Categories
NASIONAL

Pencemaran kimia: Pelajar, guru trauma akan diberi kaunseling

JOHOR BAHRU, 31 MAC: Pelajar, guru dan kakitangan sekolah di sekitar Pasir Gudang yang masih trauma dengan kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, awal bulan ini, akan diberikan khidmat kaunseling.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, khidmat kaunseling oleh guru bimbingan dan kaunseling sekolah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) itu akan dilaksanakan mulai esok.

“Penyediaan kaunseling di peringkat pasca bencana ini adalah untuk membantu mereka yang trauma dengan apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Masyarakat Pakatan Harapan Simpang Renggam, di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam turut membuat tinjauan pasca bencana pencemaran sisa kimia berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 1, Pasir Gudang.

Beliau berkata tiada tempoh masa tertentu ditetapkan untuk kaunseling berkenaan, namun, buat permulaan, ia dilakukan dalam dua hingga tiga minggu ini mengikut tahap trauma pelajar, guru atau kakitangan terlibat.

Katanya, selain kaunseling, pihaknya menerusi pengetua dan guru besar sekolah di sekitar Pasir Gudang juga akan membantu para pelajar terlibat dalam insiden berkenaan bagi membuat tuntutan takaful.

“Setakat ini, seramai 398 orang pelajar sudah menghantar borang tuntutan takaful kepada wakil takaful pagi ini. Kita sudah melakukan perbincangan dengan pihak takaful ini, semalam,” katanya dengan menambah berdasarkan tinjauan beliau ke SMK Pasir Gudang 1, hari ini, pelajar, guru dan kakitangan sekolah dilihat bersemangat untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Azman Adnan berkata proses persekolahan hari ini di 111 buah sekolah berjalan lancar.

“Semua murid dan guru hadir ke sekolah dan proses pembelajaran berjalan dengan baik,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Sepanjang tempoh insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, 2,510 pelajar terlibat dengan 400 daripadanya dimasukkan ke dalam wad.

Bagaimanapun, kesemua mereka telah disahkan sihat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPT diminta anjur debat, kupas kandungan buku-Maszlee

NILAI, 31 MAC: Pihak institusi pengajian tinggi diminta menganjurkan program diskusi atau kupasan kandungan buku, bagi menjadikan universiti sebuah medan intelektual terbuka mendebatkan ilmu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, program itu seharusnya diadakan secara dwi-mingguan atau bulanan kerana pada ketika ini, dilihat masih di tahap ‘pinggiran’ dan bukannya menjadi keutamaan.

“Saya lontarkan cabaran bagi semua universiti adakan kupasan buku, perdebatan atau kritikan kandungan buku di universiti masing-masing.

“Kita ingin jadikan universiti sebuah medan intelektual terbuka dengan ilmu diperdebatkan, pendapat diperbincangkan, fikrah dan idea berlaku ‘peperangan’ dalam kita pastikan hanya idea terbaik akan mengungguli.

“Malangnya sehingga kini, kita lihat bukan tiada, tetapi masih pada bentuk pinggiran dan bukan keutamaan, ini berbeza kalau kita pergi universiti terbuka sebagai contoh universiti di Indonesia di mana diskusi, perdebatan buku atau karya agung merupakan sesuatu yang biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Pada majlis itu, Muhammad Syafik Rahmat, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan) Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) menerima Anugerah Menteri Pendidikan yang membawa gelaran Tokoh Siswa Kebangsaan 2018.

NILAI, 31 Mac — Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (kanan) mengucapkan tahniah kepada pasangan Nor Azman Darus (tengah) dan Rohana Hamzah (kiri) iaitu ibu bapa kepada Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman pelajar Kejuruteraan Automotif Politeknik Ungku Omar yang menerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Allahyarham Mohd Hafiz yang juga pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar pada 16 Disember lalu.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anugerah itu merupakan anugerah utama dan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia kepada mahasiswa universiti awam, swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti yang aktif dalam pelbagai bidang diceburi sepanjang berada di kampus.

Beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil dan pakej pengembaraan ke luar negara bernilai RM5,000.

Turut diiktiraf, mahasiswa yang berkecimpung dalam bidang masing-masing menerusi 15 kategori yang dipertandingkan dan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000, trofi, biasiswa Tokoh Siswa dan sijil.

Kategori Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang menerima trofi dan sijil, turut diberikan kepada pelumba Cup Prix Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, 23, yang diwakili kedua ibu bapanya Nor Azman Darus, 55, dan Rohana Hamzah, 52.

Allahyarham Mohd Hafiz merupakan pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Automotif Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor, Disember tahun lepas. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

Maszlee nafi keluar kenyataan cuti sekolah di Pasir Gudang perlu diganti

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menafikan pernah mengeluarkan kenyataan agar cuti sekolah akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor perlu diganti seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan, semalam.

Maszlee dalam kenyataan medianya berkata, makluman sama ada cuti itu perlu diganti atau tidak akan diputuskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan agar cuti akibat bencana sisa kimia di Pasir Gudang perlu diganti.

“Dalam sidang akhbar berkenaan, transkrip jawapan saya adalah seperti berikut: “Kita akan maklumkan kemudian melalui JPN, mereka akan membuat pemakluman kepada PPD Pasir Gudang dan sekolah-sekolah,” katanya.

Maszlee berkata sehubungan itu, pihaknya meminta akhbar tersebut membetulkan laporan berkenaan supaya tidak mengelirukan orang ramai.

Semalam, akhbar tersebut mengeluarkan artikel bertajuk ‘Cuti Sekolah Akibat Pencemaran Sungai Kim Kim Perlu Diganti’ yang turut mendapat pelbagai reaksi warganet.

Pada 13 Mac lepas, Maszlee mengarahkan 111 sekolah yang terkesan dengan pencemaran gas berbahaya di Sungai Kim Kim diberikan cuti serta-merta sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Jumaat lalu, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Azman Adnan dilaporkan berkata kesemua sekolah tersebut akan dibuka semula pada 31 Mac ini selepas kerja-kerja pembersihan sekolah diselesaikan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kajian menyeluruh pengiktirafan UEC diserah Julai ini

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Laporan penuh kajian dasar berhubung pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) akan dikeluarkan pada Julai ini sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kajian yang mula dijalankan sekitar Oktober tahun lalu itu merangkumi hasil perbincangan daripada pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Sebarang syor kepada kerajaan harus dikaji secara komprehensif dengan mengambil pandangan semua pihak daripada pelbagai lapangan dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya pada sidang media ketika memperkenalkan barisan pasukan petugas dasar UEC di sini, hari ini.

Pasukan petugas dasar UEC dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.

Maszlee berkata, setakat ini pasukan petugas itu telah menjalankan 14 sesi temubual melibatkan 34 slot bersama tokoh individu serta pelbagai pertubuhan dan proses mengumpulkan maklumat masih berjalan.

Beliau yakin hasil kajian itu akan memberi gambaran lebih komprehensif, jelas tanpa berat sebelah dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sekolah di Pasir Gudang tutup sehingga 30 Mac

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PASIR GUDANG, 18 MAC: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk melanjutkan penutupan 111 buah sekolah yang ditutup akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim sehingga 30 Mac depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, selepas mendapat penjelasan menyeluruh daripada pihak berkuasa dan pakar berkaitan, KPM mendapati sekolah terbabit masih belum boleh dibuka.

“Penutupan semua sekolah di Pasir Gudang susulan pencemaran sisa kima diteruskan sehingga 30 Mac,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Kenyataan berikut dikeluarkan selepas mendengar taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, di Menara Aqabah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Maszlee mengadakan lawatan ke Pasir Gudang bagi melihat sendiri keadaan pesakit akibat insiden pencemaran sisa kimia, terutama guru dan murid.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Azman Adnan.

Lawatan susulan itu adalah lawatan kedua beliau selepas lawatan pertama pada minggu lalu.

Categories
NASIONAL

Pemberian buku teks DLP dipercepat

KLUANG, 17 FEB: Pemberian buku teks bagi Program Dua Bahasa (DLP) untuk mata pelajaran Matematik dan Sains kepada pelajar tingkatan tiga dipercepatkan dengan edarannya sudah pun dimulakan, pada 10 Februari lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, jika mengikut perancangan awal, buku teks itu sepatutnya dibekalkan pada awal Mac berikutan ia tidak dapat disediakan pada sesi awal persekolahan kerana terdapat perubahan dalam menambah baik sistem perolehan.

“Berikutan pengedarannya mula dilakukan maka semua sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak dijangkakan mempunyai buku itu, menjelang hujung bulan ini.

“Ini bermakna pelaksanaan menggunakan buku ini adalah bermula pada awal Mac,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Jamuan Makan Sempena Tahun Baharu Cina Parlimen Simpang Renggam di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Baru Simpang Renggam, hari ini.

Katanya, sebelum ini pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menawarkan DLP sudah dibekalkan dengan cakera padat yang mengandungi empat bab awal buku teks subjek berkenaan.

“Ia disediakan bagi membolehkan guru dan murid mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran berkaitan DLP sehingga buku teks berkenaan dapat dibekalkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Maszlee: Rujuk MQA, elak ditipu

SEMENYIH, 11 FEB: Individu yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi digalakkan merujuk terlebih dahulu dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya tidak menjadi mangsa penipuan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, MQA adalah agensi yang akan mengenal pasti semua program yang diakreditasi di universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jadi kepada semua yang ingin melanjutkan pengajian kementerian menggalakkan mereka rujuk dengan MQA supaya tidak tertipu.

“MQA sudah membuat piawaian yang tinggi untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Sekolah Rendah kebangsaan Taman Pelangi, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, sebuah akbar berbahasa Cina tempatan melaporkan beberapa universiti di luar negara menjadi ‘kilang ijazah’ dengan menawarkan ‘kelayakan akademik’ kepada pemohon secara dalam talian tanpa memerlukan mereka mengikuti apa-apa pengajian.

Laporan itu berkata, keadaan demikian berlaku terutamanya membabitkan ‘universiti’ yang dikatakan dari Amerika Syarikat yang beroperasi dari rumah kedai atau pejabat kecil.

Categories
NASIONAL

Dr Maszlee: Kementerian nafi dakwaan kadar makanan sehari SBP dikurangkan

KLUANG, 28 JAN: Dakwaan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) dikurangkan adalah tidak benar.

Menafikan perkara terbabit, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kadar makanan sehari di SBP masih kekal.

“Pihak Kementerian Pendidikan akan keluarkan kenyataan petang ini menafikan dakwaan atau fitnah terbabit.

“Saya berharap supaya Datuk Seri Najib Razak melakukan ‘homework’ sebelum keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Ziarah Cakna di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Jalil, dekat sini, hari ini.

Maszlee secara sinis turut ‘mempelawa’ mantan Perdana Menteri itu untuk menggunakan masa yang terluang kini dengan mengajar murid terutama di kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib menerusi akaun Twitter miliknya yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah mengurangkan kadar makanan terbabit daripada RM18 kepada RM14.50 sehari.

Sementara itu, Maszlee berharap agar program Ziarah Cakna berupaya mengembalikan imej guru sebagai adiwira kepada anak-anak murid, ibu bapa serta masyarakat sekitar.

“Diharapkan dengan Ziarah Cakna seperti ini akan menjadikan guru dilihat sebagai superhero. Dulu perkara ini berlaku di kawasan kampung, perumahan, guru di mana sahaja dilihat sebagai hero. Ibu bapa hormat, masyarakat hormat, cikgu sendiri dilihat sebagai orang yang dihormati, kita ingin kembalikan,” katanya.

Program Ziarah Cakna juga bertujuan untuk memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa serta penjaga.

Program membabitkan 143 pejabat pendidikan daerah (PPD) seluruh negara, dijangka berlangsung sepanjang tahun ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Tiada lambakan pelajar di sekolah harian

PUTRAJAYA, 2 JAN: Dasar kerajaan yang memberi keutamaan penempatan golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak akan menyebabkan lambakan pelajar di sekolah harian biasa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan memutuskan untuk mengembalikan semula semangat SBP dengan membantu pelajar berpotensi golongan B40 selari dasar kerajaan baharu untuk menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti.

“Perkara ini tidak menjadi isu kerana setiap sekolah mempunyai kuota kemasukan masing-masing,” katanya selepas mengadakan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 14 (1) di sini, hari ini.

Seramai 465,411 murid Tahun Satu dan kira-kira 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2019 di seluruh negara.

Pada Disember lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan penempatan di SBP diperuntukkan kepada pelajar dalam kalangan golongan B40 bagi sesi persekolahan 2019.

Kementerian itu berkata, tawaran ke tingkatan satu di SBP bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor lain seperti pemilihan sekolah oleh pemohon, kapasiti enrolmen sesebuah sekolah, jantina dan lokaliti pemohon.

Maszlee berkata, penempatan itu bukan sekadar kepada B40 semata-mata tetapi juga menumpukan kepada golongan miskin kota.

“Seperti anak anggota beruniform yang berpangkat rendah kita beri peluang kepada anak mereka (yang layak) untuk bersekolah di asrama penuh seterusnya dapat tingkatkan ekonomi apabila mereka berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkeyakinan pelajar cemerlang akan sentiasa berjaya di mana-mana sekolah walaupun tidak mendapat tempat di SBP.

“Mengikut pengalaman, saya lihat pelajar cemerlang walaupun di sekolah kampung (luar bandar), pun akan cemerlang dengan berkat didikan guru dan ibu bapa,” katanya.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan bercadang menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), beliau berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikian namun mengharapkan PIBG mengadakan perbincangan sebelum menetapkan yuran itu.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Maszlee nafi mahu masuk 1MDB dalam subjek Sejarah

SHAH ALAM, 4 DIS: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menafikan laporan media yang mendakwanya menyebut kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah, di sekolah.

Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, perkataan sejarah disebut Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am.

Katanya, laporan media berkenaan adalah tidak tepat kerana keputusan untuk memasukkan isu 1MDB ke dalam subjek Sejarah terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan.

“Ketika menjawab soalan tambahan YB Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan), Dr Maszlee hanya menyebut isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

“Laporan media memetik seolah-olah Dr Maszlee mengatakan kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia adalah tidak tepat.

“Soal sama ada ia akan dimasukkan ke dalam silibus terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau memohon kerjasama media supaya membuat pembetulan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Semalam, Maszlee dilaporkan berkata, skandal 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah sebagai pengajaran.

Beliau berkata, kesilapan itu perlu dipelajari supaya tidak diulangi generasi masa depan.

Categories
NASIONAL

Skim baucar buku mahasiswa diteruskan

SHAH ALAM, 10 NOV: Kementerian Kewangan bersetuju dengan syor Kementerian Pendidikan supaya skim bantuan baucar buku kepada mahasiswa diteruskan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet pertama, semalam selepas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 2 November lalu.

“Kementerian Kewangan bersetuju melihat perkara ini bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berpandangan bantuan seumpama ini perlu diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesudian Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan perkara berkenaan.

Beliau turut berharap kerajaan akan mengumumkan berita gembira dalam waktu terdekat berhubung kebajikan mahasiswa.

“Skim baucar buku antara perjuangan saya buat mahasiswa,” katanya.

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pindaan AUKU akan dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung cadangan pindaan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dijangka berlangsung, pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pindaan itu turut membabitkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Katanya, pindaan membabitkan pemansuhan peruntukan yang menghalang mahasiswa universiti terbabit dalam aktiviti parti politik di kampus seperti disebut dalam Seksyen 15(2) (C) AUKU, Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik, kolej komuniti dan institut perguruan.

“Langkah ini selari dengan transformasi politik dalam mengukuhkan institusi demokrasi terutamanya bagi memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk bersuara dan terbabit dengan aktiviti politik di kampus

“Selain itu, ia bertujuan untuk menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa,” katanya lapor BHOnline.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa peruntukan dalam AUKU yang digunakan pada masa kini perlu disesuaikan dengan pelan transformasi yang diusahakan kerajaan baharu.

“AUKU Perlu dilihat semula bagi memastikan bahawa semangat dan kehendak transformasi berkenaan diterjemah berdasarkan keluhuran undang-undang.

“Ïni adalah langkah awal transformasi supaya seiring dengan kemajuan teknologi dan maklumat dan kementerian turut menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020,” katanya.