Categories
NASIONAL

Ulama perlu jadi jurubicara rakyat bukan ‘simplistik’

Oleh: Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 8 JAN: Ulama perlu berperanan menjernihkan keadaan rakyat yang berhadapan masalah isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut akibat kepincangan urus tadbir pemerintah.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata rakyat mengharapkan ulama menegur pemimpin supaya tidak mengenepikan keresahan rakyat.

“Rakyat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan daripada pemerintah dan bila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan supaya mereka didengari kerana ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu.

“Suara rakyat, termasuk ahli akademik dan pemimpin politik dalam dan luar kerajaan dikumpul serta disiar di media sepatutnya cukup untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi respon wajar terhadap keresahan rakyat,” kata Azmi dalam kenyataan medianya, di sini, hari ini.

Mohd Azmi Abdul HamidBeliau berkata, tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut supaya kos sara hidup diturunkan.

Katanya, sudah banyak pengajaran dari negara di seluruh dunia apabila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban.

“Perkataan mengguling kerajaan dinafi penganjur perhimpunan dan siasatan dijalankan polis.

“Ternyata yang menjadi isu sekarang adalah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan,” katanya.

Katanya, adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan daripada maklumat tidak tepat dengan bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.

“Diharap, ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat supaya penyelesaian lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding berterusan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BN penakut, hidap penyakit fobia politik kronik

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 7 JAN: Keputusan Mahkamah Rayuan menolak pengharaman Bersih 3.0 bukti jelas bahawa rakyat tidak pernah menderhaka kepada kedaulatan dan undang-undang negara.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Azmi Abdul Hamid, berkata keputusan itu juga diharap dapat memberi mesej kepada kerajaan pusat supaya tidak berterusan menyekat suara rakyat yang dijamin perlembagaan.

Mohd Azmi Abdul HamidKatanya, BN sebagai sebuah kerajaan yang matang selama lebih setengah abad memerintah tidak harus cepat melatah dengan perhimpunan rakyat terutama jika dijalankan dalam suasana aman dan terkawal.

“Diharap selepas ini, kerajaan pusat jangan bertindak melulu, sebaliknya biarkan rakyat berhimpun menyatakan bantahan, cadangan dan kritikan kerana iatidak bertentangan dengan undang-undang negara.

“Kerajaan pusat sering dilihat cuba menimbulkan keadaan bahawa sesuatu perhimpunan bagi menyuarakan pandangan rakyat sebagai perbuatan yang salah dan berbahaya kepada negara.

“Perkara yang dibawa suara rakyat itu adalah isu penting seperti pilihan raya dan peningkatan kos hidup,” katanya yang dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang sebulat suara mengetepikan arahan Majistret Kuala Lumpur, Zaki Asyraf mengharamkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 2012 di bawah Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Linton Albert mempertimbangkan perintah arahan itu sebagai cacat, susulan rayuan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

Azmi juga menyifatkan BN menghidap penyakit fobia politik yang kronik apabila sering mengaitkan pergerakan rakyat sebagai agenda politik pembangkang.

“Mereka selalu sempitkan fikiran bahawa semua yang tidak sebulu adalah agenda politik pembangkang tetapi perkara itu adalah suara rakyat biasa yang adakala terdiri di kalangan ahli BN juga.

“Jika pimpinan sesebuah kerajaan takut sehingga sanggup menggunakan kuasa mereka menghalang hak rakyat meluahkan pandangan, kritikan mahupun bantahan, mereka sebenarnya tidak layak bergelar kerajaan lagi,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERNAS diswasta, harga beras bakal naik

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 18 NOV : Tindakan kerajaan pusat menswastakan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengancam kitaran sumber makanan utama negara dan menyebabkan harga beras pada kawalan syarikat yang memonopoli komoditi itu.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata tindakan penswastaan industri beras pada monopoli individu hanya mendedahkan harga beras kepada spekulasi yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Mohd Azmi Abdul HamidKatanya, kerajaan pusat perlu mempunyai kuasa dan kepentingan dalam industri utama negara khususnya makanan kerana ia adalahperkara asas rakyat Malaysia.

“Penswastaan ini satu perkara yang tidak patut berlaku dan kerajaan pusat perlu campur tangan serta memperbetulkan keadaan supaya tidak dibolot satu syarikat sahaja,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari yang didakwa mengambil alih sepenuhnya syarikat BERNAS untuk keuntungan peribadinya.

Anwar berkata, niat asal penubuhan BERNAS adalah untuk melindungi kepentingan petani dan pengedar Bumiputera sudah tersasar apabila kerajaan pusat membenarkan syarikat itu dimonopoli pihak tertentu.

Azmi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan harga beras akan meningkat seperti yang berlaku terhadap kenaikan harga gula sebelum ini.

“Apabila satu barangan komoditi dibolot sesebuah kartel atau syarikat besar, maka ia akan terdedah kepada kenaikan kos kerana hanya mementingkan keuntungan.

“Kita tidak terkejut jika harga beras akan dipulangkan kepada pasaran untuk ditentukan harganya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pusat dibidas ketepikan Majlis Profesor Negara

Mohd Azmi Abdul HamidSHAH ALAM 26 SEPTEMBER : Kerajaan Pusat dibidas kerana mengenepikan Majlis Profesor Negara dan memberikan RM20.56 juta kepada firma asing untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid mempersoalkan mengapa firma McKinsey dipilih walhal MPN menghimpunkan ratusan sarjana pakar dari pelbagai bidang.

“Apakah mereka lebih rendah ilmunya untuk menjadi pemikir bagi melakar rancangan sistem pendidikan negara ini, lalu kita memerlukan orang luar untuk melaksanakan tugas ini?,” soal Mohd Azmi dalam kenyataan medianya.

Mohd Azmi berkata, kerajaan pusat perlu rasional dalam memilih dan meluluskan perkhidmatan perundingan terutama yang melibatkan syarikat perundingan luar negara.

“Kami mendesak kerajaan menghentikan amalan ini dan segala pelantikan perunding yang melibatkan projek dan khidmat kerajaan hendaklah diutamakan syarikat tempatan.

“Itu pun hendaklah dilakukan dengan telus dan dikawal selia dengan ketat supaya tidak berlaku penyelewengan dan pembaziran wang awam,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata tindakan mengambil firma asing itu menunjukkan Menteri berkenaan tidak mempunyai keyakinan kepada pakar dan pegawainya sendiri untuk menjalankan tugas.

“Mengapa perlunya Kementerian melantik perunding McKinsey dengan jumlah RM20 juta? Adakah ini ?berpatutan??,” soalnya dalam kenyataan media bersama.

Jelas mereka, sumbangan sebenar McKinsey ? yang bukan pakar dalam bidang pendidikan ? adalah tidak jelas kerana tidak disenaraikan langsung dalam laporan PPPM.

“Jika McKinsey tidak menyumbang dari segi input, adakah peranan mereka itu hanya sekadar menulis laporan sahaja?

” Tampaknya, jelas bahawa khidmat perunding McKinsey adalah tidak perlu, bukan sahaja dari segi input malah dari segi penyediaan laporan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gagal Beri Penjelasan Wang Haram RM200 Bilion, Menteri Perlu Letak Jawatan

Duit_contoh_selangorku

SHAH ALAM,19 DIS : Menteri Kewangan perlu menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 yang meletakkan negara di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan.

“Ini adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh dari Menteri Kewangan.

“Di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Azmi dalam kenyataan medianya.

Beliau menjelaskan, laporan dari badan badan pemantau – Global Financial Integrity (GFI) dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal menyatakan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

“Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

“Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan Mexico, AS$476 bilion,” katanya.

Tegas Azmi, ekonomi negara mengalami kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak di atasi dengan tegas.

Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang berlaku tanpa kawalan.

“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram yang menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar,” ujar beliau.

Beliau berkata, Menteri Kewangan(Datuk Seri Najib Razak) harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini yang melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara .

“Jika Menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah ini maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompeten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara,” katanya.