Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat Lembah Pantai sumbang 10 mesin oksigen kepada PPUM

SHAH ALAM, 27 OGOS: Ahli parlimen Lembah Pantai menyumbang 10 mesin penumpu oksigen kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Fahmi Fadzil berkata sumbangan berjumlah RM38,000 kepada Pengarah PPUM Profesor Dr Nazirah Hasnan hasil kutipan dana bersama pihak lain.

“Ini dapat membantu pesakit Covid-19 yang sukar bernafas. Terima kasih kepada semua yang membantu mengumpul dana ini,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Fahmi berkata tumpuan seterusnya akan diberikan kepada program suntikan vaksin penduduk di Parlimennya yang masih rendah.

Sebanyak 60.2 peratus populasi dewasa atau 14,095,554 individu di seluruh negara lengkap dos suntikan vaksin setakat semalam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jumlah pesakit Covid-19 menurun, HTAR pulang semula mesin oksigen  

SHAH ALAM, 21 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) memulangkan semula 80 unit mesin oksigen yang dipinjam daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 susulan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital itu semakin menurun.

HTAR memaklumkan, bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyusun semula peralatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

Sehubungan itu, HTAR merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman berkenaan sepanjang tempoh ‘disaster’.

“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” maklum HTAR menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Selasa lalu, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi memaklumkan kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di hospital itu berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu sebelumnya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara sediakan mesin oksigen bantu penduduk dikuarantin di rumah

SHAH ALAM, 29 JUN: Pesakit Covid-19 sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara yang menjalani kuarantin di rumah boleh meminjam mesin oksigen dari pusat khidmatnya.

Ahli Dewan Negerinya berkata tiga mesin disediakan sejak minggu lalu bagi memudahkan mereka menjalani proses pemulihan.

“Pesakit yang memerlukan mesin ini diminta menghubungi kakitangan pusat khidmat, Grace di talian 016-2380326.

“Tempoh pinjaman boleh sehingga 14 hari dan ia perlu dipulangkan sebaik sahaja pulih,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, wakil pusat khidmat akan menghantar mesin terbabit terus ke rumah pesakit selepas permohonan dibuat.