Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar desak menteri jelaskan pinjaman RM2.5 bilion kepada Genting HK

SHAH ALAM, 27 JAN: Menteri kewangan didesak menjelaskan pinjaman US$600 juta (RM2.51 bilion) tanpa jaminan kepada syarikat kapal persiaran Genting Hong Kong yang sudah muflis.

“Saya mendesak menteri kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong,” kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal bagaimana tiga bank utama di Malaysia, yang dimiliki syarikat pelaburan penting kerajaan, boleh memberi pinjaman “dengan sebegitu mudah”.

Beliau menuntut Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bagaimana pinjaman tersebut akan dibayar syarikat kapal persiaran itu.

“Bagi saya, penjelasan ini perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” katanya kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar merujuk skandal kewangan di Hong Kong yang membabitkan RM2.5 bilion pada 1982. Berita itu menggemparkan negara berikutan juruaudit Jalil Ibrahim dibunuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Maybank Berhad menafikan kewangannya terjejas akibat kemuflisan Genting Hong Kong, sementara RHB Bank pula menegaskan ia memiliki kecairan dan modal yang cukup.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10,000 individu muflis sejak PKP tahun lalu, kata PM

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Julai lepas susulan pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik data Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah individu paling tinggi diisytihar muflis iaitu seramai 2,555 orang, diikuti Wilayah Persekutuan (1,288 orang) dan 792 orang di Johor.

Selain itu, katanya jumlah syarikat yang gulung tikar sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 1,246 kes.

“MdI tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tempoh PKP memandangkan MdI hanya bertindak untuk mengendalikan pentadbiran kes kebankrapan individu dan pentadbiran kes syarikat yang telah mendapat perintah penggulungan daripada mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PAKATAN-Kepong) yang ingin tahu bilangan syarikat gulung tikar dan data pekerja diberhentikan bagi 2020 dan 2021 serta bantuan ekonomi khusus kepada pengusaha yang menamatkan perniagaan dan individu hilang pekerjaan dalam tempoh PKP.

Ismail Sabri berkata berdasarkan input Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus untuk peniaga yang menamatkan perniagaan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi bantuan dan insentif untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

“Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan dengan fokus untuk menyokong perniagaan mereka dan melindungi rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata antara inisiatif itu ialah Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah, pengecualian levi, moratorium pembayaran balik pinjaman, skim kredit mikro, elaun mencari pekerjaan, bantuan kehilangan pendapatan dan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bantuan khas Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak muflis, orang muda digesa tidak buat pinjaman peribadi, kad kredit

SHAH ALAM, 18 JUN: Kajian menunjukkan antara faktor kebankrapan terutama dalam kalangan anak muda adalah disebabkan pinjaman peribadi, kereta dan memiliki kad kredit.

Perunding Kewangan Firdaus Pay berkata keadaan itu berlaku kerana golongan terbabit hidup di luar kemampuan sehingga menjurus kepada kegawatan peribadi.

“Individu berumur 20 hingga 30 tahun paling berisiko muflis kerana ketika ini mereka baru bekerja, ada pendapatan dan mahu kenal dunia dengan merasa ada duit sendiri.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Masa inilah mahu cuba semua, nak beli semua dan memuaskan nafsu berbelanja. Kita sepatutnya hidup di bawah kemampuan dan elak hidup bermewah,” katanya menerusi temu bual secara langsung di Facebook Media Selangor pada Rabu.

Beliau menjelaskan dua bentuk pinjaman tersebut membebankan peminjam kerana mereka terpaksa menggunakan pendapatan sekarang untuk membayar hutang selain menjejaskan gaji bulanan.

“Contoh paling ketara ialah pinjaman peribadi, jika seseorang buat pinjaman RM50,000 selama 10 tahun. Kita dah guna wang tersebut untuk perbelanjaan tidak berfaedah tetapi kita masih membayar pinjaman selama 10 tahun.

“Begitu juga penggunaan kad kredit tanpa had. Contoh bank bagi had perbelajaan RM10,000 walaupun pendapatan kita tidak sampai jumlah tersebut,” katanya.

Graduan lulusan ijazah sarjana perakaunan forensik dan jenazah kewangan itu juga menyarankan individu berdepan krisis kewangan menggunakan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai langkah terakhir.

“AKPK akan membantu kita untuk urus kewangan dan dia akan berhubung dengan pihak bank untuk merendahkan komitmen bulanan kita.

“Bila kita sudah meminta pertolongan AKPK bermakna kita sudah gagal mengawal kewangan. Jika ada alternatif lain yang boleh kurangkan perbelanjaan, itu lebih baik,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 900 belia diisytihar muflis tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Seramai 945 golongan belia berumur antara 18 hingga 35 tahun diisytihar bankrap bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahaya.

Menurutnya, mengikut rekod di Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) terdapat lebih 100 kes kebankrapan yang direkodkan melibatkan mereka yang berumur 31 hingga 35 tahun.

“Bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, Mdl melaksanakan pelbagai program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang isu muflis seperti program bersama masyarakat dan Mdl Prihatin.

“Ia bagi menyampaikan maklumat, memberikan pendidikan dan mewujudkan kesedaran kepada orang ramai khususnya belia supaya perkara itu dapat ditangani di peringkat awal lagi. Ceramah, taklimat dan program kesedaran itu juga melibatkan agensi awam dan swasta, serta pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Paul Igai tentang jumlah belia yang disenaraikan sebagai bankrap dan langkah kerajaan dalam membantu mereka, yang berkemungkinan bankrap disebabkan Covid-19.

Selain itu, katanya kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengadakan program untuk memberi kesedaran tentang isu muflis.

Beliau berkata program itu melibatkan perancangan kewangan kepada semua golongan bagi membolehkan mereka yang terlibat dapat menangani masalah pengurusan kewangan di peringkat prakebankrapan.

“Program ini juga dapat membantu golongan belia untuk berbelanja dengan berhemah dan bijak dalam pengurusan kewangan bagi mengelakkan kemuflisan disebabkan Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

BN muflis idea cari sumber baru

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) muflis idea untuk mencari sumber pendapatan baru bagi menampung hutang dan perbelanjaan negara yang semakin meningkat.

Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat hanya mampu memikirkan jalan mudah melalui langkah memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menyedut dana awam.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata idea itu lahir apabila kerajaan ditadbir golongan tidak memiliki intergriti atau keupayaan menjaga harta diamanahkan rakyat.

mahfuz parlimen 01“Mereka perlu cari idea bagaimana menjana atau dapatkan sumber baru, selain tidak hanya bergantung kepada sumber sedia ada sahaja iaitu minyak dan gas.

“Kerajaan hanya mampu fikirkan sumber baru daripada poket rakyat iaitu GST dan dana seperti KWSP, Tabung Haji dan Mara. Ini jalan mudah.

“Otak mereka dah tepu, tak mampu fikirkan idea bagaimana untuk mencari sumber baru untuk menjana dana,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi menampung hutang ekoran amalan berbelanja boros, ketirisan dan rasuah yang tidak dibendung.

“Akhirnya rakyat terpaksa menanggung sikap buruk mereka ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN potong subsidi, lebih 60 rakyat muflis setiap hari

SHAH ALAM 9 JAN: Jumlah rakyat negara ini yang bakal muflis meningkat akibat pemotongan subsidi gula, minyak serta kenaikan tarif elektrik dan barangan rumah lain yang secara langsung menaikkan kos kehidupan.

Dalam laporan akhbar Singapura, Straits Times hari ini, terdapat lebih 60 rakyat yang diisytiharkan muflis setiap hari sehingga September, iaitu naik daripada 53 sehari pada 2012.

naik.jpgKetua ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng, berkata berikutan pemotongan subsidi kerajaan serta kenaikan harga barangan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara, jumlah warga Malaysia yang muflis bakal meningkat.

“Kita menganggarkan jumlah tunggakan hutang akan naik, terutama sekali di kalangan pekerja muda di syarikat swasta yang mempunyai kad kredit dan pinjaman peribadi tetapi tidak berpendapatan secukupnya untuk menanggung pembelanjaan mereka.

“Soalannya adalah berapa banyak yang akan muflis, itu yang amat membimbangkan,” katanya kepada akhbar itu dipetik dari The Malaysian Insider.

Katanya, ‘pinjaman tanpa bayaran’ masih boleh dikawal buat masa sekarang tetapi sudah timbul tanda ia akan menjadi lebih teruk.

gula-naik-1Hutang kad kredit sudah meningkat, jumlah yang dihutang kepada bank dalam jangka masa lebih enam bulan hingga November lalu adalah RM426.4 juta berbanding RM402 juta pada jangka masa yang sama pada 2012.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kelemahan dasar Kerajaan BN menjadi faktor utama hampir 130,000 diisytiharkan muflis dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata masalah kewangan akibat peningkatan gaji yang perlahan, kos sara hidup yang tinggi dan beban hutang isi rumah menjadi faktor ramai individu diisytiharkan bankrap.

shamsulKata Shamsul, Kerajaan BN terus membebankan rakyat dengan mengumumkan siri kenaikan harga barang, tol, minyak dan lain-lain.

Keadaan ini menyumbang iklim ekonomi yang tidak seimbang dengan pendapatan dan perbelanjaan rakyat.

Kerajaan Pusat sebelum ini mengumumkan seramai 129,640 diisytiharkan muflis dalam tempoh 2005 hingga 2012. Daripada jumlah itu, sebanyak 68,299 adalah individu berusia di bawah 45 tahun.

Antara faktor menyebabkan muflis adalah kegagalan membayar balik pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan perumahan.

EZY