Categories
SELANGOR

Jangan terjebak aktiviti ekstremisme – Mohamed Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 22 MEI: Umat Islam tidak sepatutnya terbabit dengan aktiviti ekstremisme yang akan membawa imej buruk di mata orang bukan Islam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, umat Islam perlu berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keadilan, walaupun berdepan cabaran dari dalam mahupun luar negara.

“Ramadan adalah masa terbaik untuk menggilap prinsip ini ketika berdepan cabaran yang makin getir tidak kira dalam isu politik mahupun ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia 2019, di Surau Jabal Nur, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Pada majlis itu, seramai 500 penerima dari kawasan DUN Gombak Setia menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL

Azmin ziarah Ismail Kamus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MEI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menziarahi pendakwah terkenal Ustaz Dato’ Ismail Kamus, di sebuah hospital, hari ini.

Azmin turut berkongsi gambar pertemuan itu menerusi laman twitternya.

“Saya mendoakan semoga Ustaz Ismail Kamus dikurniakan kesembuhan dan kesihatan untuk terus menyebarkan dakwah dan syiar Islam. Amin,” tulisnya.

Terdahulu, Ismail dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan jantung pada 9 Mei lalu.

Turut hadir menziarahi beliau sebelum ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan pendakwah terkenal itu bolehlah melayari laman facebook Ustaz Dato Ismail Kamus.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin umum RM500,000 baik pulih kemudahan SAM Paya Jaras

OLEH NADIAH ZAMLUS

PAYA JARAS, 4 MEI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi kerja menaik taraf kemudahan di Sekolah Agama Menengah (SAM) Paya Jaras, di sini.

Katanya, peruntukan itu bagi membaik pulih surau, dewan dan bumbung sekolah seperti yang dipohon kepada pihaknya, sebelum ini.

“Hasil daripada turun padang kakitangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ke sekolah ini mendapati sememangnya projek bagi baik pulih wajib dilaksanakan.

“Walaupun negara mungkin berdepan masalah kewangan, namun peruntukan untuk pembangunan sekolah tetap ada bagi memberi mereka kemudahan yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Prasarana dan Sumbangan Kemasyarakatan, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Dato’ Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

Sementara itu, Ahmad Ruzman berkata, pihak sekolah memerlukan surau yang lebih besar bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah, saban tahun.

Katanya, pelajar terpaksa menunaikan solat secara bergilir ekoran surau sedia ada sekarang terlalu kecil.

“Malah, pada waktu solat berjemaah, ada pelajar yang terpaksa bersolat sehingga terkena hujan serta panas.

“Disebabkan itu kami amat memerlukan kemudahan surau serta lain-lain bagi menampung pelajar serta memberi mereka lebih keselesaan,” katanya.

SAM Paya Jaras mula ditubuhkan pada 1985 oleh Jawatankuasa Kecil Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempak, Paya Jaras dan Sungai Pelong.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin: Segera baik pulih pangsapuri retak

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kerja membaik pulih Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang retak perlu dipercepatkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada Jun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak terbabit haruslah menjamin keselamatan penduduk, di samping memastikan kualiti kerja pembaikan tidak terjejas.

“Kerja sudah bermula dan saya nyatakan tadi bahawa kita minta pihak terbabit untuk menyegerakan pembaikan ini sebelum hari raya akan datang.

“Tetapi jangan berkompromi soal kualiti kerja dan keselamatan penduduk yang menduduki bangunan serta ini sudah diberikan jaminan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor bahawa kerja ini akan menjamin keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, di sini hari ini.

Bangunan Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang dilaporkan retak dan penghuninya yang dipindahkan sejak 26 April lalu, kini boleh pulang ke rumah masing-masing setelah struktur bangunan mereka disahkan selamat menerusi hasil kajian dan siasatan sehingga 2 Mei lalu.

Sementara itu, seorang penghuni Mohd Faysal Surifno Yusof, 45, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat pulang semula ke kediamannya itu bagi menyambut Ramadan.

“Terima kasih kepada pihak yang membantu kami selama ini. Ada rasa risau juga jika tidak sempat menyambut Ramadan di rumah, tetapi kita terpaksa sesuaikan diri dan saya reda dengan segala ketentuan serta ikut sahaja apa dimaklumkan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, dua lagi penghuni, Hazlin Hayati Ahmad, 46, dan Zahari Abdul Rahman, 45, berharap supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Mereka juga bersetuju dan menyambut baik cadangan jika kerajaan mahu melaksanakan pembangunan semula bangunan berkenaan setelah mengambil kira usia struktur bangunan itu yang menjangkau kira-kira 30 tahun.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin: Kerajaan fokus selesai isu “mismatch” pekerjaan

PUTRAJAYA, 3 MEI: Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap menyelesaikan isu “mismatch” yang berlaku dalam pasaran pekerjaan negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tujuh daripada 10 graduan tempatan ketika ini terlibat dalam kursus-kursus kemanusiaan sedangkan enam daripada 10 pekerjaan memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Jadi kita kena lihat balik sistem pendidikan negara kita supaya output daripada sistem pendidikan negara boleh memenuhi permintaan industri. Itu fokus kita,” katanya pada sidang media selepas perbincangan strategik antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), di sini hari ini.

Turut serta ialah Menteri Pertanian dan Industri AsasTani, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung mesyuarat khas Kabinet pada Hari Pekerja 1 Mei lepas yang memberi tumpuan kepada langkah mencipta peluang pekerjaan.

Mohamed Azmin berkata, mesyuarat itu yang turut membabitkan semua ketua setiausaha kementerian hanya membincangkan dua kertas yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.

Menurut laporan media, mesyuarat ‘istimewa’ sempena Hari Pekerja itu dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan diselaraskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir berkaitan penanaman padi waktu malam, berkata kenyataan itu tidak seharusnya dibaca secara harfiah (literal).

“Saya rasa Tun (Dr Mahathir) bercakap dalam lapik bahasa supaya kita lebih berinovatif sebenarnya, supaya kita lebih memikirkan cara-cara terbaik bagaimana untuk maju ke hadapan,” kata Salahuddin.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata padi boleh ditanam pada waktu malam sebagai menyindir sikap sesetengah rakyat Malaysia yang memilih pekerjaan sehingga ada yang tidak sanggup berpanas di bawah terik matahari.

Dr Mahathir dilaporkan berkata kerajaan bercadang melaksanakan dasar bekerja pada waktu malam khusus bagi sektor pekerjaan yang kurang mendapat sambutan daripada rakyat tempatan.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Agresif guna teknologi digital perkasa ekonomi masjid dan surau – Azmin

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Golongan belia Islam disaran lebih agresif menggunakan teknologi digital dan e-dagang bagi memperkasakan peranan masjid dan surau di negara ini sebagai satu daripada tempat penjanaan ilmu dan ekonomi masyarakat setempat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, terdapat masjid dan surau di seluruh negara yang masih lagi ketinggalan dan tidak mengambil kesempatan kemajuan teknologi IT terutama masjid-masjid dan surau-surau lama yang kawasannya terhad untuk aktiviti keilmuan dan penjanaan ekonomi.

“Untuk masjid-masjid baharu kita tahu banyak yang telah menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi, koperasi dan majlis-majlis ilmu kerana ada kawasan yang luas.

“Justeru saya galakkan supaya belia-belia (Islam) dapat menggunakan teknologi baru seperti Artificial Intelligence, e-commerce, online application..ini semua boleh membantu menjana ekonomi masyarakat Islam setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM1.93 juta kepada masjid dan surau dalam Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa dalam ucapannya berkata umat Islam tidak ada pilihan selain ‘mendakap’ segera kemajuan teknologi digital bagi memperkasakan ekonomi dan meningkatkan ilmu pengetahuan bagi mendepani pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini.

Ia sekali gus dapat membangkitkan semula kemajuan umat Islam menerusi penggabungan tenaga yang diperoleh dari para jemaah yang mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau.

“Masjid dan surau tempat terbaik (kemajuan ekonomi) sebab ia menjadi tumpat tumpuan dan berhimpun umat Islam…semua kepakaran dan pengalaman dapat digembleng sekali bagi menambah kekuatan umat Islam dalam bidang keilmuan dan (penjanaan) ekonomi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di negara ini menjadikan bulan Ramadan yang bakal menjelang sebagai bulan kembali kepada fitrah dengan membudayakan amalan nilai-nilai murni dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain agar menjadi contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam.

“Jadikan Ramadan ini sebagai tempat kita kembali untuk menggilap nilai-nilai murni, saling hormat menghormati kerana Islam itu agama yang indah dan harmoni.

“Jika kita faham Islam sebenarnya, kita tidak akan terjebak dalam kegiatan radikal atau ektremisme yang boleh mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam keadaan masyarakat kita yang rencam (majmuk) ini.. saya yakin jika ini terus menjadi amalan kita dapat bangkit semula menjadi umat yang cemerlang dan menjadi contoh kepada orang lain sebab Islam itu agama yang syumul dan lengkap,” katanya.

— BERNAMA

– Foto Sumber: Facebook Azmin Ali

 

 

Categories
NASIONAL

Pekerja perlu tingkat ilmu, sedia hadapi perubahan semasa – Azmin

 

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Para pekerja perlu melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan supaya sentiasa bersedia seiring dengan perubahan semasa, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja hari ini, beliau berkata ekonomi negara masa kini dan masa depan akan berteraskan automasi, risikan buatan, analisis Data Raya, robotik dan Internet Benda (IoT).

“Kita semua harus bersedia untuk menggarap sepenuhnya teknologi ini dalam mendepani cabaran baharu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, beliau yakin dengan bakat dan potensi pekerja Malaysia, dengan keterampilan mereka akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing di pasaran global.

“Tanpa dedikasi dan ketekunan mereka, Malaysia tidak mungkin menikmati kemakmuran yang dirasai bersama,” katanya,

Secara keseluruhannya, produktiviti pekerja Malaysia mengikut jam bekerja terus meningkat tahun demi tahun dan pada tahun 2018, ia meningkat kepada 3.4 peratus.

“Untuk itu, marilah kita sambut Hari Pekerja dengan optimis dan keberanian untuk mendakap perubahan.

“Masa depan memang mencabar, namun membuka pelbagai peluang kepada mereka yang bersedia dan berkemahiran,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ECRL perlu bawa pertumbuhan industri ke pantai timur – Azmin

MELAKA, 30 APR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu membawa industri baharu dan pertumbuhan sektor perindustrian ke pantai timur yang seterusnya diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi menguntungkan rakyat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sekiranya tiada industri baharu dan pertumbuhan itu, tiada pengangkutan kargo yang akan menggunakan ECRL dan sekiranya ini berlaku tiada sebab untuk melaksanakan pembinaan ECRL di negara ini.

“Antara syarat baharu yang kita letakkan mesti membawa industri baharu ke pantai timur. ECRL ini penting jika ada pertumbuhan industri yang boleh menjana ekonomi dan pemindahan kargo industri ke Pelabuhan Klang,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama bertajuk “Pembangunan Harapan Rakyat: Mekanisma Malaysia Baharu atau Satu Penjenamaan Semula” pada Seminar Melaka Berwibawa di Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Seminar dua hari bermula semalam dirasmikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini dan turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, barisan exco kerajaan negeri dan lebih 400 peserta.

Media sebelum ini melaporkan ECRL akan disambung semula dengan kos pembinaan Fasa 1 dan 2 kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Mohamed Azmin berkata penjimatan RM21.5 billion projek ECRL itu bukan kerana pengecilan skop dan spesifikasi projek itu seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini, sebaliknya menegaskan skop dan spesifikasi projek itu masih kekal.

“Masih landasan berkembar, jajaran itu jarak agak sama tetapi apa berlaku kita tidak membenarkan mereka menembusi Gombak dan ini keputusan diambil semasa saya jadi Menteri Besar Selangor lagi kerana di situ ada empangan dan kita tidak mahu sebarang masalah.

“Kita juga ada jajaran permatanq kuarza yang kita daftarkan dengan Unesco sebagai permatang kuarza terpanjang di dunia, dan kita juga tak mahu mereka tebuk dan buat terowong yang kosnya hampir RM10 billion, kita jimat hampir RM10 billion di situ,” katanya.

Menurutnya, menerusi penjimatan itu kerajaan boleh melaksana projek lain yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

“Kita juga perangi salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan, dan kita akan teruskan prinsip dan amalan ini termasuk di Bandar Malaysia tetapi dengan konsep pembangunan yang baharu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin lawat mangsa flat retak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APRIL: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menyantuni mangsa terjejas susulan keretakan serius Pangsapuri Taman Keramat Permai, di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, sebentar tadi.

Ketibaan Ahli Parlimen Gombak kira-kira 12.20 tengah hari turut disertai Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Turut serta dalam kunjungan berkenaan adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Mohamad Hilman Idham dan ADN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Dalam kunjungan itu, Mohamed Azmin turut bertanya khabar dan beramah mesra bersama mangsa di pusat pemindahan terbaharu berkenaan selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai dijadikan lokasi pemindahan pertama, pada Jumaat lalu.

Seusai melawat, beliau menikmati makan tengah hari bersama keluarga mangsa dan menunaikan solat Zohor berjemaah di surau berhampiran.

Beliau juga turun padang untuk melihat sendiri situasi di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan dan meninjau dengan lebih dekat keretakan berlaku termasuk di aras empat dan aras bawah blok berkenaan.

Mohamed Azmin kemudian mendengar taklimat oleh Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan wakil PKNS serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya sepanjang tinjauan itu.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan selepas penemuan beberapa kesan retakan pada pangsapuri empat tingkat berkenaan.

Sehingga 2.15 petang, seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan itu.

Categories
NASIONAL

Tangani tindakan melampau EU – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Kementerian berkaitan perlu menangani segera tindakan melampau Kesatuan Eropah (EU) yang menghalang pemasaran kelapa dan minyak sawit daripada Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu sebagai salah satu usaha meningkatkan harga komoditi kelapa sawit yang rendah ketika ini.

“Harga komoditi kelapa sawit di luar bidang kuasa kerajaan. Ia ditentukan pasaran antarabangsa. Ketika ini ia amat rendah.

“Kita maklum EU melancarkan bukan sahaja kempen tetapi propaganda melampau menghalang pemasaran kelapa dan minyak sawit dari negara ini.

“Maka, kementerian yang bertanggungjawab bukan sahaja perlu mengambil tindakan defensif tetapi juga ofensif menjawab semua tuduhan dilemparkan beberapa negara maju hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, peladang dan pekebun khususnya generasi muda disaran meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan hasil dan produktiviti.

“Kita perlukan rancangan jangka masa panjang. Saya sudah mencadangkan supaya peneroka tidak terlalu bergantung kepada hasil sawit.

“Dengan teknologi terkini, Revolusi Perindustrian 4.0, robotik, dron dan pelbagai teknologi canggih, peladang atau pekebun dalam kalangan generasi muda boleh menggunakan pakai teknologi ini sebagai usaha meningkatkan produktiviti,” katanya.

Categories
NASIONAL

Cabaran imbangi pertumbuhan ekonomi, pengukuhan fiskal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan hari ini mengakui berdepan cabaran mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengukuhan fiskal ekoran peningkatan hutang negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya hutang mencecah RM1 trilion itu tidak diurus dengan baik, ia akan menjejaskan pembangunan, infrastruktur dan ekonomi.

“Jika kita lihat nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ini mencecah 83 peratus. Ini satu keadaan yang amat membimbangkan kerajaan kerana kita mewarisi jumlah hutang begitu besar.

“Kita tidak dapat menampung pembiayaan projek pembangunan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pendedahan demi pendedahan kepincangan pentadbiran lalu perlu diperjelaskan kepada rakyat.

Katanya, hal itu kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan terkini dan langkah menangani masalah berkenaan.

“Contohnya, kerajaan ingin mengemukakan cadangan dan langkah untuk menjamin kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Kita berpandangan rakyat khususnya perlu tahu bagaimana kedudukan agensi itu hari ini, kerana untuk menjayakan usaha dan program baharu FELDA mewarisi keadaan yang amat rumit,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) bukan sekadar menutup kelemahan sebaliknya bersikap terbuka dengan mendedahkan kecurangan lalu kepada rakyat.

“Saya yakin definisi Malaysia Baharu yang dicanang sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 diterima baik rakyat dan kesan dukungan itu, PAKATAN berpegang kepada prinsip akauntabiliti dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FELDA: Kedurjanaan pentadbiran lalu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Pembentangan Kertas Putih dalam isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bukan sekadar mendedahkan kepincangan dan ‘kedurjanaan’ urus tadbir pentadbiran lalu.

Sebaliknya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia mencerangkinkan hala tuju dan kelestarian masa hadapan warga peneroka.

Katanya, istilah ‘kedurjanaan’ itu walaupun berat untuk digunakan namun beliau tidak mempunyai pilihan melainkan perlu tegas dan berani tampil ke hadapan membela nasib peneroka.

“Apa yang berlaku sebelum ini, kita melihat bagaimana keupayaan YM Tan Sri Taib Andak dan YM Raja Alias Raja Mohd Ali yang mengangkat FELDA sebagai agensi cukup gemilang.

“Sebelum penyenaraian Felda Global Venture (FGV), FELDA memperoleh keuntungan bersih antara RM200 juta hingga RM1.2 bilion.

“Namun, sebaik sahaja 400,000 hektar tanah komersial diserahkan kepada FGV, ia hanya memperolehi RM400 juta setahun sedangkan ia memerlukan RM800 juta setahun bagi menguruskan ladang.

“Ini satu perkara pengkhianatan dilakukan pengurusan FELDA yang lama, tidak telus, tidak amanah dan tidak jujur, mengkhianati dukungan serta sandaran diberikan peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Mohamed Azmin berkata, istilah itu juga kuat diperkatakan apabila melihat beberapa urusniaga agensi itu yang membeli aset pada harga lebih tinggi dari pasaran.

Katanya, hasil tindakan ‘kedurjanaan’ itu menyebabkan FELDA menanggung hutang yang membebankan.

“Sebagai contoh, FELDA dipaksa membeli sebuah syarikat milik tokoh usahawan dari Indonesia pada kadar 16 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran bernilai RM2.3 bilion.

“Begitu juga pembelian sebuah hotel di London, harga diberi sebanyak RM331 juta sedangkan harga pasaran lebih kurang RM100 juta sahaja.

“Ini bukan soal jenayah komersial tetapi ini ialah kedurjanaan urus tadbir FELDA yang menyebabkan hutang dan liabiliti ditanggung hari ini amat membebankan,” katanya.