Categories
ADN SELANGOR

Ikut garis panduan keselamatan elak jejantas runtuh

KLANG, 25 OKT: Insiden jejantas runtuh di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Klang, di sini, malam tadi boleh dielakkan jika pembangunan infrastruktur dijalankan mengikut garis panduan keselamatan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sikap mengutamakan keselamatan perlu menjadi amalan dan budaya masyarakat di negara ini.

“Saya merasa sedih dengan kejadian yang berlaku ini dan hampir membabitkan nyawa.

“Pemandu yang terhempap jejantas terpaksa bertarung nyawa hampir enam jam sebelum pihak bomba dan kontraktor dapat melepaskannya dari tersepit di ruangan kokpit yang remuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zawawi berkata, nilai kerugian ekoran kejadian yang dipercayai akibat dirempuh sebuah lori itu dianggarkan lebih RM500,000.

“Jejantas yang baharu siap dibina ini masih belum dibuka dan dijangka digunakan menjelang awal tahun hadapan.

“Ia amat penting untuk kegunaan pelajar sekolah melintas jalan dengan selamat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kejadian seumpama itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil enteng dalam soal keselamatan awam membabitkan kerosakan harta benda serta nyawa manusia.

“Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi menyelamat terutama anggota bomba, kontraktor, polis, ambulan dan orang awam yang datang mendoakan supaya misi berjaya,” katanya.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, pemandu lori berkenaan terlupa menurunkan ‘bucket’ atau bahagian belakang untuk meletakkan muatan lori itu sehingga merempuh jejantas berkenaan.

Pemandu lori berusia 24 tahun itu dilaporkan tersepit di tempat duduk kenderaan dan runtuhan jejantas berkenaan sehingga cedera parah di kedua bahagian tangan serta kaki.

Bagaimanapun, pemandu terbabit berjaya dikeluarkan pada jam 2.30 pagi.

Categories
ADN SELANGOR

Kediaman musnah, ADN bantu mangsa kebakaran

SHAH ALAM, 3 OKT: Seramai 24 mangsa di Kampung Baru, Jalan Kebun, ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, semalam selepas kediaman masing-masing musnah dalam kebakaran.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kebakaran pada kira-kira jam 7 pagi itu meranapkan lima buah kedai dan tiga rumah penduduk.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor sudah membuat proses pendataan untuk tindakan lanjut.

“Antara kedai yang terbakar ialah bengkel motosikal serta kedai barangan kelengkapan haji dan umrah milik Pertubuhan Darus Solihin.

“Premis perniagaan ini salah satu punca pendapatan bagi menampung keperluan seharian pelatih serta penghuni di sana.

“Kebakaran begitu pantas dan bomba tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian dengan api dapat dikawal dari terus merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Kebun dan Masjid An Naim kini mengelolakan tabung bencana untuk membantu mangsa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Aqdun Mubarak ceriakan sambutan kemerdekaan 35 pengantin

GOMBAK, 31 OGOS: Sambutan Kemerdekaan kali ke-62 menjadi detik penuh bermakna buat 35 pasangan pengantin baharu apabila selamat dinikahkan pada majlis Aqdun Mubarak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, hari ini.

Dengan tema ‘Memeterai Kontrak Keberkatan Ilahi’, semua peserta Zon 1 itu terdiri daripada pasangan dari daerah Gombak, Petaling dan Hulu Selangor.

Majlis perasmian disempurnakan Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mohd Zawawi dalam ucapannya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan pasangan pengantin mendirikan rumah tangga.

Katanya, ia juga dapat menjauhkan diri daripada melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam.

“Saya melihat program ini amat baik kerana dapat membantu dan memudahkan masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Ini satu pendekatan teladan yang boleh mendidik masyarakat untuk melaksanakan konsep keutamaan dalam Islam sebenar,” katanya.

Mohs Zawawi Ahmad Mughni bersama 35 pasangan pengantin pada majlis Perasmian Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Aqdun Mubarak anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Masjid Al-Hidayah buat pertama kali tahun ini dan terbahagi kepada tiga zon.

Program sama akan dijalankan di dua zon lain iaitu di Masjid Puncak Alam dan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,000 untuk menyertai Aqdun Mubarak dengan syarat pasangan berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Program ini turut mendidik masyarakat khususnya ibu bapa supaya memudahkan urusan perkahwinan anak mereka dengan menekankan konsep keutamaan dalam Islam.

Categories
SELANGOR

Sambal tahun kulit lembu menu istimewa Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 JUN: Sambal tahun kulit lembu menjadi menu istimewa yang disediakan di Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, biarpun masakan Melayu menjadi hidangan yang sinonim dengan rumah terbuka, namun kali ini pihaknya turut menghidangkan masakan Jawa kepada pengunjung.

“Menu istimewa di rumah terbuka kali ini ialah menu Jawa. Kita menyediakan sambal tahun kulit lembu selain beberapa menu lain.

“Selain sambal tahun, kek tapai keju turut menjadi menu istimewa,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin, di sini.

Hadir sama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, lebih 3,000 penduduk sekitar hadir memeriahkan sambutan itu.

Aneka juadah tradisi lain seperti ketupat, lemang, rendang, sate, roti canai dan aneka mee disajikan kepada tetamu yang hadir bermula 11 pagi tadi.

Categories
SELANGOR

‘Bonceng YB’, sumbang bantuan Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Ramadan yang dirai dengan kesyukuran dan keinsafan menjadikan bulan ini cukup sinonim dengan sedekah bagi memberikan kegembiraan buat golongan kurang bernasib baik.

Meneruskan aktiviti amal jariah pada bulan mulia ini, Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jawa menyampaikan bantuan kepada 42 keluarga kawasan sekitarnya.

Menerusi ‘Bonceng YB, Ziarah Kasih Ramadan’, sumbangan berupa barangan keperluan asas dan duit raya dihulurkan kepada kumpulan sasar.

Bantuan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu, teh, kopi, kurma dan kuih raya di samping wang tunai RM80 untuk setiap keluarga.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, program berkenaan diadakan khusus mendekati serta membantu golongan yang kurang bernasib baik serta warga emas.

“Program ini bertujuan meringankan beban mereka bagi membuat persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba.

“Aktiviti ini juga komitmen secara berterusan pihak DUN untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan, di samping memberi peluang kepada penduduk untuk mendekatkan diri dengan pejabat khidmat.

“Malah, program yang dianjurkan ini juga menjadi platform kepada pihak kami untuk merapatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah bersama masyarakat setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama menyampaikan bantuan Ahli Majlis N49A Shah Alam dan Ketua Kampung Kg Jawa, Mohd Hafiz Anuar.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berharap menerusi program itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik.

Categories
SELANGOR

Tradisi rewang bubur lambuk diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MEI: Wanita Keadilan Kota Raja dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berjaya menganjurkan program Rewang Bubur Lambuk, di Bukit Naga, di sini.

Tradisi gotong royong menyiapkan juadah seperti amalan kenduri kendara di kampung itu bertujuan membangkitkan suasana meriah dengan pembabitan semua lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, seramai 40 penduduk sekitar menyertai aacara itu dengan mula memasak bubur lambuk seawal jam 8 pagi tadi.

“Kesinambungan tradisi ini perlu diteruskan. Oleh itu, kita mahu mereka bersama-sama dengan pimpinan untuk turun memasak bersama-sama.

“Ia juga bertujuan menyemarakkan lagi Ramadan selain dapat mengeratkan silaturahim antara pimpinan dan penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Zawawi berkata, program itu juga perlu diteruskan pada masa hadapan supaya budaya ‘merewang’ terus subur dan tidak dilupakan.

Menariknya kali ini, kaum wanita dikehendaki memakai kain batik sebagai tema pakaian pada program itu.

Malah, Zawawi turut berkesempatan mengajar kaum wanita menganyam pelbagai jenis ketupat antaranya ketupat sate, sintok, bawang dan kodok.

Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan Kota Raja, Siti Anum Tawil berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk berperisa ayam dan daging untuk diedarkan ke parlimen terbabit.

“Bagi bubur lambuk daging, kita akan edarkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Kota Kemuning. Manakala bubur lambuk ayam pula ke DUN Sentosa.

“Memasak bubur lambuk ini juga pada hari ini membabitkan kaum India. Inilah uniknya, cara kita mengeratkan silaturahim. Kita tidak meninggalkan mana-mana kaum,” katanya.

Beliau berkata, resepi bubur lambuk menggunakan rempah kurma itu juga direka sendiri oleh tukang masaknya.

 

Categories
SELANGOR

Anak yatim Institut Taufik Islami disantuni

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 28 APR: Persatuan Penduduk Pengkalan Damai Shah Alam menganjurkan Program Majlis Amal bersama Institut Taufik Islami di Jalan Kebun, semalam.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Traumatologi dan Perubatan Kecemasan Malaysia (MASTEM) itu diadakan bertujuan menyantuni lebih 80 anak yatim dan anak saudara baharu yang tinggal di institut terbabit.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu dimulakan dengan gotong royong membersihkan kawasan luar dan dalam institut.

Kemudian, mereka turut berganding bahu membina tandas baru serta mengecat kelas, asrama dan surau Institut Taufik Islami.

Perasmian program terbabit disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan gimik upacara penanaman pokok.

Diakhir program, pihak penganjur menyampaikan sumbangan hadiah dan duit raya kepada anak-anak institut itu serta menyambut ulang tahun kelahiran bagi mereka yang lahir pada bulan April.

Program itu ditaja oleh syarikat pembuat wafer silikon iaitu S.E.H Shah Alam Sdn Bhd.

Turut terlibat dalam menyumbang tenaga adalah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Kelab Mahasiswa Bimbingan & Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Categories
SELANGOR

Jadi contoh perkuburan bersih di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Penduduk di Kampung Johan Setia disaran menjaga kebersihan tanah perkuburan yang baharu diserahkan, dan menjadi contoh kepada tapak perkuburan lain.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu bagi mengubah persepsi masyarakat yang ‘ketakutan’ apabila melihat tanah perkuburan.

“Jika dahulu orang beranggapan kubur adalah tempat yang seram dan menakutkan, namun sekarang ia berjiran dengan penduduk.

“Sebagai contoh, tanah perkuburan ini berada dalam taman perumahan, oleh itu kita mahu penduduk menjaganya supaya sentiasa bersih dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Perkuburan Kampung Johan Setia daripada Majlis Perbandaran Klang kepada Jabatan Agama Islam Selangor, di tapak berkenaan, di sini hari ini.

Katanya, tanah perkuburan itu adalah yang keempat di kawasannya yang akan dilengkapi dengan angka giliran bagi setiap liang.

“Sistem nombor ini dilaksanakan seperti tanah perkuburan Bukit Naga yang menjadi projek perintis, pada 2016 dan kita akan laksanakan di tanah perkuburan ini, berbeza berbanding tanah perkuburan Jalan Kebun dan kawasan berdekatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut menasihatkan penduduk supaya menggunakan kemudahan disediakan di tanah perkuburan itu dengan sebaiknya.

“Dengan adanya kemudahan disediakan, penduduk boleh datang ke sini tanpa rasa takut, malah boleh melakukan aktiviti riadah, selain dapat mengingati kematian,” katanya.

Tanah perkuburan berkeluasan 10.4 hektar itu boleh memuatkan 4,500 jenazah, pada satu-satu masa mengikut kesesuaian di tapak, dengan kos RM2.19 juta.

FOTO OLEH REMY ARIFIN

Categories
SELANGOR

Projek alternatif Shah Alam-Banting siap Disember

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Projek membina jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting di Jalan Sungai Rasau 32/22 dijangka siap penghujung Disember ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, projek yang sepatutnya siap pada Disember tahun lalu mengalami kelewatan ekoran pengalihan utiliti dan masalah hakisan jalan.

“Saya sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri yang memaklumkan kelewatan projek itu dan peruntukan juga ditambah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tapak Perkuburan Kampung Johan Setia, di sini hari ini.

Beliau berkata, pembinaan projek berkenaan turut menyebabkan kejadian banjir kilat sehingga menjejaskan beberapa buah rumah jika hujan berlarutan.

“Saya menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah itu, namun saya berharap penduduk kawasan sekitar dapat bersabar dengan kelewatan projek ini,” katanya.

Projek yang bemula pada 18 Mac 2016 dengan kos RM43.38 juta itu membabitkan kerja naik taraf dua lorong kepada empat lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik, merangsangkan ekonomi, mengurangkan risiko kemalangan dan mengurangkan risiko banjir.

Selain itu, kerja menaik taraf longkang, jejantas, laluan pejalan kaki, persimpangan berlampu isyarat turut dilakukan serentak.

Categories
SELANGOR

Jadi mata dan telinga, lapor aktiviti pembakaran terbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 APRIL: Orang ramai digesa bertindak sebagai mata dan telinga kepada agensi kerajaan dalam melaporkan berkenaan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu bagi mengelakkan insiden kebakaran yang besar dan berpanjangan.

Beliau berkata, di kawasannya masih terdapat pemilik tanah atau kebun yang berdegil serta melakukan pembakaran terbuka.

“Pembakaran terbuka akan menjejaskan kesihatan terutama kepada pesakit asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, selesema dan batuk, kemusnahan habitat haiwan, hutan, pemanasan global dan jerebu.

“Oleh itu, selain melaporkan hal itu kepada jabatan bertanggungjawab, orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil dan tidak membakar sampah di rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gambut Trail Run #StopOpenBurning, di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Shafe’ee Yasin; Pengarah Urusan TNB Connaught Bridge Sdn. Bhd Klang, Muhammad Uzir Aspar dan Pengarah Samsung Electronics (M) Sdn. Bhd, Zulkifli Marsidi.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan tanah atau premis mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada dengan sengaja mahupun tidak.

Katanya, walaupun denda bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka itu tinggi, namun masih ada yang berdegil dan tidak takut melakukan kesalahan sama berulang kali.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mereka yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan, namun sikap pihak tidak bertanggungjawab itu seolah-olah tidak takut dengan hukuman yang bakal dikenakan,” katanya.

Gambut Trail Run itu diadakan di Johan Setia bersempena dengan kawasan tanah gambut mudah terbakar.

Penduduk kampung berkenaan adalah paling terkesan dengan pencemaran udara setiap kali musim panas dan kering akibat dari pembakaran terbuka.

Categories
SELANGOR

Kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia dilaksana

SHAH ALAM, 8 MAC: Kempen ‘Banteras Pembakaran Terbuka – Johan Setia’ dilaksana sebagai inisiatif mencegah berlakunya kejadian kebakaran ketika cuaca panas ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini kerana Johan Setia adalah kawasan kerap berlaku kebakaran hutan setiap tahun ketika negara berdepan cuaca panas.

Katanya, kempen itu dijalankan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan kerjasama Pejabat Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon Sungai Kandis B dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia.

“Menerusi kempen ini penduduk bertindak sebagai agen pemberi maklumat berkenaan kegiatan pembakaran terbuka secara ‘on the spot’ menggunakan kaedah laporan ‘STS – Snap, Tag & Send’ menerusi aplikasi Whatsapp.

“Dengan tiga langkah mudah ini, penduduk hanya perlu mengambil gambar pembakaran terbuka (snap) kemudian menanda lokasi Maps (tag) dan hantar (send) kepada nombor kordinator Unit Bertindak kempen ini yang akan dimaklumkan pada bahan kempen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pejabat Ahli Majlis Zon Sungai Kandis juga akan dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’ untuk kegunaan penguatkuasa MPK (Skuad Pantas) dan agensi lain yang turut terlibat dalam menjalankan operasi pemantauan, pencegahan dan pemadaman kebakaran.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

ADN lancar kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 7 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis melancarkan Kempen Banteras Pembakaran Terbuka Tanah Gambut Johan Setia bagi mengatasi masalah kebakaran, di kawasan itu.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kempen itu bagi membudayakan pembabitan penduduk dalam usaha melestarikan keindahan dan kesejahteraan kawasan tanah gambut.

“Pada masa sama, penduduk akan bertindak sebagai ejen pemberi maklumat berkenaan laporan pembakaran terbuka dan boleh melakukannya melalui kaedah laporan menggunakan aplikasi whatsapp sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kempen berkenaan turut mendapat kerjasama ahli majlis, Pejabat MPKK Kampung Johan Setia serta sokongan Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Kandis.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan kempen itu, pejabat Ahli Majlis Zon N49 juga akan dijadikan sebagai pusat ‘one stop centre’, selain melantik dua koordinator penyelaras aduan jika berlaku pembakaran terbuka.

“Diharapkan dengan pelancaran kempen ini, kegiatan pembakaran terbuka dapat dibanteras demi keselesaan rakyat khususnya di kawasan Johan Setia dan penduduk sekitarnya.

“Semoga kelestarian kawasan Sungai Kandis dapat dipelihara kerana kemakmuran rakyat menjadi agenda semua untuk kita lebih maju bersama,” katanya.