Categories
SELANGOR

MB: Sidang Dun Akan Bentang Tender 2006-2010

SHAH ALAM 7 MAC : Segala dokumen pemberian tender dan projek secara rundingan dari 2006 hingga 2010 akan dibentangkan Kerajaan Negeri sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 19 Mac sehingga 23 Mac 2012, demikian ujar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

?Kita mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran dan kerana itulah kita akan bentangkan dokumen-dokumen tender supaya rakyat tahu dan membuat penilaian terhadap keputusan-keputusan yang kita buat, ? kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, pemberian tender secara rundingan telah lama diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan berasa pelik apabila menjadi pembangkang di Selangor, mereka berubah pendirian pula.

“Adakalanya juga terdapat kes tertentu yang memerlukan Kerajaan Negeri memberi projek atau tugasan secara terus dalam keadaan kecemasan.

“Sebagai contoh apabila kejadian tanah runtuh – kita perlu melantik juruperunding seperti Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk menyiasat tahap keselamatan dengan segera.

“Dalam keadaan sebegini, kita tidak perlu meminta sebut harga,” tambah Abdul Khalid sambil memberitahu tindakan itu tidak bercanggah dengan prosedur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana segala tindakan mendapat kelulusan EXCO dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dokumen-dokumen tersebut perlu mendapatkan kelulusan DNS sebelum disiarkan kepada umum kerana dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Di Minta Sedia Dedah Isu Pasir Kepada TI

SHAH ALAM 15 FEB : Transparency Internasional (TI) akan menemui Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar bagi mendapatkan bukti dakwaannya sebelum ini berhubung penyelewengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam pengurusan pasir.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya memohon kerjasama badan itu bagi menemubual Noh untuk mencari kesahihan dakwaannya itu.

“Jika benar Noh Omar mempunyai bukti seperti mana yang didakwanya itu, beliau sewajarnya memberi kerjasama kepada TI dan segala kebenaran akan dibentangkan kepada umum kelak.

“Kami (Kerajaan Negeri) mengharapkan kerjasama itu berlangsung dengan baik,”katanya.

Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.                                                                                                                                                                                                                                               

Sebelum ini, pada Sabtu lalu Noh mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh KSSB dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Noh mendakwa daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli.

Menjawab dakwaan ini, Khalid berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan TI diberi kebebasan penuh untuk memantau syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu.

Menurut beliau pegawai SPRM dibenarkan memasuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

Selain itu, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau TI dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

Inisiatif ini dibuat kerajaan negeri bagi memastikan syarikat ini diurus secara telus dan bertanggungjawab.

“Saya sangat berharap Noh Omar bersiap sedia bertemu dengan wakil TI,”jelasnya.

Selain itu kerajaan negeri juga telah memperuntukan RM20 juta kepada orang ramai untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan rasuah di Selangor.

 

Categories
SELANGOR

Xavier: Selangor Jamin Tiada Krisis Air Menjelang 2014

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Negeri sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dicanang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar berkata isu yang sengaja dimainkan ini jelas propaganda politik kerajaan Umno-BN dalam usaha menakut-nakutkan rakyat Selangor bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin BN Pusat merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum akan datang.

“Kerajaan Selangor menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang boleh digunapakai bagi menampung keperluan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya bagi membidas segala dakwaan jahat Kerajaan Pusat dan SYABAS.

Xavier berkata antara kaedah terkini yang akan digunapakai bagi merawat air ialah proses pengambilan air mentah dari bekas lombong, punca air bawah tanah, rawatan dan penapisan air sungai dan air mentah dari takungan air hujan.

“Kerajaan Negeri sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk kegunaan sektor perindustrian di Selangor.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen permindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran tweknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air,”

Xavier berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Xavier berkata kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna bagi memaksimumkan penggunaan sumber-sumber air bagi menambung keperluan harian rakyat.

“Ini merupakan alternatif yang lebih bermanfaat dan menjimatkan berbanding projek membangunkan insfratruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbillion ringgit wang pembayar cukai,”katanya.

Tindakan Kerajaan Selangor menguasai industri air negeri bertujuan bagi meringankan bebanan rakyat selain mengekalkan pemberian air percuma 20 meter padu kepadaa rakyat.

Manakala Syabas merancang untuk menaikkan tarif bil air sebanyak 37 peratus namun dibantah oleh kerajaan negeri.