Categories
SELANGOR

300 sukarelawan bersihkan Pantai Tanjung Harapan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 13 NOV: Seramai 300 peserta dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sultan Sulaiman Sekolah Kebangsaan Seri Istana, Maritim, penduduk Kampung Delek dan River Rangers dari Sungai Udang menyertai Program Pembersihan Pantai Tanjung Harapan, kelmarin.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohamad Yasid Bidin berkata, program berkenaan merupakan usaha MPK menyokong hasrat Kerajaan Negeri dalam memastikan kawasan pantai berada dalam keadaan bersih, terjaga, ceria dan selamat untuk dikunjungi.

Katanya, program itu juga merekodkan maklumat sampah yang diperolehi di kawasan pantai dalam ‘Coast Clean Index’.

“Laporan perekodan maklumat sampah itu dihantar kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai usaha dan inisiatif MPK dalam memastikan kawasan Pantai Tanjung Harapan terjaga.

“Ia juga meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan perairan pantai serta dapat mewujudkan data CCI di kawasan berkenaan.

“Kriteria CCI dibangunkan Institut Maritim Malaysia (MIMA) dengan kerjasama pihak Persatuan Pencinta Alam Malaysia,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, MPK turut menetapkan sepanjang 150 meter iaitu 15 plot kawasan kutipan data secara rawak bagi CCI.

“Di mana setiap satu plot kawasan kutipan data di ukur sepanjang 10 meter dan lebarnya adalah daripada laluan penjalan kaki (bahagian atas) hingga ke gigi air,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MPK akan meneruskan program kutipan data CCI itu di masa akan datang dengan kerjasama semua pihak.

Katanya, isu kebersihan merupakan isu bersama semua lapisan masyarakat dan aspek penting yang memastikan kesihatan masyarakat secara menyeluruh dan menjadi salah satu indikator pembangunan negeri.

“Di samping itu, semua agama menggalakkan penganutnya supaya sentiasa bersih dari aspek kerohanian dan jasmani.

“Negeri yang bersih melambangkan nilai estetika dan keindahan serta dapat menggalakkan perkembangan industri khususnya kepada industri pelancongan.

“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang proaktif, MPK sentiasa mencari ruang bagi meningkatkan tahap kepengurusan dan perkhidmatannya kepada seluruh masyarakat di Bandar Klang,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPK perintis Braille Tree System di Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjadi perintis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menghasilkan ‘Braille Tree System’ (BTS), Pusat Pembelajaran Pokok di Taman Bandar Diraja untuk pembelajaran Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi cacat penglihatan.

Yang DiPertuanya, Mohamad Yasid Bidin berkata, dengan penggunaan plate khas, kumpulan sasar akan mendapat maklumat asas seperti nama saintifik, nama tempatan, ketinggian, ukurlilit dan keluarga pokok.

Katanya, ia sekali gus, membolehkan mereka merasai pokok secara fizikal dan dapat menggunakan deria bau bagi pokok yang beraroma.

“Proses pendidikan orang cacat penglihatan di institusi pendidikan sememangnya menghadapi pelbagai masalah. Jika masalah ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan, mereka mungkin tidak memperoleh pendidikan kualitatif untuk kepentingan mereka dan masyarakat.

“Justeru, MPK mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengenali pokok dengan lebih dekat dengan menyediakan lokasi luar bilik darjah untuk sesi pembelajaran golongan ini khususnya komuniti buta Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan, di Dewan Raja Mahadi, di sini.

Mohamad Yasid berkata, BTS berkenaan merupakan usaha Jabatan Taman dan Rekreasi dalam menghubungkan kumpulan sasar dan alam sekitar.

“MPK juga mahu menanam sikap hormat serta kasih sayang golongan normal kepada golongan OKU ini dalam menyediakan kemudahan untuk mereka.

“Dengan perlaksanaan BTS ini, maka bertambah lagi elemen pendidikan di Pusat Pembelajaran Pokok secara komprehensif untuk golongan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : Umat Islam Perlu Istiqamah Cintai Ilmu

malidur rasul bukit badong feb15 01

BESTARI JAYA 16 FEB :  Umat Islam perlu istiqamah dalam pembangunan akhlak, ilmu, daya fikir serta perasaan dalaman dan hati, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran Islam iaitu mentaati Allah dan Rasullullah, serta taat kepada pemimpin yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan serta panduan menerajui kerajaan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada Program Malam Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Masjid Ar-Rahman Bukit Badong di sini.malidur rasul bkt badong feb15 tokoh nazir 01

Beliau juga melancarkan Kempen ‘Jom Solat’ peringkat Daerah Kuala Selangor.

“Cara yang terbaik untuk mengingati Baginda Rasullullah S.A.W adalah dengan memperbanyakkan Selawat,” kata Abdul Khalid yang juga merupakan Exco Hal-Ehwal Islam.

Ujar Abdul Khalid, akhlak Rasullullah S.A.W perlu diikuti khususnya dalam aspek perhubungan sesama manusia dan juga perpaduan sesama umat Islam.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yasid Bidin berkata, program ini diadakan untuk memupuk semangat cintakan Rasullullah dalam segenap kehidupan.

malidur rasul bukit badong feb15 02Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan RELA diserikan dengan pertandingan Berzanzi dan Marhaban yang melibatkan enam kumpulan.

Harun Abdul Rahman , Nazir Masjid An-Nur Saujana Utama telah terpilih sebagai Nazir Terbaik untuk Daerah Kuala Selangor.

Manakala Johan Marhaban Bagi Kategori Wanita dengan 85 Peratus di menangi oleh Kumpulan An-Nisa’ dari Bandar Baru Puncak Alam.

Bagi kategori Lelaki dimenangi oleh Kumpulan Cahaya Baru di Kampung Bukit Cherakah dengan 86 peratus.

Mangsa Banjir Terharu Terima Bantuan Kerajaan Negeri

BANTING, 18 NOV : Mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini melahirkan kegembiraan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Walaupun tanggungjawab memberi bantuan tersebut seharusnya diusahakan kerajaan persekutuan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri namun setakat ini tiada usaha drustik dilakukan pihak terbabit.

Sehubungan itu kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak turun padang untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa banjir.

Salah seorang penduduk di Kampung RTB, Kartini Lamin, 47, merasakan sumbangan itu amat diperlukan untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga setelah berhadapan bencana banjir terburuk setakat ini.

Beliau yang memiliki seorang anak dan kakak kurang upaya (OKU) amat berterima kasih dan bersyukur di atas pemberian Kerajaan Negeri.

“Rumah saya mula dinaiki air secara mendadak pada 5 November lalu iaitu ketika pada waktu Subuh. Alhamdulillah, saya dapat selamatkan semua ahli keluarga, namun perabot dan peralatan elektrik musnah semuanya.

“Dengan bantuan sebegini, saya benar-benar bersyukur kerana dapat meringankan beban. Terima kasih Menteri Besar,” katanya gembira.

Berkongsi perasaan sama, Azhar Alias, 47, berkata, beliau terharu atas bantuan yang diberikan, malah katanya ia membuktikan Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Sudah hampir dua minggu saya menetap di pusat penempatan sementara ini dan hanya dibenarkan pulang dua hari lalu. Keadaan rumah memang sangat teruk. Tetapi, saya tetap bersyukur atas bantuan yang diberikan walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia tetap meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Awal bulan ini menyaksikan sebilangan besar penduduk di daerah Kuala Langat berdepan bencana banjir terburuk yang pernah dicatatkan sepanjang tahun.

Justeru itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Daerah Kuala Langat kepada lebih 300 buah keluarga itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengairan Selangor (JPS) akan memperbaiki ban-ban yang rosak serta membersihkan saliran serta parit tersumbat untuk melancarkan aliran air.

Semalam, Kerajaan Negeri memaklumkan akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Perkara ini bakal dibentangkan Menteri Besar pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bermula esok.