Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 500 kes Covid-19 punca Mentari Court dikenakan PKPD

PETALING JAYA, 2 JUL: Lebih 500 kes positif Covid-19 dikesan di Mentari Court, PJS 8 dekat sini dengan kebanyakan berpunca daripada pekerja kilang yang menghuni di situ.

Jumlah itu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 60 hari sehingga Selasa lalu.

Berikutan itu kawasan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam bagi mengekang perebakan wabak.

Pegawai daerah Petaling berkata pelaksanaan perintah itu melibatkan kira-kira 17,000 penduduk terdiri daripada warga tempatan dan asing yang mendiami hampir 3,500 unit kediaman.

“Bagi mengawal perebakan terus berlaku maka urusan keluar masuk tidak dibenarkan. Perumahan ini mempunyai kedai runcit dan pasar raya mini jadi hanya seorang dibenar keluar membeli keperluan,” kata Dato’ Johary Anuar.

Penduduk di kawasan itu juga menjadi kumpulan pertama di negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD.

Dijangka vaksin diberikan pada Ahad selepas semua penduduk menjalani proses saringan.

Kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk Mentari Court diminta bertenang, ikut arahan pihak berkuasa

SHAH ALAM, 1 JULAI: Penduduk Mentari Court, PJS 8, Petaling Jaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini,  diminta bertenang serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata mereka perlu kekal di rumah masing-masing bagi membolehkan pengesanan status kesihatan dan saringan dilakukan untuk memutuskan jangkitan Covid-19.

Beliau turut memberi jaminan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan memastikan bekalan makanan tidak putus.

“Kita minta kerjasama penduduk untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata penduduk Mentari Court akan menerima suntikan vaksin di bawah program Selangor Vaksin (Selvax) sebaik proses saringan Covid-19 selesai.

“Kesemua 17,000 penduduk membabitkan 3,500 pintu di kawasan ini perlu melalui saringan terlebih dahulu, sekiranya positif mereka akan diasingkan manakala yang negatif divaksin segera.

“Proses vaksin dijalankan di perkarangan flat tanpa perlu mendaftar di Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan paling penting tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya.

Bermula hari ini, Mentari Court dikenakan PKPD selama 14 hari selepas merekodkan jangkitan tinggi.

Kerajaan juga mengenakan PKPD di Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.

Categories
SELANGOR

Nik Nazmi: Fokus Pembangunan Hentian Teksi dan Bas Selepas Perobohan Perniagaan Haram

gotong-royong1

gotong-royong2PETALING JAYA SELATAN, 6 OKTOBER: Hentian teksi dan bas akan didirikan berhampiran pangsapuri Mentari Court, selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengosongkan satu kawasan lapang yang kini menempatkan pelbagai jenis perniagaan haram.

Tinjauan TV Selangor mendapati kawasan itu antara penumpuan utama teksi dan terletak di laluan penting bas menuju ke Kuala Lumpur, Damansara dan Subang Jaya.

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditemui berkata peniaga yang mahu terus berniaga boleh memohon dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang akan menempatkan mereka di kawasan yang selamat kerana tempat yang diduduki sekarang ini terletak dibawah pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

gotong-royong3“Kita telah memberikan mereka notis, MBPJ akan mengosongkan kawasan itu. Notis sudah keluarkan beberapa bulan lalu dan kita mahu semua (pemilik) dapat. Kemudian baru kita akan ambil tindakan.

“Kita akan fokus kawasan besar seperti Mentari Court dan lain-lain. Mentari Court menjadi fokus untuk kawasan teksi dan bas,” katanya.

Nik Nazmi sebelum itu merasmikan program gotong-royong di Desa Mentari. Lebih seratus orang turun bergotong-royong bersama-sama Adun muda itu, membersihkan Blok 1 hingga Blok 10. Nik Nazmi juga merupakan Timbalan Speaker bagi Dewan Negeri Selangor (DNS).

gotong-royong5Sementara itu, tinjauan Tv Selangor turut mendapati beberapa kemudahan bagi meningkatkan keselamatan penduduk telah dipertingkatkan antaranya dengan pembinaan tempat motosikal berkunci.

Menurut wakil Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ, beberapa kemudahan lain seperti bonggol, lampu dan papan tanda keselamatan juga akan dibangunkan untuk keselesaan penduduk setempat melalui peruntukkan berjumlah RM3.5 juta untuk pembangunan Desa Petaling dan Lembah Subang.

“Isu lif rosak serius di blok 4,5,6 dan 8 yang langsung tidak berfungsi untuk beberapa bulan. Kerajaan Negeri bagi RM100,000 untuk baiki lif. Sekarang semua blok ada satu lif sekurang-kurangnyanya berfungsi,” kata Nik Nazmi.

Beliau turut mengingatkan penduduk pangsapuri Desa mentari agar bekerjasama menjaga kemudahan sedia ada terutama lif bagi mengelakkan kesulitan terutama ketika berdepan kecemasan.

gotong-royong4