Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Delegasi DNJ kunjungi DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JUL: Dewan Negeri Selangor (DNS) bersedia berkongsi pengalaman dengan Dewan Negeri Johor (DNJ) dan dewan negeri-negeri lain bagi meningkatkan lagi demokrasi di negara ini.

Speaker DNS, Ng Sue Lim berkata, DNS amat berbesar hati menerima kunjungan hormat delegasi DNJ yang diketuai Speakernya, Suhaizan Kayat.

“DNS menerima kunjungan hormat delegasi Speaker DNJ pertama bagi Penggal ke-14 ini yang diketuai Suhaizan Kayat bersama Timbalannya Gan Peck Cheng dan juga juru tulis Subanah.

“Terima kasih atas kunjungan ini dan memilih DNS sebagai dewan yang pertama untuk dikunjungi, ia sangat bermakna kerana DNS terkenal dengan komitmen serta usaha reform dan pembaharuan dewan berbanding semua dewan-dewan negeri lain hatta di peringkat Parlimen sekalipun,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Sue Lim berkata, antara pembaharuan DNS yang menarik perhatian delegasi terbabit seperti masa dan ruang perbahasan terbuka luas untuk penyokong kerajaan dan pembangkang.

Katanya, DNS juga mewujudkan jawatankuasa pilihan khas yang baru dan juga jawatankuasa kebertanggungjawaban dan keteleusan (SELCAT).

Katanya, kemampuan DNS memastikan doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, legaslatif dan perundangan berjalan lancar turut menarika perhatian banyak pihak.

Sementara itu, Timbalan Speaker DNS, Mohd Khairuddin Othman berkata, pada pertemuan itu kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai pandangan dan pendekatan perjalanan dewan masing-masing.

“DNS telah meletakan penanda aras yang tinggi dalam pengendalian perjalanan institusi legislatif di negeri.

“DNJ dan DNS akan terus bertukar idea dan pandangan pada masa hadapan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Guru juga berperanan tegur wakil rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 4 JUL: Peranan guru-guru bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah semata-mata tetapi turut memainkan peranan penting dalam masyarakat termasuk memberi teguran kepada wakil rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal ini kerana guru merupakan golongan dihormati dalam masyarakat termasuk wakil rakyat sendiri.

“Wakil rakyat berperanan membawa semua isu rakyat kepada kerajaan dan guru pula mempunyai peranan dalam mendidik masyarakat termasuk menegur segala kelemahan wakil rakyat,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Sekolah Menengah Agama Paya Jaras di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu pembangunan sekolah agama, Mohd Khairuddin yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor menggesa supaya Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan memperkasakan sekolah agama di negeri itu.

Katanya, walaupun sebelum ini banyak usaha dijalankan Kerajaan Negeri tetapi masih terdapat sekolah agama yang masih ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya membabitkan pembangunan prasarana.

Categories
SELANGOR

Rekod MB jaga kebajikan rakyat beri kesan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 JUN: Pendirian Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mementingkan kebajikan rakyat sebagai dasar Kerajaan Negeri turut memberi kesan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN).

ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, Dato’ Menteri Besar itu antara pemimpin yang berani memperuntukan perbelanjaan besar demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Konsep kebajikan seperti disebut, iaitu lebih banyak beri kepada rakyat lebih banyak pendapatan negeri bertambah, termasuk rizab negeri.

“Pendirian beliau ini memberi kesan kepada wakil rakyat dan kita sangat berbesar hati,” katanya pada Program Ihya Ramadan ZYQ 2018 bersama anak yatim, di Rumah Kasih Harmoni, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Mohamed Azmin mendorong turut ADN Selangor lebih berusaha meningkatkan kebajikan rakyat, di kawasan masing-masing.

Katanya, usaha itu turut memberi kesedaran kepada sektor swasta untuk terbabit lebih aktif memberi sumbangan kepada golongan memerlukan.

Terdahulu ZYQ Engineering meraikan penghuni Rumah Kasih Harmoni dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan hari raya.

Categories
SELANGOR

‘Made in Paya Jaras’ berniaga secara percuma

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 28 MEI: Pengusaha produk kecil-kecilan dipelawa menyertai Karnival Jualan Kuih, Biskut & Baju Raya ‘Made In Paya Jaras’ yang bakal berlangsung, pada 31 Mei hingga 14 Jun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Khairuddin Othman berkata, penyertaan program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Paya Jaras itu adalah percuma, dengan penyediaan kelengkapan asas seperti bekalan elektrik, meja dan khemah.

“Karnival pertama kali diadakan ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan rakyat setempat bagi menyambut Aidilfitri dengan membantu mempromosi barangan hasil tangan orang Paya Jaras.

“Kami sediakan 40 tapak dan setakat ini sambutan sangat baik tetapi perlulah melalui pengeluar produk itu sendiri sahaja, bukan orang tengah atau pemborong,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, tawaran berniaga secara percuma itu dibuka khusus untuk warga Paya Jaras sama ada ibu tunggal, perseorangan atau keluarga yang mengusahakan produk sendiri secara kecil-kecilan.

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan produk terbabit diusahakan sendiri.

“Masih terdapat beberapa tapak kosong yang boleh ditempah. Jika ada yang berminat boleh hubungi talian 018-2714791,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sekolah baru untuk anak-anak Paya Jaras

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman optimis merealisasikan hasrat penduduk memiliki sebuah sekolah baru di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Komitmen itu dinyatakan sebagai asas agenda utama kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

Untuk itu beliau memaklumkan, keperluan menyiapkan sekolah itu akan diusulkan ke Peringkat Persekutuan, dalam tempoh terdekat.

“Agenda pertama Putrajaya (meliputi) aspek pendidikan. Kita akan usulkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) untuk menyiapkan segera Sekolah Kebangsaan di Saujana Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya, semalam.

Dilaporkan, kepadatan jumlah pelajar di DUN itu tidak lagi mampu menampung kepadatan penambahan pelajar-pelajarnya.

Komitmen wakil rakyat itu, bagaimanapun mendapat maklum balas positif daripada pengguna media sosial.

Rata-rata, mereka menyambut baik usaha itu demi kelangsungan pendidikan anak-anak di Paya Jaras.

“Sokong YB (Yang Berhormat). Kami tak sabar atas segala pembaharuan dan perubahan itu agar membawa kepada yang lebih cemerlang,” tulis Zyreen Yusof.

“Tahniah. Moga dipermudahan segala urusan,” kata Mohd Rafiz.

Categories
SELANGOR

Khairuddin: Rakyat Paya Jaras restui penghijrahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan kejayaan beliau mempertahankan kerusi itu kerana pengundi merestui langkah beliau berhijrah ke parti KEADILAN.

Mohd Khairuddin berkata, beliau bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, malahan berjaya meningkatkan majoriti pada PRU14 kali ini.

“Ini menunjukkan rakyat tak kisah saya bertanding atas tiket parti apa tetapi apa yang penting saya mampu berkhidmat kepada masyarakat di sini,” katanya.

Jelasnya, selain itu, kekuatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin yang peduli rakyat turut membantu beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zein Isma Ismail dan calon PAS, Hanafi Zulkapli.

Beliau turut menyifatkan langkah Mohamed Azmin memperkukuh dan memperluaskan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebagai garis panduan kerja ADN untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Apabila IPR diturunkan kepada ADN, mereka perlu buat program untuk pastikan kumpulan sasaran terima inisiatif sekali gus menunjukkan hala tuju kepada setiap ADN di Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Khairuddin diumumkan menang di kerusi Paya Jaras dengan majoriti 12,072 undi berbanding 5,522 pada PRU-13.

Categories
SELANGOR

Suara rakyat tak sampai jika pilih ‘kaki kipas’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 MEI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras diingatkan supaya tidak memilih calon ‘kaki kipas’, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Calonnya, Mohd Khairuddin Othman berkata, pemimpin yang mengamalkan kaedah itu tidak akan memperjuangkan suara rakyat, sebaliknya lebih berminat menjaga kepentingan masing-masing.

“Kalaulah kaki kipas, suara rakyat tak akan sampai ke atas tetapi saya berucap dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) sehingga Dato’ Menteri Besar kata saya ini kadang-kadang bunyinya macam pembangkang, kadang-kadang macam kerajaan.

“Walaupun kita dalam kerajaan tetapi kita sedia perjuangkan suara rakyat Paya Jaras,” katanya pada program ceramah kelompok di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, malam tadi.

Katanya, antara pembangunan yang berjaya diperolehi untuk masyarakat Paya Jaras adalah Stadium Mini Paya Jaras, laluan alternatif menghubungkan Kampung Seri Indah ke tol projek Lebuhraya Utara Selatan, pasar bertingkat, pembesaran Sungai Chemubong, Kampung Bahagia Bukit Lagong dan jalan alternatif Bandar Baru Sungai Buloh.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Paya Jaras bagi penggal 2013 hingga 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM150 juta untuk pembangunan lebih 20 infrastruktur di kawasan memerlukan.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin turut mengingatkan pengundi di Paya Jaras supaya tidak tersilap memilih calon yang hanya turun padang lima tahun sekali untuk meraih undi.

Categories
SELANGOR

Cuba dapat nama tiru manifesto

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 MEI: Tidak cukup meniru manifesto di peringkat nasional dan negeri, Datuk Zein Isma Ismail juga meniru manifesto dibentangkan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, tindakan calon Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja membuktikan parti berkenaan ketandusan idea, malah cuba mendapat nama atas usaha dijalankannya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri kawasan itu.

“Dalam manifestonya, dia kata akan laksanakan projek pasar bertingkat sedangkan cadangan itu saya usahakan semasa penggal lalu lagi dan sudah diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Tiba-tiba dalam manifestonya juga nak bina pasar bertingkat sama seperti salah satu dalam manifesto saya, BN ini bukan sahaja tandus idea tetapi tidak tahu malu,” katanya dalam ceramah kelompok di Kampung Melayu Sungai Buloh, di sini, malam tadi.

Mohd Khairuddin berkata, projek itu akan dijalankan sebaik sahaja satu pendengaran awam dijalankan kerana membabitkan kawasan lapang berhampiran tapak projek dirancang.

Katanya, projek pasar bertingkat itu mengambil konsep seperti pasar Siti Khadijah, di Kelantan yang dibina bagi mengatasi kesesakan lalu lintas ekoran tapak pasar malam berhampiran jalan utama Kepong ke Kuala Selangor.

“Pasar malam ini diadakan tiga kali seminggu dan menyebabkan kesesakan kadangkala hingga ke pasar raya The Store,” katanya.

Categories
SELANGOR

Khairuddin perhebat kempen gempur kubu BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Tidak mahu terlalu selesa, calon DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menggandakan kempen bagi mempertahankan kerusi dimenanginya, pada 2013 lalu.

Katanya, pada masa ini beliau dan jentera kempennya mempergiatkan kerja menggempur sisa-sisa kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan Paya Jaras.

“Saya dan jentera sedang melipat gandakan menggempur kawasan kubu kuat Umno dengan sambutannya sangat baik dan malam tadi saya juga turun ke Saujana Utama yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

“Walaupun saya yakin kita boleh menang tetapi kita tidak mengambil mudah atau terlalu selesa sebab itulah kami menggandakan kempen,” katanya ketika ditemui SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga turun di beberapa kubu BN yang tidak dapat ditembusi, pada pilihan raya umum lalu seperti Kampung Paya Jaras Hulu dan Kampung Kubu Gajah.

Khairuddin berkata, jadual kempennya pada hari ke-10 juga semakin padat dengan pelbagai program seperti bertemu pengundi dan ceramah.

“Semasa kempen PRU lalu, kami tak dapat masuk ke beberapa kawasan kerana sentimen Umno yang kuat tetapi hari ini kami diberikan sambutan hebat di semua kawasan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Khairuddin pegang teguh mandat rakyat jika menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Penyandang kerusi DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berikrar akan mempertahankan mandat diberikan rakyat jika sekali lagi diberi kepercayaan, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, selain memegang prinsip tidak mengkhianati mandat rakyat, beliau juga mempunyai keyakinan besar terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Inilah sebabnya saya memilih untuk bersabar dan hanya mengumumkan menyertai KEADILAN apabila Parlimen dan Dewan Negeri Selangor dibubarkan kerana pertahankan prinsip ini.

“Jika saya menang, saya akan kekal dalam KEADILAN dan tidak akan khianat kepada mandat rakyat serta parti,” katanya pada Program Bicara 10 Janji 100 Hari di Taman Saujana di sini, malam tadi.

Khairuddin berkata, antara faktor utama keyakinan beliau ekoran Kerajaan Negeri pimpinan Mohamed Azmin mempunyai keupayaan tinggi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, KEADILAN turut mempunyai hala tuju jelas dalam misi menawan Putrajaya.

“Kalau nak jadi pembangkang jadi pembangkang betul-betul, kalau nak jadi kerajaan, sokong kerajaan betul-betul bukannya goyang tanpa haluan jelas,” katanya.

Categories
SELANGOR

Khairuddin sarapan bersama pesakit kusta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 MEI: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman memperhebatkan kempen hari ke lapan bagi mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2013.

Aktiviti kempen beliau hari ini dimulakan dengan program bersarapan pagi bersama pesakit kusta di Pusat Kawalan Kusta Sungai Buloh.

Dalam program itu, Mohd Khairuddin menyantuni hampir 100 pesakit kusta dan bekas pesakit kusta yang terdapat di situ.

Selain itu, Mohd Khairuddin juga dijadualkan memenuhi 13 lagi program sepanjang hari ini.

Antaranya, pertandingan futsal di padang Masjid Saujana Utama, Bazar Peduli Rakyat di Padang Surau Kasaniah, Paya Jaras Dalam, menziarahi mangsa ribut di Paya Jaras Hilir, menghadiri Kejohanan Liga ADN Paya Jaras, Perlawanan Persahabatan Sepak Takraw, Program Santai Bersama Belia India di Dewan Meranti, Ceramah Umum di Bilik Gerakan Sungai Pelong dan Kampung Melayu Subang serta pelbagai program lain.

Mohd Khairuddin turut meneruskan tradisinya sejak 2010 dengan memenuhi tidak kurang lima undangan ke majlis perkahwinan dan kenduri sempena menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi.

Terdahulu, kehadiran Mohd Khairuddin di program-program kempennya mendapat sambutan penduduk setempat ekoran sikap beliau yang mesra rakyat.

Selain mudah didekati, Mohd Khairuddin juga terkenal dengan sikap mengambil berat terhadap masalah dihadapi penduduk di situ.

Categories
SELANGOR

Khairuddin lancar ‘gencatan senjata’ hadiri upacara pengkebumian

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 4 MEI: Calon DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman melancarkan ‘gencatan senjata’ kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selama beberapa jam, pagi tadi bagi menghadiri majlis pengkebumian seorang penduduk di Lorong 1, Kampung Merbau Sempak.

Sejak beliau menyandang kerusi DUN Paya Jaras pada 2013, menghadiri upacara pengkebumian jika dimaklumkan bagi menyantuni keluarga si mati menjadi rutin baginya.

Malah, tugas memikul keranda yang dilakukan Mohd Khairuddin bukanlah pemandangan luar biasa bagi sesetengah masyarakat, di situ khususnya petugas pengurusan jenazah, di Paya Jaras.

Selain majlis pengkebumian masyarakat Islam, SelangorKini difahamkan Mohd Khairuddin juga jarang menolak undangan ke majlis kecil seperti kenduri tahlil dan seumpamanya jika mendapat jemputan.

Sikap mesra rakyat dan merendah diri yang ada pada Mohd Khairuddin menyebabkan beliau disenangi masyarakat setempat.

Sebelum ini, beliau juga sudah beberapa kali membatalkan kehadirannya ke program kempen bagi menghadiri upacara kematian di kawasan yang diwakilinya sejak 2013 itu.