Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Golongan pendidik disaran terap nilai manusiawi kepada pelajar

KLANG, 29 OGOS: Golongan pendidik disaran menerapkan nilai manusiawi dalam proses pengajaran, sebagai usaha membina generasi masa depan yang berpekerti mulia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu juga sekaligus dilihat mampu mendorong ke arah perubahan akhlak yang baik dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Jika sebelum ini, pelajar kita diterapkan dengan 3M iaitu menulis, membaca, mengira…saya rasa kita perlu tambah lagi satu M iaitu manusiawi.

“Sifat manusiawi ini perlu diterapkan oleh guru kepada setiap diri pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah lagi supaya dapat membentuk mereka dengan sahsiah yang baik seperti bersikap rajin dan pembersih,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian seminar Profesional Pendidik Guru Muda peringkat kebangsaan di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dan Ketua Penggerak Guru Muda Malaysia Rahmat Sholihin Mokhtar.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu kurang guru di bandar serius – Maszlee

KLUANG, 22 JULAI: Isu kekurangan guru di bandar utama kian meruncing, terutama di Johor dan Selangor ekoran ramai memilih kembali ke negeri asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kecenderungan guru bertugas di kampung halaman sendiri ekoran peningkatan kos sara hidup, di bandar.

“Masalah itu berlaku di bandarseperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam, justeru kementerian sedang meneliti apakah penyelesaian terbaik supaya guru tidak meninggalkan tempat.

“Mungkin ada beberapa inisiatif akan diusahakan, termasuk menaikkan elaun kos sara hidup atau meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru tetapi semuanya dalam peringkat kajian,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Siap Kerja bagi Pembinaan Sekolah Daif Fasa 1 2018 Negeri Johor, di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam di Kluang, hari ini.

Pada masa sama, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya akan menggandakan usaha untuk memastikan sekolah daif dinaik taraf dan projek bagi pembinaan baru segera disiapkan.

Berdasarkan stastistik kementerian pada 2017, terdapat 120 sekolah daif dikenal pasti di seluruh negara dengan 60 daripadanya di Semenanjung Malaysia dan masing-masing 30 di Sabah juga Sarawak.

Bagaimanapun dengan peruntukan pada 2018, lebih daripada 20 sekolah itu siap dibina baru atau dibaik pulih melalui fasa pertama projek.

Categories
SELANGOR

DYMM Tengku Permaisuri meriahkan Sambutan Jubli Emas SSP

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 16 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Emas Sekolah Seri Puteri (SSP) ke 50, di sini, semalam.

Keberangkatan baginda di sambut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Selain acara Santapan Diraja dan Jamuan Jubli Emas, baginda berkenan menyaksikan persembahan choral speaking, tarian dan pancaragam dari pelajar sekolah bestari itu.

Baginda turut berkenan melawat ke Galeri Warisan sekolah berkenaan.

Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur.

Pada 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya, manakala premis lama dijadikan Sekolah Sains Seri Puteri (Seseri).

Sementara itu, Maszlee berkata, sekolah berasrama penuh perlu memupuk daya kreativiti pelajar dan memerlukan anjakan paradigma dalam proses pembelajaran serta pengajaran.

“Pendidik perlu berganjak dari cara pembelajaran dalam hafalan dan di luar cara konvensional.

“Jangan melihat pembelajaran secara tradisional sebaliknya menerokai ruang pembelajaran terbuka agar boleh berfikir secara kreatif,” katanya.

Categories
NASIONAL

Maklumat pelajar terdedah, SAPS ditutup sementara

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 11 JUN: Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara berikutan dakwaan pendedahan maklumat peribadi lebih 10 juta rakyat negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszle Malik berkata, pihaknya memohon maaf atas perkara tersebut dan kini sedang menyiasat dakwaan itu secara teliti.

“Bagi pihak kementerian, saya memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Sebagai langkah keselamatan, saya mengarahkan sistem ini ditutup buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kementerian menjalankan analisis keselamatan secara mendalam bagi mengenal pasti kelemahan dan mengambil tindakan segera selepas menemui jalan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan.

SAPS merupakan sistem pembuat analisis peperiksaan sekolah bagi memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan anak-anak mereka.

Maszlee berkata, laman web dan aplikasi lain berkaitan Kementerian Pendidikan bagaimanapun tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

“Saya percaya pandangan rakyat penting dalam semua hal berkaitan kementerian, kami memerlukan input berterusan semua pihak supaya dapat bersama-sama melakukan perubahan yang perlu dalam kementerian,” katanya.

Categories
NASIONAL

433,000 senarai hitam peminjam PTPTN dikeluarkan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Kira-kira 433,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu dibuat melalui proses pemutihan secara berperingkat sejak 24 Mei lalu hingga 15 Jun ini.

Katanya, ia adalah janji dalam manifesto PRU-14, bahawa peminjam PTPTN yang masih tidak memperoleh gaji RM4,000 sebulan dikecualikan daripada membuat sebarang bayaran.

“Memandangkan keadaan ekonomi yang teruk pada hari ini, maka kita letakkan RM4,000 itu supaya bila mereka sampai tahap itu, mereka boleh membuat pembayaran.

“Cuma kita perlu berhubung dengan pihak imigresen untuk menarik sekatan perjalanan mereka,” katanya.

Terdahulu, Maszlee berkata, penangguhan bayaran itu dibuat dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan tekanan rakyat terhadap kos sara hidup meningkat.