Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Bukit Lanjan bantu wanita barah serviks dapat rawatan di PPUM

PETALING JAYA, 14 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan membantu golongan wanita yang didapati positif Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim semalam bagi mendapatkan rawatan susulan.

Elizabeth Wong berkata mereka akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani rawatan itu sehingga pulih sepenuhnya.

“Kita hantar mereka ke pusat itu dan ditanggung sepenuhnya Yayasan ROSE. Kita akan buat susulan dengan keputusan dan kesan ujian saringan selain memastikan semua pesakit dijaga sepenuhnya.

“Untuk hari ini (semalam), sambutan diterima menggalakkan dan tidak menyangka wanita kini semakin prihatin kerana saringan serviks kurang diberikan perhatian,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong bercakap ketika sidang media selepas program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Elizabeth berkata pihaknya bercadang menganjurkan saringan buat kali kedua pada Mei depan supaya lebih ramai wanita menerima manfaat sekali gus dapat mencegah barah serviks.

Terdahulu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud hadir merasmikan Program PCR Ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Damansara Damai semalam.

Program itu merupakan kerjasama antara Pusat Wanita Berdaya (PWB), Yayasan ROSE dan Malaysia Women Marathon.

Sementara itu, Penyelia PWB Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan Juliana Abu Bakar berkata tujuan saringan diadakan untuk beri kesedaran kepada golongan wanita kepentingan mencegah barah serviks.

“Kita sasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan di pusat perumahan rakyat (PPR) menjalani ujian secara percuma.

“Hasil soal selidik mendapati majoriti daripada mereka tidak pernah melakukan saringan tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat Lembah Pantai sumbang 10 mesin oksigen kepada PPUM

SHAH ALAM, 27 OGOS: Ahli parlimen Lembah Pantai menyumbang 10 mesin penumpu oksigen kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Fahmi Fadzil berkata sumbangan berjumlah RM38,000 kepada Pengarah PPUM Profesor Dr Nazirah Hasnan hasil kutipan dana bersama pihak lain.

“Ini dapat membantu pesakit Covid-19 yang sukar bernafas. Terima kasih kepada semua yang membantu mengumpul dana ini,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Fahmi berkata tumpuan seterusnya akan diberikan kepada program suntikan vaksin penduduk di Parlimennya yang masih rendah.

Sebanyak 60.2 peratus populasi dewasa atau 14,095,554 individu di seluruh negara lengkap dos suntikan vaksin setakat semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Razaleigh positif Covid-19, keadaan stabil

GUA MUSANG, 14 JAN: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Beliau menerima keputusan ujian saringan Covid-19 malam tadi dan terus dikejarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, Tengku Razaleigh melakukan ujian saringan pada Selasa lalu.

“Apabila keputusan positif diterimanya malam tadi, Tengku Razaleigh terus dibawa ke PPUM untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, petang tadi.

Mohd Syahbuddin berkata Tengku Razaleigh merupakan kontak rapat dengannya dan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, yang kedua-duanya disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Semalam, Pegawai Peribadi Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Abdul Ghani juga disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Pada 11 Januari lalu, Mohd Syahbuddin bersama Ab Aziz disahkan positif Covid-19 dan dikejarkan ke HSIP Kuala Krai untuk menerima rawatan.

“Alhamdulillah, kesihatan saya bersama Ab Aziz bertambah baik dan terima kasih atas doa rakyat Gua Musang mohon (kami) cepat sembuh,” kata Mohd Syahbuddin.

Selain itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani dan Timbalan Ketua Wanita UMNO bahagian, Ruhaida Abdul Hamid juga turut disahkan positif Covid-19.

Mereka juga menerima rawatan di HSIP Kuala Krai dan keadaan dilaporkan stabil.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Kelantan telah membuka kaunter ujian saringan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang pada Selasa lalu bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pemimpin-pemimpin terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek curi motosikal dikesan kontak rapat individu dikuarantin

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Seorang daripada dua lelaki tempatan yang diberkas ketika leka dengan kegiatan mencuri motosikal di kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin ditahan di wad selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang individu di bawah pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink dan menjalani kuarantin di blok Program Perumahan Rakyat Kerinchi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata suspek yang berusia 19 tahun turut menjalani pemeriksaan suhu badan yang didapati mencecah 38.5 darjah celsius.

“Suspek turut menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan lanjut. Sementara seorang lagi suspek (yang berusia 26 tahun) dibawa ke unit kecemasan dan sedang dirawat susulan berlaku pergelutan bersama mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan selepas kegiatan mereka disedari seorang pemilik kenderaan yang menuju ke kawasan parkir berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 4.24 petang oleh mangsa yang juga bekerja sebagai polis bantuan di situ.

“Mangsa yang selesai menjalankan tugas telah menuju ke motor jenis Yamaha 125z miliknya sebelum melihat kelibat dua suspek berkenaan,” katanya.

Zairulnizam berkata susulan itu, mangsa telah meminta bantuan rakan setugasnya sekali gus membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.

“Mangsa dalam masa sama telah menjalankan pemeriksaan dan menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya.

Beliau berkata semakan lanjut polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Suspek belum dapat disoal siasat namun polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

-BERNAMA