Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perutusan Hari Wesak 2018

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Sambutan Hari Wesak di Malaysia pada tahun ini amat istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini kerana, Hari Wesak disambut penganut Buddha dalam tempoh tidak lama selepas rakyat Malaysia bersuara menuntut perubahan.

Wesak adalah hari istimewa untuk penganut agama Buddha memperingati kelahiran, pencerahan agung dan pemergian Gautama Buddha menerusi Nirvana.

Di Malaysia, pelbagai upacara keagamaan Hari Wesak diraikan oleh penganut Buddha dengan aman dan damai.

Malah, tradisi perayaan Wesak yang berwarna-warni telah pun diangkat dan menjadi sebahagian citra tanah air ini.

Seiiring dengan semangat Wesak yang meraikan kelahiran dan pencerahan agung, ia sebenarnya bertepatan dengan kelahiran Malaysia Baharu mutakhir ini.

Kelahiran Malaysia Baharu ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa pencerahan rakyat Malaysia yang mahukan pembaharuan dan keadilan ditegakkan.

Kelahiran Malaysia Baharu dan pencerahan hebat rakyat negara ini wajar diingati dan diinsafi betapa pentadbiran yang telus dan mengutamakan rakyat perlu selalu dijunjung.

Saya mengambil keputusan untuk menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan atas kesedaran mahu menyelamatkan negara ini.

Sesungguhnya, ia adalah tanggungjawab yang berat, namun perlu dipikul demi memperbetulkan keadaan negara.

Kepada penganut Buddha di Malaysia, raikanlah sambutan Hari Wesak dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Selamat menyambut Hari Wesak.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Menteri Besar Selangor

Categories
NASIONAL

Kerajaan pantau peniaga jual harga mahal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 MEI: Kerajaan akan melakukan pemantauan berterusan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan di pasaran, selepas kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan, pada kadar sifar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keperluan itu selaras manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) yang meletakkan agenda kebajikan rakyat sebagai komitmen utama pentadbirannya.

“Saya sudah melihat kenyataan dibuat Menteri Pertanian, Sallehudin Ayub dan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kastam yang tidak membenarkan harga barangan dinaikkan.

“Saya percaya, kementerian bertangungjawab akan memantau perkara ini menerusi kerjasama Kastam untuk memastikan penguat kuasaan harus ditingkatkan supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan.

“Ini selaras tuntutan Kerajaan PAKATAN mengurangkan masalah bebanan rakyat dan perkara ini perlu dilakukan dalam tempoh 100 hari,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita pada Program Iftar Perdana bersama rakyat Gombak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, semalam.

Terdahulu, media melaporkan wujudnya kebimbangan masyarakat terhadap tindakan pengusaha tempatan yang menaikkan kadar barangan di pasaran selepas pemansuhan GST berkuat kuasa, pada 1 Jun ini.

Pada masa sama, turut dilaporkan harga barangan semakin meningkat ketika musim perayaan Aidilfitri.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasi dalam kenyataan menggesa peniaga menurunkan harga barang, selepas pemansuhan GST diumumkan Kerajaan Persekutuan.

“Semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Peniaga dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada kadar standard enam peratus kepada kadar sifar (0%) kepada pengguna dalam bentuk hargalebih rendah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tahniah Mohamed Azmin – Ketua Polis Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, beliau berharap Mohamed Azmin dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor dilaksanakan dalam suasana aman dan terkawal tanpa menggugat keselamatan dalam negeri.

“Semoga ummah di Selangor terus diperkasakan dan dapat membentuk ummah cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah maklum Majlis Berbuka Puasa bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut mencemar duli DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Mazlan berkata, beliau berbesar hati apabila Sultan Selangor sanggup mencemar duli buat kali pertama berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor.

“Patik amat berbesar hati kerana ini kali pertama Tuanku Baginda berbuka puasa bersama kontijen polis Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Putrajaya bakal semak semua projek mega

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mengkaji semula semua projek mega terutama melibatkan proses perolehan dan pemberian tander.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setiap projek perlu melalui proses tender terbuka yang dilakukan secara telus tanpa lagi mengamalkan rundingan terus.

“Kita akan melihat semula semua projek yang sudah diberikan Surat Setuju Terima (SST) oleh kerajaan terdahulu. Kita akan semak segala keperluan untuk proses penjimatan.

“Projek mega juga akan kita lihat sama ada boleh dilakukan rundingan semula berpandukan kepada undang-undang sedia ada selain projek yang diluluskan secara tergesa-gesa.

“Kita akan berikan tumpuan terhadap projek yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemua dengan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Menurutnya, hutang negara kini hampir mencecah RM1 trilion dan ia merangkumi hutang keseluruhan negara.

Katanya, EPU mempunyai pasukan yang mantap untuk merangka pelan pembangunan dan melakukan beberapa agenda perubahan menerusi Pelan Hala Tuju Strategik baharu.

Dalam pada itu Mohamed Azmin menjelaskan semakan semula bajet juga akan dilakukan pada September ini.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pelantikan Azmin Menteri Hal Ehwal Ekonomi penghormatan buat Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah penghormatan kepada rakyat Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pelantikan Mohamed Azmin merupakan pilihan tepat berikutan beliau mempunyai rekod menerajui Kerajaan Negeri dengan cemerlang.

“Ini penghormatan buat negeri tetapi pada masa sama satu kehilangan buat rakyat Selangor.

“Saya yakin beliau akan menggunakan pengalaman dan kepakaran ada padanya untuk kepentingan rakyat keseluruhan,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi pula berkata, Mohamed Azmin berjaya menterjemahkan ucapannya menjadi kenyataan.

“Selain rekod yang dibuktikan melalui pencapaian di Selangor, dalam ucapannya beliau selalu berkata meminta penjawat awam menunggu beliau di Putrajaya apabila hari ini ianya dah menjadi kenyataan.

“Saya yakin rakyat akan menikmati pertumbuhan ekonomi lebih baik di bawah kementerian beliau seperti mana dinikmati rakyat Selangor sebelum ini,” katanya.

Daroyah berkata, sebelum ini Mohamed Azmin berjaya membawa pelaburan berbilion ringgit ke Selangor melalui lawatannya ke negara luar seperti Jepun dan beberapa negara lain.

Sementara itu, ADN Sekinchan, Ng Suee Lim menyifatkan pelantikan Mohamed Azmin menjadikan slogan Selangor Masa Hadapan Malaysia yang digunakan Pakatan Harapan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai kenyataan.

“Berdasarkan trek rekod perkhidmatan beliau pada penggal lepas menjadikan Selangor negeri contoh dan ini menjadikan slogan Selangor masa hadapan Malaysia sebagai kenyataan.

“Saya yakin beliau dapat membantu barisan kepimpinan di peringkat Putrajaya dengan berkesan untuk memacu ekonomi negara keseluruhannya demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mohamed Azmin mulakan hari pertama tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini secara rasmi memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau tiba pada jam 7.45 pagi di perkarangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kompleks B, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Mohamed Azmin kemudiannya menerima taklimat pengenalan bersama Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

=EZY-