Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Teras serah bayaran dividen bernilai lebih RM100,000

SHAH ALAM, 28 OKT: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) menyerahkan bayaran dividen, zakat perniagaan dan sumbangan wakaf bernilai RM116,550.25 semalam.

Dividen berjumlah RM53,550.25 diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) manakala RM38,000 (Lembaga Zakat Selangor) dan RM25,000 (Perbadanan Wakaf Selangor).

“Teras merupakan agensi Mais yang berperanan membangun, mengurus dan mengawal pembangunan usahawan asnaf Selangor.

“Semoga Teras terus menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menjadi contoh kepada agensi negeri ini,” menurut kenyataan Mais di Facebook.

Sementara itu, Mais memaklumkan Teras dengan kerjasama Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) memperuntuk RM1.4 juta untuk bantuan modal perniagaan kepada 651 usahawan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Setiap penerima bakal menerima suntikan modal sebanyak RM2,000, jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais terima dividen anak syarikat lebih RM50,000

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima bayaran dividen 2019 daripada anak syarikatnya, Teraju Ekonomi Asnf Sdn Bhd (Teras) berjumlah RM54,814.75 semalam.

Agensi berkata berdasarkan laporan dan penyata kewangan bertarikh 31 Disember 2019, Teras mencapai keuntungan bersih berjumlah RM219,259.

“Antara aktiviti perniagaan Teras adalah membekal hamper makanan kering program korporat, pakaian dan keperluan sekolah, tempahan jahitan baju korporat, baju melayu dan baju batik, perkhidmatan bimbingan jahitan serta kerjasama strategik dengan agensi korporat lain bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cek cura diserahkan Ahli Lembaga Pengarah Teras Datuk Bakhtiar Hussin kepada Pengerusi Mais Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS sumbang RM50,000 bantu usahawan asnaf

KLANG, 28 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam menyumbang RM50,000 kepada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) bagi membantu meningkatkan taraf hidup 10 usahawan asnaf.

Ketua Pegawai Korporat PKNS Siti Zubaidah Abd Jabar berkata sumbangan daripada zakat perniagaan bagi membeli dua jenis mesin jahit untuk asnaf memulakan perniagaan jahitan.

Siti Zubaidah Abd. Jabar

“Setiap seorang daripada mereka bakal menerima dua jenis mesin jahit iaitu mesin jahit lurus dan mesin jahit tepi serta ditawarkan kelas kemahiran menjahit selama enam bulan dengan pemantauan berterusan oleh Teras.

“Kita harap sumbangan kali ini membantu mengurangkan kekangan kewangan yang dihadapi asnaf. PKNS memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan menyantuni golongan ini melalui medium terbaik,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pakej Jahitan kepada Asnaf Fakir Miskin, di sini.

Siti Zubaidah turut berharap golongan asnaf mencari inisiatif lain yang ditawarkan pihaknya untuk menjana pendapatan dan tidak hanya tertumpu kepada kursus Teras.

Tahun lalu, PKNS menyumbang RM150,000 bagi pembelian 13 mesin vakum untuk pakej cucian fabrik.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MAIS terima dividen RM63,646.80 dari TERAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima bayaran dividen berjumlah RM63,646.80 daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd (TERAS) bagi tahun 2018 .

Serahan cek disampaikan Pengerusi TERAS, Dato’ Ibrahim Md Yusof kepada Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, di ibu pejabat MAIS baru-baru ini.

MAIS dalam kenyataan berkata, bayaran dividen itu adalah 20 peratus daripada keuntungan bersih yang dicatat TERAS sebanyak RM318,234.

“Keuntungan itu bagi akaun korporat berdasarkan Laporan Kewangan dan Penyata Kewangan Beraudit Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2018 berbanding dividen pada 2017 sebanyak 10 peratus daripada keuntungan bersih berjumlah RM16,719,” kata kenyataan itu.

Hadir sama, Pemangku Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar; Pengurusan Korporat, Mohd Farid Baharon Pengarah dan Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim

TERAS adalah anak syarikat di bawah MAIS yang beroperasi pada 2011 dengan menguruskan pembangunan usahawan asnaf dan latihan keusahawanan di samping menyediakan bantuan modal perniagaan serta peralatan kepada asnaf yang layak.

Categories
SELANGOR

TERAS peruntuk RM19.3 juta bantu 730 asnaf keluar kemiskinan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 OKT: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) mengagihkan bantuan modal perniagaan bernilai RM19.3 juta sejak 2013 hingga 2017 bagi membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengerusi Lembaga Pengarah TERAS, Datuk Ibrahim Yusof berkata, seramai 730 orang miskin di Selangor disahkan keluar daripada asnaf bagi tempoh lima tahun dan syarikat itu mensasarkan seramai 1,000 orang lagi bermula tahun ini.

“Pada hari ini kita bersama golongan yang mahu keluar daripada kepompong kemiskinan melalui bantuan disediakan TERAS dengan syarat mereka sendiri perlu berusaha untuk maju.

“TERAS akan membantu mereka dengan bantuan seperti modal, kenderaan dan lain-lain kepada mereka dianggarkan RM25,000 dibelanjakan TERAS untuk setiap peserta,” katanya pada Program Transformasi Usahawan Asnaf 2018 (TUAS) di Setia City Convention Centre (SCCC) di sini, semalam.

Ibrahim berkata, antara yang berjaya keuar daripada kepompong kemiskinan termasuklah seorang usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU), Zharfan Kamar yang kini mampu menjual kira-kira 1,000 cucuk sate sehari.

Katanya, Zharfan kini sudah mampu mengeluarkan zakat untuk membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.

Selain itu, Mohd Fauzi Mohd Aziz pula berjaya membuka perniagaan perkhidmatan mencuci kusyen kenderaan secara bergerak.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ancaman Melayu berpunca dari kepimpinan Melayu yang sekular dan korup

Oleh: Mohd Azmi Abdul Hamid

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menegaskan kesatuan Melayu hanya boleh diperkukuh dengan Islam. Seruan yang sekian lama diungkap supaya orang Melayu bersatu tidak berjaya direalisasikan adalah kerana kesatuan itu hanya diusulkan atas nama survival politik. Bukan diusul atas kepentingan mengembalikan maruah bangsa berdasarkan acuan Islam.

Rumusan Konvensyen Perpaduan Nasional kelmarin menyimpulkan bahawa perlu ada kerjasama politik antara parti untuk menyelamatkan Melayu. Didakwa orang Melayu akan menjadi senasib dengan Red Indian jika kesatuan parti politik Melayu tidak diusahakan.

10408729_962489640432343_1750493623587356472_nSoalnya jika kesatuan itu didasarkan kerana kebangsaan Melayu , maka nasib Melayu sebenarnya bakal menjadi seperti bangsa Arab bukan seperti Red Indian. Bangsa Arab enggan bersatu atas kepentingan Islam maka apa yang terjadi sekarang ialah porak-peranda di rantau Asia Barat.

Soalnya bukankah atas seruan yang sama selama ini , iaitu demi masa depan Melayu , gesaan Melayu bersatu kerap diutarakan, akan tetapi ternyata gagal. Malah sebaliknya berlaku , iaitu perpecahan bukan sahaja berlaku antara parti politik malah juga sesama kepimpinan politik dalam satu parti itu sendiri . Ini telah menyebabkan orang Melayu jadi lemah.

Akibat bangsa Melayu yang sekian lama diasuh menjauhkan diri dari Islam melalui sekularisasi , maka lahirlah Melayu yang sekularis dan Melayu yang korup. Walhasil , kesatuan bangsa tidak dapat dijayakan sebagaimana yang diharapkan kerana pemikiran dan budaya Melayu telah dirosak oleh unsur yang tidak selari dengan Islam , malah bertentangan dengan Islam.

Perhitungan bahawa orang Melayu akan menjadikan seperti Red Indian adalah penilaian yang silap yang bersifat “defeatist ” ( menyerah kalah tanpa berusaha ) . Melayu tidak akan senasib Red Indian jika kepimpinan Melayu tidak korup dan tidak menindas bangsa sendiri.

Sebenarnya kepimpinan Melayu itu sendiri yang menyebabkan bangsa menjadi terpinggir dek sifat rakus yang menguasai segelintir pemimpin yang mengatasnamakan perjuangan Melayu.

Sebagai contoh Melayu Pulau Pinang terpinggir bukan hanya disedari sekarang malah sejak puluhan tahun yang lalu lagi.

Demikian Melayu terpinggir di bandar-bandar seperti di Taiping , Ipoh , Kuala Lumpur , Petaling Jaya , Subang , Seremban , Batu Pahat , Muar , Johor Baharu dan Kuantan bukan sesuatu yang mengejutkan . Sudah lama Melayu tersisih akibat pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu sendiri.

Cukup dengan penyelewengan kuasa ditangan kepimpinan Melayu yang rakus, bangsa Melayu boleh menggadai tanah air , malah bangsanya sendiri . Bangsa Red Indian diusir dan dibunuh di Amerika oleh penceroboh kulit putih. Red Indian tidak dikhianati oleh pemimpin mereka sendiri. Mereka dizalimi oleh operasi genosid yang dilancar oleh bangsa kulit putih yang sangat rasis.

Namun bangsa Melayu telah dirosakkan sendiri oleh kepimpinan Melayu dengan menanam nilai hidup feudal serta menkondisikan mentaliti Melayu kepada hidup bergantung. Bangsa Melayu akhirnya menjadi hamba kepada golongan elit yang berkepentingan.

Akhirnya bangsa Melayu bawahan terpaksa menerima sikap hidup menyerahkalah dan tunduk kepada nasib mentimun iaitu ” menggolek luka , digolek juga luka “.

Melayu yang kritikal terhadap pemerintah yang menyalahguna kuasa sering dipandang serong , malah dihadapkan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan. Tidak sedikit memorandum dan tindakan mahkamah yang terpaksa diambil oleh pelbagai kelompok Melayu yang tertindas sepanjang 5 dekad sejak merdeka.

Pejuang-pejuang Melayu dalam pelbagai wadah termasuk politik , bahasa , tanah , petani, usahawan kecil , peneroka bandar , pendidikan , kebudayaan , kontraktor dan lain-lain menjadi mangsa kepada tindakan pemerintah yang mengguna berbagai kaedah yang mendera bangsa sendiri hanya kerana menzahirkan protes dan menuntut hak.

Melayu sendiri yang menjadi mangsa kepada kerakusan pemimpin yang berkepentingan peribadi sehingga sanggup mengguna kuasa politik untuk menganiayai bangsa sendiri.

Melayu yang diusir keluar dari perkampungan sendiri , dirampas tanah , dipindahkan , dibekukan jawatan , dipenjara , dinafi bantuan , diugut , ditarikbalik biasiswa , diperlaku seolah pendatang asing adalah antara rekod penindasan yang dilakukan oleh pemimpin Melayu sendiri.

Siapa yang menyebabkan tanah Melayu terlepas tangan dan tergadai ? Siapa yang menafi hak sekolah agama rakyat ? Siapa yang membunuh tulisan jawi ? Siapa yang melenyapkan sejumlah perkampungan Melayu ? Siapa yang mempersoalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Siapa yang mendewa-dewakan pendidikan Barat ? Siapa yang menafikan undang- undang syariah di daulatkan?

Ditambah lagi penyelewengan wang rakyat , pecah amanah dalam agensi Melayu , rasuah dan kecuaian dalam urustadbir , semua ini adalah dilakukan oleh kepimpinan dan petugas dikalangan orang Melayu sendiri.

Jika semua ini dijumlahkan kesannya maka tidak ada yang dapat menafikan pemimpin-pemimpin Melayu-lah yang menjadikan bangsanya senasib dengan kaum Red Indian .

Jadi , jika nasib orang Melayu mahu dijamin atas alasan ujudnya ancaman politik dari kaum lain , yang perlu diinsafi ialah , keperluan membersihkan kepimpinan Melayu itu sendiri , bukan hanya dengan menuding jari kepada kaum lain sampai bila-bila.

Teras berpandangan Perpaduan Nasional dalam masyarakat majmuk hanya boleh dicapaikan dengan prinsip kebenaran dan keadilan Islam.

Perkongsian kuasa berteraskan hak dan tanggungjawab antara kaum dengan mengutamakan sikap saling memahami dan menghormati antara satu sama lain boleh mengujudkan keharmonian yang sangat diperlukan untuk mengekalkan keamanan dalam negara.

Kerangka Perlembagaan Persekutuan yang disepakati perlu dimanfaatkan dengan semangat mengujudkan rakyat Malaysia yang menghormati perjanjian sosial yang selama ini dapat bertahan menjadikan Malaysia aman dan makmur.

Mempertajamkan sikap perkauman chauvinis akan hanya menyebabkan polarisasi kaum bertambah runcing. Membiarkan penyalahgunaan kuasa dan amalan korup dikalangan pemimpin mana-mana kaum akan menyumbangkan kepada keruntuhan dan kehancuran negara.

*Mohd Azmi Abdul Hamid adalah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras)

Categories
NASIONAL

BN penakut, hidap penyakit fobia politik kronik

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 7 JAN: Keputusan Mahkamah Rayuan menolak pengharaman Bersih 3.0 bukti jelas bahawa rakyat tidak pernah menderhaka kepada kedaulatan dan undang-undang negara.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Azmi Abdul Hamid, berkata keputusan itu juga diharap dapat memberi mesej kepada kerajaan pusat supaya tidak berterusan menyekat suara rakyat yang dijamin perlembagaan.

Mohd Azmi Abdul HamidKatanya, BN sebagai sebuah kerajaan yang matang selama lebih setengah abad memerintah tidak harus cepat melatah dengan perhimpunan rakyat terutama jika dijalankan dalam suasana aman dan terkawal.

“Diharap selepas ini, kerajaan pusat jangan bertindak melulu, sebaliknya biarkan rakyat berhimpun menyatakan bantahan, cadangan dan kritikan kerana iatidak bertentangan dengan undang-undang negara.

“Kerajaan pusat sering dilihat cuba menimbulkan keadaan bahawa sesuatu perhimpunan bagi menyuarakan pandangan rakyat sebagai perbuatan yang salah dan berbahaya kepada negara.

“Perkara yang dibawa suara rakyat itu adalah isu penting seperti pilihan raya dan peningkatan kos hidup,” katanya yang dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang sebulat suara mengetepikan arahan Majistret Kuala Lumpur, Zaki Asyraf mengharamkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 2012 di bawah Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Linton Albert mempertimbangkan perintah arahan itu sebagai cacat, susulan rayuan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

Azmi juga menyifatkan BN menghidap penyakit fobia politik yang kronik apabila sering mengaitkan pergerakan rakyat sebagai agenda politik pembangkang.

“Mereka selalu sempitkan fikiran bahawa semua yang tidak sebulu adalah agenda politik pembangkang tetapi perkara itu adalah suara rakyat biasa yang adakala terdiri di kalangan ahli BN juga.

“Jika pimpinan sesebuah kerajaan takut sehingga sanggup menggunakan kuasa mereka menghalang hak rakyat meluahkan pandangan, kritikan mahupun bantahan, mereka sebenarnya tidak layak bergelar kerajaan lagi,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

10 NGO Islam Gesa Rakyat Tolak Politik Lucah, Samseng Dan Rasuah

politik lucah 01

SHAH ALAM, 12 APRIL : 10 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam utama negara ini menggesa rakyat menolak sama sekali amalan politik lucah yang cuba dijadikan sebagai alat untuk mencari populariti politik dalam jangka pendek.

Dalam kenyataan media bersama itu NGO-NGO Islam memandang berat perbuatan mencipta video lucah, mempertontonkan bahan-bahan tersebut serta melakukan pertuduhan zina ke atas seseorang sewenang-wenangnya di khalayak ramai.

“Umat Islam perlu mengelakkan implikasi ini dengan menolak amalan politik keji ini serta tidak bersubahat mengembangkan mana-mana dakyah berkaitan dalam mana-mana saluran media,” kata kenyataan media bersama itu.

NGO-NGO Islam itu juga menyatakan pendirian agar umat Islam di negara ini rakyat menolak budaya politik fitnah dalam amalan demokrasi di negara ini.

“Walaupun demokrasi membuka ruang seluas-luasnya untuk semua warga mengekspresikan pandangan serta kritikan, demokrasi tidak seharusnya dicemari dengan amalan fitnah yang keji serta akan hanya mencemarkan kehormatan dan kesucian akal fikiran manusiawi.

“Seharusnya rakyat ditampilkan dengan pilihan politik secara sihat berupa manifesto serta hujah-hujah politik yang rasional serta memenuhi tuntutan asasi rakyat,” kata mereka.

Mereka juga menyeru umat Islam untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah serta peras ugut daripada dikenakan ke atas rakyat.

“Kami khuatir amalan rasuah dan peras ugut ini akan terus membelenggu umat Islam dalam ikatan kemiskinan sekiranya ia terus berleluasa.

“Amalan-amalan tersebut adalah bentuk penjajahan baru yang menafikan hak para pengundi untuk mendapatkan apa yang terbaik ke atas diri mereka,” kata mereka.

NGO-NGO tersebut terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan PRIHATIN, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Persatuan Hafiz Malaysia (PAHAM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Turut sama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama? Malaysia (PUM), Sekretariat Himpunan Ulama? Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: TERAS Gesa KDN Dan PDRM Bertanggungjawab

SHAH ALAM, 11 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera bertanggungjawab terhadap keganasan pihak polis mengawal Himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu yang dihadiri lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, tindakan pihak polis menggunakan kekerasan melampau kepada peserta himpunan Bersih 3.0 adalah sebagai suatu tindakan tidak bermoral dan di luar tamadun kemanusiaan.

“Saya minta KDN dan PDRM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan dilakukan oleh polis sewaktu himpunan Bersih lalu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Katanya, pihak polis mengambil jalan mudah dengan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta Bersih 3.0 yang juga dihadiri oleh warga tua dan wanita.

“TERAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis ke atas orang awam termasuk petugas media dan ternyata mereka gagal mengawal keadaan himpunan yang berlangsung secara aman pada mulanya.

” Himpunan BERSIH 3.0 adalah himpunan aman yang sengaja dicemari bagi menghalalkan penangkapan dan meletakkan segala kesalahan kepada rakyat dan bukan kepada pihak polis,” jelasnya.

Sabtu lalu, keadaan himpunan BERSIH 3.0 terkawal sehingga dicemari provokasi pihak polis berpakaian biasa serta insiden ganas pihak polis memukul petugas media dan orang awam.

Walaupun media milik kerajaan cuba menyalahkan orang ramai namun pelbagai saluran media alternatif serta internet turut memaparkan pelbagai keganasan yang dilakukan pihak polis.

Selain itu, TERAS mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) meletakkan jawatan kerana matlamat yang dibawa Bersih 3.0 gagal diambil tindakan sewajarnya oleh SPR.

“Mereka ini adalah orang yang diberi amanah untuk memastikan perjalanan pilihanraya berlaku secara adil dan bersih namun tidak mustahil SPR gagal berfungsi membersih daftar pemilih disebabkan mereka ini adalah ahli Umno sebagaimana didedahkan sebelum ini.

“TERAS juga menggesa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan kerana terbukti jahil berkaitan isu senarai nama pengundi yang meragukan Ssehingga menyebabkan rakyat terpaksa berhimpun memprotes sebagaimana himpunan BERSIH lalu,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: TERAS Gesa KDN Dan PDRM Bertanggungjawab

SHAH ALAM, 4 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera bertanggungjawab terhadap keganasan pihak polis mengawal Himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu yang dihadiri lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, tindakan pihak polis menggunakan kekerasan melampau kepada peserta himpunan Bersih 3.0 adalah sebagai suatu tindakan tidak bermoral dan di luar tamadun kemanusiaan.

“Saya minta KDN dan PDRM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan dilakukan oleh polis sewaktu himpunan Bersih lalu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Katanya, pihak polis mengambil jalan mudah dengan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta Bersih 3.0 yang juga dihadiri oleh warga tua dan wanita.

“TERAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis ke atas orang awam termasuk petugas media dan ternyata mereka gagal mengawal keadaan himpunan yang berlangsung secara aman pada mulanya.

” Himpunan BERSIH 3.0 adalah himpunan aman yang sengaja dicemari bagi menghalalkan penangkapan dan meletakkan segala kesalahan kepada rakyat dan bukan kepada pihak polis,” jelasnya.

Sabtu lalu, keadaan himpunan BERSIH 3.0 terkawal sehingga dicemari provokasi pihak polis berpakaian biasa serta insiden ganas pihak polis memukul petugas media dan orang awam.

Walaupun media milik kerajaan cuba menyalahkan orang ramai namun pelbagai saluran media alternatif serta internet turut memaparkan pelbagai keganasan yang dilakukan pihak polis.

Selain itu, TERAS mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) meletakkan jawatan kerana matlamat yang dibawa Bersih 3.0 gagal diambil tindakan sewajarnya oleh SPR.

“Mereka ini adalah orang yang diberi amanah untuk memastikan perjalanan pilihanraya berlaku secara adil dan bersih namun tidak mustahil SPR gagal berfungsi membersih daftar pemilih disebabkan mereka ini adalah ahli Umno sebagaimana didedahkan sebelum ini.

“TERAS juga menggesa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan kerana terbukti jahil berkaitan isu senarai nama pengundi yang meragukan Ssehingga menyebabkan rakyat terpaksa berhimpun memprotes sebagaimana himpunan BERSIH lalu,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

TERAS: PTPTN Wajar Dihapus

SHAH ALAM, 24 APRIL : Cadangan Pakatan Rakyat menghapuskan skim pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berjaya mengambil alih kerajaan selepas pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan datang dilihat sebagai suatu yang rasional untuk dilaksanakan.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata dalam suasana ekonomi negara yang semakin berkembang tidak sewajarnya disertai dengan amalan ketirisan yang semakin membumi dikalangan pemimpin kerajaan.

Menurut Azmi, hasil negara itu sewajarnya disalurkan untuk memberi hak pendidikan percuma dengan menghapuskan skim pinjaman yang membebankan anak muda.

“Kini keadaan ekonomi sudah berubah, walaupun tidak seperti apa yang diharapkan sekurang-kuranngnya keadaan ini memungkin kerajaan untuk bersikap cermat dan cekap dalam menguruskan kewangan negara.

“Malangnya, itu semua tidak dilakukan sebaliknya pemborosan dan ketiriasan dana rakyat semakin parah sekaligus membataskan mereka (kerajaan) untuk membiayai pinjaman pelajaran ini,”ujarnya ketika dihubungi TVSelangor.

14 April lalu, kerajaan berdepan dengan kebangkitan rakyat khususnya anak muda yang mengambil jalan untuk berdemonstrasi di ibu negara bagi mengkritik kegagalan kerajaan menjaga kebajikan dan hak mereka.

Gerakan rakyat itu juga mendesak supaya pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat.

Mereka juga sebulat suara melontarkan pendirian bahawa pendidikan adalah milik semua dan bukan untuk diperdagangkan.

Mengulas lanjut berhubung kebangkitan rakyat, Azmi berkata ia adalah suatu yang membanggakan kerana rakyat hari ini sudah berani bangkit bersuara setelah sekian lama ditindas.

Menurut Azmi, PRU-12 adalah bukti bahawa kebangkitan rakyat telah membuahkan hasil dengan menyaksikan perubahan dalam lanskap politik negara.

“Yang takut pada perubahan adalah BN dan bukannya rakyat.

“Rakyat sentiasa berusaha untuk mengubah tetapi mereka (BN) memgambil langkah menyuntik perasaan fobia kepada rakyat untuk membataskan cubaan itu,”jelasnya.

Categories
NASIONAL

Teras: Rakyat Tiada Pilihan Selain Gerakkan BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 APR : Rakyat di negara ini tidak mempunyai pilihan selain menyertai BERSIH 3.0 sebagai suatu suara sepadu rakyat selain memberi tekanan kepada kerajaan supaya di adakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Selama ini peranan yang telah diberikan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mewujudkan pilihanraya yang adil telah gagal dilaksanakan kerana terdapat banyak campurtangan politik di pihak kerajaan Umno-BN.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (TERAS), Azmi Hamid berkata, Perhimpunan Bersih 3.0 ini amat relevan dilaksanakan kerana Malaysia adalah negara demokrasi dan rakyat menuntut suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih daripada segala penyelewengan.

“Malaysia telah dalam proses untuk menjadi sebuah negara yang demokrasi dan sudah tentunya mahukan sistem yang terbaik dalam pilihanraya kerana pilihanraya adalah satu rukun dalam konsep demokrasi,” ujar Azmi ketika di hubungi MediaSelangor.

Selain itu katanya, Bersih 3.0 diharap memberi kesan yang diharapkan dan diambil perhatian yang serius oleh Kerajaan Pusat dan SPR kerana sudah banyak hal-hal membuktikan adanya perkara yang tidak lancar dan penyelewengan yang akan mencacatkan pilihanraya akan datang.

Pada 28 April ini BERSIH 3.0 akan di adakan di Dataran Merdeka yang bermotokan “Duduk dan Bantah” yang akan diketuai Sastrawan Negera, A Samad Said.

Berhubung himpunan BERSIH 3.0, Azmi berkata kerajaan dan SPR seharusnya lebih peka dengan tuntutan dan kehendak rakyat dan bukannya menghukum rakyat yang mahukan perubahan dan ketelusan dalam pilihanraya.

“Pengundi muda  yang mempunyai akses maklumat yang lebih terperinci akan menjadi tunjang BERSIH 3.0 kerana mereka mahukan undi mereka dihormati dan bersih dari segala penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.

“Kita mendapat maklumbalas dari pengundi-pengundi muda yang mahukan suatu sistem pilihanraya yang adil dan bersih kerana terdapat banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan oleh SPR,” jelas Azmi.

BERSIH 3.0 dilancarkan ekoran kegagalan laporan jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya yang didakwa tidak menunjukkan komitmen untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih seperti mana yang dituntut BERSIH 2.0 sebelum ini.

BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lalu menuntut lapan perkara. Antaranya: membersihkan sistem pilihan raya, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor.