan awam yang cekap dan beretika, tetapi juga memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian.

Katanya, pegawai yang terbabit dalam aktiviti rasuah ini kebanyakannya terdiri daripada bidang penguatkuasaan undang-undang, sehubungan itu beliau menyarankan semua agensi terbabit perlu mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Lee selain itu turut mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik pelajar tentang keburukan rasuah.

“Usaha memerangi rasuah harus bermula di sekolah melalui penekanan kepada pengajaran dan amalan nilai-nilai murni kalangan generasi muda kita terutamanya tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya integriti serta menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka di masa depan.

“Golongan muda harus dididik dengan nilai-nilai moral, etika dan integriti semasa mereka di bangku sekolah bagi memudahkan pembanterasan rasuah kelak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MyWATCH : Kadar Jenayah Semakin Meningkat, Kerajaan Perlu Bertindak

PETALING JAYA, 28 NOV : NGO Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH) mendakwa statistik Kerajaan Pusat tidak melambangkan realiti sebenar di mana kes-kes jenayah semakin menular sehingga anggota polis menjadi mangsa.

Pengerusinya, R Sri Sanjaven berkata masyarakat kini dibelenggu rasa ketakutan kerana jenayah boleh berlaku tidak mengira waktu dan tempat.

“Kita sekarang dalam keadaan tidak selamat lagi, kejadian kecurian dan pembunuhan semakin meningkat itupun kerajaan mendakwa bahawa negara masih lagi selamat,” katanya di dalam satu sidang media di sini semalam.

Hadir bersama Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga penaung MyWatch.

Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka yang menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu, manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.

Akan tetapi statistik tersebut dipertikaikan Sanjaven yang merujuk kepada kes berprofil tinggi seperti kecurian kereta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar yang ketika itu menjawat Ketua Polis Selangor.

Malah juga terdapat cubaan untuk merompak rumah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye turut Oktober lepas.

Ujar beliau, kerajaan perlu memberi penjelasan dan telus dalam mengumumkan indeks statistik jenayah.

Dalam pada itu, Musa berkata pihak polis dan kerajaan sewajarnya melantik pihak ketiga yang bebas seperti universiti untuk memberikan data statistik jenayah.

Katanya semasa beliau menjadi Ketua Polis Negara, pakar-pakar bebas yang mempunyai pengalaman luas dipanggil bersama untuk membuat kajian berkenaan indeks statistik jenayah.

“Semasa menjadi KPN, kita mendapatkan geran daripada kerajaan untuk Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membuat penyelidikan terhadap statistik kadar jenayah dari pihak polis.

“Kajian itu telah dijalankan oleh Professor Sundramorthy, dan program itu sepatutnya terus berjalan sehingga kini,” katanya.